Sabtu, April 08, 2017

KEBANYAKAN HUJAH PEMBANGKANG SELAMA SEMBILAN TAHUN TONGONG

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) semalam kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.

Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-13 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam bermula pada 10 pagi kelmarin (Rabu) hingga 5.05 pagi semalam (Khamis).

Ditanya kenapa beliau membenarkan persidangan berlangsung sehingga 20 jam, Pandikar Amin yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar Serantau Anggota Parlimen Wanita Komanwel Asia Tenggara di Parlimen, semalam berkata :


"Ia adalah kehendak kerajaan untuk menamatkan rang undang-undang yang mereka mahu tamatkan, ia bukan kehendak saya...terpaksa...pegawai saya dan saya satu malam tak tidur.

"Jadi, pada ketika itu, itu kuasa saya, saya tidak mahu duduk lagi untuk mendengar hujah-hujah yang pernah saya dengar, yang kadang-kadang tidak masuk di akal. Kalau mahu tuduh saya tongong, maka hujah-hujah mereka selama sembilan tahun saya dengar, kebanyakan mereka tongong," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas mengenai kecaman pembangkang berhubung tindakannya menamatkan sesi Dewan Rakyat lebih awal semalam, sebelum sempat RUU355 yang dibentang Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibahaskan.

Tindakan Pandikar Amin menangguhkan hari terakhir sidang Dewan Rakyat itu lebih awal dari kebiasaannya menerima kecaman pelbagai pihak terutama pembangkang yang mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk membahaskan RUU355 berkenaan.

Ini termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub yang menyelar tindakan Speaker mengeluarkan arahan untuk menangguhkan RUU355 dibahaskan semalam sebagai tongong.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin berkata tugas beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat bukan semata-mata untuk menyenangkan hati semua pihak.

"Kalau ada yang menganggap ia tongong, itu adalah persepsi masing-masing. Saya rasa PAS semalam pun mahu perkara itu untuk dibahas dan diundi.

Tetapi saya mempunyai hak untuk tangguhkan mesyuarat dan mereka (anggota Parlimen) masih dapat berbahas pada masa akan datang. Tapi bila mereka ini berhujah, hujah mereka itu boleh berasaskan agenda politik semata-mata.

Saya tidak mempunyai agenda politik, saya hanya mahu memastikan setiap persidangan itu berjalan lancar. Terpulang kepada sesiapa sahaja yang mahu menghentam saya, saya tidak kisah, saya tak peduli, saya tak peduli asalkan (sidang) Parlimen berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata tindakan itu juga adalah adil kerana kedua-dua pihak, iaitu anggota Parlimen kerajaan dan juga pembangkang yang ingin mencelah dan berbahas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Pandikar Amin juga berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang dimiliki beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, walaupun ada pemimpin yang pernah menyebut bahawa RUU berkenaan akan dibentang, namun tidak akan dibahas dan diundi pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

"Itu untuk kepentingan politik, mereka mahu menang pilihan raya, saya tidak mahu menang pilihan raya. Apa yang penting, apa yang saya kata dan apa yang saya lakukan.

Sebab semalam, kita sudah duduk sampai pukul 5 pagi kerana kemahuan kerajaan yang mahu semua rang undang-undang dibahaskan di bawah peraturan Mesyuarat 15 (5). Itu bukan kemahuan saya, jadi apabila saya mempunyai kuasa, saya perlu menggunakannya, saya tidak mahu tunggu lagi dua hingga tiga jam untuk mendengar hujah-hujah anggota Parlimen yang kadang-kadang tidak masuk akal bagi saya," katanya.

Pembentangan RUU355 dibuat Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 semalam. Persidangan Dewan Rakyat itu bermula 6 Mac lalu.

Sejurus Abdul Hadi selesai membentangkan usul itu, ia disokong anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS.

Pandikar Amin kemudian membuat keputusan usul itu akan dibahas dan diputuskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan undian suara majoriti.

Sidang Dewan Rakyat kali ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017.

-- BERNAMA

Jumaat, April 07, 2017

KONSERT WINGS BUKTI WINGS TETAP SEJATI

KUALA LUMPUR: Konsert Wings and Super Friends selama dua jam setengah malam tadi di Istana Budaya menghiburkan ribuan penonton. Datuk Awie membuktikan bahawa Wings tetap menyengat tanpa Joe Wings. Lagu "Sejati" yang menaikkan nama kumpulan rock tersebut pada tahun 80an membuatkan kumpulan itu tetap sejati.


Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama yang berkonsepkan perjuangan nasib para insan seni tanah air berjaya  menggegarkan Istana Budaya malam tadi.

Gandingan artis-artis hebat dalam satu pentas dengan sorotan adegan rintihan lagu selama dua jam akan menjelajahi jiwa dan rasa penonton terhadap keluhan hati nasib artis yang diperjuangkan.

Tujuan konsert ini diadakan bagi mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma.

Awie Entertainment Sdn Bhd yang menganjurkan konsert ini mengumpulkan persatuan–persatuan di Malaysia untuk membentangkan permasalahan dalam persada seni terutamanya dari segi kebajikan anak –anak seni yang tidak pernah berubah.

Awie, teraju utama Awie Entertainment Sdn Bhd berharap gabungan bersama persatuan seperti Karyawan, Seniman, Yayasan Artis 1Malaysia, MACP dan RIM dapat memperbaiki taraf anak–anak seni tanah air.

Bagi Awie, nasib para artis Malaysia tidak seharusnya malang seperti yang berlaku selama ini kerana mereka golongan yang amat berpengaruh.

