Selasa, Ogos 06, 2013

ADIK MUSA SOKONG MUSA TANDING

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bercanggah pendapat dengan abangnya Datuk Ayub Aman mengenai sama ada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman patut bertanding jawatan Naib Presiden Umno atau tidak. Ayub yang juga abang sulung Musa dan Anifah mahu Musa mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno sahaja tetapi adiknya, Anifah optimis bahawa Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah akan menerima sokongan padu daripada Umno Sabah sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini. Dalam FMT semalam, Ayub berpendapat Musa patut bertanding kerusi ahli majlis tertinggi sahaja kerana beliau tidak bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya Anifah percaya sekiranya ketua menteri mahu bertanding jawatan naib presiden, beliau pasti Musa akan mendapat sokongan padu dari Sabah, Anifah, adik Musa, diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said pada Sabtu bahawa Musa adalah pilihan tepat dari negeri ini untuk bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden. Salleh dipetik sebagai berkata bahawa Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, seorang pemimpin yang berwawasan dan berpengalaman dengan kualiti kepimpinan baik. “Setiap orang mempunyai pendapat sendiri tetapi saya tidak fikir setiap orang dalam parti berhak untuk bertanding.Apa pun, ketua menteri akan buat keputusan — apa yang terbaik untuk parti dan apa yang terbaik untuk rakyat,” kata Anifah di majlis berbuka puasa di kementeriannya malam tadi. Pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini, BN Sabah diterajui Musa, mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri. BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan. Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan di peringkat Majlis Tertinggi Umno, Anifah berkata kemungkinan tidak kerana beliau akan mendapati agak sukar untuk membahagikan masa sebagai menteri kabinet dan mengendalikan hal ehwal parti. Katanya beliau juga tidak pasti sama ada akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kimanis.