Isnin, September 20, 2010

LIMA PELAJAR JADI KUMPULAN PERTAMA SEKOLAH HARAPAN


Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

Ahad, September 19, 2010

KU NAN, KJ DAN NAZRI PEMIMPIN UMNO ANTI-PERKASA


Khairy menulis di dalam Twitternya bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”. Kenyataan ini berdasarkan kepada akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya. Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

1. Siapa yang menentang PERKASA daripada UMNO? Setakat ini hanya 3 orang penentang tegar PERKASA daripada pemimpin UMNO iaitu Tengku Adnan, KJ dan Nazri Aziz. Adakah 3 orang ini sudah menunjukkan bahawa UMNO secara keseluruhannya menentang PERKASA. Bagaimana dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Naib-Naib Presiden UMNO, MKT, Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang lain?

2. Berikut adalah petikan RESPON DS Najib sendiri dalam wawancara dengan CNBC terhadap PERKASA:-

NAJIB: Mereka tidak menentang kami. Mereka lebih berbicara mengenai hak Bumiputra. Sebenarnya, kami tidak menarik balik sebarang hak daripada Bumiputra tetapi kami memperkatakan biar kita lakukan dengan cara berbeza. Biar kita dapat hasil yang lebih baik. Biar kita capai sebuah masyarakat yang lebih saksama. Tetapi pada masa sama, berlaku adil kepada penduduk bukan Bumiputra. Kerana kami mahu membina 1Malaysia.

Kesimpulannya : Komen Najib kepada PERKASA masih positif

3. KJ perlu menoleh seketika sejarah penubuhan Utusan Melayu 1939 dan melihat perjuangannya.

4. SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu menulis bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''

Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.

Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.

Saya rasa sebab itulah Utusan Melayu masih menyokong PERKASA walaupun ada 2-3 kerat pemimpin UMNO yang 'jaki' dengan PERKASA.

Amir Hamzah
Batu Pahat (dipetik dari segalanya mungkin.blogspot.com)

SATU RENUNGAN

AWANG SELAMAT JAWAB NAZRI


Utusan pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka — Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti — Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh Umno. Nazri lupa, ketika Umno diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin Umno difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan Umno jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela Umno dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin Umno, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.

(dipetik dari mingguan malaysia)

NAZRI PERSOAL UTUSAN MALAYSIA


Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia seolah-olah memperlekehkan gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil berkata, sama ada akhbar milik Umno itu berkonspirasi mahu ‘menggantikan’ beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa arah aliran laporan Utusan Malaysia dan editorialnnya sejak kebelakangan ini menunjukkan akhbar harian itu terbitan Kumpulan Utusan sudah lupa siapa ketua mereka yang sebenarnya.

“Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr Mahathir?

“Saya kadangkala tertanya-tanya jika mereka ada agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib,” kata beliau ketika dihubungi malam tadi.

Dr Mahathir bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara awal April 2009.

Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, dengan memainkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir menyokong pertubuhan hak Melayu Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, ia dengan jelas memperkecilkan konsep 1 Malaysia dibawa oleh Najib.

“Mereka seharusnya mempromosikan konsep 1 Malaysia dan bukannya memperlekehkan program beliau. Saya lihat begitu... mereka menyokong Dr Mahathir,” katanya.

Jelas beliau ekoran perspektif laporan mereka, Utusan Malaysia mahu memberikan lebih banyak liputan kepada pendirian Dr Mahathir berbanding Najib.

“Mereka kelihatan mempunyai agenda sendiri. Adakah mereka mempunyai agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib?” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat dari Perak ini menegaskan, kemungkinan ini sangat tipis memandangkan akhbar harian dari Kumpulan Utusan ini adalah milik Umno yang presidennya ialah Najib.

Najib yang dipilih sebagai Presiden Umno akhir Mac 2009 dan kemudian sebagai Perdana Menteri yang keenam memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

“Dan sudah tentu, 1 Malaysia adalah agenda Najib, maka akhbar dimiliki Umno seharusnya menyokong Najib dengan mempromosikan konsep 1 Malaysia.

“Tetapi, saya tidak tahu... saya tidak terlibat dalam soal ini secara langsung.

