Memaparkan catatan dengan label diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label diri. Papar semua catatan

Ahad, April 24, 2016

GHAFAR MERENDAH DIRI DAN LEMBUT HATI - KU LI

MELAKA, 23 April (Bernama) -- Tun Abdul Ghafar Baba dikenang sebagai tokoh politik yang cemerlang dalam generasinya kerana sifatnya yang merendah diri dan lembut hati, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.


Tengku Razaleigh, yang juga teman karib kepada bekas timbalan perdana menteri itu berkata senario politik UMNO tidak lagi sama selepas pemergian beliau.

"Walaupun Che Ghafar (Abdul Ghafar) kelihatan jarang senyum beliau tetapi ia tidak mencerminkan sifatnya yang peramah. Sememangnya beliau suka bergurau di kalangan rakan-rakannya. Kebijaksanaan beliau membuktikannya.

"Beliau mencerminkan kegigihan berpolitik dan contoh aktivis urat saraf UMNO) dalam tahun-tahun 1980-an, " kata beliau.

Tengku Razaleigh berkata demikian semasa berucap pada majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit di sini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, presiden dewan negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Menteri Wilayah Persekutua Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dan anak lelaki Abdul Ghafar, Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Tengku Razaleigh berkata satu daripada sifat Abdul Ghafar ialah kelembutan hatinya dan sentiasa peka terhadap masyarakat di sekelilingnya terutama mereka yang dekat di hatinya.

"Che Ghafar sayangkan Tun Razak (bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein) dan percaya Tun Razak akan memimpin negara ke arah mencapai banyak kejayaan, apabila saya memberitahunya bahawa Tun Razak telah meninggal dunia, beliau menangis seperti budak kecil dan berkata "apa nak jadi kepada kita ini" dan ini menunjukkan kepercayaanya kepada Tun Razak," kata beliau.

Kali pertama beliau bertemu Abdul Ghafar ialah pada 1962 semasa kedua-dua mereka berjuang untuk UMNO pada pilihan raya kecil Rantau Panjang. Abdul Ghafar berusia 37 tahun ketika itu sementara Tengku Razaleigh baru berusia 25 tahun.

"Pada suatu malam kami tidak dapat pulang ke Rantau Panjang kerana ahli politik pembangkang telah merobohkan jambatan yang sepatutnya kami lalui, jadi kami terpaksa berjalan kaki di landasan kereta api menggunakan lampu suluh, kami mula berbual dan dari situlah bermulanya persahabatan antara kami berdua," kata beliau.

Sementara itu,Mohd Tamrin ketika berucap pada majlis itu berterima kasih kepada semua pemimpin yang telah menjadi sahabat dan rakan seperjuangan kepada ayahanda beliau.

