Selasa, Januari 28, 2014

KENAPA ZAHID TERLALU POPULAR?

PETALING JAYA: Pada 19 Oktober 2013, sekali lagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatan Naib Presiden Umno dengan undi tertinggi selain dari Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Pada tahun 2009, Zahid turut mendapat undi tertinggi juga mengatasi undi Hishamuddin dan Shafie. Apakah rahsia kejayaan Zahid? Adakah kerana beliau bekas Ketua Pemuda Umno (1996-1999) yang menyebabkan beliau begitu popular di kalangan perwakilan Umno? Tahun lepas beliau mendapat 188 undi. Ini bermakna tiga bahagian sahaja yang tidak mengundi beliau daripada seluruh negara (kecuali Sarawak yang tiada Umno) iaitu Jempol, Kota Marudu dan Batu Sapi. Ini menunjukkan Zahid mendapat 98.4 peratus undi mengatasi undi Shafie (92.6 peratus atau 177 undi) dan undi Hishamuddin (52.8 peratus atau 101 undi). Menurut Ketua Umno Bahagian Jempol yang baru, Datuk Md Salim Sharif, Zahid tidak turun padang ke Jempol punca dia kalah di tangan ahli parlimen Jempol, Tan Sri Isa Samad dalam pemilihan pada 19 Oktober itu. Namun demikian undi yang dipungut Zahid tidak jauh beza dari undi yang diperolehi Isa. Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahada dan Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Datuk Shamsuddin Yahya tidak dapat dihubungi untuk mengetahui punca Zahid kalah di kedua-dua bahagian tersebut. FMT difahamkan kerana arahan dari Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman supaya Bahagian-Bahagian di Sabah mengundi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir punca Zahid kalah di Kota Marudu dan Batu Sapi. 23 Bahagian lain di Sabah tetap memilih Zahid kerana Zahid bukan orang baru dalam politik.Beliau adalah bekas Ketua Pemuda (1996-1999), ahli majlis tertinggi Umno (2000-2004 dan 2004-2008) dan Naib Presiden Umno (2008-2013). Dalam kerajaan pula, beliau pernah menjadi Pengerusi BSN, Timbalan Menteri Pelancongan, Timbalan Menteri Penerangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Sebagai bekas Ketua Pemuda, beliau ada kelebihan kerana majoriti ketua bahagian sekarang adalah bekas ketua pemuda bahagian. Beliau sudah lama bertapak dalam pemuda bermula sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Datoh (1984-1995), Naib Ketua Pemuda Umno Perak (1987-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno pusat (1994) dan Ketua Pemuda Umno pusat (1996-1999). Sebab itu Zahid terlalu popular. Walaupun KDN yang dipegangnya sekarang amat ditakuti oleh ramai menteri, tetapi KDN tetap membuatkan beliau popular. Tun Ghazali Shafie banyak kali bertanding Naib Presiden Umno ketika menjadi Menteri Dalam Negari tetapi kalah. Tun Musa Hitam terpelanting dari jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika menjaga KDN selepas peristiwa berdarah Memali. Genap 100 hari peristiwa Memali, beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Selamatkah Zahid di KDN? Kenapa Zahid terlalu popular di KDN? Apa puncanya? Punca sebenar beliau popular ialah kerana setiap hari Khamid Zahid mengadakan hari terbuka untuk orang ramai menemuinya dari pagi hingga ke malam. Kebetulan semalam penulis berada di KDN, penulis dapati lebih 200 orang sanggup menunggu dari pagi hingga ke jam 9 malam untuk menemui beliau. Tepat jam 9 malam, masih ramai yang tidak dapat menemuinya dan terpaksa menempah untuk membuat temujanji dengannya pada Khamis minggu hadapan. Zahid melayan setiap orang dari pagi hingga ke malam yang ingin menemuinya. Ketika orang lain menjadi menteri yang jaga KDN,Syed Hamid Albar dan Hishamuddin Hussein bukan semua orang dapat menemui menteri yang jaga KDN itu. Hanya kawan-kawan rapat dan orang politik sahaja yang dapat menemui mereka. Tetapi Zahid terbuka. Sesiapa sahaja dapat menemuinya asalkan orang itu sabar menunggu giliran. Menurut setiausaha eksekutif Zahid, Major Mazlina Mazlan, biasa setiap Khamis mereka yang buat temujanji dengan Zahid akan dibuka pendaftaran sampai jam 10.30 pagi. Walaupun pendaftaran sudah ditutup pada pukul 10.30 pagi, orang ramai tetap naik ke Tingkat 12, KDN menunggu giliran untuk mengadu hal kepada Zahid. Dengan pendekatan terbuka Zahid ini, tidak syak lagi jika berlaku pertembungan Timbalan Presiden Umno di antara Zahid dengan Hishamuddin pada tahun 2016, perwakilan sudah tentu akan mengundi Zahid kerana Zahid mudah ditemui daripada Hishamuddin. Jika semua menteri mengikut stail Zahid buat hari terbuka, saya rasa orang ramai yang ada masalah dengan mana-mana kementerian dapat menyelesaikan masalah dengan segera dengan bantuan menteri. Takdirnya suatu hari nanti Zahid menjadi Timbalan Perdana Menteri, kita berharap beliau akan menjadi Timbalan Perdana Menteri yang pertama mengadakan hari terbuka di negara ini. Tags: