Selasa, Jun 07, 2016

LETAK JAWATANLAH NANCY



Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang Datuk Seri Nancy Shukri hari ini menegaskan beliau tidak akan menyokong pindaan undang-undang yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

Beliau berkata ini selaras dengan pendirian PBB di Sarawak yang menolak pindaan tersebut.

Ditanya sama ada beliau akan mengundi menentang rang undang-undang itu, Nancy bagaimanapun berkata beliau tidak akan berada di Dewan Rakyat sekiranya ia berlaku.

"Bukan sahaja saya akan menolak (rang undang-undang), saya tidak akan berada di sana.

"Saya telah menunjukkannya pada hari ia dibentangkan. Saya tiada di dalam (dewan)," katanya kepada pemberita di Sungai Besar semalam.

Bagaimanapun ketiadaannya akan menjadikan lebih mudah bagi rang undang-undang 'hudud' yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluluskan.

Ini kerana Hadi hanya memerlukan majoriti mudah berdasarkan kepada jumlah ahli parlimen yang hadir di dewan pada masa undi.

Ulasan saya, PM sudah menegaskan bahawa RUU yang dibawa oleh Haji Hadi bukannya hukum hudud tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri akan tentang kalau ia dibawa untuk dibahas pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

Nampaknya Nancy tak faham dengan penjelasan PM. Oleh itu wajarlah beliau meletakkan jawatan supaya senang PM buat rombakan kabinet yang baharu. Dahlah nama kristian N
ancy pun tak faham RUU itu. Berhentilah jadi menteri

Sabtu, Jun 04, 2016

MAHATHIR SAMA DENGAN DAP ANTI HUDUD



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usul PAS mahu melaksanakan hudud hanya akan menyebabkan orang Melayu dipotong tangan, manakala orang Cina dipenjara bagi tempoh singkat walaupun melakukan jenayah sama.

"Jika orang Cina dan Melayu mencuri bersama-sama, mengikut apa yang mereka (PAS) cadangkan sekarang, tangan orang Melayu akan dipotong tapi orang Cina hanya masuk penjara selama dua bulan," katanya di sesi dialog sempena pelancaran buku Apa Habaq Orang Muda di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Kelab Che Det.

Bekas perdana menteri itu menggunakan contoh berkenaan bagi menegaskan bahawa sesebuah undang-undang hanya benar-benar Islamik jika ia adil.

"Adakah itu (perbezaan hukuman) adil? Saya rasa anda tidak akan mengatakan ia adil.

"Keadilan hanya boleh dicapai jika hukuman adalah sama untuk kedua-dua pesalah.

"Dalam kes ini, jika hukuman berbeza ia bukan saja tak adil, malah tidak Islamik," katanya.

Mahathir juga berkata hanya disebabkan Malaysia sebuah negara Islam ia tidak bermakna perlu menjadi ekstrem atau tidak mengambil kira faktor kepelbagaian bangsa dan agama sesebuah negara.

Khamis, Jun 02, 2016

MAT SABU TAK BERANI TANDING DI SUNGAI BESAR



SABAK BERNAM, 1 Jun (Bernama) -- Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur diumum sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan perkara itu pada satu majlis di Sekinchan di sini, malam ini.

Turut hadir, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.






Azhar, 51, yang berasal dari Sungai Besar merupakan bekas guru dan kini mengusahakan perniagaan sendiri.

Berikutan pengumuman itu, PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dengan Barisan Nasional menamakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Budiman Mohd Zohdi manakala PAS pula mempertaruhkan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi daripada kaum lain.

Ulasan saya, sebelum ini nama Presiden Amanah. Mat  Sabu turut disebut sebut sebagai calon Amanah tetapi nampaknya Mat Sabu tak berani bertanding dalam PRK Sungai Besar. Meletakkan calon baru Azhar tidak akan menggugat calon BN dan calon PAS yang sudah dikenali orang ramai. Sebaliknya jika Mat Sabu bertanding maka peluang Amanah nampak sama kuat dengan BN dan PAS.

Rabu, Jun 01, 2016

BN PERLU YAKIN KEKUATAN SENDIRI

(sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian)


Oleh Shahbudin Haji Embun

Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan turun sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang akan diadakan pada 18 Jun ini.Apatah lagi kerusi tersebut disandang oleh BN pada Pilihan Raya Umum  (PRU) yang lalu.

Sementara pukulan K.O yang diterima oleh parti-perti pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini tentunya memberikan momentum kepada BN untuk terus membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa BN masih teguh dan sentiasa relevan di hati para pengundi di Malaysia.

Oleh itu, mengapa Zahid Hamidi menganggap BN sebagai “pasukan bukan pilihan”. Namun jika diteliti dengan lebih mendalam, kenyataan Zahid itu sebenarnya merupakan satu ungkapan taktikal yang mungkin akan memberi kemenangan kepada BN.

Ya, secara realitinya, pada PRU yang lalu,BN menang dengan undi yang tipis, iaitu hanya dengan kelebihan 399 undi sahaja. Manakala kerajaan negeri yang memerintah pula bukannya dimiliki oleh Barisan Nasional.Dari dua elemen ini, sememangnya BN boleh dianggap sebagai pasukan bukan pilihan.