Pengaruh dan nama besar mereka hanya ketika popular dan sekiranya tiada usaha diambil maka ia tidak akan menjanjikan masa depan yang baik dari segi kewangan.

Ikon konsert ini ialah pemain drum ternama, Yazid Search. Semua orang kenal dirinya. Menganggotai sebuah kumpulan muzik rock ternama tetapi setelah beliau menghidap penyakit buah pinggang, mata pencariannya terhad.

Awie sebagai salah seorang peneroka muzik rock tanah air mengambil inisiatif untuk membantu Yazid dan tidak mahu anak–anak seni di negara ini hidup dalam kesempitan pada zaman kejatuhan.

Artis–artis ternama seperti, Eddie Wings, Black Wings, Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Liza Hanim, Haiza, Sahara Yaacob, Billa AF, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa dan Aniq Ceria Pop Star adalah antara artis yang berpadu tenaga menjayakan Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama.

Para pemuzik yang turut terlibat adalah Edrie Hashim, Kudin Headwind, Yan Lefthanded, Sham Guitarist, Lola, Rodi Kristal, Hamzah Pecussion, Pae, Fly dan Adi.

Harga tiket bemula daripada RM80.00,RM150.00, RM200.00, RM250.00, RM300.00 dan RM350.00 boleh di beli melalui online di Website Redtix, www.airasiaredtix.com. atau di kaunter pembelian tiket di Istana Budaya mulai 1 Mac 2017 lalu.

Awie Entertainment Sdn Bhd yang disokong padu oleh rakan seperjuangan dalam persada seni amat berharap kejayaan konsert ini akan berpihak kepada semua insan seni tanah air.


Konsert itu bertujuan untuk membela nasib artis yang terbiar seperti Yazid pemain drum kumpulan Search dan penyanyi 70an, Sahara Yaacob.

Pelakon Beto Khusairi dan Awie memulakan konsert dengan segmen monolog. Maya Karin turut muncul dalam monolog sambil menyanyi lagu Namun Kupunya Hati bersama Awie.

Konsert selama empat malam itu sehingga Ahad ini tidak mengecewakan peminat lagu lagu rock. Malah ramai super friends Wings diundang seperti Ramli Sharif, Datuk M. Nasir, Datuk Nash, Datuk Hattan, Ito dan Liza Hanim.

Tiket tiket untuk hari Sabtu sudah habis dijual tetapi tiket tiket untuk malam ini (Jumaat) dan Ahad ini masih ada lagi.

Kemunculan Ramli Sharif dengan lagu Camelia menyebabkan para penonton menyanyi bersamanya. Ternyata Ramli Sharif mencuri perhatian (stole the show) para penonton.

Mereka tidak rasa rugi membeli tiket berharga RM350 untuk menyaksikan Wings and Super Friends. Ayuh datanglah beramai ramai ke Istana Budaya malam ini. Pastkan anda tidak memakai t shirt tidak berkolar. Jika tidak anda tidak dibenarkan masuk.


Khamis, April 06, 2017

EKSPORT PRODUK HALAL MENINGKAT RM39.3 BILION

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pengiktirafan bersama pensijilan halal perlu digalakkan dalam kalangan pelbagai badan pensijilan di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mencadangkan perkara ini berdasarkan kemungkinan agak sukar untuk mempunyai satu standard pensijilan yang seragam.

Timbalan perdana menteri menarik perhatian bahawa terdapat lebih 200 badan pensijilan di seluruh dunia yang mengeluarkan sijil dan logo halal masing-masing.

"Kita patut menggalakkan pengiktirafan bersama pensijilan masing-masing. Saya benar-benar berharap kita meneliti secara serius akan kemungkinan penyelesaian ini," kata Ahmad Zahid semasa merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Ketiadaan pensijilan yang seragam merupakan satu cabaran, katanya, selain memelihara integriti status halal itu.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah memasuki fasa ketiga dan fasa akhir pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal dengan penekanan diberikan terhadap memperluaskan syarikat tempatan dan pengantarabangsaan industri halal.


Beliau berkata kerajaan Malaysia fokus terhadap pendekatan yang lebih holistik ke arah mewujudkan ekosistem halal untuk menjadikan negara sebuah hab halal global terkemuka.

Pendekatan itu, katanya, menekankan kepda peningkatan aktiviti melalui rangkaian pembekalan.

"Selain produk halal dan menyediakan perkhidmatan berkaitan halal, rangkaian pembekalan halal juga termasuk perbankan dan kewangan Islam, logistik, pelancongan, takaful dan perkhidmatan sokongan berkaitan halal yang lain," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata beberapa negara Arab telah menyatakan minat mereka untuk membina ekosistem halal dengan Malaysia.

Dari segi pembangunan ekonomi, Ahmad Zahid berkata produk halal Malaysia terus mendapat perhatian kukuh dalam kalangan pelanggan di seluruh dunia, dengan jumlah eksport meningkat daripada RM23.9 bilion dalam tahun 2011 kepada RM39.3 bilion tahun lepas.

"Kita melihat ini hasil daripada promosi agresif produk dan perkhidmatan halal kita melalui acara seperti Mihas serta misi dagangan kita di luar negara," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata China ialah antara destinasi utama bagi ekpsort halal Malaysia bersama Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata produk utama yang dieksport ialah makanan dan minuman yang diikuti dengan bahan halal serta terbitan minyak sawit.

Adalah diunjurkan menjelang 2020, eksport halal tahunan Malaysia akan melebihi RM50 bilion.

Tahun ini, MIHAS 2017 menempatkan 580 pempamer dari 33 negara termasuk negara anggota ASEAN, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun dan Taiwan.

