Rabu, Oktober 11, 2017

ADIK SHAFIE APDAL DITAHAN SPRM?

KOTA KINABALU, 10 Okt (Bernama) -- Adik kepada bekas menteri persekutan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah yang dianggarkan lebih RM1.5 bilion antara tahun 2009 hingga 2015.

Menurut sumber, lelaki berumur 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira 10.30 malam ini ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Terdahulu, SPRM menggeledah rumah adik bekas menteri persekutuan itu di Putatan dekat sini bermula 2.30 petang hingga 6 petang tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah individu yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan isu itu ialah seramai tujuh orang.

Selasa, Oktober 10, 2017

HARGA KEMBUNG MAHAL KERANA KURANG DI JETI PENDARATAN

KEMAMAN, 9 Okt (Bernama) -- Kekurangan ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal sejak akhir-akhir ini, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata tinjauan yang dilakukan di jeti pendaratan mendapati harga kembung memang meningkat dan kebanyakannya ditetapkan pada harga RM12 sekilogram.


"Kalau ikan kurang di tempat pendaratan, ertinya harga ikan akan naik. Jadi sukar untuk saya memaksa nelayan (menjual dengan harga murah seperti biasa) kerana waktu ikan kurang, mereka terpaksa pergi jauh ke laut dan menggunakan minyak (enjin) yang lebih, menggunakan tenaga yang lebih, tiba-tiba orang meminta saya mengawal harga pendaratan ikan.

"Apabila kurang ikan semasa pendaratan, maka kita kena akui (harga menjadi mahal) kerana kos untuk nelayan pergi ke laut lebih tinggi, tidak termasuk lagi musim yang tidak menentu, laut yang bergelora dan cabaran serta kemungkinan bahaya yang nelayan perlu lalui," katanya kepada pemberita.

Beliau meninjuau program Gotong Royong Perdana di tapak lokasi Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kerteh di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pemborong dan peruncit juga mempunyai risiko tertentu dan pastinya mereka turut mengambil margin keuntungan yang sekali gus menjadikan harga kembung yang dijual pada pembeli sedikit mahal.

"Sekarang telah masuk bulan Oktober dan laut mula bergelora yang menyebabkan harga ikan kembung telah naik dan kemungkinan ikan-ikan lain juga akan naik. Ia mengikut kaedah ekonomi iaitu sebagai contoh, kalau harga cawan naik, maha harga piring juga akan mengikut sama," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini masih belum terdapat teknologi yang membolehkan ikan kembung diternak seperti ikan siakap, tilapia dan sebagainya yang boleh menjadikan harganya stabil sepanjang masa.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 09, 2017

RUGINYA JIKA ANAK MUDA PASIF POLITIK

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Penjelasan harus diberikan kepada anak-anak muda bagi membetulkan persepsi mereka terhadap politik dan mengelak mereka terus bersikap pasif politik, kata Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dalam catatan terkini sskeruak.blogspot.com, Salleh melahirkan rasa sedih apabila statistik
Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan lebih empat juta rakyat Malaysia belum mendaftar sebagai pengundi dengan majoritinya golongan muda berusia 21 tahun.

"Terfikir saya ruginya jika anak muda pasif politik. Jika tidak minat politik adalah faktornya, persepsi ini perlu segera diperbetulkan.

"Anak muda tidak boleh seperti ini kerana merekalah yang mencipta masa depan negara. Masa masih ada dan anak muda perlu ditarik sekarang untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Salleh turut memetik Survei Merdeka Centre yang mendapati anak muda pasif politik berdasarkan beberapa faktor termasuk terlalu sibuk dengan kerja, muak dengan permainan politik golongan tua, merasakan mengundi tidak membawa apa-apa faedah dan tidak percaya kepada ahli politik.

"Kajian lain oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia menambah lagi faktor di atas. Mengejutkan ialah anak muda merasakan kepentingan mereka diabaikan oleh ahli politik dan anak muda bercelaru dengan keadaan politik semasa.

"Mereka tidak percaya dengan institusi politik negara. Mereka bosan. Pandangan di atas perlu diberi perhatian," katanya.

Justeru, kata Salleh parti politik perlu tampil berkempen bagi menarik golongan muda supaya aktif politik.

Ini kerana katanya negara memerlukan anak muda untuk kejayaan masa depannya kerana jiwa muda adalah jiwa yang kuat, bertenaga dan berwawasan.

-- BERNAMA

Sabtu, Oktober 07, 2017

RISSMART DAPAT TINGKATKAN PENDAPATAN USAHAWAN

IPOH, 7 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin cadangan mewujudkan RISDA Smallholders Mart (RisSmart) di setiap kawasan Parlimen dalam meningkatkan pendapatan usahawan Bumiputera di seluruh negara menjelang 2020, mampu direalisasikan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawannya, Halimah Abd Kadir berkata cadangan itu dilihat relevan memandangkan jumlah usahawan Bumiputera yang berdaftar dengan RISDA sentiasa meningkat pada setiap tahun.