Sungguhpun begitu, di sebalik status ‘underdog’ itu , ada hikmahnya yang tersembunyi kerana  status itu akan memberikan kelebihan kepada BN jika semua yang terlibat bekerja kuat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Istilah ‘underdog’ mungkin sengaja dipilih oleh Zahid untuk terus memberi kesedaran kepada setiap warga BN untuk memberikan lebih daripada 100 peratus komitmen supaya dapat mempertahankan kerusi Sungai Besar ini.

Secara umumnya setiap pasukan yang bergelar ‘underdog’ akan memberikan segala-galanya untuk membuat kejutan. Dan mungkin inilah yang dimahukan oleh Zahid supaya jentera PRK BN bekerja sepenuh jiwa dan tidak lalai dengan kejayaan BN di Sarawak.

Itu sebabnya dalam hal ini, kenyataan Zahid Hamidi ini juga sebenarnya untuk mengingatkan kepada BN supaya jangan ambil jalan mudah walaupun pihak pembangkang sendiri mempunyai masalah untuk bertanding di kerusi ini berikutan kerumitan hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor .

Itulah sebabnya, dalam hal ini juga BN bukanlah ‘underdog’ dalam pengertian yang sebenarnya. BN mempunyai kekuatan yang tersendiri  dan antara kelebihan yang dimiliki oleh BN ialah calon yang dipilih untuk bertanding di kerusi Sungai Besar iaitu Budiman Mohd Zohdi .

Nama Budiman yang dimilikinya benar-benar mewakili sikap dan sifatnya yang budiman.  Beliau  merupakan calon yang berwibawa dan telah membuktikan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Sungai Panjang.Beliau mempunyai track record yang cemerlang sebagai ADUN dan disenangi oleh semua kaum di Sungai Panjang.

Apa yang pasti, strategi BN yang meletakkan anak tempatan kelahiran Kampung Sungai Limau dan juga merupakan Setiausaha ADUN BN di Selangor sebagai calon di sini merupakan satu taktik yang akan memberi kelebihan kepada BN.Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, inilah kekuatan BN dan Itu sebabnya BN perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri dan biarkan sahaja apa yang berlaku di antara hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor.

Tidak kiralah sama ada wujudnya pertandingan dua penjuru ataupun tiga penjuru, yang pasti tentunya terdapat pihak dari PKR, PAS, DAP dan AMANAH yang tidak akan puas hati dengan apa jua keputuan yang diambil dan faktor ini juga akan memberi kelebihan kepada BN. Bagi BN, biarkan sahaja perebutan kerusi berlaku asalkan BN boleh terus mengatur strategi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Dan melihatkan pada keadaan huru hara yang wujud ini,  tentunya rakyat Selangor sendiri dapat menilai bagaimana pakatan pembangkang ini tidak dapat duduk satu meja untuk mencari  dan mencapai persepakatan. Manakala BN pula telah membuktikan bahawa perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini mampu memberikan kesejahteraan dan kestabilan kepada rakyat sekeliannya.

Mungkin sudah sampai masanya para pengundi Selangor mahukan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan ada kemungkinan besar keputusan di PRK Sungai Besar nanti akan dilihat sebagai penanda aras untuk mengukur kekuatan BN di Selangor.Kita nantikan 18 Jun 2016 nanti.

keterangan gambar di atas penulis (kiri) bersama gurunya Prof Dato Rahman Shaari.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MEI 2016

Rating tertinggi bagi bulan Mei 2016 ialah Jodoh Asmuni kuat dengan Noriah (8 Mei). Ini bermakna walaupun blog ini blog politik orang lebih suka membaca berita non politik.

10 rating tertinggi bagi bulan tersebut ialah:-

1. Jodoh Asmuni kuat dengan Noriah (8 mei)
2. Muslimin calon Sungai Besar dan Aminuddin calon Kuala Kangsar (16 Mei)
3.Ada hikmah dan pengajarannya kata Razif (2 Mei)
4.Pelabur emas tertipu lagi (26 Mei)
5.Kehebatan Leicester City perlu dijadikan ikhtibar (12 Mei)
6. Antara PAS dan Amanah: Siapa lebih popular di Sarawak (3 mei)
7.Helikopter bawa Noriah belum ditemui (6 Mei)
8.SPRM cakap tak serupa bikin? (13 mei)
9. Beli kelab bolasepak kerana terhutang budi kepada Itali (1 Mei)
10.Mahathir bunuh UMNO yang dia tubuh (18 mei)

Selasa, Mei 31, 2016

MASTURA BUKAN NAK PERGI KUTIP BUAH KURMA



Ketua Exco Agama Pemuda PKR (AMK), Wan Ji Wan Hussin berpendapat calon BN di Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid masih boleh keluar berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), meskipun dalam tempoh idah.

Wan Ji berkata pendapat ulama yang melarang wanita yang baru kematian suami keluar rumah selama empat bulan 10 hari adalah pendapat pertama berdasarkan satu hadis nabi.