“Macam di Harakah, mereka mempromosikan program PAS, Suara Keadilan mempromosikan PKR, The Star mempromosikan MCA tetapi akhbar Umno Utusan tidak menyokong ketua sendiri,” katanya.

Nazri mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang secara terbuka menyokong dasar Perkasa dan pendirian-pendirian memihak pertubuhan bukan kerajaan meskipun Umno mengumumkan tidak menyokong dan mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.

Umno, komponen dominan dalam Barisan Nasional juga mengambil pendirian yang sama pada mesyuaratnya minggu lalu atas alasan tidak mahu Perkasa menghakis sokongan kepada perikatan 13 anggota itu.

Utusan Malaysia membawa laporan meluas menyokong Perkasa semalam - antara komen pelbagai pihak termasuk orang ramai serta rencana di halaman editorial.

Rencana itu bertajuk “Kenapa memusuhi Perkasa” manakala tinjauan orang membawa tajuk “Majoriti orang Melayu menyokong Perkasa”.

Edisi Ahad, Mingguan Malaysia juga menyatakan pendiriannya mempertahankan Perkasa.

Ahad lalu, Dr Mahathir mengulangi sokongan kepada Perkasa dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan BN memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

Nazri berpendapat bahawa laporan tinjauan itu hanya berdasarkan temu bual terpilih dengan minoriti Melayu sambil menegaskan, ia tidak semetinya menggambarkan pandangan akar umbi.

“Bagi saya, mereka tidak mewakili perasaan orang Melayu di akar umbi kerana orang Melayu yang menyokong PAS akan terus menyokong PAS tanpa mengira apa yang diperkatakan oleh Utusan dan begitu juga pengikut PKR yang akan menyokong (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)... mereka tidak kisah apa yang Utusan kata, dan begitu juga yang membabitkan lain,” katanya lagi.

Nazri memberikan contoh persekitaran di bahagian Parlimen Padang Rengas, Perak dengan berkata, Perkasa tidak dapat mengocak pengundi-pengundi Melayu di kawasannya.

“Saya ketua Umno Padang Rengas... di akar umbi, tiada cakap-cakap mengenai Perkasa dan di bahagian saya, tiada mereka yang menyertai Perkasa.

“Begitu di bahagian jiran Kuala Kangsar, Sungai Siput, Lenggong, Bukit Gantang... Perkasa tiada impak langsung,” katanya.

Nazri menambah, Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia.

“Mereka tiada impak di kawasan luar bandar dan anda mahu tahu mengapa? Ini kerana pemimpin-pemimpin Perkasa adalah ahli Umno yang telah ditolak sebelum ini.

“Ahli Umno yang memegang jawatan dalam bahagian tidak akan menyokong Perkasa,” katanya.

“Lihat pada Ibrahim Ali, yang beliau sendiri adalah pemimpin ditolak oleh Umno. Timbalan beliau juga tewas dalam pemilihan bahagian dan begitu juga ketua pemudanya,” kata beliau lagi.

Ibrahim yang menubuhkan Perkasa dua tahun lalu telah dipecat Umno pada 2004.

Pada 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas sebagai wakil Bebas atas tiket PAS tetapi memutuskan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen itu.
(dipetik dari themalaysianinsider.com)

Sabtu, September 18, 2010

FILEM TAMIL AKAN DIPANTAU


Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mencari mekanisme untuk memantau kemasukan filem Tamil berunsur ganas yang dikatakan mempengaruhi masyarakat India di negara ini.

Pemantauan itu akan dibuat menerusi kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah.

"Kita akan mencari jalan mekanismenya...antaranya kita akan melihat kemasukan drama-drama bersiri dari India khususnya. Kita kena lihat kemasukan sama ada drama bersiri yang terlalu banyak boleh mendatangkan bermacam-macam masalah," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pinjaman Tekun Nasional semalam.

Beliau berkata langkah itu adalah sebagai antara usaha kerajaan untuk membanteras kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India terutama golongan remaja.

"Saya tidak menolak andaian yang mengatakan adegan ganas menerusi drama bersiri di televisyen dan filem Tamil dari India sebagai faktor utama punca berlakunya kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India," katanya.