Beliau berkata meskipun cadangan penubuhan RisSmart itu bakal menelan belanja agak besar, kerjasama dan sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta mampu untuk menjayakannya.

"Untuk merealisasikan kewujudan RisSmart di setiap Parlimen, kita kena pastikan terlebih dahulu ia diwujudkan di setiap negeri, mengambil kira sepertimana sasaran ditetapkan sebelum ini.

"Kita yakin sekiranya di peringkat negeri berjaya, perluasan cadangan membina RisSmart di seluruh Parlimen juga akan berjaya jika semua agensi berkaitan memberi sokongan penuh," katanya selepas menghadiri Karnival Usahawan RISDA peringkat Perak 2017 di Terminal Bas Amanjaya, di sini hari ini.

Terdahulu, karnival itu dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan kewujudan RisSmart di setiap Parlimen menjelang 2020, bakal menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu kepada RISDA dalam meningkatkan daya saing dan membantu usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka.

Halimah berkata setakat ini, terdapat 13 RisSmart di seluruh negara kecuali Sarawak yang berfungsi sebagai pusat sehenti dalam memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti makanan, kraftangan, salon dan sebagainya.

"Sambutan diterima juga amat menggalakkan kerana perkhidmatan yang kita tawarkan luas dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman," katanya.



Sementara itu Pengarah RISDA Perak, Fikri Ghani berkata cadangan penubuhan RisSmart di setiap Parlimen mampu mempromosi dan memperluaskan jaringan perniagaan usahawan Bumiputera itu.

"Di Perak, hanya ada satu RisSmart di terminal bas Amanjaya di sini, yang beroperasi pada 1 Mei lepas, melibatkan 17 usahawan yang bersama-sama memasarkan produk jualan mereka.

"Bayangkan kalau ia diperluaskan ke peringkat Parlimen, tidak mustahil lebih banyak usahawan Bumiputera yang berdaftar di bawah RISDA mampu memasarkan produk masing-masing," katanya.

Jumaat, Oktober 06, 2017

JAGUNG BIJIAN MAMPU JADI SUMBER KEKAYAAN BAHARU

LABIS, 6 Okt (Bernama) -- Tanaman Jagung bijirin mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara pada masa akan datang apabila ia terbukti sesuai ditanam di mana-mana tempat di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kejayaan beberapa projek perintis seperti di Terengganu, Johor dan Kedah berjaya memecah tembok tanggapan negatif segelintir pihak bahawa tanaman untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan itu tidak sesuai ditanam di negara ini kerana faktor cuaca.

"Kami bersama agensi berkaitan akan berusaha untuk membaiki beberapa kelemahan yang ada bagi menambah baik tanaman jagung bijirin di negara ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penuaian jagung bijirin oleh Pertubuhan Peladang di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Chempelak di sini hari ini.

Katanya kejayaan tanaman jagung bijirin akan mengurangkan pergantungan negara terhadap import jagung bijirin daripada negara luar yang melibatkan nilai sebanyak  RM3.1 bilion setahun.....

PAHANG SIASAT DIMP BOY IMAN



PEKAN 5 Okt. - Kerajaan negeri sedang menyiasat penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) ke atas Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Norul­iman A. Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman yang menjadi pertikaian terutama di media sosial ketika ini.





Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya kini membuat semakan sama ada penama berikut menerima atau tidak penganugerahan darjah atau pingat kebesaran daripada istana Pahang.


“Semua dalam siasatan, saya tidak pasti. Tindakan boleh diambil jika menggunakan gelaran Datuk tanpa pertauliahan.

“Jika benar gelaran tersebut diterima, setiap penerima perlu menjaga etika dan kemuliaannya agar institusi istana terpelihara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gelaran Datuk membabitkan Boy Iman.

Beliau ditemui pada Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 Rejimen 505 Askar Wataniah, Sungai Miang di sini hari ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berangkat mencemar duli ke majlis tersebut.


Khamis, Oktober 05, 2017

UMNO DAN PAS PUNYA DNA YANG SAMA

BALIK PULAU, 4 Okt (Bernama) -- Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa meramalkan akan terbentuk kerjasama antara UMNO dan PAS dari masa ke semasa kerana kedua-dua parti itu mempunyai DNA (asid desksiribonukleik) yang sama.

Beliau berkata walaupun PAS menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun parti itu mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan UMNO iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Katanya, jika dahulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan UMNO, namun di bawah pucuk kepimpinan PAS yang ada sekarang menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

"Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya.

"Ia tidak bermakna PAS masuk UMNO, UMNO masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)...tetapi titik-titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting. Atas dasar itu saya meramalkan akan terbentuk kerjasama yang lebih kukuh dari masa ke semasa antara UMNO dan PAS.

"Tunggulah beberapa minggu, beberapa bulan lagi bila pilihan raya semakin dekat saya percaya antara pucuk pimpinan PAS dan UMNO selagi mana titik kebersamaan dan taawun itu ada, akan ada pengumuman yang seharusnya menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All, di sini, malam tadi.

Program itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau dan Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator.