Bagaimanapun katanya, larangan itu tidak mutlak dan hadis berkenaan dibaca dalam konteks ia dibimbangi boleh membawa kepada pernikahan.

"Jika tidak membawa kepada pernikahan, ia tidak termasuk di bawah larangan tersebut," katanya

Memetik satu hadis lain, Wan Ji berkata terdapat satu kisah di zaman Nabi apabila seorang wanita yang kematian suami, dilarang keluarganya daripada keluar rumah bagi memetik buah kurma.

Namun apabila perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad, baginda membenarkan wanita itu memetik kurma walaupun masih dalam tempoh idah.

"Perbuatannya itu dimarahi oleh ahli keluarganya. Perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad dan nabi membenarkan perempuan itu keluar untuk memetik buah kurma tersebut.

“Jadi, Mastura boleh keluar berkempen tapi dengan pandangan kedua,” katanya.



Sebelum ini ulama Umno yang juga exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam Idah selepas baru kematian suami.

Oleh itu Fathul mencadangkan agar anak Mastura menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Menurut Fathul hukum bagi wanita yang sedang idah telah disepakati oleh ulama tentang larangan "keluar" dari rumah selama empat bulan 10 hari.

Beliau memberikan dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah yang digunakan sebagai hujah oleh para ulama dalam menetapkan hukum hakam asas bagi idah.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan sekiranya Mastura keluar berkempen, ia menuju ke arah perkahwinan.

“Saya tak setuju dengan pandangan yang ke arah perkahwinan.


“Bukan tidak boleh pakai baju warna warni sebab itu konteks zaman nabi.

"Zaman sekarang pakai baju warna-warni tak ada orang nak mengurat pun.

"Jadi kalau berkempen itu boleh sebab ikut pandangan kedua,” katanya.

Ulasan saya, Mastura bukannya mahu pergi kutip buah kurma. Maka pandangan ustaz PKR tidak perlu diberi perhatian. Bila Mastura keluar berkempen ia akan menimbulkan fitnah kerana kempen mengempen melibatkan kata mengata kepada calon lawan. Justru itu ia tidak manis bagi orang perempuan yang dalam edah. Oleh itu pendapat ulama supaya Mastura tidak keluar berkempen lebih afdal. 

Apa yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad bahawa wanita boleh pergi kutip buah kurma dalam edah maknanya wanita boleh pergi bekerja dalam edah tetapi dia hendaklah patuhi batas pergaulan sepanjang edah itu. 

Isnin, Mei 30, 2016

DARI BUANGAN DAERAH KE JUTAWAN



KETIKA usianya 19 tahun, Muhammad Zukermi Edi didakwa dan dihukum buang daerah mengikut Ordinan Darurat atas kesalahan menyertai kongsi gelap. Bermula saat itu, daerah Rembau, Negeri Sembilan menjadi saksi kisah menarik remaja ini.


Sepanjang tempoh dua tahun, Muhammad Zukermi, kini 25 tahun, tidak dibenarkan meninggalkan daerah Rembau dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali dalam seminggu.

Tidak cukup dengan dihukum buang daerah, keadaan hidup Muhammad Zukermi bertambah perit apabila keluarga sendiri di Puchong, Selangor mengambil keputusan untuk tidak lagi berhubung dengannya. Di Rembau, kehidupan anak muda itu tidak tentu arah. Dia melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan.

Tidak ubah seperti gelandangan, setiap hari dia menumpang beg pakaiannya di sebuah kedai makan di pekan Rembau. Bila malam berlabuh, dia mencari kawasan seperti stesen bas atau surau untuk melelapkan mata.

Sepanjang dua tahun yang hitam itu juga, masyarakat sekeliling di pekan itu memandang serong terhadap Muhammad Zukermi kerana mereka mengetahui dia sedang menjalani hukuman buang daerah.

Namun, dia keraskan juga hati melalui hari-hari mendatang dengan penuh keinsafan dan harapan agar suatu hari nanti, kehidupannya berubah menjadi lebih baik.

Anak muda yang berasal dari Puchong itu kembali ke ibu negara sebaik sahaja tamat tempoh hukuman. Dia kemudian menjalani kehidupan di celah-celah kesibukan Kuala Lumpur dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir kereta.

Tidak kekok berkongsi kehidupan hitamnya, Muhammad Zukermi berkata, Bukit Bintang bukan suatu kawasan yang asing buat dirinya. Dia pernah menghabiskan masa remajanya seawal usia 14 tahun di sekitar tempat itu dengan terlibat dalam aktiviti kurang sihat termasuk mencuri.

Namun kehidupan di ibu negara dirasakannya begitu sukar untuk ditempuh, lalu dia kembali ke Rembau. Satu hari ketika melepak di kafe siber, Muhammad Zukermi mendapat ilham iaitu menjual barang secara dalam talian (online). Dia mula menjual produk kesihatan dengan mengiklankannya di laman sosial.

Sebaik sahaja menerima tempahan, Muhammad Zukermi mendapatkan produk yang dipesan itu, dan mengeposnya kepada pelanggan. Hasilnya, dia menerima tidak kurang tiga pelanggan setiap hari bermula dari saat itu.