Murugiah berkata pihaknya juga bercadang mengadakan seminar kesedaran mengenai jenayah dan gangsterisme di kalangan pelajar India di peringkat sekolah rendah.

LIMA KELUARGA MINAT HANTAR ANAK KE SEKOLAH HARAPAN


Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri Melaka di Jasin untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.

“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.

Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.

Jumaat, September 17, 2010

PENYISIHAN KAUM DI SINGAPURA LEBIH TERUK


Tuduhan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bahawa Malaysia tidak berlaku adil dan menyisihkan kaum lain langsung tidak berasas sebaliknya penyisihan kaum di republik tersebut adalah lebih teruk dan lebih hebat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk pulau tersebut menguasai 95 peratus ekonomi negaranya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Singapura bukan negara pelbagai kaum sebaliknya adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama.

"Kuan Yew bercakap mengenai kesaksamaan dan keadilan antara kaum tetapi sebaik sahaja Singapura keluar dari Malaysia, kaum Cina menjadi majoriti dan mendominasi republik itu.

"Seperkara yang harus diketahui aktiviti membantah atau membangkang kerajaan tidak dibenarkan di Singapura,'' katanya dalam entri terbarunya bertajuk Malaysia according to LKY dalam blognya di http://chedet.co.cc/chedetblog/ di sini.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew dalam akhbar New York Times pada 1 September lalu yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Kuan Yew membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menarik perhatian mereka yang bertanding menentang parti pemerintah PAP akan dikenakan tindakan termasuk diheret ke mahkamah atas tuduhan memfitnah.

Sekalipun menang pilihan raya, beliau berkata, mereka tidak berpeluang menduduki kerusi di Parlimen republik itu berbeza dengan parti-parti pembangkang di Malaysia.

Malah di Malaysia, empat daripada 13 negeri di perintah oleh parti pembangkang.

"Di Singapura, PAP terpaksa melantik wakil mereka untuk berperanan sebagai pembangkang,'' katanya.

Mengenai tuduhan Malaysia akan menjadi lebih baik dari segi hubungan kaum jika tidak berpisah dengan Singapura, Dr. Mahathir melontarkan soalan:

"Adakah kita percaya jika Singapura masih berada dalam Malaysia, masalah perkauman tidak akan berlaku?

"Saya juga percaya jika Singapura masih berada di dalam Malaysia, PAP sudah pasti akan menguasai politik negara bersama kaum Cina yang lain. Pada masa itu parti-parti pembangkang tidak akan ada suara. Seorang pun tidak akan berani bercakap apa-apa."

Dr. Mahathir berkata, hilang ingatan memang boleh berlaku tetapi membuat kenyataan bahawa Malaysia akan menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura jelas tidak berasaskan fakta sebenar.

Khamis, September 16, 2010

PERLU ADA SATU HARI KEBANGSAAN


Selama ini 31 Ogos dianggap sebagai Hari Kebangsaan kerana negara mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut 53 tahun lalu.Bila negara menyambut hari kebangsaan, sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak tidak rasa bangga kerana mereka merdeka pada 16 September 1963.

Oleh kerana 31 Ogos adalah hari merdeka Malaya, maka kerajaan perlu mengiktiraf Hari Malaysia pada hari ini, 16 September, sebagai Hari kebangsaan tunggal negara. Ini adalah kerana pada tarikh ini, 47 tahun lagi secara rasmi Malaysia dibentuk selepas Sabah dan sarawak menyertai Malaysia.

Kita dengar apa kata Pairin Kitingan yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah mengenai sambutan Hari Malaysia ini sepertimana dilaporkan oleh Bernama.

Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.

"Ungkapan 'Sabah menyertai Malaysia', pertanyaan 'bila sampai ke Malaysia' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekaligus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Pairin berkata pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakann pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibbah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan," kata beliau.

Rabu, September 15, 2010

PENDEDAHAN MURUGIAH PERLU DIPANDANG SERIUS


Pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Murugiah bahawa dalam masa lima tahun kebelakangan ini seramai 300 orang belia India ditahan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam, Johor perlu dipandang serius.