Terdahulu, Annuar berkata lawan UMNO yang sebenarnya adalah DAP kerana parti itu mempunyai DNA yang berbeza iaitu menentang apa yang dibawa oleh UMNO berbanding parti-parti lain seperti PAS, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas merupakan parti serpihan UMNO.

Beliau berkata DNA DAP jelas berbeza dengan parti-parti politik yang lain di negara ini kerana dasar perjuangan mereka berkiblatkan parti PAP di Singapura.

"DAP juga mempunyai DNA tertentu dan terbukti daripada perjalanan PAP hingga membentuk parti itu dan mereka sering menakutkan kaum Cina untuk membangkitkan kemarahan terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, Oktober 04, 2017

HAMIDAH LAPOR SPRM TERHADAP SYED SADDIQ

IPOH, 3 Okt (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa menuduhnya sebagai ejen UMNO.


Hamidah berkata walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun beliau percaya tuduhan itu dilemparkan terhadapnya terutama membabitkan habuan bernilai RM5 juta yang didakwa kononnya cuba disogokkan kepada Syed Saddiq.

Katanya tuduhan yang dibuat Syed Saddiq itu nyata tidak berasas dan sengaja dilakukan bagi meraih kepentingan politik.

"Walaupun saya tak boleh jelaskan secara lanjut sepertimana dinasihatkan SPRM, namun saya berharap siasatan secepat mungkin dapat dibuat.

"Saya juga tidak pernah tahu mengenai wang RM5 juta itu tapi dalam kenyataan Syed Saddiq ia semacam ditujukan pada saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak di sini.

Semalam, Syed Saddiq menjelaskan ada cubaan daripada seseorang di luar Pakatan Harapan cuba menyogoknya dengan wang bernilai RM5 juta sekiranya meninggalkan PPBM selain mendakwa dijanjikan dengan peruntukan untuk membuka sekolah debat di seluruh negara.

Menjelas lanjut, Hamidah berkata laporan kepada SPRM dibuat bagi membolehkan satu siasatan secara telus dijalankan agar dapat membongkar perkara sebenar.

"Saya mahu membersihkan nama saya dan pada masa yang sama mahu perkara benar serta adil ditegakkan pihak SPRM," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 02, 2017

RISDA MOHON PERUNTUKAN TAMBAHAN RM22 JUTA

RAUB, 2 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memohon peruntukan tambahan sebanyak RM22 juta bagi Projek Tanam Semula melibatkan tanah seluas 3,400 hektar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan tambahan itu diperlukan ekoran sambutan luar jangkaan daripada pekebun kecil melebihi daripada peruntukan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, RISDA telah membelanjakan RM144.7 juta bagi program tanam semula, yang merupakan sebahagian daripada peruntukan program pembangunan RISDA yang berjumlah RM358.8 juta.

"Di Pahang sahaja, RISDA telah membelanjakan RM31.8 juta melibatkan seramai 64,386 pekebun kecil bagi program tanam semula. Ini semua bantuan yang disalurkan kerajaan untuk membantu golongan pekebun kecil.

Banyak lagi bantuan diberikan seperti bantuan baja dan kita tetapkan harga lantai getah RM2.20 sekilogram supaya kalau harga rendah, kerajaan akan bayar perbezaan harganya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat RISDA Raub di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawaan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Ismail Sabri juga memaklumkan pada tahun ini RISDA telah meluluskan 380 permohonan Rumah Bina Negara daripada 2,089 permohonan dengan 18 rumah telah siap dibina.

"Kita mahu pekebun kecil yang tidak ada rumah mendapat rumah yang selesa, sebab itu kerajaan sanggup beri subsidi sebanyak RM20,000 daripada harga RM65,000 supaya mereka dapat diami kediaman tiga bilik dan dua bilik air," katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sedang bankrap adalah tidak tepat, kerana jika benar sudah pasti kerajaan tidak dapat memperuntukkan jumlah yang besar untuk membantu pekebun kecil.

Katanya, bantuan RISDA juga bersifat menyeluruh dan tidak terhenti kepada pekebun kecil kerana agensi itu turut memperuntukkan bayaran untuk program tuisyen rakyat kepada anak-anak pekebun kecil.

"Di Pahang sahaja, kita berikan RM212,500 untuk bantu 315 pelajar dan kita dapati program ini berkesan membantu meningkatkan pencapaian prestasi anak pekebun kecil dan saya harap lebih ramai pekebun kecil ambil peluang untuk menikmati kemudahan yang disediakan," katanya.

Mengulas mengenai pejabat baharu RISDA Raub, Ismail Sabri menambah pembinaan pejabat bernilai RM4.4 juta itu bermula pada 2012 dan siap pada pertengahan 2013 serta menempatkan 56 kakitangan.

Ismail Sabri berkata setakat ini, RISDA mempunyai 13 pejabat RISDA negeri, 54 buah pejabat daerah dan 154 pejabat stesen di kampung yang mempunyai ramai pekebun kecil bagi memudahkan urusan penyampaian bantuan dan khidmat nasihat.

