Selasa, Januari 28, 2014

DR MAHATHIR TIDAK PERNAH MINTA BANTUAN DR SITI HASMAH

PETALING JAYA: Ketika menggulung perbahasan di hari akhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan cerita secara terbuka mengenai jasa dan peranan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam membantu rakyat Malaysia yang tidak pernah diceritakan kepada umum sebelum ini. Najib berkata, dalam kejadian pertama kira-kira dua tahun lalu sewaktu seorang pelajar Malaysia telah ditahan di penjara oleh kerajaan Mesir kerana disyaki menjadi ‘perisik.’ “Saya minta isteri saya telefon isteri Presiden Mubarak, Susan Mubarak merayu supaya pelajar kita itu dibebaskan, dalam masa dua jam sahaja dia dibebaskan,” katanya . Kejadian kedua pula kata Perdana Menteri, berlaku sewaktu pergolakan di Mesir dan kerajaan Malaysia berhadapan dengan masalah tidak cukup penerbangan untuk membawa balik pelajar dalam Operasi Piramid. Menurut Najib, kerajaan Malaysia terpaksa meminta jasa baik kerajaan Arab Saudi membenarkan para pelajar terlibat menaiki pesawat Charlie, turun di Jeddah dan ke Kuala Lumpur tanpa memerlukan visa. “Itu satu permintaan yang sukar diberikan oleh kerajaan Arab. Tetapi kerana networking dengan keluarga diraja yang telah diusahakan oleh isteri saya, kerajaan Saudi membenarkan pelajar-pelajar kita,” katanya. Malah menurut Najib, kerajaan Arab Saudi turut menyediakan dua penerbangan Jumbo 747 secara percuma. “Inilah antara sumbangan isteri saya kepada rakyat Malaysia,” katanya sambil menjelaskan isterinya turut menjadi sasaran kritikan pihak yang hendak mengkritik beliau. Menurut beliau, Rosmah turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak melalui Program Permata selaku penaungnya. Mendedahkan Inilah kali pertama Najib mendedahkan peranan Rosmah setelah empat tahun beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Belum pernah seorang Presiden Umno mempertahankan isterinya sendiri di dalam PAU. Mungkin inilah transformasi yang mahu dibawa oleh Najib dalam Umno. Kenapa Najib buat pendedahan ini? Ini adalah kerana pihak pembangkang menyerang Rosmah menggunakan jet kerajaan pergi ke Qatar atas urusan peribadi. Ia juga menjawab perkara yang dibangkitkan seorang perwakilan yang berkata Rosmah berhak menaiki jet kerajaan atas sebab-sebab keselamatan. Secara sinis blogger veteran, Kadir Jasin menyuruh Najib melantik Rosmah sebagai Senator dan Menteri Tugas Tugas Khas kerana Rosmah lebih berfungsi dari Menteri Luar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Pendidikan. Kenapa di zaman Najib peranan Rosmah lebih menonjol berbanding dengan zaman Tunku Abdul Rahman , Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi di mana isteri Perdana Menteri tidak menonjol? Adakah kerana Rosmah pelajar bijak dari Kolej Tunku Khursiah itu lebih bijak dari Najib? Di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah membenarkan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mencampuri urusan negara. Kenapa Najib benarkan Rosmah campurtangan dalam urusan negara? Benarkah Najib menghidap penyakit TB? Faham-faham sahaja makna TB itu. Yang anehnya kenapa Najib sendiri tidak menelefon Hosni Mubarak? Kenapa Rosmah perlu telefon isteri Hosni? Inilah yang menjadi persoalan kepada kita semua. Kalau di zaman Pak Lah, Pak Lah dikatakan membenarkan menantunya, Khairy Jamaluddin campurtangan urusan negara, yang menyebabkan ramainya ahli Umno marah, nampaknya di zaman Najib, isterinya pula yang dikatakan banyak main peranan dalam pentadbiran negara. Sehingga ada istilah bukannya calon BN itu “winnable candidate” tetapi calon RM (Rosmah Mansor). Di zaman Pak Lah, ahli Umno yang kecewa dengan Pak Lah mengadu kepada Dr Mahathir. Dr Mahathir pun buat kritikan bahawa ada peranan budak-budak “tingkat empat” di JPM yang campurtangan dalam pentadbiran negara. BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU 2008 kerana rakyat marah kepada campurtangan Khairy. Jika Najib terus membenarkan Rosmah campurtangan dalam urusan negara, nampaknya PRU akan datang pada tahun 2018 nanti, BN akan gagal lagi membentuk kerajaan majoriti dua pertiga. Siapa yang berani menegur Najib kali ini? Adakah Dr Mahathir akan menegur Najib setelah meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas? Sama-samaah kita tunggu dan lihat.