Rabu, Oktober 16, 2013

IDRIS BERI LALUAN UNTUK MEREMAJAKAN PARTI

BESUT: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengejutkan ahli-ahli Umno Bahagian Besut apabila beliau tidak mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian tersebut. Sebaliknya beliau berundur ke belakang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian. Jawatan Ketua Bahagian yang dikosongkan Idris jadi rebutan antara ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof dengan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad. Manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian menjadi rebutan ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dengan Pengarah Unit Komunikasi (UKOM), Haji Shamsuddin Sulong. Idris menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Menurut sumber yang rapat dengan beliau, tindakan Idris itu sebagai menyahut seruan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu meremajakan Umno. “Oleh kerana beliau sibuk sebagai menteri dan ahli majlis tertinggi Umno maka sudah sampai masanya bagi orang muda mengambilalih pimpinan Bahagian Besut,” kata sumber itu lagi. Katanya lagi, tindakan Idris wajar dipuji kerana ramai pemimpin yang menjadi Ketua Bahagian enggan berundur. “Sebab itulah beliau sanggup berundur ke bawah supaya Umno Besut diketuai oleh orang muda,” ujarnya. Bagaimanapun,Idris tetap mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi pada 19 Oktober depan.

RUJUK KEPADA PERLEMBAGAAN JIKA ADA PERTIKAIAN

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar berkata sebarang perbezaan pandangan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak harus mengambil Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan. Katanya, isu status Sabah maupun Sarawak dalam Persekutuan Malaysia harus dilihat dari sudut perundangan, yakni Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh pembentukan Malaysia. “Sabah adalah partner dalam pembentukan Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963. Itu hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan,” kata beliau kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di sini semalam. Beliau mengulas kenyataan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mengatakan Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai “equal partner” dengan Semenanjung Malaysia dan bukannya sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia. Ku Li berucap demikian di majlis anjuran Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur semalam. Tawfiq yang juga calon ahli majlis tertinggi (MKT) Umno berkata ,”kita bersyukur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami perkara ini dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan Malaysia yang kesejahteraan serta kemakmurannya merata dan seimbang.” Impikan Katanya lagi, kita impikan sebuah negara Malaysia yang pembangunan dan kemajuannya merata dan seimbang dari Perlis hingga ke Sabah tanpa ada wilayah yang tertinggal atau mundur dibanding yang lain. Bercakap tentang hasratnya bertanding kerusi MKT, Tawfiq yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata beliau hanya mengambil keputusan untuk menawarkan diri bertanding sebagai sebagai calon MKT di saat akhir setelah mengunjungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan MKT kali ini. Katanya, memang benar ada juga calon Sabah yang turut bertanding MKT kali ini, tetapi beliau adalah suara yang benar-benar datang dari DUN Sabah, Kabinet Sabah dan masyarakat akar-umbi Sabah. “Saya bersedia untuk memberi sumbangan kepada Umno di peringkat yang lebih tinggi dan pada masa yang sama tidak akan melupakan tanggung-jawab kepada akar-umbi yang memberi amanah dan kepercayaan kepada saya,” katanya. Mengenai peluangnya untuk menang, beliau berkata sebagai menteri kabinet Sabah, sudah pasti beliau tidak berapa dikenali oleh akar-umbi Umno di Semenanjung Malaysia. Jaringan “ Namun dengan jaringan rakan-rakan termasuk mantan-mantan Pemuda seangkatan saya di bawah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dahulu serta rakan-rakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang mengenali saya, saya menaruh keyakinan untuk berjaya sebagai ahli MKT,” katanya yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah. Lima orang calon dari Sabah yang akan bertanding MKT iaitu Datuk Bung Mokhtar, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Datuk Sairin Karno dan Tawfiq senditi. Ditanya adakah 150,000 orang perwakilan perlu memilih ramai calon dari Sabah sebagai ahli MKT sebagai tanda terima kasih perwakilan kepada BN Sabah dan Umno Sabah yang menjadi “fixed deposit” kepada BN Malaysia, Tawfiq berkata beliau yakin rakan Umno di negeri lain akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon MKT dari Sabah. Beliau mendakwa faktor yang menyebabkan BN mengalami kemerosotan sokongan generasi muda adalah persepsi yang Umno itu “menutup pintu” kepada generasi muda yang berkelayakan serta berpotensi mendapat tempat sewajarnya dalam Umno Katanya, sebenarnya ini hanya merupakan satu persepsi yang kalau pun mungkin berlaku , ianya berlaku secara isolasi dan tidak wajar dijadikan satu generalisasi. Sanggup “Sebagai contoh, saya sendiri mula menjadi Ketua UMNO Bahagian Tawau semasa saya berusia 42 tahun. Saya yakin ramai lagi anak muda berpendidikan di masa ini yang berjaya menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian di Malaysia selain jawatan utama di Pergerakan Pemuda mahupun Puteri pelbagai peringkat,” katanya. Jelasnya lagi, yang penting generasi muda yang berhasrat menjawat jawatan utama dalam Umno mesti sanggup bermula dari bawah dan berusaha memahami matlamat serta falsafah parti secara “hands-on” . “Mereka juga perlu memiliki keikhlasan berkhidmat kepada masyarakat dan bukan masuk Umno semata-mata mengejar sesuatu sehingga membelakangkan agenda perjuangan parti keramat ini,” ujarnya. Beliau berkata soal umur bukan penentu dalam perkiraan “bersara” dari jawatan utama parti, tetapi kesedaran serta keinsafan sama ada kita masih berupaya serta masih bersungguh-sungguh mampu berkhidmat atau tidak. “Kalau seorang pemimpin muda merasakan dia tidak mampu lagi memimpin maka dia juga perlu berundur dan memberi laluan kepada pihak lain yang lebih komited dalam melaksanakan amanah serta tanggung-jawab kepada parti,” sambungnya lagi. Beliau menambah begitu juga seorang penjawat veteran , kalau dia sudah tidak mampu samada dari segi fizikal maupun keupayaan komitmen untuk memimpin parti, maka dia juga sewajarnya memberi laluan kepada orang lain yang lebih baik darinya. “Untuk ini, saya memuji keputusan beberapa pemimpin utama bahagian khususnya di negeri Johor yang mengambil keputusan memberi laluan kepada pemimpin pelapis bagi menjawat jawatan Ketua Bahagian,” katanya. Katanya, ini jelas menunjukkan bahwa UMNO masih lagi memiliki pemimpin yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dan peribadi.

RAHMAN TERKEJUT PENYANDANG TARIK DIRI DI MASJID

KOTA KINABALU: Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Rahman Dahlan terkejut apabila penyandang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Aliasgar Basri (gambar) mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan itu di masjid Likas baru-baru ini. Menurut sumber, Aliasgar telah menunaikan solat jumaat di masjid tersebut dua minggu lepas. Beliau bersalam dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selepas menunaikan solat. Tiba-tiba beliau ternampak Rahman ada di belakang Ketua Menteri. “Datuk, saya tak jadi mempertahankan jawatan. Saya beri laluan kepada Datuk,” kata Aliasgar kepada Rahman. Rahman terkejut dengan pengumuman spontan Aliasgar itu. Apatah lagi pengumuman tidak rasmi itu dibuat dalam masjid. Pada pemilihan Umno 2009, Aliasgar mencabar ahli parlimen Kota Belud itu dalam pertandingan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran di mana Aliasgar menang dengan majoriti 79 undi. Sumber itu menambah, jika Aliasgar mempertahankan jawatannya itu beliau tetap dapat mengalahkan Rahman. “Tetapi oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka Aliasgar beri laluan kepada Rahman. Tambahan pula beliau mahu bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno,” kata sumber itu lagi. Sementara itu ketika dihubungi FMT, Aliasgar mengesahkan bahawa beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan 19 Oktober ini. “Oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka saya beri laluan kepada beliau supaya beliau menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua Bahagian,” katanya. Beliau menghormati Rahman yang ada jawatan dalam kerajaan dan beliau berharap Rahman dapat menggunakan peruntukan kementerian untuk membangunkan kawasan Tuaran. Rahman akan bertanding kerusi mahlis tertinggi Umno pada 19 Oktober ini

TIADA ISTILAH BERTANDING DALAM PERLEMBAGAAN UMNO

KUALA LUMPUR: Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zaharin Mohd Yasin berkata dalam perlembagaan Umno, tiada istilah bertanding. Katanya, beliau bukannya bertanding merebut kerusi ahli majlis tertinggi Umno sebaliknya “minta dipilih” seperti mana tercatat dalam perlembagaan Umno. “Oleh itu saya “minta dipilih” sebagai ahli majlis tertinggi Umno dan bukannya saya bertanding merebut kerusi itu,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT di PWTC semalam sambil memperbetulkan istilah sebenar yang tercatat dalam perlembagaan Umno. Beliau yang juga Setiausaha Kerja BN Bandar Tun Razak berkata sesiapa yang menawarkan diri untuk “minta dipilih” sebagai ahli majlis tertinggi Umno tidak perlu mempunyai vsi dan misi sendiri. Katanya, ahli majlis tertinggi adalah penasihat kepada Presiden Umno. “Oleh itu mereka tidak boleh mempunyai visi dan misi yang berlainan dari visi dan misi presiden parti,” katanya lagi. Sebagai ahli majlis tertinggi, jika beliau menang, beliau adalah penyokong Presiden yang menjalankan dasar yang menguntungkan orang Melayu dan ahli Umno. Sehubungan dengan itu beliau berkata Umno perlu kembali ke asal iaitu dasar parti menguasai kerajaan. “Umno sudah menyimpang jauh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mempraktikkan dasar parti menguasai kerajaan sedangkan Presiden Umno sebelum itu mengamalkan dasar ini,” katanya. Dipecat Zaharin turut “minta dipilih” sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak kerana untuk berada dalam BN Bandar Tun Razak,pemimpin utama BN mestilah daripada Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian. Beliau yang pernah dipecat dari Umno di zaman Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno merupakan seorang bloggger yang menggunakan nama Sang Kelembai. Mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad bahawa masih berlaku politik wang, Zaharin menjelaskan politik wang tidak ada dalam Umno. “Yang ada wang diberikan untuk politik. Wang itu yang berpolitik. Oleh itu tidak betul istilah politik wang,” katanya. Katanya, untuk menggelakkan wang berpolitik, setiap calon hendaklah melaporkan kepada ketua cawangan jika ada perwakilan meminta wang dari calon. “Calon jangan tunduk kepada ugutan perwakilan kononnya tak hulur wang akan kalah kerana jika semua calon tak beri wang, dengan sendirinya terhapus wang berpolitik,” kata beliau yang pernah memenangi perwakilan G7 ke perhimpunan agung Umno Malaysia tanpa menggunakan wang untuk membeli undi para perwakilan. Beliau berkata beliau ada harapan untuk menang kerana setiap calon yang “minta dipilih” seperti menteri, menteri besar, timbalan menteri akan mengundi 24 orang calon lain yang tidak ada jawatan dalam kerajaan sepertinya supaya pesaing yang ada jawatan dalam kerajaan tidak akan mendapat undi yang lebih dari mereka. “Ada petanda saya akan menang,” katanya.

SAIRIN MAHU KUKUHKAN UMNO DI SABAH

KENINGAU: Calon ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Sairin Karno berkata beliau membuat keputusan bertanding jawatan tersebut kerana mahu mengukuhkan Umno di Sabah khasnya di kawasan zon 3 dan 4 pendalaman Sabah. Beliau juga mahu membela nasib rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama kerana biarpun Umno dianggotai oleh Bumiputera tetapi ia telah terbukti memperjuangkan nasib semua kaum. “Berani menyuarakan kebenaran dan memperbaiki setiap kesilapan merupakan transformasi yang mesti diberi keutamaan,” kata beliau kepada FMT. Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah adalah di antara lima orang calon majlis tertinggi Umno dari Sabah selain dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan; Pengerusi FELCRA,Datuk Bung Mokhtar (penyandang), Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar dan Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Sairin yang juga ADUN Liawang menambah beliau akan cuba mempelopori kesederhaaan cara hidup atau watasiyyah yang disebut oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berikrar akan terus memartabatkan maruah bangsa melalui perjuangan Umno. “Saya berikrar akan emmbantu memenangi PRU ke 14 di seluruh negara khususnya di Sabah jika saya berjaya memenangi kerusi ahli majlis tertinggi nanti,” katanya lagi. Beliau berharap 150,000 perwakilan di seluruh negara dapat memilih lebih ramai calon majlis tertinggi dari Sabah untuk mengimbangi ahli majlis tertinggi dari Semenanjung kerana Sabah membentuk Malaysia. dipetik dari freemalaysiatoday.com

Isnin, Oktober 14, 2013

ADUN KIJAL DIDESAK TUKAR PENGERUSI JKKK KG BERIS NENAS

KEMAMAN: ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said didesak menukar Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)Kampung Beris Nenas, Kijal kerana beliau bukan anak tempatan. Menurut bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Haji Khalid Karim, penduduk Kampung Beris mahu anak tempatan sebagai Pengerusi JKKK. "Kenapa perlu lantik orang luar sebagai Pengerusi JKKK," katanya kepada blog ini. Blog ini difahamkan bahawa Che Wan Azlan Che Wan Ghani adalah orang Kampung Penunjuk Darat. Menurut Haji Khalid yang juga calon Pengerusi Tetap Umno Bahagian Kemaman pada pemilihan 19 Oktober ini, ramai anak Beris Nenas yang layak jadi Pengerusi JKKK. "Oleh itu saya mendesak ADUN Kijal yang juga Menteri Besar Terengganu menukar segera Che Wan Az
lan sebagai Pengerusi JKKK tersebut," katanya lagi.