Produk pertama yang dijual ketika itu merupakan barangan kesihatan lelaki. Apabila mendapat sambutan, Muhammad Zukermi mula menjual sabun anti jerawat.

Allah itu Maha Pemurah. Apabila hambanya berusaha, maka akan dianugerahkan rezeki melimpah ruah. Itu jugalah yang terjadi kepada Muhammad Zukermi. Sabun anti jerawat yang dijualnya mendapat sambutan hangat. Justeru, dia mula menjual sabun itu atas jenamanya sendiri, MZ Secret Soap.

Setelah perniagaan dalam taliannya semakin berjaya, dia lantas teringat ibu bapanya. Dia kemudian pulang bertemu mereka dengan memandu kereta pertama yang dibelinya, Proton Perdana.

“Pada mulanya, ibu bapa saya langsung tidak percaya saya pulang dengan kereta sendiri. Malah mereka ingat saya dapat duit banyak kerana jual dadah. Tetapi apabila saya katakan saya jual sabun dan menunjukkan kisah saya di keratan akhbar, mereka lega dan percaya.

“Malah mereka datang melawat saya di pejabat. Syukur hubungan saya dan keluarga kini sudah baik. Malah mereka juga menjadi pendorong semangat saya untuk terus berjaya di bidang ini,” katanya ketika ditemui
 di pejabatnya di Seremban, Negeri Sembilan.

Siapa sangka anak muda yang dahulunya pernah digelar budak jahat kerana seringkali terlibat dengan masalah sosial kini berubah menjadi seorang usahawan online yang berjaya dengan pendapatan enam angka.

Falsafah hidupnya setelah berjaya adalah mudah. Setiap hari, dia akan cuba ingatkan kembali titik hitam dalam hidupnya supaya tidak tenggelam dalam kesenangan dan kejayaan yang dikecapi kini.

Ujarnya, perasaan syukur kepada Allah merupakan perkara utama perlu melekat dalam hati agar diri tidak mudah terleka dan alpa dengan nikmat dunia.

Muhammad Zukermi tidak malu untuk berkongsi kisah hidupnya terutama di laman sosial seperti Facebook kerana mahu menjadi inspirasi buat anak-anak muda yang mempunyai impian, namun masih tidak melihat ‘jalan’ atau peluang.

Masih terngiang-ngiang kata-kata yang pernah dihambur kepadanya suatu ketika dahulu. “Kau budak tak habis sekolah, kerja mencuri sahaja, jangan nak berangan sangatlah. Budak tak guna!”. Kata-kata itu, sebenarnya menjadi pendorong yang menguatkan lagi azam anak muda ini untuk terus berjaya tanpa menoleh ke belakang lagi.

Melalui syarikatnya, MZ Secret Sdn. Bhd., Muhammad Zukermi kini memasarkan produk keluaran sendiri melalui online. Selain sabun anti jerawat, syarikatnya kini mengembangkan lagi beberapa produk termasuk yang terbaharu, Azanis Scar Serum yang dikeluarkan bersama rakan kongsi yang juga isterinya, Nur Azianis Zulkifli.

Selain itu, niatnya untuk membantu para usahawan bisnes online juga diteruskan dengan melancarkan produk sistem data pangkalan pelanggan bagi memudahkan para peniaga menguruskan perniagaan dalam talian mereka dengan lebih tersusun dan teratur.

Katanya, produk sistem data pelanggan itu dijual serendah RM99 berbanding yang sedia ada di pasaran yang mencecah ribuan ringgit.

Ahad, Mei 29, 2016

KETIADAAN MASTURA DALAM KEMPEN MERUPAKAN SATU CABARAN

KUALA KANGSAR, 28 Mei (Bernama) -- Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui ketiadaan Datin Mastura Yazid dalam kempen PRK Kuala Kangsa merupakan cabaran kepada jentera BN, namun ia bukan halangan besar kerana calon BN itu sudah dikenali penduduk Kuala Kangsar.

"Kita juga boleh menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti persidangan video dengan memasang skrin besar semasa berkempen untuk Mastura menyampaikan sesuatu kepada pengundi," katanya.


Keadaan tidak mengizinkan calon Barisan Nasional (BN) Mastura Mohd Yazid untuk turun berkempen pada PRK

Parlimen Kuala Kangsar tidak akan memberi kesan kepada usaha gabungan itu untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil percaya pengundi akan memahami tempoh edah yang perlu dilalui oleh Mastura susulan kematian suaminya, bekas penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Namun pengundi tidak perlu risau kerana kita jentera Wanita akan sentiasa menghubungi calon untuk memberitahu perkembangan semasa kempen," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kuala Kangsar dan pelancaran jentera BN, di sini hari ini.

Mastura, 55, seorang peguam, dinamakan sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

PKR itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, 50 sebagai calon parti itu manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calon parti itu pada 1 Jun ini.

Shahrizat berkata pemilihan Mastura sebagai calon merupakan satu keputusan yang tepat terutama dalam menyambung legasi dan hasrat arwah suaminya.

