Memaparkan catatan dengan label sendiri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sendiri. Papar semua catatan

Rabu, Jun 01, 2016

BN PERLU YAKIN KEKUATAN SENDIRI

(sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian)


Oleh Shahbudin Haji Embun

Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan turun sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang akan diadakan pada 18 Jun ini.Apatah lagi kerusi tersebut disandang oleh BN pada Pilihan Raya Umum  (PRU) yang lalu.

Sementara pukulan K.O yang diterima oleh parti-perti pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini tentunya memberikan momentum kepada BN untuk terus membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa BN masih teguh dan sentiasa relevan di hati para pengundi di Malaysia.

Oleh itu, mengapa Zahid Hamidi menganggap BN sebagai “pasukan bukan pilihan”. Namun jika diteliti dengan lebih mendalam, kenyataan Zahid itu sebenarnya merupakan satu ungkapan taktikal yang mungkin akan memberi kemenangan kepada BN.

Ya, secara realitinya, pada PRU yang lalu,BN menang dengan undi yang tipis, iaitu hanya dengan kelebihan 399 undi sahaja. Manakala kerajaan negeri yang memerintah pula bukannya dimiliki oleh Barisan Nasional.Dari dua elemen ini, sememangnya BN boleh dianggap sebagai pasukan bukan pilihan.

Sungguhpun begitu, di sebalik status ‘underdog’ itu , ada hikmahnya yang tersembunyi kerana  status itu akan memberikan kelebihan kepada BN jika semua yang terlibat bekerja kuat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Istilah ‘underdog’ mungkin sengaja dipilih oleh Zahid untuk terus memberi kesedaran kepada setiap warga BN untuk memberikan lebih daripada 100 peratus komitmen supaya dapat mempertahankan kerusi Sungai Besar ini.

Secara umumnya setiap pasukan yang bergelar ‘underdog’ akan memberikan segala-galanya untuk membuat kejutan. Dan mungkin inilah yang dimahukan oleh Zahid supaya jentera PRK BN bekerja sepenuh jiwa dan tidak lalai dengan kejayaan BN di Sarawak.

Itu sebabnya dalam hal ini, kenyataan Zahid Hamidi ini juga sebenarnya untuk mengingatkan kepada BN supaya jangan ambil jalan mudah walaupun pihak pembangkang sendiri mempunyai masalah untuk bertanding di kerusi ini berikutan kerumitan hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor .

Itulah sebabnya, dalam hal ini juga BN bukanlah ‘underdog’ dalam pengertian yang sebenarnya. BN mempunyai kekuatan yang tersendiri  dan antara kelebihan yang dimiliki oleh BN ialah calon yang dipilih untuk bertanding di kerusi Sungai Besar iaitu Budiman Mohd Zohdi .

Nama Budiman yang dimilikinya benar-benar mewakili sikap dan sifatnya yang budiman.  Beliau  merupakan calon yang berwibawa dan telah membuktikan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Sungai Panjang.Beliau mempunyai track record yang cemerlang sebagai ADUN dan disenangi oleh semua kaum di Sungai Panjang.

Apa yang pasti, strategi BN yang meletakkan anak tempatan kelahiran Kampung Sungai Limau dan juga merupakan Setiausaha ADUN BN di Selangor sebagai calon di sini merupakan satu taktik yang akan memberi kelebihan kepada BN.Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, inilah kekuatan BN dan Itu sebabnya BN perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri dan biarkan sahaja apa yang berlaku di antara hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor.

Tidak kiralah sama ada wujudnya pertandingan dua penjuru ataupun tiga penjuru, yang pasti tentunya terdapat pihak dari PKR, PAS, DAP dan AMANAH yang tidak akan puas hati dengan apa jua keputuan yang diambil dan faktor ini juga akan memberi kelebihan kepada BN. Bagi BN, biarkan sahaja perebutan kerusi berlaku asalkan BN boleh terus mengatur strategi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Dan melihatkan pada keadaan huru hara yang wujud ini,  tentunya rakyat Selangor sendiri dapat menilai bagaimana pakatan pembangkang ini tidak dapat duduk satu meja untuk mencari  dan mencapai persepakatan. Manakala BN pula telah membuktikan bahawa perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini mampu memberikan kesejahteraan dan kestabilan kepada rakyat sekeliannya.