Jumaat, Oktober 11, 2013

KHAIRY SERAH KEPADA PERWAKILAN

PETALING JAYA:Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sayap itu Sabtu ini. Beliau yang akan mempertahankan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan di samping mereka yang mempunyai pengalaman. “Kita serah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Generasi Muda Perak bersama Menteri di Ipoh Ahad lalu. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluangnya untuk mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno ini. “Semua orang boleh menjanjikan sesuatu tetapi nak melaksanakan itu amat susah sekali dan kita harus bersandarkan kepada ‘track record’ atau sejarah pencapaian seseorang calon,” katanya. Beliau berkata semua anggota mahu melihat perubahan dalam Umno namun ia perlu dilakukan dengan keyakinan untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan perubahan itu. Selain Khairy, empat lagi anggota Pemuda iaitu penolong setiausaha Pemuda cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman, ketua pemuda Umno cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, ketua pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas ketua pemuda Umno Bahagian Merbok Abdul Karim Ali turut menawar diri untuk bertanding jawatan itu. Sementara itu dalam facebooknya, Khairy menulis bahawa beliau sekali lagi menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia, jawatan yang beliau sandang sejak tahun 2009. “Selama empat tahun yang lepas, pelbagai program telah Pemuda Umno-BN laksanakan dengan tema mendekati orang muda melalui politik khidmat bakti. Program-program yang dijalankan oleh Pemuda Umno-BN di bawah kepimpinan saya menyentuh isu-isu yang menjadi kebimbangan anak muda negara terutamanya yang berbangsa Melayu,” jelasnya. Katanya lagi, hasil kajian yang telah beliau buat dalam BN Youth Lab beberapa tahun dahulu, pendekatan Pemuda UMNO-BN telah diubah secara menyeluruh. “Orang muda zaman sekarang tidak lagi tertarik dengan politk yang berteraskan retorik semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat apakah penyelesaian atau solutions yang dapat ditawarkan oleh parti-parti politik,” katanya. Oleh yang demikian, beliau telah membawa Pemuda Umno-BN ke arah solutions-based politics yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mendesak kerajaan tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri. “Contohnya, kita mendapati orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda Umno-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara,” katanya lagi. Beliau menambah BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang – majoritinya anak muda – mendapat peluang pekerjaan. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda Umno-BN juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan untuk orang muda melalui BNY HOPE yang akhirnya menjadi polisi baharu melalui PR1MA, Skim Rumah Pertamaku dan rumah transit untuk orang muda. “Jelajah 1Malaysia atau JOM dibawah Pemuda Umno-BN pula telah berjaya membaik pulih ratusan rumah usang orang muda di seluruh negara,” jelasnya lagi. Menurutnya lagi, Pemuda Umno-BN juga telah memperjuangkan isu gaji minimum bersama kesatuan-kesatuan sekerja sehingga ia menjadi realiti. “Pada akhir tahun ini Akta Kebangkrapan akan dipinda hasil daripada usaha kami untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang dibelenggu status muflis,” katanya. Beliau menambah banyak lagi program-program yang kami telah buat selama empat tahun lalu. “ Pemberian biasiswa untuk anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah untuk ke IPTS juga telah kita berikan melalui BNYES, lesen motosikal diberi dengan harga yang terendah melalui (BL1M) yang masih dalam pelaksanaan, gerakan sukarelawan dibayai melalui Dana Belia 1Malaysia (kini diambil alih 1M4U), profesional muda dilibatkan dalam politik melalui BNYV dan isu keadilan sejagat sering dibangkit terutama isu Palestin,” katanya. Beliau menambah ini tidak termasuk peranan Pemuda Umno-BN sebagai suara orang muda. “Sebagai contoh, baru-baru ini kami membantah cadangan PTPTN untuk menyenaraikan para peminjam yang lewat membayar atau tidak membayar hutang di bawah senarai CCRIS sehinggakan cadangan itu tidak diteruskan,” katanya. Beliau yang juga ahli parlimen Rembau berkata inilah antara pencapaian kami selama empat tahun yang lepas. “Memang betul, corak kepimpinan Pemuda Umno sekarang berbeza dengan zaman dahulu. Namun saya berpendapat gaya lama di mana Pemuda sinonim sebagai kumpulan pendesak semata-mata sudah tidak relevan lagi,” katanya. Katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memimpin Pemuda Umno-BN supaya beliau dapat membawa lebih banyak lagi idea penyelesaian atau solutions untuk orang muda. “Semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua yang boleh melaksanakan,”tegasnya lagi.

AKRAMSYAH LETAK JAWATAN JIKA MENANG KETUA PEMUDA

KELANA JAYA: Calon Ketua Pemuda Umno, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berjanji akan meletakkan jawatannya dengan sebuah badan korporat antarabangsa jika beliau menang pada 19 Oktober ini. Katanya, beliau akan menjadi Ketua Pemuda Umno sepenuh masa dan beliau tidak berminat dengan sebarang jawatan dalam kerajaan. “Ketua Pemuda tak perlu jadi menteri kerana Ketua Pemuda perlu tumpu sepenuh masa kepada pemuda,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di sebuah kelab golf di sini hari ini. Akhramsyah akan berhadapan dengan penyandang jawatan, Khairy Jamaluddin dan tiga calon lain, Syed Rosli Syed Harman,Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali pada 12 Oktober ini. Katanya lagi, beliau sudah berbincang dengan keluarganya bahawa beliau akan memberi tumpuan kepada politik jika menang nanti. “Inilah pengorbanan yang akan saya buat demi Pemuda Umno,” katanya. Menyentuh tentang politik wang, Akramsyah meminta perwakilan pemuda yang disogok dengan wang supaya mengambil wang tetapi jangan mengundi calon yang memberi wang tersebut. Katanya, walaupun perwakilan pemuda hampir 75,000 orang tetapi tidak mustahil politik wang masih berlaku dalam perhimpunan pemuda Umno pada 12 Oktober depan. Katanya, wang yang datang belum pasti datangnya dari sumber yang halal. “Wang itu mungkin disamun dari wang rakyat. Oleh itu ambil wang, tetapi undi jangan,” tegasnya. Walaupun tak pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian, beliau tidak nampak ia menjadi penghalang untuk menerajui Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. “Saya diminta bertanding Ketua Pemuda Umno Bahagian Langkawi tetapi saya menolak kerana mahu fokus kepada pertandingan pemuda di peringkat pusat,” katanya. Beliau menafikan didesak oleh mana-mana pihak untuk mencabar Khairy Jamaluddin. Khairy menang pada tahun 2009 dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo. “Saya akui lambat buat pengumuman kerana saya ingatkan ada tokoh lain yang mahu menentang Khairy,” ujarnya. Beliau berkata Khairy gagal membawa Pemuda Umno seperti zaman kegemilangan pemuda dahulu. Dakwanya, kegagalan pemuda Umno yang menyebabkan ada “vacuum” yang disi oleh NGO Melayu seperti Perkasa. “Oleh itu saya mahu Pemuda Umno tetap lantang seperti dahulu memperjuangkan hak orang melayu dan orang Islam,” katanya lagi. Ditanya adakah faktor “anak Tan Sri Sanusi Junid” akan menberi kelebihan kepadanya, Akramsyah berkata nama ayahnya itu memberi keyakinan kepadanya untuk berhadapan dengan para perwakilan. “Namun demikian mereka menilai kemampuan saya secara peribadi dan bukannya kerana anak Sanusi,” katanya.

SYED ROSLI MASIH MENUNGGU EMPAT CALON BERSUMPAH

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail,37,yang mencabar empat calon bersumpah laknat bahawa mereka tidak akan terlibat dalam politik wang masih menunggu mereka menyahut cabaran itu. Katanya, cabaran saya sehingga 11 Oktober satu hari sebelum hari pengundian. “Saya hairan kenapa mereka tidak berani bersumpah laknat seperti saya? Adakah mereka terlibat dalam politik wang?” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas di sini malam tadi. Beliau yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Pusat Bandar Taman Cempaka (Bahagian Pandan) bertanding jawatan Ketua Pemuda menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd. Karim Ali. Beliau menggemparkan ahli-ahli Umno apabila bersumpah laknat tidak akan terlibat dalam politik wang selepas beliau menyerahkan borang pencalonan pada 21 September lalu di PWTC. Pada masa yang sama beliau mencabar semua calon Ketua Pemuda berbuat demikian juga. Sehubungan dengan itu, Syed Rosli mendesak SPRM memantau semua calon yang bertanding dan para perwakilan supaya politik wang tidak berlaku kali ini. Katanya, walaupun perwakilan pemuda sudah mencapai 70,000 orang tetapi mustahil politik wang dapat dihapuskan. Beliau berikrar akan membersihkan Pemuda Umno dari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika beliau menang nanti. “Imej Umno tercemar kerana salah laku rasuah ini. Ramai profesional Melayu bukan tak sayang kepada Umno dan BN tetapi mereka tak sokong BN kerana mereka nampak parti kita terlalu kotor,” katanya. Beliau mengakui kewibawaan Khairy sebagai Ketua Pemuda tetapi beliau tidak ada jati diri untuk memperjuangkan masalah orang Melayu dan orang Islam. “Pemuda kelihatan lemah dan lesu. Orang macam Khairy tak layak jadi Ketua Pemuda kerana dia sendiri tak faham article 153 perlembagaan negara,” katanya. Katanya, Umno perlu dibersihkan supaya golongan muda menyokong semula BN pada PRU ke 14. Beliau menolak dakwaan bahawa beliau ditaja oleh mana-mana pihak kerana beliau hanya mahu membersihkan pemuda Umno dari politik wang. Beliau hanya berkempen menemui rakan-rakan dan beliau yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta tak mampu menemui semua 70,000 perwakilan. “Saya hanya berkempen melalui facebook dan saya sendiri tak mampu mengikuti road show ke seluruh negara,” katanya yang menganggap beliau sebagai calon marhaen.

PEMUDA PERLUKAN KETUA YANG SENIOR

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno memerlukan ketua yang “senior” untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14. Menurut calon Ketua Pemuda, Abd Karim Ali, hanya pemimpin yang berumur dapat membawa pemuda ke arah yang lebih gemilang. “Saya kini berumur 49 tahun. Tetapi oleh kerana jawatan ketua pemuda terbuka kepada semua calon tanpa had umur, maka hanya orang yang berumur yang dapat memimpin pemuda supaya lebih dihormati dan disegani,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT di sini malam tadi. Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok (2004-2008) di Kedah mengakui bahawa beliau adalah proksi Datuk Mukhriz Mahathir yang menentang Khairy Jamaluddin pada pemilihan Ketua Pemuda Umno pada tahun 2009. Dalam pertandingan itu, Khairy mengalahkan Mukhriz dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan tiga penjuru. Manakala dalam pertandingan 12 Oktober ini, Khairy ditentang empat calon iaitu Abd Karim Ali, Akramsyah Sanusi, Izwan Ambak dan Syed Rosli Syed Harman Jamalulail. Abd Karim berkata beliau akan berusaha mendapatkan undi daripada ketua-ketua pemuda yang menyokong Mukhriz pada tahun 2009 dahulu. Beliau terlibat secara langsung berkempen untuk Mukhriz dalam pertandingan Ketua Pemuda tersebut. Ditanya kenapa beliau lambat membuat pengumuman, beliau berkata ini adalah kerana beliau mahu menunggu pengumuman Menteri Besar Kedah terlebih dahulu. “Apabila Mukhriz mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Umno, barulah saya buat keputusan untuk menentang Khairy,” katanya. Beliau kesal kerana ada juga calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda tidak ada pengalaman memimpin pemuda Bahagian sebaliknya beliau dengan Khairy yang pernah menjadi ketua pemuda bahagian. “Bagaimana nak memimpin pemuda di peringkat pusat sedangkan calon tidak ada pengalaman memimpin pemuda di peringkat Bahagian,” katanya. Sebagai jurutera awam, beliau berikar akan membawa lebih ramai golongan proseional menyertai Umno apabila menang jadi Ketua Pemuda nanti. “Khairy sudah diberi peluang sebagai Naib Ketua Pemuda (2004-2008) dan Ketua Pemuda (2008-2013). Ternyata beliau gagal menarik golongan muda mengundi BN. Maka pemuda perlukan ketua yang baru untuk menerajui perubahan ini,” tegasnya lagi. Katanya, BN akan kalah lagi pada PRU ke 14 kalau Umno terus meminggirkan golongan profesional menyertai parti itu. “Saya sendiri pernah disekat aktif dalam pemudaUmno. Pada tahun 2000, saya kalah bertanding Ketua Pemuda Bahagian Merbok kerana mereka tidak mahu jurutera jadi ketua pemuda tetapi di atas kegigihan saya, saya menang pada tahun 2004 mengalahkan peguam,” katanya. Katanya, dengan pengalaman pernah kalah dan menang, beliau yakin mampu memimpin pemuda dengan lebih berkesan lagi. “Sebagai jurutera yang pernah bertugas membina tembok di sempadan Malaysia-Thailand, saya sudah biasa bekerja di tempat kritikal yang ada pengganas komunis. Oleh itu pengalaman ini amat berharga buat saya untuk menerajui pemuda di peringkat nasional,” katanya. Abd Karim yang juga Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Sin pada mulanya mahu bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Merbok menentang Datuk Tajul Urus Mat Zin, tetapi beliau tidak jadi bertanding kerana mahu beri tumpuan kepada pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Beliau bersetuju dengan cadangan calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak yang mahu Pemuda Umno menganjurkan debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda. “Saya bersetuju dengan debat ini supaya perwakilan dapat menilai siapa yang paling layak memimpin pemuda,” katanya.

