Selasa, Ogos 06, 2013

PELUANG SHAFIE TIDAK TERJEJAS

SANDAKAN: Bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal menolak dakwaan penyertaan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dalam pertandingan Naib Presiden Umno pada 5 Oktober ini akan menjejaskan peluang Menteri Pembangunan Luar Bandar,Datuk Seri Shafie Afdal. Katanya, undi Shafie tidak terjejas kerana sebagai menteri, beliau dikenali di seluruh negara. “Sebaliknya Salleh yang sudah lama tidak berada dalam majlis tertinggi Umno kena bekerja kuat jika beliau mahu menang dalam pertandingan tersebut,” katanya mengulas kemungkinan Salleh turut bertanding merebut kerusi itu. Salleh yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 1996-1999 dan 1999-2004. “Perwakilan yang memenangkan Salleh pada tahun 1999 sudah ramai yang tidak jadi perwakilan sekarang. Tambahan pula perwakilan dahulu seramai 2,500 orang sudah meningkat kepada 150,000 orang. Maka Salleh perlu kerja kuat jika beliau mahu menang,” katanya lagi. Namun demikian beliau menambah Salleh yang kini adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah tidak perlu bimbang kerana semua penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Shafie juga mengejar undi daripada 150,000 orang perwakilan. Sehingga ini Shafie dan Zahid sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatan manakala Hishamudin masih membisu. Tan Sri Isa Samad sudah memberitahu jenteranya akan bertanding tetapi Salleh masih berdiam diri. Sapari yakin ia tidak akan menjejaskan undi dari Sabah walaupun dua calon bertanding dari negeri itu. “Mereka perlu cari undi dari Semenanjung untuk menang. Jadi berapa orang calon dari Sabah bertanding tidak akan memberi kesan kepada mereka kerana majoriti pengundi terletak di Semenanjung,” katanya lagi.