"Salah satu sebab nama beliau dicalonkan adalah kerana beliau adalah satu-satunya insan yang sentiasa bersama arwah. Sebagai isteri beliau mengetahui semua isu dan semua tuntutan rakyat di Kuala Kangsar," katanya.



Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon percaya masyarakat Cina akan menyokong Mastura memandangkan beliau mempunyai keperibadian yang serupa dengan arwah suaminya.

Jumlah pengundi pada PKR Kuala Kangsar adalah sebanyak 32,949 dengan hampir 8,000 adalah pengundi kaum Cina dan daripada jumlah itu, 2,834 adalah ahli MCA, katanya.

"Kami yakin masyarakat Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 2013, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi dengan mengalahkan calon PAS, Khalil Lim Abdullah dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim.

-- BERNAMA

TUNTUTAN FILIPINA TIDAK RELEVAN KATA TAWFIQ

TAWAU, 28 Mei (Bernama) -- Tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah adalah isu tidak wajar, tidak relevan dan tidak akan diterima oleh rakyat Sabah sampai bila-bila, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata rakyat Sabah sebulat suara sudah menentukan pilihan masa depan mereka sendiri melalui pungutan suara yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang meliputi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

"Rakyat Sabah telah membuat keputusan menerusi bancian yang dibuat melalui Suruhanjaya Cobbold di mana rakyat Sabah ketika itu telah membuat keputusan. Majoriti rakyat Sabah bersetuju untuk bergabung bersama Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk satu negara bernama Malaysia.

"Keputusan itu adalah keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh ditukar ganti dan keputusan itu akan terus dipertahankan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kenyataan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Rabu lalu yang mengatakan Filipina akan meneruskan tuntutannya ke atas Sabah.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas dan Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Tawau semasa menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi yang tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Justeru, kata Tawfiq, fokus rakyat Sabah ialah untuk membangunkan Sabah dalam sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaysia.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataannya menegaskan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina dan mana-mana pihak terhadap negeri berkenaan dan Sabah memilih untuk kekal di dalam persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang turut bersetuju dengan pandangan Tawfiq, berkata tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah suatu isu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu telah melaksanakan hak mereka menentukan masa depan sendiri dengan membuat keputusan membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Katanya keputusan yang dibuat Sabah atau North Borneo ketika itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak kerana dari sudut undang-undang antarabangsa pun, Sabah mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

"Beberapa tahun lalu, semasa adanya pertikaian wilayah berkenaan dengan Pulau Ligitan dan Sipadan, kes ini telah di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan persetujuan antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu pihak Filipina telah membuat satu permohonan untuk mencelah ke atas kes itu dengan alasan mereka ada hak ke atas Sabah.

"Tetapi pihak ICJ dalam satu perintah, selepas mendengar hujahan daripada pihak Filipina, telah memutuskan bahawa pencelahan ini tidak dibenarkan atas sebab bahawa mereka (Filipina) tidak ada hak mengenai Sabah. Jadi bagi saya ini sudah cukup jelas bahawa ini (tuntutan Filipina ke atas Sabah) bukan satu isu lagi," katanya.

Sehubungan itu, Teo berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlu bimbang dengan kenyataan Duterte kerana realiti politik pada hari ini ialah Sabah sememangya sebahagian daripada Malaysia yang diiktiraf oleh PBB.

-- BERNAMA

PENGAMAL MEDIA KENA SAMPAIKAN MAKLUMAT TEPAT

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan para pengamal media tempatan supaya sentiasa menyampaikan maklumat tepat dan tidak mengelirukan rakyat.

Ini kerana, ada pihak media menyiarkan berita yang belum lagi diketahui kesahihannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, katanya.

Sebagai contoh, Salleh berkata isu pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Salleh berkata rang undang-undang itu bukanlah hukum hudud seperti disiarkan akhbar.

"Maklumat itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pindaan ke atas undang-undang syariah, selain ia juga satu usul persendirian dan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan memang dibolehkan mengemukakan usul persendirian dan terserah pada kesesuaian sama ada konkrit atau tidak," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap melancarkan secara rasmi siaran Bernama Radio di Kota Kinabalu Sabah menerusi frekuensi FM107.9.

Dalam pada itu, Salleh berkata walaupun media mempunyai persaingan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, namun, kesahihan berita perlu diberi keutamaan agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan tidak menimbulkan salah faham.

Mengenai isu tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah, Salleh berkata perkara itu tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah jelas bahawa rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia.

"Kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan (Filipina) ke atas Sabah kerana rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia," katanya.

Pada Rabu, bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte dilaporkan berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

-- BERNAMA

Sabtu, Mei 28, 2016

PRK SUNGAI BESAR: ADUN SUNGAI PANJANG VS ADUN MERU


SUNGAI BESAR, 27 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO di hadapan kira-kira 2,000 penyokong itu pelancaran jentera PKR itu di Pusat Arahan BN di Sungai Panjang, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di sini, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.



Sementara itu PAS mengumumkan Abdul Rani Osman ADUN Meru sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, sebentar tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.

"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan ADUN Meru sejak 2008.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.


Sementara itu, Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa.