IRWAN AMBAK CADANGKAN DEBAT CALON KETUA PEMUDA

PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak Khalid Izhar mencadangkan supaya Pemuda Umno mengadakan majlis debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda sebelum 12 Oktober ini. Katanya, melalui debat ini, 70,000 orang perwakilan dapat menilai siapa yang layak menjadi Ketua Pemuda. “Jika kelima-lima calon ini diberi peluang berdebat, perwakilan dapat memilih Ketua Pemuda yang terbaik,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di pejabat FMT hari ini. Irwan Ambak yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Setiawangsa, adalah di antara empat calon yang mencabar penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda selain daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Abdul Karim Ali dalam pemilihan Umno nanti. Beliau yang juga anak saudara Toh Puan Endon Mahmud (isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berkata hasratnya menentang Khairy yang juga suami sepupunya, Nori Abdullah adalah untuk meneruskan agenda pemuda. Ayahnya, Khalid Izhar adalah adik kepada Endon. Irwan mengatakan bahawa pendiriannya untuk bertanding bagi jawatan itu telah mendapat restu dan sokongan akar umbi. Menghormati “Sebenarnya, saya telah pun memberitahu Khairy Jamaluddin seawal Julai yang saya ingin bertanding pada pemilihan kali ini kerana saya menghormati dia sebagai Ketua Pemuda yang sedia ada. Pada masa itu, dia berkata terima kasih dan harapkan satu pertandingan yang sihat. Lantas, saya keluarkan satu‘public statement’ di blog sebelum mana-mana calon lain tampil ke hadapan seperti Akhramsyah, Syed Rosli dan Abdul Karim,” katanya. Menurutnya, sistem kewangan sedunia yang bertunjangkan Dolar Amerika Syarikat bakal mengundang risiko pada jangka masa panjang. “Dalam konteks global, sistem kewangan sedunia bertunjangkan US Dollar dan sekiranya anda lihat analisis dari pakar ekonomi, terdapat masalah besar yang melanda sistem kewangan sedunia yang berpaksikan kepada ‘World Reserve Currency US Dollar’,” jelasnya. Malah, yang menjadi persoalan kepada Irwan adalah, apakah langkah yang diambil kepimpinan negara untuk mengatasi masalah ini, sekiranya sistem kewangan Malaysia yang bergantung kepada Dolar Amerika Syarikat, gagal. Jelasnya, agenda ini wajar dilihat penting selaras dengan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia. “Apabila saya memikirkan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang memerintah Malaysia, saya lihat tiada pemimpin pun yang memikirkan mengenai kepentingan jangka panjang bagi negara dan masyarakat umum dari segi sistem kewangan kita. Itu tawaran saya untuk mengetuai Ketua Pemuda,” katanya. Kabur Beliau yang merupakan junior Akramsyah Sanusi di MRSM Balik Pulau berkata sehingga kini idea pembaharuan kepada organisasi pergerakan pemuda semakin kabur kerana laungan yang dikitar semula. “Secara amnya, saya lihat tiada banyak perbezaan dari segi pentadbiran atau pembaharuan yang dibawa kepada pemuda, dari zaman dahulu hingga sekarang. Kalau saya boleh kata, fungsi pemuda sebagai pembawa idea atau pembaharuan bernas itu, semakin kabur dan semakin tidak kelihatan. “Jadi, sekiranya pemimpin pemuda hanya melaungkan atau mengulang semula apa yang pemimpin negara katakan, maka tidak memberi kesan dan tiada sumbangan berdaya maju kepada negara. Saya tidak merasakan bahawa tak terdapat apa-apa impak yang memberi manfaat pada hala tuju Pemuda UMNO masa depan,” tegasnya ketika ditanya mengenai perubahan zaman kepimpinan pemuda. Dengan slogan “Pemuda Berkat, Masyarakat Rahmat’, Irwan Ambak berkata, syariah Islam menekankan perjuangan yang membawa kebenaran kepada masyarakat bagi mendapatkan kerahmatan dari Allah dan keberkatan dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin.