-- BERNAMA

Rabu, April 05, 2017

NAJIP ALI DIMINTA MOHON MAAF KEPADA RAKYAT MALAYSIA SEHINGGA JUMAAT INI

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Personaliti Singapura, Najip Ali perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kenyataannya yang menghina dan mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah rancangan hiburan di Singapura.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata persatuan itu memberikan tempoh sehingga Jumaat ini, dan akan membuat laporan polis jika Najip gagal berbuat demikian.

"(Jika Najip enggan memohon maaf) Kami juga cadangkan supaya Najip disekat daripada membuat penampilan dalam rancangan televisyen Malaysia," katanya selepas menghadiri Program Kajian Insan 'Khazanah Seni Negara' yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, di sini semalam.

Selasa, April 04, 2017

BORHAN JADI KSU KEMENTERIAN LUAR BANDAR MULAI HARI INI



PUTRAJAYA 3 April - Datuk Borhan Dollah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkuat kuasa pada Rabu ini.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Borhan, 57, yang merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Perdana Menteri sebelum ini adalah lulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Hartford, Amerika Syarikat.

"Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti pada beliau membolehkannnya melaksanakan tanggungjawab di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

MALAYSIA BERSEDIA TAWARKAN INSENTIF KEPADA PENERBIT FILEM BOLYWOOD DAN KOLLYWOOD

NEW DELHI, 3 April (Bernama) -- Malaysia telah membuka pintunya kepada India, negara pembikin filem terbesar di dunia, untuk menjadikan negara sebagai lokasi pilihan mereka
menghasilkan lebih banyak filem dan siri televisyen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyifatkan dirinya sebagai peminat setia filem India, berkata pembikin filem India boleh memanfaatkan pemandangan yang unik, budaya, kepelbagaian dan bakat seni di Malaysia.

Najib berkata Malaysia bersedia menawarkan insentif kepada penggiat industri hiburan India.

"Saya menemui wakil daripada industri hiburan hari ini dan mereka bertanyakan jika kita boleh menawarkan beberapa insentif," katanya pada majlis makan malam gala anjuran Forum CEO Malaysia-India (MICEOF) bersempena lawatan beliau ke sini.

Industri filem India adalah terbesar di dunia dari segi angka filem dihasilkan, antara 1,500 dan 2,000 filem setiap tahun dalam lebih daripada 20 bahasa.

Beliau memberitahu penggiat industri hiburan India bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah peminat filem Bollywood dan Kollywood.

"Nampaknya banyak minat terhadap filem India di Malaysia," kata Najib.

Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Bersama MICEOF Malaysia Tan Sri Krishnan Tan, dan Pengerusi Bersama MICEOF India Milind Kamble.

Berdasarkan interaksi beliau dengan semua tokoh utama perniagaan, hiburan, politik dan industri beberapa hari lepas, Najib yakin banyak perkara terbaik masih belum dikecapi oleh kedua-dua negara.

Najib memulakan lawatan ketiganya ke India sebagai perdana menteri, dengan singgah di Chennai, bandaraya di selatan negara berkenaan, dan juga melawat Jaipur, yang menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia membida enam projek jalan raya dan lebuh raya.

-- BERNAMA

Isnin, April 03, 2017

HOTEL HALAL PERTAMA DI THAILAND SEMAKIN PESAT

BANGKOK, 2 April (Bernama) -- Perniagaan Al Meroz Hotel, hotel empat bintang halal sepenuhnya yang pertama di Thailand, kini semakin pesat berikutan peningkatan jumlah pelancong Islam ke negara itu.

Pengarah Urusan dan Pengurus Besarnya Sanya Saengboon berkata hotel dengan 242 bilik itu yang telah mendapat pensijilan daripada pihak berkuasa dari Timur Tengah dan Thailand, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.



Sanya Saengboon
"Kadar penginapan hotel kami sekarang ialah pada 94 peratus. Ia sudah terlalu tinggi dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi (terhadap sambutan yang tidak pernah berlaku)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bagi menampung permintaan yang amat menggalakkan itu, beliau berkata hotel, yang menampilkan seni bina seperti masjid lengkap dengan menara, sudah mula merancang untuk menambah 150 bilik lagi.

Rancangan pengembangan dilakukan sebulan selepas hotel itu, yang terletak di pinggir bandar Bangkok, Ramkhamhaeng, dilancarkan secara rasmi pada Februari tahun ini selepas menjalani operasi percubaan lebih setahun.




Hotel berkenaan akan menambah satu lagi bangunan tambahan pada akhir tahun, menjadikan jumlah keseluruhan bilik kepada hampir 500, setiap satu dilengkapi dengan sejadah, Al-Quran dan arah kiblat.

Ia juga mempunyai surau, kemudahan wuduk, tiga restoran, dewan, gimnasium dan kolam renang, dengan masa yang berlainan bagi lelaki dan wanita.

Menurut Sanya, yang beragama Islam, walaupun hotel itu halal sepenuhnya, Al Meroz menerima campuran tetamu, Islam dan bukan Islam, yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam sedia untuk menginap di hotel berstatus halal.

"Sejak dibuka, kami telah menerima banyak pelanggan dari Malaysia, Indonesia, Brunei, China, serta negara-negara di Timur Tengah, Eropah dan Amerika," katanya.

Selain itu, hotel ini juga memenuhi keperluan pelancong Islam tempatan terutamanya dari bahagian selatan negara ini dan masyarakat yang tinggal di Ramkhamhaeng, antara penempatan orang Islam terawal dan terbesar di Bangkok.

