Selasa, Ogos 06, 2013

SOKONGAN BUAT SALLEH KIAN MENINGKAT

KOTA KINABALU: Sungguhpun Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak belum lagi mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 5 Oktober ini tetapi sokongan kepada beliau semakin meningkat. Sehingga kini 15 Bahagian di Sabah sudah menyokong hasrat Salleh itu iaitu Tenom, Tuaran, Pensiangan, Keningau, Kota Belud, Sipitang, Sandakan, Batu Sapi, Kinabatangan, Sepanggar, Penampang,Beaufort, Papar, Kalabakan dan Kudat. Umno Sabah mempunyai 25 Bahagian. Sungguhpun 15 Bahagian ini menyokong hasrat Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri bertanding, mereka juga menyokong hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Afdal mempertahankan jawatan. Menurut sumber, kemasukan Salleh bukannya mahu menipiskan peluang Shafie mempertahankan jawatan tetapi ia adalah untuk menawarkan seorang lagi calon dari Sabah. “Kalau Johor pernah mengemukakan tiga calon Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishamudin Hussein, Datuk Khalid Nordin dan Datuk Seri Syed Hamid Albar, apa salahnya Sabah mengemukakan dua calon Shafie dan Salleh,” hujah sumber. Sehingga ini tiga calon sudah mengesahkan akan bertanding iaitu Shafie, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Isa Samad. Sumber itu menambah bekas Ketua Menteri Sabah itu pernah memenangi kerusi ahli majlis tertinggi Umno selama dua penggal. “Beliau sudah ada sokongan dari seluruh negara. Maka tidak ada sebab perwakilan tidak mengundi Salleh jika beliau berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden Umno,” kata sumber itu lagi.(dipetik dari freemalaysiatoday)