MAZNAH TERKEJUT DAPAT UNDIAN TERTINGGI FMT

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Wanita, Senator Datuk Maznah Mazlan terkejut kerana beliau menjadi pilihan pembaca FMT yang mengundinya sebagai Ketua Wanita pada 12 Oktober ini. Menurutnya, itu pilihan pembaca FMT. “Tetapi saya harap majoriti 80,000 perwakilan wanita akan mengundi saya,” katanya dalam satu wawancara khas dengan FMT di parlimen pagi ini. Pada jam 1 tengahari tadi undian FMT menunjukkan bahawa beliau mendapat 258 undi (59 peratus) daripada 440 undi. Manakala Raihan Sulaiman Palestine mendapat 161 undi (37 peratus) dan Datuk Seri Shahrizat Jalil mendapat 21 undi (5 peratus). “Saya ucapkan terima kasih kepada pembaca FMT yang mengundi saya. Saya harap momentum ini berkekalan pada hari pengundian sebenar oleh para perwakilan Wanita Umno,” katanya. Beliau yang juga ADUN Muazam Shah menafikan bahawa beliau adalah proksi bekas Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz. “Saya tidak ditaja oleh sesiapa untuk menentang Shahrizat,” kata beliau yang akan berhadapan dengan Shahrizat Jalil dan Raihan Sulaiman Palestine pada 12 Oktober ini. Beliau yang masih Exco Wanita Umno mengejutkan semua pihak kerana menghantar borang pencalonannya pada pukul 4.30 petang setengah jam sebelum penamaan calon ditutup pada 21 September lalu. Beliau mendakwa sambutan akar umbi terhadap beliau amat menggalakkan walaupun Ketua Wanita Umno Negeri tidak menyokong beliau. “Namun demikian hasrat saya menentang Shahrizat direstui oleh Badan Perhubungan Umno Pahang,” katanya. Beliau berharap para perwakilan dapat menerimanya secara terbuka memandangkan penglibatannya yang lama dalam wanita Umno bermula dari cawangan, bahagian dan Exco Wanita Umno Malaysia serta sebagai pernah menjadi pembuat dasar ketika menjadi Exco Kerajaan Pahang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Beliau yang turut bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Rompin berkata jika beliau menang jawatan Ketua Wanita lusa, beliau akan memulihkan semula imej Wanita Umno yang dipersendakan oleh pihak pembangkang. “Wanita Umno telah diperlekehkan, dipersendakan oleh para pengundi. Oleh itu saya mahu pulihkan semula imej pergerakan Wanita Umno yang sudah tercemar,” tegasnya. Sehubungan dengan itu, beliau mahu menarik lebih ramai golongan profesional menyertai wanita Umno supaya BN terus kekal memerintah pada PRU ke 14.

SHAHRIZAT YAKIN KALAHKAN MAZNAH DAN RAIHAN

KUALA LUMPUR : Penyandang ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin dapat mengekalkan jawatannya dalam pemilihan lusa. Menurut beliau, sambutan yang diberikan kepada beliau amat memberansangkan. “Saya sudah turun ke akar umbi sejak memenangi jawatan ketua Wanita empat tahun lalu bermula dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan Wanita di PWTC petang ini. Justru itu, katanya, beliau yakin dapat mengalahkan dua calon lain iaitu Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestine. Namun beliau menyerahkan nasibnya kepada 110,765 orang perwakilan wanita dari 19,663 cawangan di seluruh negara. Katanya lagi, sepanjang empat tahun memimpin pergerakan tersebut, telah menghadapi 16 pilihan raya kecil yang mana jentera Wanita adalah penggerak utama kepada kemenangan BN dalam pilihanraya kecil tersebut. Beliau berkata jika beliau menang beliau akan bawa pergerakan itu ke tahap yang lebih gemilang. “Dahulu Wanita adalah sampingan sahaja. Kini Wanita sudah masuk dalam arus perdana dan wanita tidak mahu jadi sayap lagi tapi jadi tulang belakang Umno,” kata Shahrizat.

RAIHAN KESAL CALON TIDAK BEBAS BERKEMPEN

PETALING JAYA: Calon Ketua Wanita Umno, Raihan Sulaiman Palestine kesal kerana calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno tidak bebas berkempen. Katanya, dalam pilihanraya umum kita bebas berkempen tetapi dalam pemilihan Umno calon-calon tidak bebas berkempen untuk menemui 146,000 orang perwakilan. “Sudah tentu penyandang jawatan yang jadi menteri dan timbalan menteri ada kelebihan menemui para perwakilan berselindung di sebalik program kementerian, “ katanya dalam wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT semalam. Katanya lagi, syarat yang dikenakan kepada calon-calon tidak adil, memberi peluang kepada calon untuk kalah sebelum berjuang. Beliau yang juga anak bekas Ketua Penerangan Umno, Sulaiman Palestine akan mencabar Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Jalil. Ayahandanya Sulaiman Palestine pernah mengejutkan ahli Umno apabila menentang Presiden Umno, Tun Hussein Onn pada tahun 1978. Hussein Onn menang dengan majoriti 648 undi di mana Perdana Menteri itu mendapat 898 undi dan Sulaiman mendapat 250 undi. Fitrah Raihan yang menggunakan slogan “Wanita wasatiyyah kembali kepada fitrah” berharap dalam waktu yang terhad mesej yang ingin disampaikan kepada semua perwakilan wanita dapat diterima mereka. Beliau yang pernah menjadi pegawai khas kepada Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Said) hairan walaupun beliau bukan Exco Wanita Umno tetapi dijemput berceramah sepanjang pilihanraya umum lalu di Terengganu selama 13 hari. “Saya ahli biasa wanita tetapi dijemput berceramah seolah-olah Wanita Umno tiada penceramah lain,” katanya. Sejak Raihan mengumumkan bertanding Ketua Wanita, beliau menerima panggilan telefon dari banyak bahagian wanita yang memintanya supaya tidak menarik diri. Katanya, ini menunjukkan ramai yang tidak puas hati dengan kepimpinan Shahrizat. Katanya lagi, memanglah bukan Sharizat yang terlibat dengan skandal NFC tetapi skandal itu memberi liabiliti kepada Umno. Terlambat “Saya buat pengumuman bertanding selepas Datuk Seri Azalina Othman umum bertanding. Bila Datuk Maznah Mazlan buat keputusan di saat-saat akhir, saya kira beliau sudah terlambat,” katanya yang pernah tewas di tangan Azalina bagi pertandingan Ketua Puteri Umno pada tahun 2000. Raihan tidak percaya nama bapanya, Sulaiman Palestine dapat menagih undi dari para perwakilan. “Saya bukan menagih simpati kerana saya tak perlu undi simpati. Saya pun tak pernah bergantung kepada Umno untuk survive. Tetapi perwakilan hendaklah menilai manifesto saya untuk membawa Wanita Umno ke era yang lebih gemilang, “katanya lagi. Walaupun menentang Shahrizat dalam pemilihan ini, Raihan bersetuju dengan pandangan Shahrizat bahawa suatu hari nanti wanita patut juga bertanding Naib Presiden Umno. Trainer “Kalau MCA boleh ada Naib Presiden wanita, Umno juga perlu buat transformasi ini dengan memilih wanita sebagai Naib Presiden Umno,” katanya. Beliau yang merupakan seorang trainer adalah kolumnis dalam sebuah akhbar tabloid. Sebagai trainer beliau telah berjaya melatih seramai 14,000 orang beliau. Beliau yang terlibat dalam 18 NGO seperti NGO yang mengurus anak yatim dan ibu tunggal berkata beliau bertanding untuk membawa wasatiyyah (kesederhanaan) dalam politik seperti yang dilaungkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. “Saya tak mampu membeli baju kurung putih dan kain merah untuk perwakilan wanita tetapi saya hanya mampu curahkan idea untuk memajukan wanita bila saya menang nanti,” katanya sambil tak pasti sama ada pemberian kain untuk perwakilan dianggap sebagai politik wang atau tidak.