Kenapa ramai belia India terjerumus dalam gangsterisme? Apakah kerana pengaruh filem Tamil di televisyen? Oleh itu kerajaan perlu mengharamkan filem Tamil kerana ia banyak mempengaruhi belia India terlibat dalam keganasan. Semalam saya sudah buat cadangan ini dan kebetulan pula ia turut dicadangkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu supaya adegan ganas di tv diharamkan.

Semua filem tidak kira Tamil atau Inggeris atau China penuh dengan adegan keganasan tetapi yang lebih menonjol ialah filem Tamil di mana bila bergaduh sedikit, terus berparang. Ini yang mempengaruhi belia India untuk menjadi ganas dan liar.

Murugiah berani mendedahkan pekung di dada. Tahniah buat beliau. beliau minta Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin turun padang ke estet supaya belia India tidak menjadi samseng. Bagi saya, Hishamuddin tidak perlu turun padang. yang penting para pemimpin MIC perlu mainkan peranan mendidik belia India dengan mengadakan kursus motivasi dan sebagainya.

Apakah punca mereka menjadi ganas? Adakah kerana mereka tiada pekerjaan? oleh itu pemimpin MIC perlu mencari pekerjaan buat meeka. jika mereka tidak mempunyai kelulusan, hantarlah mereka mengikuti kursus kemahiran di IKBN dan sebagainya. Di sinilah perlunya pemimpin MIC main peranan. Jangan hanya sibuk berpolitik sahaja.

PUAD KENA GUNA SALURAN KERAJAAN


Beberapa pensyarah universiti tempatan hari ini berharap Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dapat menggunakan saluran kerajaan dalam menyuarakan sesuatu pendapatnya mengenai perjalan dan pentabiran jabatan atau agensi kerajaan.

Mereka berkata anggota Majlis Tertinggi Umno itu tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap kerajaan secara terbuka memandangkan beliau adalah juga anggota pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Safar Hashim berpendapat kritikan secara terbuka Mohd Puad terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam boleh menjejaskan hubungan antara kementerian.

"Tindakan beliau bukan sahaja boleh mengeruhkan hubungan kementerian, malah boleh menimbulkan tekanan yang tidak wajar terhadap suruhanjaya itu," katanya kepada BERNAMA di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Puad yang disiarkan sebuah akhbar hari ini yang mendakwa SKMM gagal mengambil tindakan tegas terhadap media alternatif dan blog yang didakwanya kini bebas menyalurkan agenda membenci kerajaan, selain membangkitkan provokasi di dalam negara.



Safar berkata tindakan Mohd Puad juga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat yang melihat seolah-olah anggota Kabinet tidak bersatu dan mengalami ketidakstabilan.

Bagi Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Salleh Buang, yang juga pakar perundangan berkata Mohd Puad perlu menggunakan saluran lain dari media, seperti perbincangan peribadi bersama menteri dari kementerian berkenaan.

"Lainlah jika beliau merupakan orang awam, sudah tentu tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan jika Mohd Puad mengkritik perjalanan atau perlaksanaan dasar sesuatu kementerian," katanya.

Penganalisis Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata Mohd Puad wajar menegur SKMM, "tetapi jangan melalui media massa kerana tidak bagus dan rakyat akan mempersoalkan kredibiliti kerajaan".

"Sepatutnya beliau gunakan saluran lain untuk kritik seperti melalui parti, biro-biro Umno, memo ataupun ketika menghadiri mesyuarat," katanya.

Pendapat Ahmad Atory itu turut dipersetujui Profesor Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff yang berkata kritikan memang diperlukan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan sesebuah badan.

Bagaimanapun menurutnya ia harus dijalankan secara tertutup oleh pemimpin negara bagi mengelakkan berlakunya salah faham antara kementerian.

Selasa, September 14, 2010

HARAMKAN FILEM TAMIL DI TV


Sudah sampai masanya kerajaan mengharamkan penayangan filem Tamil di televisyen. Kalau kita lihat filem Tamil penuh dengan keganasan. Bila bergaduh, terus bawa parang untuk membunih si hero. Pengaruh filem Tamil menyebabkab banyak keganasan berlaku di kalangan kaum India di negara kita.

Paling terbaru kita lihat bagaimana seorang peguam tergamak membunuh empat orang musuhnya termasuk Datuk Sosilawaty Lawia. Selain dari pukul, bunuh, mayat empat orang ini pula dibakar. Betapa ganasnya seorang terpelajar seperti peguam ini sering kita lihat dalam filem-filem Tamil.

