Selasa, Januari 28, 2014

APABILA PEGAWAI KERAJAAN TIDAK HORMATI MENTERI

PETALING JAYA: Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang pegawai kerajaan mencabar menteri berdebat. Tetapi inilah yang berlaku di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui negara. Pelik juga apabila Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Zamihan Mat Zain Al Ghar mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk berdebat mengenai isu Wahabi kerana berpendapat fahaman tersebut tidak sesuai di Malaysia. Katanya, tiada keperluan menegakkan fahaman Wahabi kerana Shahidan sendiri pernah mengakui Wahabi umpama hantu dan tidak seharusnya berpegang kepada fahaman hantu. “Saya sedia berdebat dengan Shahidan dan beliau boleh menetapkan tempat serta tarikhnya tetapi siapa yang tewas perlu melepaskan jawatan masing-masing. “Saya tidak pernah sesekali mengelirukan umat Islam tentang Wahabi sebaliknya hanya menyeru supaya berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, mazhab Shafie dan memberi iltizam akhlak Islam,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau mengulas kenyataan Shahidan sebelum ini yang menyelar Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari kerana turut melibatkan aliran Wahhabi dalam serangan kerajaan terhadap penganut fahaman Syiah. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Zamihan cuba mengelirukan umat Islam di Malaysia dengan kefahaman salah mengenai aliran Wahhabi dan ramai orang-orang Umno marah dengan tindakan tersebut. “Pegawai di KDN nak hukum pasal Syiah itu tidak mengapa kita boleh sokong. Namun mencampuradukkan Wahhabi dan sebagainya merupakan satu perbuatan yang tidak boleh terima,” kata Shahidan. “Kita tidak ada masalah dengan tindakan Zamihan dalam menentang pengaruh Syiah,” katanya lagi. Zamihan sebelum ini semasa masih bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah menjadi kontroversi apabila mengaitkan empat tokoh politik dan agama iaitu bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, Shahidan dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan fahaman Wahhabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI). Menurut Shahidan yang merupakan bekas Menteri Besar Perlis itu, pengasas fahaman Wahhabi Syeikh Muhammad Abdul Wahab lebih mirip melaksanakan amalan Nabi Muhamad dan sebahagian besar daripada ajarannya diasaskan oleh Muhammad Ibni Hanbal yang merupakan imam kepada mazhab Hanbali. “Muhammad Abdul Wahab menaikkan semangat jihad dan menentang orang-orang putih yang telah pun menguasai Bani Uthmaniyyah (memerintah Mekah/Madidinah di bawah negara Hijaz) bila penguasaan British semakin bertambah kuat,” katanya. “Oleh kerana gerakannya yang berpengaruh itu, British menulis buku gerakan tersebut bernama ‘Wahhabi’,” katanya. Shahidan turut menjelaskan Wahhabi bukanlah satu mazhab kerana sebenarnya ia tetap mengikut ajaran Sunni. “Kerana itu saya selalu kata Wahhabi umpama hantu yang kita selalu sebut tapi kita tidak nampak bagaimana. bertanduk atau tidak? Ramai yang sebut tidak faham apakah itu Wahhabi,” katanya. Shahidan yang menolak berdebat dengan Zamihan berkata, sebagai menteri yang mementingkan kebajikan beliau tidak mahu membuang masa. “Saya tidak mahu memberi sebarang komen, membuang masa melayan kerenah pegawai rendah kerajaan seperti itu,” katanya. Antara lain Zamihan berkata, Shahidan tidak layak membincangkan isu Wahabi atau yang berkaitan agama kerana ia bukan di bawah bidang kuasa menteri itu. Katanya, tindakan bekas menteri besar Perlis itu membela Wahabi membayangkan Shahidan juga berpegang kepada ajaran itu. “Apakah alasan Shahidan untuk kita perlukan Wahabi kerana fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah jelas dan ajaran seperti Wahabi tidak diperlukan di negara ini,” katanya. Yang lucunya Zamihan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemar namanya. “Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan nama baik saya selaku penjawat awam,” kata Zamihan. Zamihan, berkata sekiranya Shahidan ada masalah dengannya, beliau seharusnya berhubung dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bukan menyerangnya melalui media. “Menteri bermentaliti rendah tidak perlu ada dalam kerajaan transformasi. Menteri sepatutnya mendokong aspirasi kerajaan. Bukannya bersifat membuli saya. “Jika beliau tidak mahu berbincang secara ilmiah, jangan lagi menyerang saya secara tidak berhemah. Berhentilah dari mempertikaikan kredibiliti saya dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam,” kata Zamihan. Zamihan membalas dakwaan itu dengan mengatakan beliau melakukan kerja berdasarkan arahan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri, serta berdasarkan permintaan dari jabatan agama dan jabatan mufti negeri. “Dalam isu teologi dan ideologi kita perlu berbincang. Berdebat mencari kebenaran. Soalnya, apabila tohmahan diajukan kepada saya berkaitan ideologi agama, maka berdebat merupakan salah satu cara mendapatkan kebenaran. “Memang saya berpangkat rendah. Setelah hampir sembilan tahun berkhidmat masih di tangga S 41. Beginilah nasib penjawat awam agama. Kelihatan ada ciri double standard berbanding perjawatan lain,” katanya, merujuk kenyataan Shahidan yang beliau tidak mahu membuang masa melayan pegawai rendah seperti Zamihan. Apa yang berlaku di antara Shahidan dengan Zamihan memang memalukan negara. Sepatutnya KSU KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi memanggil Zamihan dan menasihatinya supaya tidak membuat kenyataan akhbar kerana sebagai pegawai kerajaan mencabar menteri berdebat dan mengugut untuk ambil tindakan undang-undang kepada menteri adalah tindakan yang tidak wajar. Kalau nak bercakap macam orang politik, letaklah jawatan dan masuk politik. Masa itulah bolehlah Zamihan cabar Shahidan berdebat. Sebagai bekas pegawai PTD, Shahidan tahu batasnya ketika menjadi pegawai kerajaan dahulu. Nampaknya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa perlu mendisiplinkan pegawai-pegawai kerajaan supaya peristiwa seperti ini tidak berulang di masa akan datang.