Selasa, Ogos 06, 2013

SALLEH MASIH BERDIAM DIRI

KOTA BELUD : Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak, yang diwar-warkan mendapat sokongan lebih separuh bahagian UMNO di Sabah untuk bertanding jawatan naib presiden UMNO masih mengambil sikap berdiam diri. Hari ini Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan di sini menjawab teks FMT dengan sekadar berkata: “Tiada apa-apa komen ketika ini”. Kenyataan beliau menimbulkan tanda-tanya kempen politik yang sedang mula hangat diperkatakan di sini kemungkinan beliau akan berentap dengan seorang lagi pemimpin Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertahankan jawatan naib presidennya. Walaupun ramai berpendapat Salleh, juga seorang bekas ketua menteri, dan dilihat penyokong Ketua Menteri sekarang Musa Aman, namun Salleh juga dikatakan tiada masalah hubungan malah sentiasa berhubung dengan Shafie, Ahli Parlimen Semporna itu. Para pemerhati politik tempatan berpendapat Salleh dan Musa sedang menguji keadaan sama ada terdapat sokongan yang kuat kepada rancangan meletakkan dua calon naib presiden dari Sabah kali ini. Ini kerana, menurut beberapa pemimpin UMNO di sini itu bukan perkara mustahil sedangkan Johor juga pernah mengemukakan tiga calon dari negeri itu untuk jawatan naib presiden suatu masa dulu. “Kalau Johor pernah mengemukakan tiga calon Naib Presiden iaitu Hishamudin Hussein, Khalid Nordin dan Syed Hamid Albar, apa salahnya Sabah mengemukakan dua calon Shafie dan Salleh,” hujah beberapa ahli UMNO Sabah. Para pemerhati juga sependapat sekiranya ada sokongan yang baik, maka Salleh akan turut serta bertanding naib. Sebaliknya jika kelak sokongan tidak seberapa, pemimpin UMNO itu dijangka bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja, dan berharap mendapat undi yang tinggi. “Salleh seorang veteran politik UMNO tidak akan membiarkan dirinya sebagai bidak semata-mata kepada seseorang, beliau sendiri mahu menjadi raja umpama dalam permainan catur,” kata seorang pemerhati politik Sabah sambil menambah Salleh tidak akan berani bertanding jawatan itu jika tahu peluang meraih undi sangat tipis. Sebaliknya, menurut beberapa pemimpin UMNO, Salleh berkemungkinan mendapat sokongan dari beberapa negeri di Semenanjung sebagai “persiapan” percaturan politik negeri Sabah pada masa terdekat. “Ada juga pihak di Semenanjung tidak mahu soal kepimpinan UMNO Sabah ini selalu dikaitkan dengan hanya dua personaliti berkuasa, Musa dan Shafie, mungkin perlu ada pihak ketiga, begitulah kebiasaan percaturan dalam politik,” kata seorang pemerhati. Menurut beliau, para pemimpin bahagian UMNO di Sabah juga sudah mula “menari” ikut rentak dengan sesetengah bahagian menyatakan sokongan kepada Salleh tetapi pada masa yang sama menyokong hasrat Shafie mempertahankan jawatannya. “Semua mereka ada kepentingan dalam percaturan UMNO ini. Banyak senario boleh anda bayangkan ekoran penyertaan Salleh dan Shafie bertanding naib presiden ini. “Katakan menjadi, dan kedua-dua Salleh dan Shafie kalah, siapalah yang untung di Sabah? Kalau kedua-dua mereka pula menang, siapalah yang akan terasa tergugat? Mungkin mereka semua ada formula cuba mencapai suatu kedudukan yang lebih kukuh, tak mungkin untuk mencapai kedudukan yang rapuh,” hujahnya lagi. Apa pun, di Sabah, ramai berpendapat ia merupakan pertembungan antara Musa dan Shafie. Salleh berada di tengah-tengah sedang memikirkan untung nasib terus memberikan khidmat bakti kepada parti kesayangannya UMNO dan para pengikutnya sendiri.