Oleh itu sudah sampai masanya filem Tamil diharamkan penayangannya di tv dan juga di pawagam. Apakah kita mahu negara kita ini dipenuhi dengan pembunuhan kejam seperti ini berulang? Cukuplah kita dengar kisah Mona Fendi mengerat mayat Datuk Mazlan Idris menjadi 18 potongan. Setiap hari akhbar laris di pasaran kerana semua orang mahu mengikuti perkembangan pembunuhan kejam Sosilawati sehingga ada akhbar harian yang mendahului polis yang mengatakan Sosilawati sudah dibuh sedangkan polis mengesahkan pembunuhan itu sehari kemudian.

Tahniah kepada polis yang cekap menyelesaikan kes ini. Ini bermakna di zaman canggih ini teknologi banyak membantu polis. Walaupun handphone Sosilawaty tidak ditemui tetapi maklumat nombor orang yang menghubungi aatau yang dihubungi Sosilawati dapat dikesan semula. Inilah untungnya di zaman teknologi yang memudahkan penyiasatan polis.

Isnin, September 13, 2010

UMNO AKAN HILANG SOKONGAN JIKA JAUHI PERKASA


Keputusan UMNO menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh menyebabkan parti itu kehilangan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar tetapi ia tetap memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kemenangan.

Sambil mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Putrajaya baru-baru ini beliau menegaskan, keputusan tersebut tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada UMNO.

''Dalam keadaan UMNO yang tidak begitu kuat, kita tidak boleh menolak sebarang hubungan dengan pihak lain. Hakikatnya, jika kita kehilangan sokongan seratus atau dua ratus pengundi kemungkinan kita akan kalah di kawasan-kawasan tertentu.

''Oleh kerana kita amat memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, demikian ketika ditanya mengenai keputusan BN dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya termasuk UMNO untuk menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.

Tengku Adnan yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Dr. Mahathir berkata, satu perkara yang perlu diambil kira iaitu Perkasa selama ini tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana perjuangannya masih tertakluk kepada hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Perjuangannya masih berasaskan Perlembagaan dan kita juga harus sedar bahawa Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan sebuah parti politik. Perkasa tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

''Sebagai NGO, Perkasa berperanan menegur mana-mana pihak jika berlaku sesuatu yang tidak baik termasuk parti-parti politik. Perkasa boleh tegur Pas, DAP atau UMNO. Saya kadangkala pun kena tegur juga,'' katanya.

Mengenai kedudukan Tengku Adnan mempengerusikan mesyuarat komponen BN baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, sepanjang pengetahuannya setiap mesyuarat yang melibatkan komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN.

''Pada kebiasaannya mesyuarat komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Oleh itu saya tidak fikir kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Adnan itu adalah pandangan rasmi kerajaan,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, apabila ada pihak mula mempersoalkan sesuatu hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sudah tentu ia akan mengundang reaksi daripada pihak lain.

''Kewujudan Perkasa adalah salah satu contoh. Pada zaman pemerintahan saya tidak ada NGO seperti Perkasa kerana tiada pihak yang berani mempersoalkan hak-hak yang telah termaktub dan diamalkan selama ini.

''Berbanding sekarang yang mana sudah ada pihak atau kumpulan yang sengaja membangkitkan atau mempersoalkan hak-hak tersebut antaranya persetujuan mengenai kontrak sosial. Bila terjadi demikian pasti akan muncul satu pihak untuk mempertahankannya,'' katanya lagi.

Beliau berkata, salah satu faktor lain ialah tahap keyakinan rakyat terhadap UMNO dalam mempertahankan hak-hak mereka.

''Apabila rakyat merasakan UMNO tidak lagi melindungi mereka sudah tentu akan muncul pihak lain untuk mengambil peranan tersebut,'' katanya lagi.

Ahad, September 12, 2010

RM1 BILION RUMAH AKAN DIBINA MENJELANG 2013


Sekurang-kurangnnya 12,000 unit rumah kos rendah bernilai lebih RM1 bilion akan dibina oleh kerajaan negeri Terengganu menjelang 2013.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bertujuan mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri itu.