"Pejabat RISDA juga bersedia untuk membantu pekebun kecil membuat pendaftaran bagi mendapatkan elaun RM200 bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang akan dibayar selama tiga bulan bermula bulan hadapan," katanya.

-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI BULAN SEPTEMBER 2017

Seramai 395 orang baca "Sepatutnya PKR ketuai Pakatan Harapan Terengganu" yang tersiar pada 5 September mendapat rating tertinggi pada bulan September 2017. 10 rating tertinggi adalah seperti berikut:

1.Sepatutnya PKR ketuai Pakatan Harapan Terengganu (5/9/2017)- 395 hits
2. Pengerusi dan Pengarah Urusan antara 13 penerima SSAP bergelar Dato Seri (22/9/2017)
3. Pegawai hutan Jerantut ada akaun bersama sebanyak RM6.9 juta (22/9/2017)
4. Tahniah kepada kawan satu batch di UM jadi Ketua Polis Negara yang baharu (22/9/2017)
5. Pelik mengaku buat BN rugi bilion RM dilantik Menteri Kewangan Kedua (6/9/2017)
6.MB berjiwa besar peluk Ahmad Said (9/9/2017)
7. Baik untuk BN jika PKR terus bergaduh sesama sendiri (7/9/2017)
8.Amanah sokong pesta arak DAP? (14/9/2017)
9.Rafizi berniaga hasil derma orang ramai (29/9/2017)
10. Program bermalam di muzium pada 15 dan 16 September (12/9/2017)

Sabtu, September 30, 2017

MANFAATKAN SEPENUHNYA KUOTA 135 VESSEL TUNA

SERDANG, 30 Sept (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa pengusaha perikanan negara memanfaatkan sepenuhnya kuota 135 vesel tuna yang diperuntukkan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk Malaysia menangkap ikan itu di Lautan Hindi setiap tahun.

Beliau berkata ini bagi memenuhi sasaran eksport tuna Malaysia ke Jepun sebanyak 30,000 tan setahun berbanding sekitar 5,000 hingga 10,000 tan sekarang, selain menampung keperluan tempatan.

Pada masa ini hanya 12 daripada 135 vesel digunakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan produk inovasi tuna di pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Serdang, di sini hari ini.

"Rugi kalau kuota itu tidak digunakan," katanya, menambah Malaysia menganggotai IOTC sejak 1998.

IOTC merupakan badan antarabangsa yang mengawal penangkapan tuna di Lautan Hindi.

Mengenai produk inovasi tuna yang dihasilkan menerusi kerjasama Jabatan Perikanan dan Universiti Teknologi MARA, Ahmad Shabery berkata produk itu menunjukkan kreativiti anak muda tempatan yang menyelitkan identiti Malaysia dalam produk tuna mereka.

Antara produk yang dihasilkan ialah sate, burger dan nuget tuna.

HPPNK 2017 yang berlangsung sejak Khamis dan akan berakhir esok menampilkan pelbagai produk dan inovasi berkaitan pertanian.

-- BERNAMA

Rabu, September 27, 2017

RAFIZI BERNIAGA HASIL DERMA ORANG RAMAI?



KUALA LUMPUR: Pegawai khas di JPM, Datuk Rizal Mansor  (gambar) mempertikai ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli berhubung duit derma yang diberi oleh orang ramai untuk Invoke sebuah NGO milik Rafizi.

Berikut adalah kenyataan penuh Rizal :-




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya pada 24 September lalu berhubung perkara nombor 5 menjawab seperti berikut tentang persoalan mengenai kakitangan Invoke:

“Kakitangan Invoke menandatangani kontrak perjawatan dengan sebuah syarikat yang bernama KEIP Resources Sdn Bhd.
KEIP Resources Sdn Bhd pula menandatangani satu perjanjian membekalkan sumber manusia mengikut keperluan Invoke dari semasa ke semasa. Kontrak perjawatan kakitangan dimuktamadkan begini dengan mengambil kira perkara-perkara bersabit undang-undang buruh dan perkara-perkara lain”.

Soalan tambahan saya kepada Rafizi hari ini; kontrak perjawatan kakitangan dimuktamad begitu kerana mengambil kira undang-undang buruh atau taktik Rafizi mahu mengalihkan duit yang disumbangkan orang ramai ke dalam Invoke untuk dibawa ke syarikat sendiri ?

Dalam bab membohong orang ramai dan memfitnah saya terpaksa memberi tabik hormat kepada dia. Kepakaran dia berbohong dan berimaginasi berada di luar jangkauan pemikiran manusia normal.

Sebagaimana dia berimaginasi seolah-olah dia bersama-sama PM dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini. Dia memberitahu bagaimana keluarga PM mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika di Trump Tower New York.


Jangan kata pegawai-pegawai PM sahaja yang terkejut, pencuci bangunan di Trump Tower New York pun terkejut. Kerana dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini PM tidak ke New York pun.

Berbalik kepada kisah KEIP dan Invoke.

Mengikut rekod gaji yang dipamerkan oleh Rafizi menunjukkan Invoke Solutions Sdn Bhd, telah membayar KEIP Resources Sdn Bhd bermula dari RM 147,974.30 hingga RM 350,608.64, dari Mac hingga September 2017.

