Sabtu, September 18, 2010
FILEM TAMIL AKAN DIPANTAU
Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mencari mekanisme untuk memantau kemasukan filem Tamil berunsur ganas yang dikatakan mempengaruhi masyarakat India di negara ini.
Pemantauan itu akan dibuat menerusi kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah.
"Kita akan mencari jalan mekanismenya...antaranya kita akan melihat kemasukan drama-drama bersiri dari India khususnya. Kita kena lihat kemasukan sama ada drama bersiri yang terlalu banyak boleh mendatangkan bermacam-macam masalah," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pinjaman Tekun Nasional semalam.
Beliau berkata langkah itu adalah sebagai antara usaha kerajaan untuk membanteras kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India terutama golongan remaja.
"Saya tidak menolak andaian yang mengatakan adegan ganas menerusi drama bersiri di televisyen dan filem Tamil dari India sebagai faktor utama punca berlakunya kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India," katanya.
Murugiah berkata pihaknya juga bercadang mengadakan seminar kesedaran mengenai jenayah dan gangsterisme di kalangan pelajar India di peringkat sekolah rendah.