Selasa, Januari 28, 2014

PAS TUNDUK KEPADA DAP?

PETALING JAYA: Pada 19 November lalu, PAS Pulau Pinang buat kejutan apabila ia berkata akan mengkaji kembali kedudukannya dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang jika tidak lagi diperlukan dalam kerajaan negeri, demi memelihara prinsip dan maruah perjuangan. Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof, PAS Pulau Pinang akan menarik diri serta meletak jawatan dalam beberapa tawaran jawatan, portfolio dan posisi jawatan tertentu dalam kerajaan negeri jika tuntutan dan ketetapan ini tidak diambil serius oleh pihak kerajaan negeri dan Majlis Pakatan Rakyat. Katanya, PAS mahu kerajaan negeri memberi kuasa penuh tanpa sebarang campur tangan yang tidak wajar kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sekarang (Datuk Mohd Salleh Man) untuk mengemukakan makluman keputusan cadangan lantikan Ahli-ahli Majlis MAINPP serta mana-mana portfolio atau Lembaga Pengarah dalam mana-mana agensi atau anak syarikat dibawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Katanya, PAS mendakwa terdapat campur tangan yang tidak sewajarnya dari pihak Exco Kerajaan Negeri untuk menetapkan Ahli-ahli Majlis MAINPP serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat MAINPP untuk sesi akan datang. “Jika benar, ianya adalah satu tindakan yang bertentangan etika dansemangat Pakatan Rakyat. Tindakan campur tangan ini sangat dikesali,” kata beliau. Menurut Mohd Fauzi, mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri P Pinang pada 14 November 2013 lalu yang dipengerusikan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man telah mendesak menambah bilangan Ahli Majlis MPPP & MPSP untuk kuota PAS Pulau Pinang dari dua orang setiap PBT kepada empat orang setiap PBT. “Perlantikan Ahli Majlis MPPP & MPSP untuk kuota PAS ini hendaklah dilantik dengan cadangan dan persetujuan PAS Pulau Pinang,”katanya lagi. Beliau menambah PAS Pulau Pinang hendak diberi kuasa penuh untuk memilih dan melantik JKKK di kawasan DUN/Parlimen yang ditandingi PAS (6 DUN, 2 Parlimen). “Kami difahamkan bahawa terdapat lantikan JKKK di kawasan yang ditandingi PAS dibuat secara terus kepada individu terlibat tanpa persetujuan dan perbincangan melibatkan pihak PAS Kawasan. Tindakan ini juga melanggar etika Pakatan Rakyat,” katanya sambil menyesali dengan apa yang berlaku. Katanya lagi, PAS juga mahu kerajaan negeri memperuntukkan kuota mewakili PAS bagi lantikan Ahli Lembaga Pengarah dalam anak-anak syarikat milik/berkaitan Kerajaan Negeri (GLC). “Sehingga kini, tiada mana-mana lantikan yang dibuat mewakili PAS dengan persetujuan PAS Pulau Pinang. Tindakan ini juga tidak menggambarkan semangat kerjasama Pakatan Rakyat,” tegasnya lagi. Moha Fauzi berkata PAS Pulau Pinang bimbang dengan campur tangan yang tidak wajar oleh pihak kerajaan negeri terhadap MAINPP akan menyebabkan berlakunya ‘Pertindihan Kuasa’ yang akan mengganggu kelancaran pentadbiran dan organisasi MAINPP yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. “Walaupun PAS Pulau Pinang hanya memiliki satu kerusi DUN, ia tidak bermakna suara, sumbangan, khidmat dan profesionalisma PAS di Pulau Pinang dipinggirkan,” katanya lagi. Oleh itu katanya PAS Pulau Pinang hendaklah dilibatkan dalam apa-apa perbincangan dasar dan polisi yang hendak dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan. “Perbincangan tersebut hendaklah melibatkan organisasi, bukan secara individu. Hal ini amat perlu kerana ahli-ahli PAS, penyokong dan pendokong PAS tidak mengizinkan PAS dilihat seperti boneka rakan Pakatan Rakyat terutamanya di P Pinang,” katanya. Beliau berharap sebarang perlantikan politik terhadap mana-mana jawatan, portfolio, posisi dalam kerajaan negeri yang melibatkan kuota PAS mahupun pimpinan atau mana-mana ahli PAS, mestilah dengan perbincangan dan persetujuan PAS Pulau Pinang. “ Jika tidak, PAS Pulau Pinang tidak mengiktiraf penglibatan individu tersebut sebagai mewakili parti dan akan mengambil tindakan keatas individu berkenaan, serta menganggap tindakan ini sebagai mengenepikan PAS Pulau Pinang,” ujarnya. Hari ini PAS mengumumkan pelantikan Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dalam satu langkah yang dilihat untuk merapatkan hubungan parti Islam itu dengan kerajaan negeri kerana hubungan rapat Timbalan Presiden PAS itu dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. “Jawatannya sebagai timbalan presiden dapat menyelaraskan kerja di negeri itu,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini. Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu mula rapat dengan Lim semenjak kedua-dua pemimpin itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1987. Mohamad Sabu sebelum ini pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang namun ia hanya sepenggal sahaja. Sejak dua penggal lalu, Datuk Salleh Man dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Pulau Pinang namun hubungan parti itu dengan DAP yang mentadbir Pulau Pinang tidak berapa baik. Menjelang Muktamar PAS ke 59 lalu, dengan diketuai timbalan pesuruhjayanya, PAS Pulau Pinang mengadakan satu sidang media dengan memberikan beberapa amaran kepada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan ketua menteri, Lim Guan Eng. Mereka memberikan kata dua agar kerajaan negeri memenuhi tuntutan mereka. Tindakan ini tidak disenangi oleh PAS termasuk juga presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga AJK PAS Pusat yang berasal dari Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof. Dalam mesyuarat pertamanya selepas muktamar ke 59, AJK PAS Pusat menangguhkan perlantikan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang untuk membolehkan kajian yang mendalam dibuat. Hari ini, keputusan dicapai untuk memilih Mohamad Sabu untuk mengetuai PAS Pulau Pinang. Kasihan PAS Pulau Pinang. Bukan sahaja desakan mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, sebaliknya Salleh Man ADUN tunggal PAS jadi mangsa digugurkan dari jawatan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Nampak sangat PAS Pusat tunduk kepada DAP. Adakah meletakkan Mat Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang baru dapat menyelesaikan kemelut yang ada? Bagaimana nasib ahli-ahli PAS Pulau Pinang selepas ini? Adakah Salleh Man akan mendesak ahli-ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan beramai-ramai? Beginikah cara PAS Pusat menyelesaikan masalah yang ada? Jika beginilah caranya nampak ahli-ahli PAS Pulau Pinang akan terus dipinggirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.