Sanya berkata Lembaga Pelancongan Thailand melihat peluang dalam pasaran pelancongan halal dan memulakan usaha bersepadu untuk menarik pelancong Islam dari seluruh dunia ke negara di Asia Tenggara itu.

"Terdapat 1.6 bilion umat Islam di dunia dan ini merupakan satu peluang yang besar untuk negara," katanya, sambil menambah bahawa usaha untuk menarik pelancong Islam telah memberi faedah kepada Thailand, sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Buddha.

Thailand telah menyaksikan lonjakan pelancong dan pengunjung Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata inisiatif ini telah melangkaui peluang pelancongan memandangkan rantaian halal meliputi industri-industri lain yang Thailand boleh memanfaatkannya.

Mengimbas kembali bagaimana tercetusnya idea untuk membina hotel halal pertama Thailand itu, Sanya berkata ia adalah ilham Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rausak Mulsap, yang melihat peluang luas dalam industri halal.

Didorong oleh impian memiliki hotel halal di Thailand, Rausak memulakan pembinaan Al Meroz Hotel tiga tahun lalu dengan pelaburan sebanyak lebih satu bilion baht (kira-kira RM126 juta).

-- BERNAMA

Ahad, April 02, 2017

WACANA DIBATALKAN KERANA BIMBANG LEBIH BANYAK PEKONG DI DADA DIBUKA?


Ramai yang kecewa dengan pembatalan wacana Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz anjuran Sinar Harian pada 7 April ini. Alasan polis yang mengatakan ada bantahan dari penduduk sekitar tidak kuat untuk membatalkan wacana ini.

Karangkraf sudah anjur 45 wacana sebelum ini dan wacana sebelum ini hangat tetapi tak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini. Oleh itu alasan polis amat dangkal. Mungkin ada arahan dari pihak atasan yang tidak mahu wacana berlangsung.

Kalau benar hutang 1MDB sudah selesai dibayar, kenapa kerajaan takut wacana ini diadakan. Adakah kerana ia akan menjadi majlis membuka pekong di dada? Tambahan pula Dr Mahathir adalah bekas Perdana Menteri.

Kita masih ingat dengan debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Dewan Bahasa dan Pustaka dahulu, apabila Shabery tidak dapat menjawan soalan Anwar, beliau telah menyerang peribadi Anwar.

Jika wacana Dr Mahathir dengan Nazri diteruskan, kemungkinan lebih banyak pekong di dada akan didedahkan Nazri yang memalukan Dr Mahathir dan Umno. Orang bukan Melayu bertepuk tangan mendengar pendedahan Nazri.

Atas alasan ini mungkin kerajaan arahkan polis membatalkan wacana ini. Wacana tidak dapat menyelesaikan masalah. Tunggulah PRU untuk melihat sama ada rakyat terkesan dengan isu 1MDB ini. Walaupun hadirin yang menerima kad jemputan sahaja yang akan hadiri wacana, tetapi segala kemungkinan sudah dikaji polis sebelum membuat keputusan untuk membatalkannya.

Jumaat, Mac 31, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MAC 2017

Kes rasuah Exco Johor mendahului senarai posting tertinggi bagi bulan Mac dengan 196 hits iaitu "Lebih baik letak jawatan dari bercuti". 10 posting yang mendapat hits tertinggi ialah:-

1. Lebih baik letak jawatan dari bercuti (2 Mac)
2. Tujuh tahun menunggu kes Sosilawati (17 Mac)
3. Blogger ditahan kerana fitnah pemimpin  negara (1 Mac)
4. Dua individu ditangkap kerana berita palsu (16 Mac)
5.Kenapa Siti takut berdebat dengan Dr Zakir? (9 Mac)
6. Betul ke orang bergaji 12k sebulan mohon BRIM? (13 Mac)
7.Hamidah Osman tanding di Padang Rengas? (26 Mac)
8. Kastam penyelamat ekonomi negara? (14 Mac)
9. Tok Pa nafi pertemuan sulit dengan Mat Yaacob (19 Mac)
10. 100 akaun palsu Ustaz Kazim dikesan (11 Mac)

BERAKHIR KRISIS MALAYSIA DENGAN KOREA UTARA

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, telah menyebabkan hubungan diplomatik antara dan Korea Utara berada dalam keadaan tegang.

Berikut ialah urusan peristiwa yang berlaku sepanjang 46 hari krisis itu berlarutan yang diselubungi ketidakpastian sejak 13 Feb.

13 Feb: Seorang lelaki rakyat Korea Utara berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan yang dijadual berlepas pada 9 pagi ke Macau.

Dia tidak melalui kaunter imigresen. Seorang wanita tiba-tiba datang dari belakang dan melumur mukanya dengan cecair.

Dia kemudian mendapat bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 untuk dihantar ke hospital. Dia dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

14 Feb: Media antarabangsa yang mula sekali melaporkan bahawa Kim Jong-nam dibunuh di Malaysia pada Isnin. Pada 11 malam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan mengenal pasti lelaki warga Korea Utara itu sebagai Kim Chol berdasarkan nombor pasportnya 836410070. Lelaki itu dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun, 1970.

15 Feb: Seorang suspek wanita yang memiliki pasport Republik Sosialis Vietnam ditahan di klia2, tertera nama "Doan Thi Huong", 29.

Mayat lelaki warga Korea Utara itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk post mortem. Mayatnya disimpan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), HKL.

16 Feb: Seorang lagi wanita ditahan pada 2 pagi, dikenali sebagai Siti Aishah, pemegang pasport Indonesia. Mengikut butiran dalam pasportnya, dia lahir pada 11 Feb, 1992 dan tempat lahirnya ialah Serang, Indonesia.

* Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang mati di klia2 pada Isnin ialah Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Jong-un, orang sama yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

18 Feb: Polis menahan lelaki rakyat Korea Utara berusia 47 tahun Ri Jong-chol, yang dikenal pasti sebagai ahli kimia yang bekerja di jabatan IT sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

19 Feb: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid berkata polis sedang memburu tujuh lagi suspek warga Korea Utara berhubung pembunuhan itu. Rakaman melalui CCTV yang menunjukkan detik Jong-nam diserang dan peristiwa yang menyusul sehingga kematiannya, bocor dalam Youtube.

Empat suspek -- Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55 dan Ri Jae Nam, 57 -- meninggalkan negara.

Tiga lagi suspek termasuk seorang lelaki rakyat Korea Utara berusia 30 tahun dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30. Dua suspek lain belum dikenal pasti.

20 Feb: Korea Utara mencadangkan siasatan bersama dengan Malaysia bagi menyiasat pembunuhan Jong-nam. Dutanya ke Malaysia, Kang Chol, berkata cadangan itu dikemukakan selepas "banyak persoalan dan percanggahan" timbul semasa siasatan terhadap kematian Jong-nam.

21 Feb: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bukan alat mana-mana negara dan berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dalam siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam.

Beliau berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak boleh dipaksa atau dibuli dalam apa-apa bentuk tindakan yang dianggap sebagai tidak wajar.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad, yang dipanggil pulang ke Kuala Lumpur untuk berunding, tiba di Malaysia.

22 Feb: Polis Malaysia menolak cadangan pihak berkuasa Korea Utara bagi siasatan bersama terhadap pembunuhan Jong-nam. Mereka percaya keempat-empat suspek yang telah kembali ke Korea Utara memainkan peranan penting dalam pembunuhan itu.

Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di KL, yang menjadi suspek dalam siasatan, dikenal pasti sebagai Hyon Kwang-song, 44, sementara seorang lagi suspek ialah Kim Uk-il, 37, kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air.

23 Feb: Pihak berkuasa Malaysia berkata Kuala Lumpur mematuhi protokol antarabangsa bagi mendapatkan kerjasama seorang pegawai kedutaan Korea Utara dalam siasatan. Polis menghantar permintaan itu kepada kedutaan melalui Kementerian Luar memohon bantuan Kwang-song untuk membantu siasatan.

24 Feb: Bahan kimia yang dianalisis dalam siasatan pembunuhan Jong-nam dikenal pasti sebagai "ejen saraf VX". Bahan toksik itu ialah senjata berbahaya dan disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

1 Mac: Dua wanita warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang kerana membunuh Jong-nam.

3 Mac: Jong-chol dihantar pulang selepas dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk mendakwanya atas pembunuhan itu.

4 Mac: Kerajaan Malaysia mengisytiharkan dutra Korea Utara Kang Chol sebagai "Persona Non Grata" (orang yang tidak diingini) dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini.

6 Mac: Kang Chol, meninggalkan Malaysia berikutan arahan pengusiran ke atasnya.

7 Mac: Kerajaan Korea Utara melarang rakyat Malaysia di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu sehingga keselamatan diplomat dan warganya di Malaysia terjamin sepenuhnya.

Majlis Keselamatan Negara (MSN) mengadakan mesyuarat tergempar dipengerusikan oleh Perdana Menteri susulan tindakan Korea Utara melarang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

9 Mac: Dua rakyat Malaysia, kakitangan Pertubuhan Bangsa Bersatu dibenar meninggalkan Korea Utara.

10 Mac: Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang dibunuh di klia2 pada 13 Feb yang namanya dalam pasport tertera sebagai Kim Chol, sebenarnya ialah Jong-nam.

Pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang dijadual berlangsung pada 28 Mac di Pyongyang ditunda ke tarikh lain.

13 Mac: Polis percaya dua lelaki warga Korea Utara yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes pembuuhan Jong-nam masih bersembunyi di kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara.

14 Mac: Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menghantar pulang 50 rakyat Korea Utara di Sarawak yang tempoh permit kerja mereka telah berakhir.

15 Mac: Timbalan Perdana Menteri berkata identiti Jong-nam disahkan melalui sampel DNA anak lelakinya.

16 Mac: Polis menerima notis merah Interpol bagi menangkap empat rakyat Korea Utara berhubung pembuuhan Jong-nam.

28 Mac: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan bahawa mayat Jong-nam masih berada di IPFN.

30 Mac: Perdana Menteri mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang dilarang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan kembali ke Malaysia.

Mereka berlepas dari Pyongyang hari ini pada 7.45 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur esok kira-kira 5 pagi.

Susulan perkembangan itu, perdan menteri berkata Malaysia sekarang membenarkan rakyat Korea Utara di Malaysia meninggalkan negara ini.

Koroner telah meluluskan pelepasan mayat Jong-nam selepas selesai autopsi ke si mati dan menerima surat daripada keluarganya memohon mayatnya dibawa pulang ke Korea Utara.

-- BERNAMA

Khamis, Mac 30, 2017

PARTI KOMPONEN BN TOLAK KERAJAAN BENTANG RUU355

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

"BN membincangkan banyak perkara (pada mesyuarat ini) antaranya mengenai RUU 355, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan kepada konsensus.

"Justeru RUU ini akan terus menjadi RUU persendirian dan terserah kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia) untuk menentukan mengikut kepada Order Paper (aturan urusan mesyuarat)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini malam tadi.


