Selasa, Ogos 06, 2013
NAJIB TAK PERLU BERUNDUR
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tak perlu berundur walaupun BN tidak dapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu.
Menurut ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, walaupun prestasi Najib (133 kerusi) lebih teruk dari prestasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (140 kerusi) pada pilihanraya umum 2008 tetapi Umno menang besar kali ini.
“Maka senario yang dihadapi Pak Lah tak sama dengan Najib,” kata beliau dalam satu wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT Jumaat lalu.
Sebaliknya, katanya, apa yang berlaku pada tahun 2008 menyebabkan BN “terkejut badak” kerana BN tak pernah gagal dapat majoriti dua pertiga.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menambah pada pilihanraya umum lalu BN tidak mengharapkan kemenangan besar.
“Maka BN tetap menang walaupun tidak dapat majoriti dua pertiga,” katanya.
Beliau tidak nampak Najib akan dicabar dalam pertandingan Presiden Umno pada 5 Oktober nanti.
Katanya, Najib lebih terbuka kerana berani menghapuskan kuota pencalonan yang membolehkan sesiapa sahaja mencabar kedudukannya sebagai Presiden Umno.
“Najib sejak tahun 1978 sentiasa berada dalam kerajaan, maka beliau mempunyai kelebihan untuk mempertahankan jawatan berbanding Pak Lah yang pernah ada cuti sabastikal (tidak berada dalam kabinet selama tiga tahun),” katanya lagi.
Saifuddin menambah satu lagi kelebihan Najib ialah beliau pernah jadi Ketua Pemuda Umno manakala sebahagian besar Ketua Bahagian sekarang adalah bekas ketua pemuda di zamannya.
“Oleh itu saya tak nampak beliau akan dicabar. Tambahan pula ahli-ahli Umno merasakan gandingan Najib-Tan Sri Muhyidin Yasin adalah gandingan yang paling baik untuk menghadapi perang besar pada tahun 2018,” katanya lagi.