Pakatan Harapan sehingga kini masih belum menentukan parti serta calon yang akan bertanding bagi kedua-dua PRK tersebut.

Jumaat, Mei 27, 2016

DR ZUHDI TEMPELAK MAT SABU



KUALA LUMPUR 26 Mei – Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki pula menempelak Presiden PAN, Moha­mad Sabu, yang mendakwa parti itu yakin menang jika bertanding di Sungai Besar.

Dalam nada menyindir, Mohd. Zuhdi berkata, beliau cukup mengenali bekas Timbalan Presiden Pas itu yang didakwanya suka bercakap sesuatu yang tidak berpijak di alam nyata.

“Saya kenal lama abang Mat (Mohamad) ini. Pernah di London, ketika berucap di hadapan pelajar kita, dia dengan nada yang cukup yakin mengatakan pembangkang akan memerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Bila saya tanya abang Mat ambil angka mana, dia kata kita kena cakap depan rakyat macam itu, belakang rakyat itu soal lain. Jadi kita boleh nilailah macam mana orangnya abang Mat ini,” katanya.

Sementara itu Pas memberi amaran yang parti itu akan bertindak balas jika mana-mana parti dalam pakatan pembangkang cuba ‘kacau daun’ dengan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.


Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, kedua-dua kerusi Parlimen tersebut secara tradisinya ditandingi Pas sejak sekian lama dan tidak sepatutnya berbangkit soal pakatan turut mahu bertanding.

“Itu kawasan kita, kita bertanding dan kita tak kacau orang tapi kalau kau orang (pakatan pembangkang) kacau, kita makan orang,” katanya ketika berceramah di Taman Melewar di sini malam tadi.

Pas dan pakatan pembangkang gagal mencapai kata sepakat mengenai parti mana yang patut masuk gelanggang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.





Khamis, Mei 26, 2016

PELABUR EMAS TERTIPU LAGI

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan dua pengarah syarikat pelaburan emas, The Gold Label Sdn Bhd membela diri terhadap dua pertuduhan menerima deposit lebih RM400 juta daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Liew Choon Khee, 37, dan How Soo Feng, 42, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Julai depan untuk dua pengarah syarikat pelaburan emas itu membela diri.

Pada 23 Okt 2013, Liew dan How mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima deposit itu melalui skim melibatkan transaksi emas di A-21-1, Tingkat 21, Northpoint Offices, Tower A, Mid Valley City, No. 1, Medan Syed Putra di sini antara 22 April 2009 dan 6 Mei 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM) Alvin Ong Heng Kiat telah memanggil 17 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Liew memberitahu pemberita pihak pembelaan akan memanggil empat saksi pada prosiding membela diri itu. Peguam M. Kavimani mewakili How.

-- BERNAMA

Rabu, Mei 25, 2016

PRK TENTUKAN SIAPA LEBIH KUAT ANTARA PAS DENGAN AMANAH

SABAK BERNAM, 24 Mei (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Jun ini dilihat sebagai penentu 'kekuatan sebenar' antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata walaupun Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetahui kawasan Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS, namun perkara tersebut dinafikan, malah menunding jari dengan mendakwa PAS tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Ahmad Shabery berkata jika PAS, yang mempunyai keanggotaan tertinggi di kawasan itu memberi laluan kepada rakan pembangkang lain bertanding, PAS sekali lagi akan dilabel sebagai 'kuda tunggangan'.

"Jika ini berlaku, PAS yang pasang poster teruk-teruk, kempen sana sini, tapi nikmat kemenangan dikecapi orang lain. Malah, mereka (PAS) sekali lagi akan dilupakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah masanya untuk PAS dan Amanah membuktikan parti mana lebih kuat dan mempunyai ramai pengikut serta boleh dijadikan panduan oleh kedua-dua parti pada masa depan.

"Pada hemat saya, kalau kedua-dua parti bertanding pun bagus, sebab semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pun sudah terbukti percaturan pembangkang kurang cerdik," katanya.

Ahmad Shabery berkata jentera Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia untuk berjuang mengekalkan kemenangan di kawasan itu sejak tiga penggal lepas.

Katanya, apa yang penting untuk sesebuah parti politik adalah kebijaksanaan dan keupayaan pemimpinnya dalam menyatukan masyarakat.

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi parlimen itu berikutan penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA

Selasa, Mei 24, 2016

TOK KU PALOH TERIMA ANUGERAH KHAS TOKOH ULAMA TERENGGANU

KUALA NERUS, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak hari ini menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu kepada Allahyarham Tokku Paloh sebagai menghargai sumbangan besar ulama itu meninggikan syiar Islam.

Anugerah itu disampaikan Najib semasa merasmikan majlis penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu.

Najib menyerahkan anugerah itu kepada Datuk Syed Abu Bakar Syed Abdullah yang merupakan
generasi keempat Tokku Paloh atau nama sebenar Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Syed Abu Bakar, 72, berkata anugerah itu memberi motivasi kepada cucu cicit Allahyarham untuk terus memberi lebih banyak sumbangan bagi meninggikan syiar Islam di negara ini khususnya Terengganu.