Hampir RM 1.3 juta telah dibayar kepada KEIP dalam tempoh tujuh bulan itu.

Mengikut senarai itu juga, menunjukkan Invoke tidak membuat sebarang pembayaran kepada KEIP pada bulan Julai. Hanya selepas berjaya mengutip derma RM1.5 juta dari orang ramai pada Ogos, Invoke telah membayar kepada KEIP sebanyak dua kali pada 28.08.2017. Pembayaran pertama RM 160’349.95 dan pembayaran kedua RM 156,132.10 .

Manakala bulan September pula Invoke membuat pembayaran kepada KEIP, sebanyak RM350,608.64. Kelihatan tanda-tanda yang jelas bagaimana Invoke bermewah-mewah dan ‘kenduri sakan’ selepas berjaya mengutip derma jutaan ringgit dari orang ramai.

Siapakah KEIP Resources Sdn Bhd?

Inilah bahagian yang agak menarik.

Alamat berdaftar KEIP adalah di Temerloh. Bagaimanapun berdasarkan slip bayaran KWSP dan Socso yang ditunjukkan oleh Rafizi menunjukkan KEIP Resources beroperasi bersebelahan atau berhampiran dengan pejabat Invoke.

Semakan juga mendapati KEIP Resources tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan membekal tenaga kerja atau perkara bersangkutan seperti yang didakwa oleh Rafizi.

Milik siapakah KEIP Resources Sdn Bhd?

Mengikut carian yang dilakukan di SSM menunjukkan pemegang saham utama syarikat itu bernama Mohd Rafizi bin Ramli (foto). Yang memegang sebanyak 10,050 saham. Individu yang bernama Mohd Rafizi bin Ramli yang sama juga (berdasarkan nombor kad pengenalan), adalah pemegang saham terbesar dalam Invoke Solutions sdn Bhd. Iaitu sebanyak 250,000 saham.

Kesimpulannya apa?

Kesimpulannya, Rafizi membekal tenaga kerja kepada Rafizi. Dan Rafizi pula membayar kepada Rafizi ratusan ribu sebulan atas nama membekalkan sumber manusia. Hasil duit yang dikutip dari orang ramai. Campur tolak kali bahagi, akhirnya dia juga yang untung. Yang menjadi mangsa adalah orang ramai yang diperdaya untuk memberi derma kepadanya.

PENGERUSI DAN PENGARAH URUSAN TULANGIS MAJU ANTARA 13 PENERIMA SSAP BERGELAR DATO' SERI

PEKAN, 26 Sept (Bernama) -- Adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Kalsom Sultan Abu Bakar hari ini mendahului senarai 155 penerima darjah dan pingat sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di sini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan istiadat itu.


Tengku Kalsom merupakan antara 13 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, yang turut dikurniakan kepada dua lagi adindanya iaitu Tengku Datuk Norazahan dan Tengku Datuk Noor Ashikin.

Antara penerima SSAP lain ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki, Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji Plantation Berhad Datuk Amran Mat Nor, Pengarah Eksekutif Kraken Interactive Sdn Bhd Datuk Raja Mohd Firdaus Raja Zainal, Pemilik dan Pengasas D'Herbs Holding Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad Datuk Lim Hock Seong, Pengarah Urusan Macxen Sdn Bhd Datuk Tan Chin Siang, Pengarah Urusan Tulangis Maju Sdn Bhd Datuk Mohamed Rahim Hussin, Pengarah Srimayan Holdings Sdn Bhd Hok Siu dan Pengarah Eksekutif Asia Controline Sdn Bhd Mohammad Nadjion Nasir.

Tiga lagi dianugerahkan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Editor Buletin Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Rosihan Mohamed Ali, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Pengarah Urusan Kong&Kong Development Sdn Bhd Datuk Kong Tiam Ming.

Sultan Pahang juga berkenan menganugerahkan tiga individu dengan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Kanan Seksyen Dana, Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri Syed Mohamed Koyakutty, Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Dr Mohamad Farouk Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Dr Mashitah Mohd Yusoff.

Pada majlis itu, 33 orang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk antaranya Komander Pangkalan Udara Labuan Brigedier Jeneral Datuk Sardon Hassan, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) M Saedon Ab Majid, Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Ishak Mohd Yusoff, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia Abd Aziz Abu Bakar.

Pakar Perunding Jabatan Ortopedik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Dr T.Tharumaraja, Pengarah Urusan Vision Works (M) Sdn Bhd Afdlin Shauki Aksan, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman SAC Muhammed Hasbullah Ali, Ketua Staf Operasi Darat Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) SAC Zulkiffli Salleh.

Penerima lain ialah Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Cawangan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman SAC Kasuahdi Ali, Ketua Penolong Pengarah (Ops Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman SAC Khalil Ariffin, Pegawai Khas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Mohamad Basri Awang dan Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Muhamad Aminudin Che Omar.