Katanya kerajaan menyerahkan kepada Pandikar Amin untuk menentukan kedudukan RUU itu, sama ada akan dibentangkan atau tidak, berdasarkan kepada peraturan dewan.

"Macam mana pun kita tidak akan bentangkan dan kita tidak akan menentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna BN tidak akan menyokong RUU itu, Najib berkata ia bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Anggota Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

-- BERNAMA

Rabu, Mac 29, 2017

ABANG JO MASIH TAK FAHAM KENAPA RUU355 PERLU DIPINDA



Kerajaan negeri Sarawak di bawah Ketua Menterinya yang baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu.

"Saya mahu jelaskan bahawa hudud tidak terpakai di Sarawak dan saya berkongsi pandangan yang sama dengan Allahyarham Tok Nan (bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem).

"Walaupun rang undang-undang ini (berkaitan) syariah dan bukan hudud, kami luahkan kebimbangan kami kerana bagi saya penalti rang undang-undang ini bersifat diskriminasi antara orang Islam dan bukan Islam berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita semasa melawat Menara Sarawak Energy semalam diminta mengulas mengenai rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ditanya sama ada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu membuat undian berhubung cadangan pindaan itu, Abang Johari berkata perkara tersebut bergantung kepada hasil pertemuan antara perdana menteri dan pemimpin parti komponen BN baru-baru ini.


Katanya beliau hanya menghadiri mesyuarat pertama dan berada di China semasa mesyuarat kedua yang dihadiri oleh Timbalanya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Rang undang-undang persendirian itu diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat pada 24 Nov lalu, namun baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi memperkasakan kuasa mahkamah syariah itu.

-Ulasan saya, Abang Jo tak faham bahawa RUU355 bukanlah hudud. Jadi soal mengadakan hudud di Sarawak tidak timbul. Sepatutnya beliau beri jaminan kepada rakyat bukan Islam Sarawak bahawa mereka tidak terjejas jika RUU355 dilaksanakan kerana yang menerima hukuman adalah orang Islam sahaja.

Sepatutnya Perdana Menteri memberi penjelasan kepada Abang Jo supaya beliau faham kenapa RUU355 perlu dipinda.

Selasa, Mac 28, 2017

KENYATAAN AZMIN BUKTI PKR TIADA JENTERA

SHAH ALAM, 27 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap berpendirian untuk tidak memutuskan hubungan dengan PAS sekalipun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama dengan parti lain ibarat 'memikul biawak hidup'.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PKR tetap yakin dengan permuafakatan dalam pakatan pembangkang dan akan sentiasa menghormati sebarang perbezaan pendapat.

"Keadilan (PKR) di peringkat pusat, negeri dan cabang tidak pernah putuskan hubungan dengan sahabat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Bangunan DUN Selangor di sini, semalam.

Mengulas kenyataan Abdul Hadi berkenaan 'memikul biawak hidup', Menteri Besar Selangor itu berkata: "Usahlah lontarkan istilah begitu, tidak manis di khalayak ramai, kita patut zahirkan kata-kata yang lebih manis, lebih lunak.

"Kita kena saling hormat-menghormati sebab kalaupun kita berhujah dengan musuh sekalipun tiada keperluan guna istilah itu," katanya.

Pada Sabtu lepas, media sosial melaporkan Abdul Hadi berkata PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan atau pun Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum.

Abdul Hadi berkata kerjasama dengan parti lain umpama 'memikul biawak hidup', dan PAS akan mengambil pendekatan sendiri dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Ulasan saya, kenyataan Azmin membuktikan bahawa PKR tiada jentera pilihan raya. Selama ini PKR bergantung kepada jentera PAS. Ini bermakna calon PKR menang kerana kerja kuat jentera PAS. Apabila PAS tidak menyertai Pakatan Harapan ini yang membimbangkan PKR kerana mereka tiada jentera.

Malah di parlimen Gombak, penyokong PAS sudah meluat dengan Azmin. Mereka tunggu PRU tiba untuk meletakkan calon PAS untuk menentang Azmin. Ketika itu barulah Azmin tahu bahawa selama ini beliau menang kerana jentera PAS yang bekerja tanpa mengharapkan imbuhan.

Ahad, Mac 26, 2017

HAMIDAH OSMAN TANDING DI PADANG RENGAS?

PADANG RENGAS, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang membolehkan sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding dalam mana-mana kawasan Parlimen.

Sehubungan itu, Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamaed Nazri Abdul Aziz mengalu-alukan hasrat pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu bertanding di kawasannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata bekas exco kerajaan negeri Perak Datuk Hamidah Osman telah menyatakan minat untuk bertanding di Padang Rengas.

"Saya kata sesiapa yang nak bertanding di sini bagus, lebih baik Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di sini dan saya tunggu pilihan raya diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Mellenium Lubuk Merbau di sini semalam.


Nazri berkata demikian sebagai mengulas ceramah Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi di Kota Lama Kiri, di sini yang mahu menjatuhkan UMNO di Padang Rengas dalam PRU14.

Dalam perkembangan lain, Nazri mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memilih beliau untuk bertanding di Padang Rengas sejak 22 tahun lalu.

"Saya pegang amanah Tun kerana dia kata UMNO parti yang boleh jaga negara, 22 tahun saya jadi wakil rakyat di sini sedangkan yang tukar parti adalah Tun," katanya.

Mengenai perbahasan dengan Dr Mahathir, Nazri berkata beliau akan hadir ke program itu pada 7 April depan di Shah Alam, Selangor sebagai usaha mempertahankan UMNO.

"Saya tidak nampak apa halangannya untuk menganjurkan wacana ini kerana ia bukannya melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012," ulang Nazri.