Beliau berkata ketika ini masih ada generasi ketiga dan keempat Allahyarham Tokku Paloh di sekitar Kuala Terengganu namun kebanyakannya sudah uzur akibat faktor kesihatan.

"Kami masih meneruskan warisan Allahyarham iaitu Masjid Tokku Paloh berdekatan Losong yang kini sudah berusia 160 tahun dengan pelbagai ceramah dan aktiviti keagamaan.

"Saya adalah pengerusi di masjid itu dan setiap malam Isnin, Rabu dan Khamis, saya akan memilih penceramah di kalangan anak cucu yang ada berdekatan masjid dan sesekali ada juga panggil penceramah luar," kata Syed Abu Bakar.

Beliau berkata selain masjid, program pengajian al-Quran juga diadakan di surau peninggalan Allahyarham yang terletak berhampiran makamnya.

Bekas ketua pengarah sukan di Kementerian Belia dan Sukan itu berkata setakat ini ramai dalam kalangan generasi kelima dan keenam Allahyarham Tokku Paloh meneruskan pengajian di bidang agama termasuk di Jordan dan Hadramaut.

"Kalau ikut cerita-cerita orang, memang diakui bahawa Allahyarham Tokku Paloh ini tiada tandingannya, sumbangannya sangat besar terhadap Islam di Terengganu malah Allahyarham juga menjadi guru agama kepada Sultan Zainal Abidin satu ketika dulu," katanya.

Selain anugerah berkenaan, turut disampaikan ialah anugerah karya ilmiah pondok dan anugerah kasih Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Isnin, Mei 23, 2016

JANJIKAN SENATOR KEPADA JAMAL DENGAN SYARAT DIA KERJA KUAT UNTUK BN

BANTING, 22 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini.

Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, yang juga pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, berkata tujuh nama yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi dan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang dalam pilihan raya itu.

"Tujuh calon yang disenaraikan ini termasuk seorang calon wanita... yang paling muda berusia 30 tahun dan yang agak veteran berusia 60 tahun dan kesemua mereka merupakan anak jati tempatan.

"Kita yakin calon-calon ini disukai dan akan diterima pengundi di Parlimen Sungai Besar, namun BN Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan calon mana yang layak untuk bertanding dalam PRK nanti," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia peringkat negeri Selangor di Kolej Matrikulasi di sini hari Ahad.

Noh berkata BN Selangor juga sepakat menerima siapa sahaja calon yang dipilih dan akan memberi sokongan padu kepada calon berkenaan bagi memastikan kemenangan parti itu dalam PRK Sungai Besar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah serta tiga yang lain termasuk juruterbang.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

Ulasan saya, berdasarkan tujuh nama calon saya kira ketua bahagian, jamal Yunus tidak disenaraikan sebagai calon.

BN mahu menang oleh itu suoaya Jamal tidak sabotaj jenteria PRK, maka BN perlu janjikan jawatan Senator kepada Jamal jika BN menang.

Jika BN kalah maka Jamal terlepas jawatan itu. Maka dengan janji ini Jamal akan bekerja keras membantu calon BN.

Meletakkan Jamal sebagai calon akan lebih parah kepada BN kerana majoriti pengundi di DUN Sekinchan tidak akan mengundi Jamal. Maka beliau sewajarnya diberi jawatan Senator jika BN menang dengan syarat beliau bertungkus lumus mengarahkan jentera  PRK berkempen.

Sabtu, Mei 21, 2016

MALAYSIA KEMPUNAN LAGI PIALA THOMAS



Penantian Malaysia untuk merangkul kejuaraan Piala Thomas terus berpanjangan selepas mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 sebelum kecundang 2-3 kepada Denmark dalam separuh akhir di Kunshan, China, malam tadi.



Beraksi dalam perlawanan penentuan nyata memberi tekanan hebat kepada Chong Wei Feng apabila tunduk 15-21, 18-21 kepada Emil Holst, sekali gus membolehkan Denmark melangkah ke final buat kali kesembilan.

Bagi pasukan negara, kekalahan ini memanjangkan lagi penantian 24 tahun untuk mendakap kejuaraan badminton berpasukan dunia itu sejak kali terakhir memenanginya di Kuala Lumpur pada 1992.

Dalam aksi di Kunshan hari ini, pemain No. 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei memberikan permulaan positif buat pasukan negara apabila menumpaskan bekas juara remaja dunia, Viktor Axelsen 23-21, 21-18.

Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi harapan kepada peminat untuk melihat pasukan negara melangkah ke final lebih awal apabila mengejutkan pasangan handalan, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen 21-18, 21-18.

Bagaimanapun, kekalahan 18-21, 18-21 yang dialami Iskandar Zulkarnain Zainuddin kepada Hans-Kristian Vittinghus mula meresahkan kem negara, sebelum Astrup-Anders Skaarup Rasmussen mengheret pertarungan ke perlawanan penentuan dengan kemenangan 21-10, 8-21, 13-21 ke atas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Wei Feng yang menjadi harapan terakhir Malaysia untuk mencari tiket final nyata tertekan dengan peranan yang dimainkan apabila melakukan terlalu banyak kesilapan ketika dihukum oleh Holst dalam masa 51 minit.