Mungkin sudah sampai masanya para pengundi Selangor mahukan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan ada kemungkinan besar keputusan di PRK Sungai Besar nanti akan dilihat sebagai penanda aras untuk mengukur kekuatan BN di Selangor.Kita nantikan 18 Jun 2016 nanti.

keterangan gambar di atas penulis (kiri) bersama gurunya Prof Dato Rahman Shaari.

Khamis, Oktober 22, 2015

NAK PERINTAH NEGARA MACAM MANA, USUL TAK PERCAYA DAH BERGADUH SESAMA SENDIRI

Rakyat ketawa melihat pembangkang bertelagah sesama sendiri mengenai usul undi tidak percaya kepada PM. Lucu apabila usul yang dibawa ahli parlimen PKR, Hee Loy Sian ditolak oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu usul itu dibawa oleh ketua pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Walaupun Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa ia adalah strategi PKR tetapi ia tidak boleh diterima kerana Presiden PKR masih ada.

Sehubungan dengan itu Pakatan Harapan bersetuju Dr Wan Azizah yang membawa usul itu walaupun ia tidak diterima dua minggu sebelum persidangan dewan. Dalam pada itu Bersih sebagai pemantau pilihanraya turut membelasah Pakatqan Harapan kerana mereka tidak bersatu dalam membawa usul undi tidak percaya kepada PM. Sebaliknya Bersih meminta semua ahli parlimen menolak Bajet 2016. Apabila bajet ditolak secara automatik kerajaan pimpinan Najib Razak akan tumbang.

Kalau benda yang kecil seperti ini sudah bertelagah, cuba bayangkan Pakatan Harapan memerintah negara apa akan jadi apabila PKR, DAP dan Amanah bergaduh siapa yang layak jadi Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran dan sebagainya. Akhirnya negara tidak setabil kerana kerajaan Pakatan Harapan asyik bertelagah sesama sendiri.

Kejadian ini memberi hikmah kepada kita semua bahawa pada PRU akan datang rakyat Malaysia mesti bersatu mengegalkan kerajaan BN kerana sudah terbukti soal yang kecil pun Pakatan Harapan tidak boleh tunjuk keseragaman mereka.

PAS walaupun bersetuju mengundi usul tidsak percaya itu tetapi Naib Presiden PAS, Nik Amar Nik Abdullah berkata sia-sia sahaja membawa usul tidak percaya itu kerana ia tidak akan menang.

Jika benar Najib Razak satu liabiliti kepada BN, sepatutnya Pakatan Harapan sokong Najib kekal sebagai PM sehingga PRU akan datang kerana lebih mudah menjatuhkan BN dengan dakwaan yang pelbagai jenis  terhadap Najib. Sebaliknya jika Najib jatuh sekarang, BN sempat memulihkan imejnya dan ia lebih menyulitkan Pakatan Harapan untuk menang dalam PRU akan datang.  Maka Pakatan Harapan hanya tinggal harapan sahaja.



Isnin, September 05, 2011

MB KEDAH DAN KELANTAN SYOK SENDIRI



Perkasa menyifatkan keengganan MB Kedah, Ustaz Azizan melepaskan jawatannya sebagai satu bukti kepentingan diri melebihi segala-galanya.

Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali,mulut cakap lain tetapi hati cakap lain.

"Sekarang hati sudah mendedahkan sifat sebenarnya berhubung dengan MB Kedah yang mengatakan beliau sihat, tak perlu letak jawatan dan tak perlu wujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar," katanya dalam sms yang dihantar kepada blog ini.

Katanya lagi, MB Kedah jadi doktor pada dirinya sendiri.

"Beliau begitu sayang kepada jawatannya seperti juga MB Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang keluar masuk hospital tetapi sudah 21 tahun jadi MB," tegasnya lagi.

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas mendakwa Nik Aziz mahu lagi jawatan MB dan akan bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang, seperti kata Datuk Husham Musa.

"Dalam hati kecil Husham, beliau mahu Nik Aziz berundur tetapi beliau takut bercakap benda benar kerana bimbang kerusi MB terlepas ke tangan orang lain," katanya lagi.

Justru itu, beliau berkata, biar Nik Aziz kekal MB walaupun pembangunan kelantan terbantut.

'Bila dapat jawatan, susah mahu lepaskannya walaupun pemegang jawatan mempunyai serban yang besar," dakwanya lagi.

Katanya, Nik Aziz pernah berkata jika Tun Dr Mahathir bersara, dia akan bersara.