Perbahasan antara kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dijadual berlangsung semalam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, namun dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.

-- BERNAMA

Sabtu, Mac 25, 2017

NAZRI BUKTIKAN BAHAWA BELIAU ANAK JANTAN



KUALA KANGSAR 25 Mac - Setelah gagal bertemu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz akhirnya bersemuka dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Lembah di sini semalam.



Mohammed Nazri dan Mahathir berjumpa di tepi dataran Sungai Perak di sini pada pukul 4.25 petang.


Mereka hanya menikmati cendol dan laksa di bawah sebuah pondok di kawasan perniagaan makanan di sini.



Hadir sama Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Terdahulu, Mohammed Nazri dan para penyokongnya menunggu Mahathir lebih tiga jam di pintu masuk MRSM Kuala Kangsar di sini

KERAJAAN LANCAR PELAN FIBER UNTUK MANTAPKAN JALUR LEBAR



PUTRAJAYA 24 Mac – Kerajaan akan melancarkan Pelan Fiber Seluruh Negara (2017-2019) bagi memantapkan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini.

SALLEH SAID KERUAK

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pelaksanaan pelan itu yang bermula tahun ini, telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pelan ini dihasratkan untuk memastikan sasaran kelajuan jalur lebar dua kali ganda boleh dicapai,” katanya kepada Bernama hari ini.


Salleh berkata, rangkaian fiber di bawah pelan itu akan menghubungkan kira-kira enam juta premis termasuk kira-kira dua juta di kawasan luar bandar.

“Pelaksanaan pelan ini adalah penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan rakyat Malaysia, terutamanya komuniti luar bandar, dapat menikmati manfaat daripada ekonomi digital secara saksama,” katanya.

Salleh berkata, pelan itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara entiti yang relevan bagi penyediaan perkhidmatan borong jalur lebar berasaskan fiber.

Beliau berkata model pelaksanaan adalah dalam bentuk 3-Tier atau 3 peringkat.

Tier 1 akan bertumpu pada kemudahan 'backhaul' kepunyaan Tenaga Nasional Berhad, Tier 2 untuk sambungan terakhir dan Tier 3 untuk penyediaan perkhidmatan runcit yang akan ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi sedia ada.

Pelan itu akan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah rangka kerja kawal selia sedia ada bagi memastikan pencapaian mengikut sasaran yang ditetapkan, katanya. – BERNAMA

Jumaat, Mac 24, 2017

KERAJAAN KOMITED BENTANG RUU355


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) pada sidang Parlimen kali ini.Jelaslah ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan untuk terus memartabat kedaulatan agama Islam  di negara kita ini tanpa menggugat kepentingan agama dan kaum lain di Malaysia.

Sebagaimana maklum,   RUU 355, dibentangkan untuk meminda Seksyen 2 sebagai menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas mereka yang beragama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 senarai negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ini bermakna, RUU355 mempunyai objektif untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan ini termasuklah dalam isu meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara,serta menambah baik gred perkhidmatan para hakim.

Sehingga hari ini isu ini masih dibincangkan lagi di kalangan kita semua dan penulis juga pernah membangkitkan perkara ini. Pastinya juga antara perkara utama yang menjadi perhatian, khasnya bagi mereka yang bukan beragama Islam ialah adakah Akta 355 ini merupakan satu kaedah atau pintu belakang untuk melaksanakan hukuman Hudud.

Perkara ini telah dijelaskan bahawa Akta 355 tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hukum Hudud. Perlu diingatkan juga bahawa Hudud hanya boleh dikaitkan dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. RUU 355 juga bukannya hukum hudud kerana undang-undang ini sudah sedia ada dan pernah dibentangkan untuk pertama kalinya pada tahun 1984. 

Ahmad Zahid telah beberapa kali menegaskan bahawa pemahaman tentang RUU 355 ini adalah mustahak bagi mengelakkan berlakunya persoalan dan kekeliruan yang nampaknya masih lagi berlaku. Bahkan, dalam satu kenyataan , beliau pernah menjelaskan bahawa“RUU 355 adalah undang-undang syariah yang tidak akan mengambil alih sebarang kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

Perlu juga diingatkan sekali lagi bahawa kerajaan begitu komited tidak akan mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam mengambil kira kesan pelaksanaan RUU 355 itu nanti.

Dalam hal ini, rata-rata masyarakat Islam tidak ada masalah dengan RUU 355 ini. Bahkan antara yang menyokongnya telah memberikan alasan bagaimana
undang-undang enakmen jenayah syariah yang sedia ada hari ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada pelaku jenayah yang beragama Islam.

Kita tidak boleh menutup sebelah mata seolah-olah masyarakat Islam di sini tidak ada masalah langsung dengan kegiatan maksiat , aktiviti judi dan juga minum arak. Masalah seperti ini masih lagi berleluasa dan itu adalah hakikatnya.Lihat sahaja laporan di akhbar-akhbar  harian. Ada sahaja kegiatan maksiat yang dikaitkan dengan mereka yang beragama Islam.

Masyarakat Islam yang mengamalkan cara hidup bermaksiat dan bertuhankan dosa pastinya tidak akan dihormati dan sekaligus memburukkan agama Islam itu  sendiri. Itulah sebabnya adalah menjadi harapan kita semua agar pelaksanaan RUU355 ini dapat menghalang perkara yang tidak sihat ini daripada terus berlaku.Dan pada masa yang sama dapat memberikan rasa keinsafan kepada masyarakat Islam secara umumnya agar tidak mengulangi dan takut untuk melakukan dosa.