Sultan Pahang turut berkenan menganugerahkan Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada 12 penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 16 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 10 penerima, dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 18 penerima termasuk pemberita sambilan Utusan Malaysia Salehudin Mat Rasad.

Selain itu, sembilan individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (10 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (28 penerima).

-- BERNAMA

Isnin, September 25, 2017

IKIAM CADANG LUCUTKAN MYANMAR DARI ASEAN



KUALA LUMPUR:Myanmar disifatkan masih melengah-lengahkan krisis di negara sendiri sehingga kezaliman ke atas etnik Rohingya di Rakhine masih lagi berterusan dengan jumlah kematian dilaporkan tinggi selain memaksa beratus ribu rakyatnya menjadi pelarian di negara lain.

Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar menegaskan, jika perkara itu tidak menemui jalan penyelesaiannya, tindakan tegas perlu dibuat termasuk desakan untuk melucutkan keanggotaan Myanmar dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menurutnya, insiden kekejaman ke atas etnik minoriti itu memperlihatkan sikap Myanmar yang sama sekali bertentangan dengan konsep Asean iaitu Zon Keamanan, Kebebasan dan Keberkecualian (Zopfan).

“Jika keadaan ini berterusan, perlu ada cadangan dan desakan untuk mengeluarkan keanggotaan Myanmar dalam Asean dan kita sebagai negara anggota, perlu bersatu menentang kezaliman.



Fakhrul Azman Mengiringi Ahmad Zahid Ketika Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Ke Kuala Terengganu.

“Kebanyakan negara sudah membuat desakan kepada Myanmar supaya menghentikan kezaliman tersebut,” katanya kepada wartawan, di sini.

Sementara itu, beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan tindakan Myanmar yang tidak membenarkan bantuan kemanusiaan daripada organisasi antarabangsa serta tenteranya yang masih melakukan kezaliman terhadap rakyat sendiri.

Menurutnya, tindakan Ahmad Zahid ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC)+3 itu memperlihatkan bahawa pemimpin negara ini amat bertegas dalam isu Rohingya.

“Apa yang dilakukan kerajaan memperlihatkan Malaysia bersungguh-sungguh, bukan mahukan publisiti atau hangat-hangat tahi ayam.

“Timbalan Perdana Menteri sendiri bercakap mengenai Rohingya di Filipina, manakala Perdana Menteri menyampaikan isu Rohingya ketika di White House dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan bawa isu ini ke Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA Ke-72),” katanya.

Menurutnya, kesungguhan kerajaan Malaysia itu juga mendapat sambutan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri sudah mula bersuara mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menyifatkan Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak layak dinobatkan sebagai pemegang anugerah keamanan Nobel berikutan pemimpin tersebut tidak mampu bersuara dan menyelesaikan kekejaman yang berlaku di negara sendiri.

“Aung San Suu Kyi juga turut membatalkan kunjungannya bagi menghadiri perhimpunan agung ke-72 PBB,” katanya.

BN PERLU BERSEDIA HADAPI PERTANDINGAN DUA PENJURU



BERA 22 Sept. – Barisan Nasio­nal (BN) perlu bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu bagi menghadapi pembangkang terutama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendekatan itu akan menguatkan lagi BN untuk bersiap sedia menghadapi apa jua situasi sekalipun pada PRU-14.


“Fokus yang perlu diberikan keutamaan oleh BN adalah bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu.

“Jika berdepan pertandingan tiga penjuru, itu merupakan bonus kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan kenduri kampung di Masjid Kampung Jelam, Durian Tawar di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, soal dosa dan pahala hanya ditentukan oleh Allah SWT dan bukannya manusia biasa termasuk Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita tidak hairan apabila Dr. Mahathir mendakwa undi Pas sama dengan mengundi BN dan ahli serta pemimpin Pas akan menanggung dosa yang dilakukan oleh BN. Bukan kita menentukan dosa dan pahala.

“Dari segi sejarah pun, Dr. Mahathir beberapa kali mempersendakan Nabi Muhammad SAW seperti isu janggut nabi,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan adakah menyokong Pakatan Harapan diketuai DAP mendapat pahala.

“Ini kerana, umum mengetahui DAP merupakan parti anti Islam dan kenyataan pemimpinnya juga banyak yang menentang Islam,” katanya.

Beliau berkata, ini bermakna, parti Melayu dalam gabungan Pakatan Harapan bersekongkol dengan parti yang mahu menghancurkan Islam.

“Saya tidak mahu menghukum tetapi rakyat boleh fikir sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, itulah sebenar­nya Dr. Mahathir yang kini sedang digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menyerang UMNO.

Ahad, September 24, 2017

ADAKAH MIKE TYSON MASIH RELEVAN?


oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Bekas juara tinju dunia, Mike Tyson sudah lama meninggalkan gelanggang tinju dan kini sekali sekala kita akan dapat melihat Mike Tyson muncul dalam beberapa buah filem memegang watak kecil atau sebagai penampilan cameo sahaja.Mike Tyson bukan sahaja terkenal kerana kehebatannya di gelanggang tetapi juga kerana kontroversinya apabila menggigit telinga , pencabar utamanya, Evander Holyfield ketika bertarung di gelanggang. Namanya pasti tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah sukan tinju.