Setakat ini, kerajaan negeri sudahpun membina kira-kira 6,500 unit rumah kos rendah di negeri itu, katanya pada program Menteri Besar Bersama Perantau sempena sambutan Aidilfitri, di sebuah hotel di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata agenda pembinaan rumah kos rendah itu adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak mempunyai kediaman.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan memberikan tumpuan dalam bidang pelajaran kepada anak-anak Terengganu supaya setanding dengan negeri-negeri lain.

"Alhamdulillah, dalam tahun-tahun kebelakangan ini Terengganu telah mencipta sejarah dan mengatasi negeri-negeri dalam semua peperiksaan," katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan melatih anak-anak Terengganu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, juruterbang, mekanikal dan sebagainya.

Ahmad berharap para perantau dapat menyumbangkan idea dan buah fikiran bagi membantu kerajaan memajukan Terengganu.

Lebih 1,000 perantau menghadiri majlis itu.

Sabtu, September 11, 2010

25 BAYI LAHIR DI KL


Seramai 25 bayi dilahirkan di beberapa hospital di sekitar Lembah Klang ketika umat Islam menyambut ketibaan 1 Syawal hari ini.

Kelahiran bari-bayi Raya itu amat bermakna bagi ibu bapa masing-masing yang menyambut ”hadiah istimewa” itu dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.

Hospital Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 15 bayi setakat 2 petang ini dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 3.59 pagi.

"Seramai lapan bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan di mana lapan daripadanya berbangsa Melayu, empat India manakala masing-masing satu Myanmar, Indonesia dan Afrika,” kata seorang jururawat dari wad bersalin hospital itu ketika dihubungi.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), seramai lapan bayi dilahirkan iaitu enam bayi lelaki dan dua bayi perempuan.

Hospital Pantai Kuala Lumpur pula mencatat dua kelahiran dengan satu lelaki dan satu perempuan dengan kelahiran pertama pada pukul 6.07 pagi.

Bercakap tentang bayi yang lahir pada hari raya aidilfitri ini, teringat saya pada hari raya aidilfitri 21 tahun lalu dimana anak lelaki saya, Mohd. Zuwairi dilahirkan pada hari raya pertama di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Semalam dia call kami dari kapal MISC yang dalam perjalanan dari Hong Kong ke Los Angeles. Kali pertama Zuwairi berhari raya tanpa keluarga. Sedih juga bila dia tiada bersama kami. Bulan depan dia akan balik ke Malaysia.

Khamis, September 09, 2010

MACAM MACAM JENIS GILA


Macam-macam jenis gila terdapat di dunia ini. Paling terbaru gila nak berhari raya awal. Yang lucunya dia orang yang raya lebih awal dua hari daripada orang lain.

Kumpulan Al Nadzir Awwalun mendakwa mereka menyambut Aidilfitri semalam, dua hari lebih awal berbanding umat Islam lain di negara ini berdasarkan perkiraan empat elemen utama iaitu air, udara, api dan angin selain anak bulan Syawal kononnya sudah kelihatan, malam kelmarin.

Seorang ahli jemaah dikenali Abang Man ketika ditemui berkata, dia sudah mengikuti kumpulan itu sejak 1993 dan menyatakan semua yang dia lakukan mengikut hukum dan ajaran Islam.

“Anak bulan sudah keluar malam tadi (Selasa) dan Aidilfitri perlu segera disambut iaitu hari ini (Rabu),” katanya yang turut ditahan bersama lapan yang lain, termasuk dua wanita kerana disyaki menyambut Aidilfitri lebih awal daripada ditetapkan pemerintah di sebuah surau ahli kumpulan terbabit di Taman Pertiwi Indah, Seriab, dekat sini, semalam.

Kumpulan yang membabitkan penduduk tempatan itu ditahan ketika khusyuk mendengar khutbah Aidilfitri disampaikan ketua kumpulan terbabit yang berusia 51 tahun, kira-kira jam 8.30 pagi.

Serbuan dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan beberapa anggota polis menemui beberapa bungkusan kuih-muih, termasuk lemang dan ketupat dipercayai dibawa kumpulan terbabit untuk menyambut Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin, berkata lima yang ditahan itu membabitkan anak-beranak iaitu ketua kumpulan bersama isteri, dua anak lelaki serta menantu mereka manakala empat lagi penduduk tempatan yang menjadi pengikut setia kumpulan terbabit.

