Jumaat, April 07, 2017

KONSERT WINGS BUKTI WINGS TETAP SEJATI

KUALA LUMPUR: Konsert Wings and Super Friends selama dua jam setengah malam tadi di Istana Budaya menghiburkan ribuan penonton. Datuk Awie membuktikan bahawa Wings tetap menyengat tanpa Joe Wings. Lagu "Sejati" yang menaikkan nama kumpulan rock tersebut pada tahun 80an membuatkan kumpulan itu tetap sejati.


Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama yang berkonsepkan perjuangan nasib para insan seni tanah air berjaya  menggegarkan Istana Budaya malam tadi.

Gandingan artis-artis hebat dalam satu pentas dengan sorotan adegan rintihan lagu selama dua jam akan menjelajahi jiwa dan rasa penonton terhadap keluhan hati nasib artis yang diperjuangkan.

Tujuan konsert ini diadakan bagi mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma.

Awie Entertainment Sdn Bhd yang menganjurkan konsert ini mengumpulkan persatuan–persatuan di Malaysia untuk membentangkan permasalahan dalam persada seni terutamanya dari segi kebajikan anak –anak seni yang tidak pernah berubah.

Awie, teraju utama Awie Entertainment Sdn Bhd berharap gabungan bersama persatuan seperti Karyawan, Seniman, Yayasan Artis 1Malaysia, MACP dan RIM dapat memperbaiki taraf anak–anak seni tanah air.

Bagi Awie, nasib para artis Malaysia tidak seharusnya malang seperti yang berlaku selama ini kerana mereka golongan yang amat berpengaruh.

Pengaruh dan nama besar mereka hanya ketika popular dan sekiranya tiada usaha diambil maka ia tidak akan menjanjikan masa depan yang baik dari segi kewangan.

Ikon konsert ini ialah pemain drum ternama, Yazid Search. Semua orang kenal dirinya. Menganggotai sebuah kumpulan muzik rock ternama tetapi setelah beliau menghidap penyakit buah pinggang, mata pencariannya terhad.

Awie sebagai salah seorang peneroka muzik rock tanah air mengambil inisiatif untuk membantu Yazid dan tidak mahu anak–anak seni di negara ini hidup dalam kesempitan pada zaman kejatuhan.

Artis–artis ternama seperti, Eddie Wings, Black Wings, Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Liza Hanim, Haiza, Sahara Yaacob, Billa AF, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa dan Aniq Ceria Pop Star adalah antara artis yang berpadu tenaga menjayakan Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama.

Para pemuzik yang turut terlibat adalah Edrie Hashim, Kudin Headwind, Yan Lefthanded, Sham Guitarist, Lola, Rodi Kristal, Hamzah Pecussion, Pae, Fly dan Adi.

Harga tiket bemula daripada RM80.00,RM150.00, RM200.00, RM250.00, RM300.00 dan RM350.00 boleh di beli melalui online di Website Redtix, www.airasiaredtix.com. atau di kaunter pembelian tiket di Istana Budaya mulai 1 Mac 2017 lalu.

Awie Entertainment Sdn Bhd yang disokong padu oleh rakan seperjuangan dalam persada seni amat berharap kejayaan konsert ini akan berpihak kepada semua insan seni tanah air.


Konsert itu bertujuan untuk membela nasib artis yang terbiar seperti Yazid pemain drum kumpulan Search dan penyanyi 70an, Sahara Yaacob.

Pelakon Beto Khusairi dan Awie memulakan konsert dengan segmen monolog. Maya Karin turut muncul dalam monolog sambil menyanyi lagu Namun Kupunya Hati bersama Awie.

Konsert selama empat malam itu sehingga Ahad ini tidak mengecewakan peminat lagu lagu rock. Malah ramai super friends Wings diundang seperti Ramli Sharif, Datuk M. Nasir, Datuk Nash, Datuk Hattan, Ito dan Liza Hanim.

Tiket tiket untuk hari Sabtu sudah habis dijual tetapi tiket tiket untuk malam ini (Jumaat) dan Ahad ini masih ada lagi.

Kemunculan Ramli Sharif dengan lagu Camelia menyebabkan para penonton menyanyi bersamanya. Ternyata Ramli Sharif mencuri perhatian (stole the show) para penonton.

Mereka tidak rasa rugi membeli tiket berharga RM350 untuk menyaksikan Wings and Super Friends. Ayuh datanglah beramai ramai ke Istana Budaya malam ini. Pastkan anda tidak memakai t shirt tidak berkolar. Jika tidak anda tidak dibenarkan masuk.