Bagaimana pula dengan nasib Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Mat Taib), seorang pemimpin politik yang terkenal di Malaysia dengan gelaran Mat Tyson, yang baru baru ini mendapat perhatian ramai apabila beliau kembali ke pangkuan UMNO dan sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi dan juga andaian.


Adakah bekas Menteri Besar Selangor dan juga mantan Naib Presiden UMNO yang kini sudah berusia 72 tahun masih lagi relevan dan boleh memainkan peranan yang penting dalam gelanggang politik tanah air? Ada juga yang terus membuat kesimpulan bahawa ini bukanlah satu tindakan yang bijak.


Dalam hal ini, jangan salahkan mereka yang menganggap beliau tidak mampu lagi berjasa kepada UMNO, parti yang ditinggalkan suatu ketika dahulu. Namanya pun sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak sepi dan jarang sekali mengeluarkan kenyataan yang menampakkan kebolehan beliau sebagai seorang bekas pemimpin yang disegani.


Nama beliau hanya muncul apabila dia meninggalkan UMNO dan mengumumkan yang dia berjuang dengan PAS dan kemudian meninggalkan PAS pula untuk mencuba nasibnya bersama PKR. Fotonya pula hanya kelihatan berdiri di barisan belakang apabila pihak pembangkang membuat kenyataan akhbar.Ini sekaligus menggambarkan yang Mat taib juga tidk begitu menonjol ketika bersama dengan pembangkang.


Namun pada masa yang sama, jangan juga salahkan mereka yang masih berpendapat, pemimpin yang masih terkenal dengan gelaran Mat Tyson ini masih mampu berbuat sesuatu untuk membantu UMNO Selangor khasnya menawan semula Selangor dalam Pilihan Raya Umum 14 nanti.Nampaknya masih ada yang yakin beliau mempunyai tumbukan atau “gigitan’ yang berbisa.

Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin bahawa penyertaan semula Muhammad dalam UMNO bakal menjadi suntikan semangat untuk UMNO negeri Selangor.Ini mungkin berdasarkan daripada pengalaman Mat Tyson yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari tahun 1986 sehingga 1997 dan jasanya semasa memegang jawatan Naib Presiden UMNO suatu ketika dahulu.


Ada juga penyokong UMNO yang melihat penyertaan Mat Taib membuktikan bahawa beliau lebih mementingkan agenda bangsa, parti dan negara daripada agenda peribadinya sendiri. Beliau hanya mahu menjadi ahli biasa dan tidak mahu sebarang pangkat. Bagi Mat Taib, dia masih boleh memberikan nasihat dan pandangan serta mungkin boleh membantu merangka strategi untuk mengerak dan melincirkan lagi jentera pilihan raya UMNO Selangor nanti.


Bukan itu sahaja, ada juga yang berharapkan kemasukan Mat Taib kembali ke UMNO akan membuka jalan kepada lebih ramai lagi bekas ahli dan pemimpin UMNO untuk kembali ke pangkuan UMNO. Sebagaimana yang diperkatakan tadi, walaupun beliau agak senyap, namun kita tidak boleh menafikan beliau masih mempunyai pengaruh untuk menyedarkan semula mereka yang sudah meninggalkan UMNO untuk kembali berjuang bersama dengannya.


Sebagaimana yang diramalkan juga, kemasukan Mat Taib telah menimbulkan pelbagai kenyataan negatif daripada pihak pembangkang. Pelbagai gelaran dan sindiran telah dilemparkan. Mungkin mereka lupa yang kini golongan pembangkang sudah bersengkongkol dengan seorang bekas pemimpin yang satu ketika dahulu dianggap sebagai musuh ketat yang tidak boleh dimaafkan. Kini mereka boleh tidur sebantal walaupun mimpi mereka pastinya berbeza.



Antara sebab mengapa Mat Taib tidk lagi berjuang di atas platform pembangkang ialah kerana beliau dapati parti parti tersebut tidak berupaya untuk memperjuangkan nasib rakyat, dan membangunkan negara ,tidak sebagaimana UMNO dan Barisan Nasional yang sentiasa ikhlas memperjuangkan nasib rakyat , tanpa mengira apa jua bangsa dan agama.
Dalam hal ini UMNO Selangor dinasihatkan supaya jangan membuang masa dan menggunakan peluang yang ada untuk terus bekerjasama dan bekerja rapat dengan Mat Taib. Pengalaman beliau semasa menjadi Menteri Besar dan juga ketika berjuang dengan barisan pembangkang begitu berguna sekali untuk dijadikan sebagai panduan dalam mengatur strategi untuk menawan Selangor semula.

Jumaat, September 22, 2017

PEMILIK TAHFIZ KENA DIAMBIL TINDAKAN JIKA IA TIADA KELULUSAN BOMBA

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mendapati kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini disebabkan unsur khianat boleh membersihkan nama baik pusat tahfiz berkenaan, kata Pengetuanya Mohd Zahid
Mahmood.

