Sabtu, September 18, 2010

LIMA KELUARGA MINAT HANTAR ANAK KE SEKOLAH HARAPAN


Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri Melaka di Jasin untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.

“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.

Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.