JAMILAH AKAN FOKUS KEPADA EMPAT KUASA UTAMA

PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri Umno Malaysia, Jamilah Hanim Othman berkata beliau akan memberi fokus kepada empat kuasa utama rakyat iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi yang mempengaruhi kehidupan sehari-hari mereka jika beliau menang pada 12 Oktober ini. Katanya, beliau percaya sekiranya keadaan politik stabil maka ekonomi pun baik sekali gus masalah sosial akan berkurangan. Katanya lagi, aspek sosial juga berhubung kait dengan teknologi kerana keadaan dunia tanpa sempadan kini telah mengakibatkan banyak berlaku masalah sosial. “Jadi, sekiranya diberi mandat, saya akan memberi fokus kepada empat perkara ini selari dengan inisiatif dan aspirasi Umno dan kerajaan, “ katanya dalam wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan menambah bahawa beliau mempunyai bekalan pengalaman yang mencukupi memandangkan penyertaan beliau bersama Puteri sejak awal penubuhan pergerakan ini pada tahun 2001 serta pernah menjawat jawatan Ketua Puteri bahagian selama tiga penggal manakala sebagai Exco satu penggal. “Oleh sebab keterujaan saya yang masih mahu bersama Puteri, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ini ekoran faktor umur saya yang kini mencecah 38 tahun yang hanya melayakkan saya memegang jawatan Ketua Puteri,” katanya lagi. Beliau yang dianggap sebagai calon “underdog” akan berhadapan dengan ahi parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsuddin pada pertandingan 12 Oktober ini. Beliau yakin mereka akan membuat pilihan terbaik sekiranya mereka mengambil pertimbangan terhadap janji-janji beliau demi membawa Puteri dekat di hati pengundi wanita muda khususnya melalui beberapa program yang telah dijenamakan semula seperti program sukarelawan, Vogue (Volunteery Group For Everyone) khusus untuk menarik minat mereka yang tidak begitu gemar berpolitik. Jamilah menggunakan tagline sendiri iaitu KID demi menunjukkan kesungguhan beliau untuk menggalas tanggungjawab berat ini . “Saya berikrar sekiranya diberi mandat, saya akan memberikan fokus dan sepenuh perhatian serta komitmen kepada Puteri memandangkan saya tidak memegang apa-apa jawatan penting selain hanya bekerja sendiri,” tegasnya.

MAS ERMIEYATI MAHU UBAH PERSEPSI TERHADAP PUTERI

PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin mahu mengubah persepsi banyak pihak terhadap Puteri yang dilabelkan sebagai sosial dan seksi. Katanya, perubahan ini perlu dilakukan segera agar kehadiran Puteri tidak disalahtafsir. “Kita adalah antara sayap yang turut memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kita perlu barisan yang paling mantap terutama membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Beliau yang juga ahli parlimen Masjid Tanah berkata jika beliau menang perkara penting akan beliau titik-beratkan ialah soal agama. “Saya lihat ramai anak-anak muda mempunyai latar belakang agama yang cukup bagus tetapi di mana mereka ini? Malah ada di antara yang bergelar ustazah condong kepada kem pembangkang. Oleh itu, Puteri perlu memperbanyakkan program keagamaan bagi menarik minat mereka ini,” katanya. Berhadapan Beliau akan berhadapan satu lawan satu dengan Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman pada 12 Oktober ini mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Mas Ermieyati menambah beliau membuat keputusan menawarkan diri setelah menilai dari segi pengalaman selama hampir 12 tahun menjadi ahli Puteri Umno bermula seawal 2001 iaitu sewaktu di zaman penaja lagi hingga dilantik sebagai Ketua Puteri negeri selama tiga penggal. “Saya juga berkhidmat di bawah tiga ketua bermula dari zaman Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin,” jelasnya. Katanya, setelah menilai komitmen dan sumbangan beliau kepada Puteri di peringkat bahagian, negeri dan pusat, beliau merasakan wajar menawarkan diri kerana Puteri Umno memerlukan pemimpin berpengalaman untuk meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu. Beliau berkata sepanjang berkempen beliau lebih menonjolkan kelebihan yang ada pada beliau berdasarkan pengalaman selama 12 tahun sewaktu zaman penaja berkhidmat di bawah legasi tiga kepimpinan yang terdahulu. “Saya juga memperlihatkan kepada perwakilan siapa diri saya sebenarnya sebagai seorang yang mudah didekati, mudah diajak berbincang dan ramah,” jelasnya. Mendakwa Beliau mendakwa ramai antara ahli akar umbi hingga kepada Ketua Puteri di peringkat bahagian mengenali beliau. “Setakat ini, alhamdulillah penerimaan ahli akar umbi apabila saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri mendapat sokongan padu,” katanya lagi, Mas Ermieyati menegaskan misi beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti kali ini adalah untuk memperkasakan wanita muda iaitu Puteri Umno sebagai ejen survival perjuangan parti. “ Visi saya pula ialah menyediakan dan menggerakkan wanita muda itu supaya lebih setia dan ikhlas dalam perjuangan parti di samping membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya. Selain itu, beliau ingin perjuangkan isu-isu yang dialami wanita muda dan pendekatan yang beliau lakukan ialah menggalakkan lebih ramai wanita muda menyertai Puteri. “Saya akan fokuskan mereka di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) kerana mereka adalah pengundi muda untuk Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya lagi.

Khamis, Oktober 10, 2013

SETIAUSAHA POLITIK KATA PM BODOH

KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh. Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri. “Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut. Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan. Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said. “Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau. Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu. Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu. “Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin. Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said. “Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.

