Ahad, April 02, 2017
WACANA DIBATALKAN KERANA BIMBANG LEBIH BANYAK PEKONG DI DADA DIBUKA?
Ramai yang kecewa dengan pembatalan wacana Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz anjuran Sinar Harian pada 7 April ini. Alasan polis yang mengatakan ada bantahan dari penduduk sekitar tidak kuat untuk membatalkan wacana ini.
Karangkraf sudah anjur 45 wacana sebelum ini dan wacana sebelum ini hangat tetapi tak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini. Oleh itu alasan polis amat dangkal. Mungkin ada arahan dari pihak atasan yang tidak mahu wacana berlangsung.
Kalau benar hutang 1MDB sudah selesai dibayar, kenapa kerajaan takut wacana ini diadakan. Adakah kerana ia akan menjadi majlis membuka pekong di dada? Tambahan pula Dr Mahathir adalah bekas Perdana Menteri.
Kita masih ingat dengan debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Dewan Bahasa dan Pustaka dahulu, apabila Shabery tidak dapat menjawan soalan Anwar, beliau telah menyerang peribadi Anwar.
Jika wacana Dr Mahathir dengan Nazri diteruskan, kemungkinan lebih banyak pekong di dada akan didedahkan Nazri yang memalukan Dr Mahathir dan Umno. Orang bukan Melayu bertepuk tangan mendengar pendedahan Nazri.
Atas alasan ini mungkin kerajaan arahkan polis membatalkan wacana ini. Wacana tidak dapat menyelesaikan masalah. Tunggulah PRU untuk melihat sama ada rakyat terkesan dengan isu 1MDB ini. Walaupun hadirin yang menerima kad jemputan sahaja yang akan hadiri wacana, tetapi segala kemungkinan sudah dikaji polis sebelum membuat keputusan untuk membatalkannya.