SERONOK mata memandangnya. Sentiasa tersenyum, sisipan lesung pipit di pipi begitu menarik perhatian. Malah khabarnya gadis berasal dari Ipoh ini juga mempunyai ramai peminat lelaki!
Manakan tidak, penampilan dan kebijaksanaannya membuang kelaziman pandangan orang ramai terhadap seorang qariah kebangsaan.
Bibir yang tidak pernah dibiar pucat, pilihan pakaian yang berwarna ceria dan petah menjawab soalan, naib johan Akademi Al-Quran musim ketiga TV9, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman, 25, memiliki banyak kelebihan. Beliau memenangi johan qariah peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Bagi saya, biarlah melawan arus, daripada melawan akidah. Tentang pilihan berpakaian atau berfesyen, tepuk dada tanya selera. Apa yang penting ialah keikhlasan. Tuhan saja yang tahu keikhlasan kita," jawabnya tenang.
Tidak mengikuti pendidikan formal dalam pengajian Islam, anak kedua daripada tiga adik-beradik ini tidak pula melatah apabila ada yang mempersoalkan 'qariah bekerja di Astro?'
"Kalau bekerja dalam bidang sekular tidak semestinya seseorang itu tidak tahu mengaji. Begitu juga sebaliknya," katanya.
Pemegang Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini sekarang bertugas sebagai pegawai di Jabatan Perkhidmatan Pelanggan di Pusat Penyiaran Asia Astro di Bukit Jalil.
Duduk berbual dengannya, nyata anak perempuan tunggal pasangan Syed Mohd. Badiuzzaman Al Yahya dan Zauyah Ahmad ini masih terkenangkan arwah bapanya.
Syed Mohd. Badiuzzaman baru pulang ke rahmatullah pada hari ketiga Ramadan lalu.
"Selama ini walid (bapa) menemani saya ke semua tilawah yang saya sertai. Dialah yang mula-mula mengajar saya mengaji dan mengesan bakat saya untuk bertaranum.
"Dia jugalah yang mendorong saya menyertai Akademi Al-Quran. Bukan kerana hadiah, tetapi kerana di dalamnya ada pembelajaran qiraati yang saya belum pelajari," kongsi Sharifah Khasif.
Kematangan yang terserlah pada bait pertuturannya rupa-rupanya datang dari era hidupnya sejak berumur empat tahun.
"Arwah walid seorang yang sangat garang. Saya takut padanya. Semasa bermain di laman rumah, kalau saya dan abang terdengar bunyi enjin motor walid, walaupun masih jauh, kami akan lari bertempiaran masuk ke dalam rumah.
"Kerana kalau dirotan walid, kami akan ingat rasanya sampai bila-bila," ujar Sharifah Khasif.
Fasih berbahasa Arab, si manis, bersama-sama abang sulungnya, sudah dilatih untuk mengaji lima kali sehari.
"Kami mengaji setiap kali selepas solat. Walid sangat bersungguh-sungguh melatih kami mengaji kerana minatnya yang mendalam dalam pengajian al-Quran.
Idolanya ialah qari dan qariah Allahyarham Datuk Ismail Hashim dan Datuk Rogayah Sulong.
"Walid sehinggakan sanggup pulang dari tempat kerja dan hantar kami pergi mengaji di masjid dan pondok-pondok. Kemudian dia pergi bekerja semula.
Hasilnya, pada hari ini tujuh jenis taranum dikuasai Sharifah Khasif, termasuklah bayati, soba, nahwand, rast, sikah, hijaz, dan jiharkah.
Walaupun mengakui takut setiap kali berdepan dengan bapanya, Sharifah Khasif bagaimanapun merasakan kehilangan yang besar berikutan pemergian bapanya itu.
"Sebenarnya, apa yang walid ajar dan katakan adalah baik untuk saya," ungkapnya sambil sekali-sekala menyeka air mata yang hampir tumpah.
Mengingati arwah bapanya, kata Sharifah Khasif, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk membaca al-Quran.
"Ini perjuangan walid. Walaupun saya yang membacanya, walid juga akan mendapat manfaatnya," ujarnya.
Mengakui mempraktik taranum adalah jauh lebih sukar berbanding menyanyi kerana ia perlu mengutamakan hukum tajwid, walkman menjadi alat yang dikelek ke sana ke mari sepanjang beliau belajar.
"Melalui walkman, saya dapat mencari kesilapan sendiri dan memperbaikinya untuk pembelajaran yang seterusnya. Ia alat yang paling penting," katanya yang begitu meminati taranum nahwand.
Sharifah Khasif menjadi johan tilawah kebangsaan Tenaga Nasional ketika berumur tujuh tahun.
Rentetan daripada itu, namanya terus mengisi rekod pencapaian dalam majlis-majlis tilawah. Beliau sehinggakan pernah menerima jolokan pelapis Datuk Rogayah Sulong.
Ketika usia mencecah 12 tahun, Sharifah Khasif meraih kejuaraan dalam Tilawah Sekolah-sekolah Malaysia. Hadiah daripada kemenangan itu membolehkan beliau mengerjakan ibadat haji pada usia yang sangat muda.
"Sepanjang saya bertanding, saya tidak pernah mengambil tahu tentang hadiah yang ditawarkan. Saya sekadar menyertai dan mengaji.
"Hadiah kemenangan, saya hanya ketahui setelah pihak penganjur mengumumkannya semasa majlis penyampaian hadiah," imbaunya yang menjadi naib johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada tahun lepas.
Malah melalui hadiah-hadiah yang dimenanginya itulah Sharifah Khasif mampu membawa ibu, bapa dan abangnya pergi mengerjakan haji, membina rumah yang baik untuk mereka dan membeli kereta untuk kegunaan sekeluarga.
Majlis khatam al-Quran pada bulan Ramadan adalah acara tahunan keluarganya.
Tidak pernah sekali pun dalam hayat beliau tidak dapat mengkhatam al-Quran melainkan semasa beliau menerima jemputan memperdengarkan bacaan di Iran pada tahun 2005.
"Kebetulan pula waktu itu bulan Ramadan. Kerana sibuk memenuhi undangan, saya tidak sempat menghabiskan kesemua 30 juzuk. Walid marah tapi saya ke sana pun untuk mengaji," katanya.
Bersiap sedia untuk berhari raya, Sharifah Khasif, pada tahun ini beraya dengan empat pasang baju baru.
"Ini tahun pertama beraya tanpa walid. Sedih mengenangkannya, tetapi kami perlu teruskan hidup. Jadi kami beraya ala kadar saja," jelasnya yang sebelum ini lazimnya beraya dengan lima pasang baju.
Masjid Negeri Perak menjadi destinasi setiap solat Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga. Hidangan wajib ada di meja pula ialah lemang, ketupat, dan rendang daging.