Selasa, Januari 28, 2014

SIKAP UMAR ABDUL AZIZ LIM GUAN ENG TERCEMAR?

PETALING JAYA: Sebaik-baik sahaja Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2008, orang PAS menganggap Lim Guan Eng sebagai Umar Abdul Aziz . Malah Lim Guan Eng berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana beliau seorang pemimpin Islam yang adil dan berjiwa rakyat. Ketika merasmikan Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz “Islam dan Kenegaraan” di Auditorium A, Tingat 5 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pada 22 Mac 2009, Lim Guan Eng sekali lagi bertekad untuk meniru usaha yang dilaksanakan oleh pemerintahan Khalifah berkenaan. Ini katanya bagi memastikan pentadbiran negeri bebas daripada penyalahguna kuasa, kezaliman, merombak semula jentera pentadbiran dengan memecat pada pegawai yang tidak cekap dan sebagainya. Ujar Lim, sikap sedemikian merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam ekoran prinsip Khalifah Umar untuk membangunkan negara dengan nilai-nilai kebajikan dalam semua bidang melibatkan kegiatan kenegaraan. “Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat. “Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakkan seluruh masyarakat dan negara, ” katanya. Pelaksanaan cara itu, akan dilakukan tanpa mengira apa latar belakang agama dan kaum kerana yang penting ialah hasil kejayaan. “Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan. “Dengan tenang Khalifah memberi jawapan ‘Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaian dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, ” tegas Lim penuh semangat dalam program anjuran Penyelaras Umat Pulau Pinang (Forum) dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Lim juga mengakui model pemerintahan Umar Abdul Aziz boleh digunapakai sepanjang zaman kerana konsepnya berlandaskan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta memperjuangkan nasib rakyat jelata. Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh berkata, menyedari betapa sukarnya mencontohi langkah-langkah yang dilaksanakan dalam pemerintahanya. Namun, perjalanan yang jauh harus bermula dengan langkah pertama iaitu inisiatif menjadikan Cekap akauntabliiti dan Telus (CAT) digunapakai oleh kerajaan hari ini supaya dapat membersihkan rasuah, memerangi mereka yang menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. ” Keindahan pemerintah itu saya yakin dapat menyinari semula negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara ini daripada anasir-anasir negetif seperti rasuah, pembaziran dan penyalah gunaan kuasa, ” jelas beliau. Itu cerita tahun 2009. Akhir tahun 2013, negara dikejutkan dengan isu pembelian kereta Mercedes-Benz S300L yang telah mendedahkan ‘wajah sebenar’ Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai sikap bermuka-muka. Beliau tidak lagi berpegang kepada ajaran Umar Abdul Aziz. Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, jelas kini Guan Eng bukanlah seperti yang digambarkan sama ada melalui dirinya sendiri mahu pun pengikutnya bahawa beliau seorang pemimpin yang merendah diri, berhemah dan berjimat-cermat. Malah katanya, prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang kononnya menjadi pegangan Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan itu hanya omong kosong semata-mata. “Rakyat kini boleh menilai sendiri inikah pemimpin yang boleh dijadikan contoh. Tidak sampai tiga bulan guna kereta Toyota Camry 2.5, sekarang sudah tukar kereta mewah pula. “Malah dalam isu ini timbul perkara-perkara yang tidak logik seperti harga kereta yang bernilai RMRM657,218 tetapi dibeli dengan harga RM298,263.75. Kalau beliau betul-betul telus, sila jelaskan dengan lebih lanjut pembelian itu beserta bukti, bukan bercakap kosong sahaja,” katanya. Menurut Lum Yong, Guan Eng sebelum ini pernah mengkritik Kerajaan Terengganu kerana membeli kereta jenama serupa bagi tujuan sama pada 2008 dengan menyifatkannya sebagai pembaziran. Dengan apa yang berlaku padanya hari ini, jelas beliau, Guan Eng umpama meludah ke langit terkena hidung sendiri. “Sikap pemimpin seperti apa ini yang mengutuk dan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) suka membazir tetapi dalam masa sama beliau pun serupa? “Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi. Guan Eng cakap tak serupa bikin dan rakyat perlu menilai sikapnya ini yang bermuka-muka,” katanya. Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait menjelaskan dakwaan kerajaan negeri mendapat potongan harga sebanyak RM100,000 daripada ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping bagi pembelian kereta jenis Mercedes-Benz S300L sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas. Menurut beliau, diskaun itu ditawarkan oleh pembekal kenderaan jenis Mercedes di seluruh negara dan boleh dinikmati mana-mana pihak yang berminat membeli kenderaan tersebut. Dalam masa sama, tambahnya, pembelian Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasmi Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga dibuat selepas mendapat pengecualian cukai dan diskaun sebanyak 56 peratus. “Ketua Menteri Pulau Pinang memang layak menggunakan dua buah kereta Mercedes-Benz S400 dan Mercedes Benz S300. “Beliau kini menggunakan sebuah kereta sahaja iaitu Mercedes-Benz S300L dengan harga RM298,263.75 berbanding harga asal RM657,218,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kontroversi pembelian Mercedes-Benz S300L yang diluluskan kerajaan negeri sebagai kenderaan rasmi Guan Eng yang mendapat kritikan banyak pihak kerana disifatkan bermewah-mewah serta merupakan pembaziran. Mokhtar berkata, keputusan membeli kereta jenis Mercedes dibuat mengambil kira faktor ekonomi jangka masa panjang yang mana kenderaan tersebut tidak membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi. Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meluluskan pembelian kereta mewah Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasmi ketika ekonomi negeri itu terus merosot mencerminkan sikap sebenar beliau yang licik memanipulasi kepercayaan rakyat. Menurut Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman, Guan Eng sebelum ini lantang bercakap mengenai soal penjimatan di dalam urusan pentadbiran kerajaan namun kelantangan itu bagaikan terkena batang hidung sendiri apabila dilihat bermewah-mewah dalam perbelanjaan kerajaan negeri. “Sejak bila Guan Eng cakap serupa bikin? Dia merupakan seorang pemimpin yang pakar putar alam. Sebelum ini dia begitu lantang bercakap pasal penjimatan tetapi sekarang kita boleh melihat betapa borosnya dia menggunakan dana rakyat untuk kepentingan dia,” katanya . Kerajaan DAP Pulau Pinang membentangkan bajet defisit RM255.44 juta untuk tahun 2014 yang merupakan bajet defisit buat kali keempat berturut-turut selepas defisit RM262.04 juta untuk tahun 2013, RM213.71 juta (2012) dan RM107.78 juta (2011). Mohamed Razali berkata, Guan Eng sudah pasti akan menempelak sekiranya pihak lain terutama kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membeli kenderaan mewah itu untuk kegunaan rasmi kerajaan. “Dia boleh beli dua kereta dalam masa tiga bulan, kalau orang lain yang buat, sudah tentu dia pukul gendang merata-rata,” katanya. Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat cuba mengalih perhatian dalam isu pembelian Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasminya dengan mendedahkan kononnya berlakunya pembaziran Kerajaan Pusat seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara. Dalam masa sama, Guan Eng mengambil peluang mengkritik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kononnya tidak mengambil tindakan daripada pendedahan Laporan Ketua Audit Negara itu tetapi lebih berminat dengan isu pembelian Mercedes-Benz oleh kerajaan negeri ini. Malah, beliau secara sinis mengalu-alukan siasatan oleh SPRM berhubung pembelian kereta itu dan bersedia memberi kerjasama kerana yakin tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan. “Saya pasti SPRM akan mendapati kerajaan negeri Pulau Pinang adalah bersih seperti mana slogan kami kerana urus niaga keseluruhan bagi pembelian Mercedes-Benz benar-benar mematuhi prosedur dan undang-undang dengan dokumen yang sah,” katanya dalam sidang akhbar. Sebuah portal berita melaporkan kononnya SPRM telah memulakan siasatan berhubung pembelian kereta jenis Mercedes-Benz oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu, namun dinafikan oleh badan itu. Bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya , Guan Eng menunjukkan contoh bertentangan dengan dasar perbelanjaan berhemah yang sering dicanang dalam setiap ceramah politiknya. Nasi sudah jadi bubur. Walaupun dikritik kereta Mercedes-Benz yang sudah dibeli tidak mungkin dijual semula. Maka Lim Guan Eng tidak akan disanjung lagi sebagai Umar Abdul Aziz yang tidak suka pembaziran.