"Sebelum ini kami dikecam, dilemparkan pelbagai tuduhan. Malah pusat tahfiz lain juga menjadi sasaran kononnya tidak mengutamakan aspek keselamatan. Saya tidak marah dan menerima segala kecaman kerana tahu Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada kami.

"Mustahil kami mengabaikan keselamatan anak-anak ini kerana kami bertanggungjawab menjaga mereka dengan baik kerana ia adalah amanah ibu bapa mereka kepada kami, "katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim semalam bahawa kebakaran pusat itu disebabkan sengaja dibakar.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat itu terkorban akibat terperangkap di asrama pusat itu pada 5.15 pagi Khamis lepas


Ulasan saya, walaupun hasil siasatan Bomba menunjukkan ada unsur khianat tetapi jika benar tahfiz tersebut tiada kelulusan Bomba maka tindakan sewajarnya perlu diambil kepada pemilik tahfiz supaya ia memberi pengajaran kepada tahfiz tahfiz lain.

PEGAWAI HUTAN JERANTUT ADA AKAUN BERSAMA RM6.9 JUTA

KUANTAN, 20 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM15,000 terhadap Pegawai Hutan Daerah Jerantut Zainal Abidin Maskon setelah dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan sejak Julai 2016.

Zainal Abidin, 33, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan pilihan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang


memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia didakwa menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM340,000 daripada Pengurus Syarikat P&K Trading, Yiang Kwai Seng yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan urusan permohonan lesen pembalakan di Hutan Simpan Tekam serta Hutan Simpan Tekai dalam Mukim Tembeling, Jerantut milik Yayasan Pahang serta Bakat Bijak Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad dan Maybank Malaysia Berhad cawangan Kuantan masing-masing pada 1 Julai 2016; 24 Jan serta 21 Jun lalu, keseluruhannya melibatkan jumlah sebanyak RM340,000.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Hon Kai Ping, Datuk Ng See Teong serta Muhammad Irwan Bidin memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman yang ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dan tertuduh juga telah kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Dia juga mempunyai tiga orang anak yang masih kecil masing-masing berusia dua, empat dan enam tahun, serta seorang isteri yang tidak bekerja," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohamad Fadhly Mohd Zamry meminta mahkamah menjatuhkan hukuman seberat-beratnya kerana tertuduh telah menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap Jabatan Perhutanan Pahang.

"Perbuatan tamak tertuduh juga telah menjejaskan alam sekitar dan sumber alam kawasan yang terlibat, malah wang tunai sebanyak RM47,000 turut dijumpai di dalam pejabat semasa serbuan dilakukan pada 11 Sept lalu," katanya.

Dalam prosiding yang sama pihak mahkamah juga dimaklumkan tertuduh turut mempunyai akaun bersama dengan pemilik syarikat pembalakan berkenaan dan unit amanah berjumlah RM6.09 juta untuk tujuan kegunaannya.

Sehubungan itu Mohamad Fadly memohon wang tunai itu dilucutkan hak daripada pemilikan tertuduh manakala RM6.09 juta lagi akan dilucut hak dalam prosiding berasingan selepas ini.

-- BERNAMA

Khamis, September 21, 2017

2,050 ORANG PELAJAR BERMALAM SERENTAK DI 32 BUAH MUZIUM



KUALA LUMPUR: Jumaat lepas Program Perdana Bermalam di Muzium memecahkan Malaysia Book of Records kerana mempunyai peserta teramai sebanyak 2050 orang diadakan serentak di 32 buah muzium di seluruh negara.

Program bermula jam 3 petang Jumaat 15 September dan berakhir pada jam 2 petang Sabtu 16 September dengan pelbagai aktiviti menarik yang disertai para pelajar sekolah menengah dari usia 14 hingga 17 tahun.


Program Bermalam di Muzium bermula pada tahun 2005. Ia telah diadakan sejak 12 tahun lalu dan inilah kali pertama ia diadakan serentak di seluruh negara.


Ia merupakan acara sempena bulan kemerdekaan dan ia merupakan acara wajib setiap tahun.  Syabas kepada Muzium Negara yang berjaya menyemaikan semangat cintakan muzium kepada para pelajar.











Rabu, September 20, 2017

KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP PENCEGAHAN RASUAH MENINGKAT

JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) -- Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya mendapati maklumat yang



diterima dari semasa ke semasa semakin meningkat.

"Mana-mana rakyat Malaysia yang mahu membanteras gejala rasuah, jangan gentar dan jangan takut. Sampaikan maklumat tersebut kepada SPRM," kata beliau kepada pemberita pada Program Kembara Jelajah AntiRasuah Konvoi Kejar 2017 di Ma'had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Kembara 13 hari itu disertai 43 motosikal berkuasa besar berkonvoi sejauh 2,000 kilometer ke 12 negeri di Semenanjung Malaysia.

Dzulkifli berkata masyarakat boleh memilih dua cara untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM iaitu dengan membuat aduan secara terus atau salurkan maklumat tanpa mendedahkan identiti mereka.