Rabu, September 08, 2010

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

LEMBAB SANGATKAH KDN?


Apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlalu lembab sehingga 10 bulan senarai nama yang dihantar oleh Ketua Polis Negara untuk mengisi kekosongan jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)masih belum diisi? Apa KSU dan PTD yang ada di KDN buat?

Pendedahan terbaru Tan Sri Musa Hassan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam KDN.yang peliknya Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak sering kali menyebut tentang KPI tetapi cara kerja pegawai kerajaan masih di takuk lama. Masih tidak berubah. Surat yang boleh dijawab dalam masa lima minit sampai tiga bulan tidak berjawab. Macam mana perkhidmatan awam kita mahu maju jika perkara remeh-temeh seperti ini masih tidak boleh diatasi.

Kita baca berita penuh Musa Hassan mengenai perkara ini seperti mana berikut:-

Tan Sri Musa Hassan berharap beliau tidak dituduh 'tidak buat kerja' kerana membiarkan kekosongan beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Ini kerana jelasnya, beliau telah menghantar senarai nama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) November tahun lalu untuk dipertimbangkan tetapi kekosongan jawatan itu masih berlaku.

"Saya pun tidak tahu kenapa kekosongan itu tidak diisi sampai sekarang walaupun kita sudah hantar senarai nama sejak November lalu. Saya tak mahulah ada yang mengatakan saya tidak buat kerja.

"Malah senarai nama yang dicadangkan itu juga telah dipersetujui bersama oleh jawatan kuasa pemilihan dianggotai oleh pegawai kanan polis sebelum dihantar kepada KDN," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Musa ditanya berhubung beberapa kekosongan, termasuk jawatan dianggap penting dalam polis yang tidak diisi sehingga sekarang termasuk Ketua Polis Daerah Cheras.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Polis Selangor sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Dalam pada itu, Musa menafikan laporan akhbar yang mengatakan dirinya terkejut hanya diberitahu berhubung penamatan kontraknya sebagai KPN semasa pengumuman mengenainya dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein di Putrajaya dekat sini kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata demikian semasa sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

"Ada media salah faham mengenainya. Saya katakan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum sidang akhbar dibuat bukannya hanya tahu ketika pengumuman itu," jelasnya.

Selasa, September 07, 2010

SELAMAT HARI RAYA

MUSA TUJU KEPADA SIAPA?


Kenyataan terbaru Ketua Polis Negara yang akan bersara, Tan Sri Musa Hassan bahawa ada orang yang campurtangan urusan polis yang menyebabkan beliau kecewa.

Katanya, kenyataan itu merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Siapa yang berani arah polis tanpa merujuk kepada Musa di KDN? Adakah beliau tuju kenyataan itu kepada menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein atau kepada Ketua Setiausaha (KSU)?
Musa yang sempat empat tahun menjadi KPN berkata campurtangan itu melibatkan pengeluaran arahan tanpa pengetahuannya tidak selari dengan arahan dan kawalannya sebagai KPN.

Pendedahan berani Musa ini tentu mengejutkan semua pihak. Selepas ini pihak wartawan akan mengejar Hishamuddin pula untuk minta komennya. Malah komen Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak pun akan disusuli juga. Apa yang sebenarnya berlaku di antara Hishamuddin dengan Musa ini akan menarik perhatian akhbar sehari dua ini.

Musa pernah berkhidmat di bawah tiga orang Menteri dalam negeri iaitu Pak Lah, Tan Sri Syed hamid Albar dan Hishamuddin. apakah ketiga-tiga menteri ini menyusahkan Musa? jadi siapakah yang ditujukan oleh Musa ini dalam kenyataan itu.

Dalam suasana mahu bersara dari polis ini, sebaik-baiknya Musa berdiam diri sahaja. Apatah lagi beliau berkata berita tidak sambung kontrak sebagai KPN diketahuinya elalui sidang akhbar. Kenapa ia tidak dimaklum melalui surat terlebih dahulu? Mungkin ini yang membuatkan Musa kecil hati.