-- BERNAMA

Selasa, Ogos 06, 2013

SALLEH MASIH BERDIAM DIRI

KOTA BELUD : Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak, yang diwar-warkan mendapat sokongan lebih separuh bahagian UMNO di Sabah untuk bertanding jawatan naib presiden UMNO masih mengambil sikap berdiam diri. Hari ini Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan di sini menjawab teks FMT dengan sekadar berkata: “Tiada apa-apa komen ketika ini”. Kenyataan beliau menimbulkan tanda-tanya kempen politik yang sedang mula hangat diperkatakan di sini kemungkinan beliau akan berentap dengan seorang lagi pemimpin Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertahankan jawatan naib presidennya. Walaupun ramai berpendapat Salleh, juga seorang bekas ketua menteri, dan dilihat penyokong Ketua Menteri sekarang Musa Aman, namun Salleh juga dikatakan tiada masalah hubungan malah sentiasa berhubung dengan Shafie, Ahli Parlimen Semporna itu. Para pemerhati politik tempatan berpendapat Salleh dan Musa sedang menguji keadaan sama ada terdapat sokongan yang kuat kepada rancangan meletakkan dua calon naib presiden dari Sabah kali ini. Ini kerana, menurut beberapa pemimpin UMNO di sini itu bukan perkara mustahil sedangkan Johor juga pernah mengemukakan tiga calon dari negeri itu untuk jawatan naib presiden suatu masa dulu. “Kalau Johor pernah mengemukakan tiga calon Naib Presiden iaitu Hishamudin Hussein, Khalid Nordin dan Syed Hamid Albar, apa salahnya Sabah mengemukakan dua calon Shafie dan Salleh,” hujah beberapa ahli UMNO Sabah. Para pemerhati juga sependapat sekiranya ada sokongan yang baik, maka Salleh akan turut serta bertanding naib. Sebaliknya jika kelak sokongan tidak seberapa, pemimpin UMNO itu dijangka bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja, dan berharap mendapat undi yang tinggi. “Salleh seorang veteran politik UMNO tidak akan membiarkan dirinya sebagai bidak semata-mata kepada seseorang, beliau sendiri mahu menjadi raja umpama dalam permainan catur,” kata seorang pemerhati politik Sabah sambil menambah Salleh tidak akan berani bertanding jawatan itu jika tahu peluang meraih undi sangat tipis. Sebaliknya, menurut beberapa pemimpin UMNO, Salleh berkemungkinan mendapat sokongan dari beberapa negeri di Semenanjung sebagai “persiapan” percaturan politik negeri Sabah pada masa terdekat. “Ada juga pihak di Semenanjung tidak mahu soal kepimpinan UMNO Sabah ini selalu dikaitkan dengan hanya dua personaliti berkuasa, Musa dan Shafie, mungkin perlu ada pihak ketiga, begitulah kebiasaan percaturan dalam politik,” kata seorang pemerhati. Menurut beliau, para pemimpin bahagian UMNO di Sabah juga sudah mula “menari” ikut rentak dengan sesetengah bahagian menyatakan sokongan kepada Salleh tetapi pada masa yang sama menyokong hasrat Shafie mempertahankan jawatannya. “Semua mereka ada kepentingan dalam percaturan UMNO ini. Banyak senario boleh anda bayangkan ekoran penyertaan Salleh dan Shafie bertanding naib presiden ini. “Katakan menjadi, dan kedua-dua Salleh dan Shafie kalah, siapalah yang untung di Sabah? Kalau kedua-dua mereka pula menang, siapalah yang akan terasa tergugat? Mungkin mereka semua ada formula cuba mencapai suatu kedudukan yang lebih kukuh, tak mungkin untuk mencapai kedudukan yang rapuh,” hujahnya lagi. Apa pun, di Sabah, ramai berpendapat ia merupakan pertembungan antara Musa dan Shafie. Salleh berada di tengah-tengah sedang memikirkan untung nasib terus memberikan khidmat bakti kepada parti kesayangannya UMNO dan para pengikutnya sendiri.

Sabtu, April 23, 2011

DUA BEKAS PEMIMPIN PKR DIPERINTAH BELA DIRI


Dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan mereka daripada tuduhan rasuah tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng dalam penghakiman lisannya memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Usaili Alias mengemukakan pembelaan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menolak rayuan SPRM ke atas tiga lagi tertuduh iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan dan ahli perniagaan, Fairul Azrim Ismail kerana kekurangan bukti.

Say Eng juga menerima permohonan peguam bela Usaili, Surjan Singh supaya kes tersebut didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang sama, Azhaniz Teh Azman Teh dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei ini.

Azhaniz Teh pada 23 April lalu, melepas dan melepaskan Mohd. Osman, Usaili, Jamaluddin, Zul dan Fairul Azrim daripada 16 tuduhan rasuah membabitkan projek pembangunan Pusat Bandar Baru Seri Iskandar selepas pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Exco kerajaan negeri Perak, Restoran Kluang Stesen Cafe di sini dan Aquarias Restaurant & Bar, Summit Hotel, Bukit Mertajam di Pulau Pinang di antara 12 Ogos hingga 19 Ogos 2008.

Mohd. Osman dan Jamaluddin keluar dari pakatan pembangkang dan menjadi ADUN Bebas pada 2009.