"Sebaliknya sudah lapan tahun Dr Mahathir bersara, dia masih jadi MB dan mahu bertanding lagi, inilah dia orang cakap tak serupa bikin,"katanya.

Ibrahim menambah, tak hairanlah ayat-ayat alquran jadi modal dan umpan.Rupa-rupanya MB Kedah dan Kelantan setanding dengan bekas-bekas Presiden Mesir, Tunisia dan Yemen.

"Kalau macam Ghadafi boleh tahan, ada perjuangan lawan kuasa besar, tapi dua MB ini sayang pangkat dan gaji lebih dari kepentingan rakyat dan negeri,"jelas beliau.

Katanya, MCA sudah tetapkan lapan tahun seorang pegang jawatan tetapi PAS tak ada had.

" Walau dah tua, sihat macam mana pun, otak makin slow.Sekarang dunia IT dan globalisasi, pemimpin kena kreatif dan inovatif.Wajah PAS makin terserlah dan rakyat ketawa melihat gelagat mereka yang syok sendiri," tegasnya lagi.

Isnin, Ogos 10, 2009

BILA RADIO SYOK SENDIRI


Nampaknya Radio Suria FM sudah tidak ada modal. Anak boss pun boleh masuk dalam konti. Hebat sangatkah anak Engku Emran? Janganlah Engku Emran kejar glamour, mentang-mentang awak kahwin dengan Erra Fazira.Kalaulah begini caranya radio syok sendiri, akhirnya pendengar akan cabut lari.


Sejak memulakan operasi penyiaran lima tahun lalu, inilah kali pertama Suria FM bersiaran bersama tetamu paling kecil, Engku Aleesya Engku Emran yang merupakan anak kepada pelakon popular, Erra Fazira dan juga Ketua Pegawai Operasi stesen berkenaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.


Minggu lalu, memasuki konti Suria FM seawal pukul 7.30 pagi, Ungku Aleesya yang masih lena dalam dakapan ibunya memenuhi undangan bersiaran bersama krew Breakfast@Suria, Tuah dan Zizi.


Sepanjang 90 minit bersiaran, pelbagai topik serta pertanyaan dilayangkan oleh penyampai mahupun pendengar Suria FM sendiri kepada kedua-dua tetamu istimewa itu. Hampir kesemua soalan yang diajukan menjurus kepada si comel itu.


Pelbagai gelagat serta aksi bersahaja si comel itu dipertontonkan secara langsung di suria.tv yang boleh ditonton menerusi laman sesawang rasmi Suria FM, www.suriafm.com.my khas buat tontonan pendengar setia mereka.


"Dia tidak banyak ragam, kecuali jika dia lapar dan hendak tidur," kata Erra mengenai tabiat puteri sulungnya itu.


Benar seperti yang dikatakan oleh ibunya, Engku Aleesya tidak banyak ragamnya. Si kecil bermata bundar ini memerhati dan bertindak balas dengan keadaan sekeliling.


Bagaikan sudah terbiasa dikerumuni dan diperhatikan khalayak, dia tidak sedikit pun menunjukkan aksi kurang senang tatkala 'diusik' oleh kedua-dua penyampai tersebut.


Biarpun baru mencecah usia empat bulan, seperti ibu dan ayahnya, Engku Aleesya turut mewarisi 'kemahsyuran' kedua-dua selebriti itu.


Kemana sahaja dia dibawa pasti puteri comel berkulit cerah itu menjadi perhatian ramai.


Malah sejak dalam kandungan lagi ramai yang begitu teruja menanti kelahirannya. Malah, sesudah dilahirkan bertambah ramai yang setia menunggu kesediaan Erra dan suami merelakan wajah anak sulungnya itu dirakamkan.


Dilahirkan seberat 4.04 kilogram (kg) di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu, Engku Aleesya kini hampir mencecah berat 8 kg.


Bertuah menjadi Engku Aleesya. Biarpun telah direncanakan rancangan pendidikan sempurna oleh ibu dan ayahnya, dia juga pada masa yangsama sudah mengumpul ribuan malah mungkin jutaan peminat menerusi program Gugu Gaga Erra.


Menariknya, program tersebut merupakan antara program yang cukup mendapat perhatian ramai di saluran Ria (saluran 104, Astro) ketika ini.


Selepas muncul di kaca televisyen, Engku Aleesya muncul pula sebagai tetamu undangan di radio, apa lagi selepas ini?