Selasa, Ogos 06, 2013
ABANG MUSA TAK SETUJU MUSA TANDING NAIB PRESIDEN UMNO
KOTA KINABALU: Pemimpin yang bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri wajar bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Menurut bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Ayub Aman (gambar) jawatan Naib Presiden Umno adalah langkah pertama sebelum bertanding jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya jawatan Presiden parti.
“Kalau setakat mahu jadi Ketua Menteri Sabah, tak payahlah Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Naib Presiden Umno,” kata beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak bahawa Musa adalah calon yang paling sesuai bertanding jawatan tersebut.
Semalam Salleh berpendapat Musa yang memimpin BN Sabah menang dengan majoriti dua pertiga wajar diketengahkan sebagai calon Naib Presiden Umno.
Ayub yang juga abang Musa berpendapat adiknya itu hanya wajar mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno sahaja.
“Saya pun tak pernah terfikir adik saya akan jadi Ketua Menteri kerana beliau diminta aktif dalam Usno sedangkan Usno ketika itu adalah parti pembangkang di Sabah,” katanya yang pernah menjadi menteri di zaman kerajaan Berjaya (1976-1995).
Selain Ayub dan Musa aktif dalam politik, seorang lagi adiknya Anifah Aman adalah Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar.
Menurut Ayub lagi, Ketua Menteri atau Menteri Besar tak perlu tanding jawatan Naib Presiden Umno kecuali beliau mahu jadi nombor satu.
“Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pernah jadi Naib Presiden Umno tetapi akhirnya tak ke mana juga,” katanya.
Katanya, dalam sejarah Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin seorang Menteri Besar yang berjaya jadi Timbalan Presiden Umno kerana beliau menang Naib Presiden Umno pada tahun 1993 ketika masih jadi Menteri Besar Johor.
“Oleh itu, bagi saya, Musa yang tak pernah berhasrat jadi nombor satu negara tak payah bertanding jawatan Naib Presiden Umno,” tegasnya.(dipetk dari freemalaysiatoday)