Rabu, Oktober 09, 2013

EMPAT ORANG TAK LAYAK BERTANDING DI KEMAMAN

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Pemilihan UMNO Terengganu menyenaraikan 42 daripada keseluruhan 1,567 calon di lapan bahagian UMNO di negeri ini tidak layak bertanding peringkat bahagian dan sayap. Pengerusinya, Datuk Muda Mamat berkata, bahagian Setiu mencatat angka tertinggi iaitu sembilan calon diikuti Kuala Nerus (lapan), Besut (tujuh), Hulu Terengganu (lima), Kuala Terengganu (lima), Kemaman (empat), Dungun (dua) dan Marang (dua). Katanya sebahagian besar daripada 42 calon yang gagal melayakkan diri bertanding terlibat dengan masalah jaminan pinjaman dan muflis yang tidak disedari calon. "Kalau sah tidak lepasi saringan Jabatan Insolvensi dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), terlibat berkaitan jenayah, khalwat dan sebagainya, mereka secara automatiknya akan digugurkan daripada bertanding," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan menjelang pemilihan UMNO. Pemilihan bagi tiga sayap parti diadakan serentak di seluruh negara Sabtu ini, manakala pemilihan peringkat bahagian dan majlis tertinggi 19 Oktober ini. - BERNAMA

Selasa, Oktober 08, 2013

KETUA CAWANGAN HARAP PENIPUAN TIDAK BERULANG

KEMAMAN: Seorang ketua cawangan Umno berharap penipuan yang berlaku sewaktu mengira undi dalam pemilihan Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2008 tidak akan berulang pada pemilihan kali ini, Menurut beliau yang enggan namanya disebut, pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Dungun untuk mengira undi dijangka tidak menimbulkan sebarang penipuan. “Pada tahun 2008, pengira undi dari KEMAS dikatakan bersubahat dengan penyelia kanan KEMAS (si pendek) yang membuat penipuan ketika mengira undi,” kata ketua cawangan itu lagi. Pada tahun 2008, penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Husin tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam dengan majoriti yang kecil. Menurut ketua cawangan tersebut, penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said sebagai hadiah “membunuh” karier politik Mohamed Rahim. “Yang paling mengejutkan banyak kertas undi ditemui dalam bag seorang ahli jawatankuasa wanita,” dakwa ketua cawangan itu lagi. Dalam konspirasi itu, Zahari juga kalah bertanding ahli jawatankuasa Bahagian yang jelas menunjukkan “si pendek” yang melakukan penipuan itu. Calon yang kalah buat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu. Badan itu mengarahkan supaya pemilihan Umno Bahagian Kemaman diadakan semula tetapi wakil perhubungan meminta supaya ia diselesaikan secara baik. Zahari selaku Setiausaha Bahagian sudah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan semula pemilihan tetapi Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menggunakan kuasa vetonya supaya pemilihan itu tidak diadakan semula atas alasan pemilihan semula akan memalukan nama baik Menteri Besar kerana ia berlaku di bahagian Menteri Besar. “Kalau pada tahun 2008, pihak Bahagian sanggup menipu, apa jaminan pemilihan kali ini tiada penipuan?” tanya ketua cawangan itu. Dalam pertandingan 2008, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian. Pada 12 Oktober ini, Shaheda Jusoh mencabar Asfalinda Razak bagi jawatan Ketua Puteri, manakala dua calon merebut jawatan Ketua Pemuda yang kosong, Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim (Along) dengan Fikri Ibrahim (Bulat) dan Che Ku Maznah mencabar Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita. Manakala pada 19 Oktober pula, Mat Dalam Awang (gambar) menentang Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian dan Wan Hakim Wan Mokhtar mencabar Wan Ahmad Nizam Wan Hamid bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Sementara itu Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. “Saya berharap pemilihan pada 12 dan 19 Oktober tidak ada lagi sebarang penipuan,” katanya lagi - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/10/08/umno-kemaman-ketua-cawangan-berharap-penipuan-tidak-berulang/#sthash.u7qumIGi.dpuf

WANG PUNCA PENENTANGAN DI KEMAMAN

KEMAMAN: Wang dikatakan punca penentangan jawatan utama di Bahagian Kemaman. Menurut sumber, Mat Dalam Awang, 60, menentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagia Kemaman berpunca dari wang ehsan. Wang ehsan yang diberi kepada rakyat Terengganu menjelang hari raya Aidilfitri tidak diberi di tiga DUN di Kemaman (Kemasik, Air Putih dan Cukai) tahun ini kecuali di DUN Kijal yang diterajui Ahmad Said. Ini yang menimbulkan kemarahan ahli Umno kepada Ahmad Said dan ia juga menjadi punca kenapa Mat Dalam mencabar Ahmad Said bagi jawatan tersebut. Ahmad Said dikatakan marah kerana BN tewas di DUN Cukai kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala calon BN yang juga Setiausaha Politik Menteri Besr, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid mendapat 10,001 undi. Calon Naib Ketua Bahagian, Wan Hakim Wan Mokhtar yang menentang Wan Ahmad Nizam yang membangkitkan kenapa wang ehsan tidak diberi kepada tiga DUN dalam mesuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman. Membela Dalam pertandingan 19 Oktober ini, Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said manakala Wan Hakim yang juga ADUN Air Putih menentang Wan Ahmad Nizam. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Sementara itu sumber itu menambah wang juga punca ahli jawatankuasa Umno Bahagian, Che Ku Maznah Awang menentang Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman pada 12 Oktober ini. Menurut sumber, Che Ku Maznah pernah membangkitkan isu wang perayu undi sebanyak RM67,000 dari Umno pusat tidak diberi kepada perayu undi di DUN Chukai manakala perayu undi di tiga DUN lain ( Air Putih, Kijal dan Kemasik) sudah dibayar. Senator Rohani berkata wang itu digunakan untuk bayar pengundi luar sedangkan peruntukan pengundi luar sudah ada. Perayu undi wanita yang tidak dibayar punca kekalahan teruk calon BN di DUN Chukai. Sumber itu berkata, Che Ku Maznah menawarkan diri menentang Ketua Wanita adalah untuk membela nasib perayu undi di DUN Chukai yang tidak diberi upah setelah penat berkempen sepanjang pilihanraya umum Mei lalu. Sejauh mana isu wang ini akan mempengaruhi undi calon Ketua Bahagan dan calon Ketua Wanita Bahagian? Jika kedua-dua calon ini menang, ini bermakna penerima wang ehsan di tiga DUN bersetuju mereka tidak diberi wang ehsan oleh kerajaan Terengganu pada tahun ini dan ini bermakna perayu undi wanita di DUN Chukai rela buat kerja tanpa bayaran. - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/10/06/wang-punca-penentangan-di-kemaman/#sthash.x6bUYoAz.dpuf