Denmark, yang tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Thomas kini akan menentang juara 13 kali, Indonesia, yang mara selepas menumpaskan Korea Selatan 3-1.

Khamis, Mei 19, 2016

PAS TAK PEDULI PAKATAN HARAPAN BERTANDING

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- PAS tetap akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak bulan depan sekiranya PKR pun turut serta, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Beliau berkata calon PAS bagi kedua-dua kerusi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.


"PAS dah buat keputusan bertanding, dah ada calon...akan umumkan, (calon) tempatan, insya-Allah," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Namun, Abdul Hadi berkata PAS akan tetap meneruskan kerjasama dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR sungguhpun jika PKR meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Beliau berkata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor tidak pernah menemuinya untuk berunding tentang soal calon.

Presiden PAS itu berkata walaupun digesa pelbagai pihak supaya tidak bertanding, namun PAS tetap bertegas untuk bertanding di kedua-dua kawasan berkenaan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

-- BERNAMA

Rabu, Mei 18, 2016

MAHATHIR BUNUH UMNO YANG DIA TUBUH

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat menolak calon Barisan Nasional (BN) pada dua pilihan raya kecil bulan depan umpama seorang bapa yang sanggup "membunuh anak" yang dibesarkannya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata bekas perdana menteri itu kini sanggup melibatkan rakyat pula untuk menolak BN setelah perjuangannya dilihat tidak mendapat sambutan daripada pemimpin pembangkang.

"Saya lihat pembangkang pun tidak mahu berkawan dengan dia dan pihak kerajaan dari BN pun kecewa dengan beliau.

"Beliau (Dr Mahathir) dilihat sebagai berseorangan sekarang ini sehingga sanggup "membunuh" anak (BN) yang dilahir dan dibesarkan serta menyeru orang membunuh "anak sendiri"," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam satu majlis di Stadium Melawati, Selangor baru-baru ini dilaporkan meminta rakyat menolak calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun ini.

Ulasan saya, Umno yang ada sekarang bukanlah Umno yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar yang ditubuhkan di atas tangga Istana Johor pada 11 Mei 1946. Umno itu sudah diharamkan pada tahun 1988 apabila Mahkamah Tinggi mendapati bahawa ada ahli yang tidak sah yang menjadi perwakilan dalam pertandingan Umno pada 24 April 1987.

Selepas itu Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) dan ROS membenarkan Umno membuang perkataan baru dan akhirnya Umno sekarang dianggap sebagai kesinambungan Umno yang dilahirkan pada tahun 1946. Umno Dr Mahathir baru berusia 28 tahun sedangkan Umno Dato Onn sudah berkubur pada tahun 1988 ketika berusia 42 tahun.

Oleh itu kenyataan Ahmad Shabery Cheek di atas tidaklah menghairankan apabila beliau berkata Dr Mahathir sanggup bunuh anaknya sendiri kerana Umno Dato Onn pun sanggup dia bunuh. Maka jika Umno berkubur dalam PRU 2018 maka usia Umno Dr Mahathir hanya setakat 30 tahun dan bukannya 72 tahun seperti yang digembar-gemburkan sekarang.

Dr mahathir sanggup menipu sejarah kononnya Umno yang dia tubuhkan sudah berusia 70 tahun sedangkan pada hakikat sebenar Umno ini baru berusia 28 tahun. Oleh itu jika Umno gagal memerintah pada tahun 2018 maka Dr Mahathir akan mencatat sejarah sebagai pemimpin yang menubuhkan Umno dan yang menghancurkan Umno. Itulah Dr Mahathir.

Selasa, Mei 17, 2016

SPRM CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN?

KUALA KANGSAR, 16 Mei (Bernama) -- Setiap calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya perlu ditapis sebaik sahaja nama mereka diserahkan parti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata ia adalah proses biasa dalam tapisan calon seperti yang dilaksanakan SPRM secara berterusan pada masa ini.

"Memang biasa dalam soal tapisan calon yang dibuat melibatkan semua parti kerana kita tidak kira siapa. Terpulang kepada pihak berkenaan (parti) untuk menyalurkan maklumat kerana tapisan itu perkara biasa dilakukan pihak kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai proses tapisan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian anggota parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Ulasan saya, SPRM cakap tidak serupa bikin. Seorang calon BN di Terengganu terang terang ada kes rasuah tetapi dapat juga bertanding dalam PRU 13. Jadi di mana benarnya kenyataan SPRM ini. Oleh itu bagi saya tak perlulah SPRM mengaburi mata rakyat. Kalau ada bertimbun kes rasuah pun kalau pucuk pimpinan masih mahu pemimpin itu jadi calon tak perlulah SPRM mendabik dada. Parti dah buat pilihan tetapi rakyat masih mengundi pemimpin yang rasuah. Jadi siapakah yang salah? Rakyat atau parti atau SPRM yang tidak bertegas dengan tapisannya? Oleh itu tak perlulah SPRM cakap banyak kerana integriti SPRM sudah tidak dipercayai rakyat lagi.