Selasa, Ogos 06, 2013

UMNO TUARAN SOKONG SALLEH

Umno Bahagian Tuaran sedia menyokong Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak jika beliau berhasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Menurut Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Aliasgar Basri Salleh bukan orang baru dalam politik maka beliau wajar bertanding jawatan nombor tiga itu kerana beliau pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno selama dua penggal. “Rangkaiannya di seluruh negara ramai kerana beliau pernah menjadi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Maka saya menyokong penuh hasratnya untuk bertanding,” katanya kepada FMT. Beliau yang pernah menjadi ahli majlis tertinggi Persatuan Belia Sabah (SANYA) bersama Salleh ketika Salleh mengetuai SANYA. “Jika bekas Ketua Menteri Sabah itu menawarkan diri maka ia bukanlah berniat untuk menyekat kemenangan calon penyandang dari Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal tetapi ia bertujuan untuk memberi pilihan kepada 150,000 orang perwakilan dari seluruh negara untuk memilih Naib Presiden Umno yang terbaik,” tegasnya. Sehingga ini tiga calon sudah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut. Mereka ialah Shafie Afdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Isa Samad. Manakala seorang lagi penyandang jawatan, Datuk Seri Hishamudin masih belum membuat pengumuman. Salleh juga masih membisu sama ada beliau akan bertanding atau tidak. “Saya percaya jika dua calon bertanding dari Sabah di peringkat Naib Presiden Umno, ini bermakna Sabah tidak ketandusan calon untuk diketengahkan sebagai pemimpin nombor tiga di peringkat nasional,” kata Aliasgar Basri yang sama sekali tidak kecewa tidak dipilih sebagai calon BN di DUN Sulaman baru-baru ini menggantikan ketua bahagiannya, Datuk Hajiji Mohd. Noor (dipetik dari freemalaysiatoday.com)