Islam juga bermaksud kebaikan dan keadilan. Itu sebabnya bagi mereka yang menyokong RUU355 ini juga jangan sekali kali berasa marah dengan mereka yang masih keliru dan tidak faham dengan perlaksanaan RUU 355 ini. Perjuangan untuk memperkasakan undang-undang Islam bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat.

Usaha ini memerlukan masa, persediaan dan kefahaman yang jelas agar tidak wujudnya sebarang perselisihan atau sesuatu yang mencurigakan nanti, terutamanya bagi sebuah negara seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama. 

Selasa, Mac 21, 2017

TAK JADI DEBAT MAHATHIR-NAZRI



IPOH 21 Mac - Polis menolak permohonan penganjur untuk mengadakan perdebatan antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar pada Sabtu ini.


Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq telah menerima permohonan daripada seorang wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf pada pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, setelah dikaji sebab-sebab perhimpunan tersebut diadakan selain mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, permohonan itu telah ditolak.


Katanya, permohonan penganjur ditolak ekoran kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Selain itu, tempat perhimpunan yang dipilih di MRSM Sultan Azlan Shah adalah kawasan sekolah dan ia merupakan tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012).

“Penolakan itu juga kerana Jadual Ketiga APA 2012 secara jelas menyatakan perhimpunan atau dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan,” katanya di sini semalam.


Menurut beliau, sebab lain penolakan itu berikutan pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

Katanya, laporan itu dibuat kerana mereka bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga dan ini merupakan bantahan dari orang-orang yang berkepentingan dalam APA 2012.

“Penolakan itu telah dimaklumkan kepada pihak penganjur semalam dan keputusan secara bertulis berhubung perkara itu akan diserahkan hari ini.

“Pihak polis mengalu-mengalukan semua pihak supaya akur kepada arahan Ketua Polis Daerah ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ia diteruskan,” ujar beliau. -


Ahad, Mac 19, 2017

TOK PA NAFI PERTEMUAN SULIT DENGAN MAT YAAKOB

KOTA BHARU, 19 Mac (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas kerana BN tetap dengan keputusan untuk merampas negeri itu daripada tangan PAS.

"Saya tidak pernah bincang perkara ini dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi dengan Menteri Besar (Ahmad). Kita (cuma) kerjasama dalam hal tertentu seperti banjir, pelaburan dan hal berkaitan faedah untuk rakyat Kelantan.

"(Cita-cita untuk menawan Kelantan) masih sama...tiada perubahan. Kami berjuang untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan (dari pimpinan PAS).

"Anak buah saya cukup bersemangat dan Insya Allah kita akan teruskan usaha dan kerja keras untuk pastikan penantian begitu lama akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden HIMSAK Datuk Mohd Faizal Daud dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Madya Abdul Aziz Ab Latif.

Pertandingan pidato selama tiga hari itu bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini disertai 83 pemidato dari kalangan pelajar universiti, sekolah dan orang awam.

Sebelum ini, dakwaan bahawa Mustapa mengadakan pertemuan sulit dengan Ahmad bagi membincangkan kerjasama berkenaan tular di laman sosial.

Mustapa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku pada masa depan kerana keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah.

"(Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak kata dalam politik kita tak boleh ramalkan apa yang akan berlaku, tidak ada ketentuan," katanya.

Dalam masa yang sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menolak kemungkinan menubuhkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bayangan daripada BN selepas ini.

-- BERNAMA

KES SOSILAWATI KES PALING DIINGATI TUN ARIFIN

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Menyifatkan perbicaraan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya sebagai kes paling diingatinya sebagai hakim, Tun Arifin Zakaria berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan untuk mensabitkan tiga lelaki termasuk seorang bekas peguam.

Ketua Hakim Negara itu berkata perbicaraan kes bunuh Sosilawati merupakan yang kedua, selepas kes bunuh Sunny Ang Soo Suan pada 1965, yang mahkamah bergantung pada bukti keadaan untuk mensabitkan tertuduh tanpa mayat mangsa dijumpai.

"Sudah tentu, kes terakhir yang kami ada ialah kes bunuh Sosilawati. Ia diingati atas beberapa sebab iaitu melibatkan banyak tertuduh dan bersejarah dari segi ia merupakan kes kedua selepas kes Sunny Ang iaitu kami bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan. Polis tidak menjumpai mayat (Sosilawati), sama seperti dalam kes Sunny Ang.

"Jadi, ia bersejarah dari aspek itu dan kebetulan ia juga merupakan kes jenayah terakhir dikendalikan saya," katanya semasa ditanya kes apa yang paling diingati, sebagai hakim.

Soalan itu diajukan kepada Arifin pada sidang media selepas pelancaran bukunya bertajuk 'Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries', oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di sebuah hotel di sini, semalam.


Dalam kes Sunny Ang, lelaki itu didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang mayatnya tidak dijumpai.

Pada 16 Mac, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati diputuskan terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan, 47, dan dua pekerja ladangnya, tetapi membebaskan seorang daripada perayu daripada pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya kira-kira tujuh tahun lepas.

Dua pekerja ladang itu ialah T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37.

Dalam penghakimannya, panel lima hakim dipengerusikan Arifin berkata terdapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa Sosilawati dan tiga pembantunya dibunuh di ladang milik Pathmanabhan di Banting.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim, sementara itu membebaskan seorang lagi perayu R. Matan, 26, atas alasan kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.

Pada 23 Mei, 2013, empat lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sosilawati dan ketiga-tiga pembantunya itu dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting bagi urusan tanah.

Kehilangan mereka telah menjadi topik utama di seluruh negara.

-- BERNAMA