Rabu, Mei 25, 2016

PRK TENTUKAN SIAPA LEBIH KUAT ANTARA PAS DENGAN AMANAH

SABAK BERNAM, 24 Mei (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Jun ini dilihat sebagai penentu 'kekuatan sebenar' antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata walaupun Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetahui kawasan Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS, namun perkara tersebut dinafikan, malah menunding jari dengan mendakwa PAS tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Ahmad Shabery berkata jika PAS, yang mempunyai keanggotaan tertinggi di kawasan itu memberi laluan kepada rakan pembangkang lain bertanding, PAS sekali lagi akan dilabel sebagai 'kuda tunggangan'.

"Jika ini berlaku, PAS yang pasang poster teruk-teruk, kempen sana sini, tapi nikmat kemenangan dikecapi orang lain. Malah, mereka (PAS) sekali lagi akan dilupakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah masanya untuk PAS dan Amanah membuktikan parti mana lebih kuat dan mempunyai ramai pengikut serta boleh dijadikan panduan oleh kedua-dua parti pada masa depan.

"Pada hemat saya, kalau kedua-dua parti bertanding pun bagus, sebab semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pun sudah terbukti percaturan pembangkang kurang cerdik," katanya.

Ahmad Shabery berkata jentera Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia untuk berjuang mengekalkan kemenangan di kawasan itu sejak tiga penggal lepas.

Katanya, apa yang penting untuk sesebuah parti politik adalah kebijaksanaan dan keupayaan pemimpinnya dalam menyatukan masyarakat.

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi parlimen itu berikutan penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA