Ahad, September 27, 2009

NIK AZIZ JADI TUHAN?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menjadi Tuhan kerana menghukum solat ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali tidak diterima oleh Allah.

Dia yang dahulunya yang menentukan orang masuk syurga kerana katanya orang UMNO tidak boleh masuk syurga kini mengeluarkan kenyataan bahawa amal soleh Ibrahim tidak diterima Tuhan jika dia tidak meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulangi gesaan agar Ibrahim Ali melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Aziz sendiri tidak faham konsep ahli parlimen bebas. Apa yang dibuat oleh Ibrahim adalah betul kerana sebagai ahli parlimen bebas ,dia bebas menegur sesiapa sahaja sama ada orang PAS atau orang UMNO atau orang PKR atau orang DAP. Cuma dia menggunakan platform PAS untuk bertanding pada pilihan raya umum 2008 membuktikan betapa cerdiknya Ibrahim Ali sebagai ahli politik.

Jika beliau bertanding tiga penjuru di antara calon BN, PAS dan beliau, sudah tentu beliau kalah. Tetapi apabila beliau berunding dengan PAS supaya beri laluan kepadanya tanding atas tiket PAS walaupun beliau adalah calon Bebas, ini menunjukkan politik Ibrahim adalah seorang yang licik. Ibrahim sudah tiga kali menang di Pasir Mas bertanding di atas parti yang berbeza pada tahun 1986 menang atas tiket BN, 1990 menang atas tiket Semangat 46 dan 2008 menang atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’

Katanya, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket Pas dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

“Baik dia letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang Pas yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz ini adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.

Sementara itu Ibrahim Ali mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

Beliau sebaliknya mendesak Nik Abdul Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka kerana gagal melaksanakan tugas walaupun telah diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun menerajui negeri ini.

Katanya, Mursyidul Am Pas itu tidak berhak untuk mendesaknya melepaskan jawatan kerana kemenangannya pada pilihan raya umum lalu diberikan oleh penduduk Pasir Mas dan parti hanya menjadi landasan untuk berbakti.

“Kenapa saya perlu meletak jawatan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan, apa yang dia buat sejak memerintah Kelantan pada 1990? Tidak ada perubahan langsung.

“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini.

“Saya tidak makan duit haram, semua elaun saya sebagai Ahli Parlimen saya kembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan susah kerana kerajaan negeri tidak membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pasir Mas di Kota Bharu semalam.