Jumaat, Disember 25, 2015

PERANG DALAM DIDAMAIKAN PERANG SARAF DIPERHEBATKAN




Oleh Shahbudin Embun


Pada kebiasannya saya suka menulis atau memberi komen pada sesuatu isu yang masih panas diperkatakan ramai. Contohnya dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) yang lalu, banyak isu yang boleh dibincangkan bersama. Namun setelah lebih kurang seminggu barulah jari jari ini mula mengetuk papan kekunci komputer bimbit saya. Mujurlah ramai penulis yang telah memberikan komen dan pandangan tentang beberapa isu yang dibincangkan dalam PAU 2015.


Bagi saya isu-isu yang dibincangkan semasa PAU 2015 masih terus relevan untuk terus dibicarakan ,selagi semua pihak dalam Umno mengambil berat dan melaksanakan apa yang telah dilaungkan dengan penuh semangat semasa PAU 2015 yang lalu. Tetapi jika hanya pandai bersorak dan  hebat membuat lawak, tanpa melakukan apa-apa tindakan, maka ianya memang hanya relevan sepanjang PAU sahaja.Semuanya terpulang pada ahli-ahli Umno.


PAU 2015 telah memberi isyarat yang sangat jelas bahawa Umno perlu berdamai demi kepentingan dan survival parti itu.Dalam hal ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjelaskan betapa pentingnya setiap ahli Umno bersatu demi menghadapi pelbagai cabaran yang menanti di depan.Setiap kali ucapannya, beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada ahli tentang pentingnya semangat solidariti dan penyatuan dalam Umno.


Hakikatnya, elemen penyatuan dalam perjuangan telah banyak kali diperkatakan oleh Najib dan atas sebab inilah majoriti ahli-ahli Umno merasakan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno masih terus kukuh.Mereka mahukan pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup melupakan segala pertelingkahan demi memperkasakan Umno sebagai parti yang mementingkan perjuangan agama , bangsa dan rakyat Malaysia.


Walaupun masih ada suara-suara yang tidak sependapat dengan beliau, namun dari segi umumnya, Najib terus dilihat sebagai pemimpin yang akan terus bergelar kapten pasukan dan  membawa cabaran Umno dalam Pilihan Raya Umum yang ke 14 nanti. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Najib berjaya mengharungi ujian 2015 ini dengan begitu bergaya sekali mahupun teruk diasak oleh musuh-musuh beliau.


Usaha Najib  membuka pintu silaturahim kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tanda aras baharu dalam mengukuhkan semangat perpaduan dalam Umno.


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi komen bahawa, usaha ke arah perdamaian yang dimulakan presiden itu amat dihargai oleh semua para perwakilan dan berharap langkah ini akan terus memperkasakan perpaduan dalam Umno.Itulah yang diharapkan oleh semua ahli Umno.


Dalam satu temuramah bersama dengan Bernama, Zahid Hamidi juga telah menjelaskan bahawa “Keutamaan kita adalah ke arah perpaduan. Tidak perlu ada persidangan dalam persidangan dan pada hemat saya, perbezaan pendapat perlu ikhlas untuk memperkukuhkan parti. Sebagai parti yang dinamik, permasalahan harus diatasi dan setiap era kepimpinan pasti ada masalah, sama ada ia besar atau kecil ia mesti diselesaikan. “


Manakala itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa PAU 2015 telah diakhiri dengan semangat perpaduan yang kukuh dan membuktikan kepada semua bahawa Umno masih terus relevan dan kekal utuh.


"Saya rasa lega kerana sebelum ini macam-macam andaian dan menunding jari terhadap Umno. Macam-macam perkara dilontarkan terhadap kita tetapi akhirnya kebijaksanaan, ketabahan, kesabaran berjaya ditonjolkan oleh bukan sahaja pemimpin tetapi mereka yang dipimpin.Mereka telah menunjuk satu kesedaran yang amat besar maknanya kepada perjuangan bangsa," Ujar Hishammuddin.


Antara isu yang menjadi minat penulis selepas PAU 2015 ,ialah tentang perang siber dan bagaimana Umno akan menangani masalah ini.Ini bukanlah satu isu yang baharu dan Umno perlu menerima hakikat ahawa parti ini telah dihentam dengan pukulan K.O apabila bertarung dengan parti-parti pembangkang di arena alam siber  pada beberapa Pilihan Raya Umum yang lalu.


Akibatnya, segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Umno dan Barisan Nasional mendapat kepercayaan ramai khasnya golongan muda yang tidak boleh hidup tanpa internet dan media sosial.Walaupun Umno membuat serangan balas untuk menangani fitnah-fitnah ini, namun ianya agak terlambat untuk menukar fikiran mereka yang sudah terpedaya dengan dakyah yang dilontarkan oleh pihak pembangkang.


Itulah sebabnya saya amat bersetuju dengan usaha untuk membentuk Pasukan Gelombang Biru baharu, bagi menangani serangan siber terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) . Langkah ini telah diperjelaskan oleh Zahid Hamidi yang mana beliau serta Hishammuddin Tun Hussein akan bertanggungjawab memperkasakan pasukan tersebut serta menyelaras strategi yang lebih berkesan.

Zahid menjelaskan ,"Saya bersetuju mungkin serangan yang ditujukan kepada BN (Barisan Nasional) telah menimbulkan persepsi dan jawapan-jawapan yang diperoleh dari pihak 'establisment' (pihak yang memegang kuasa) kurang menyerlah.
"Jadi kita akan memperkasa alam siber dengan mewujudkan gelombang biru yang baharu dan ianya harus lebih berfokus dalam menghadapi serangan musuh-musuh parti,"


Gandingan mantap dua orang kuat Umno, Zahid Hamidi dan Hishammuddin bukan sahaja dapat menggerakkan usaha ini, tetapi dapat membentuk Pasukan Gelombang Biru yang lebih mantap dan efektif.


Apa yang lebih penting ialah, Pasukan Gelombang Biru yang bakal dibentuk nanti perlulah dibarisi oleh “wira papan kekunci” yang boleh berhujah dengan fikiran yang bernas dan dibekalkan dengan fakta yang berilmiah apabila menjelaskan tentang fitnah dan tohmahan yang dilempar oleh pihak pembangkang.


Biarlah pihak pembangkang bermain dengan isu-isu sensasi serta fitnah untuk mendapatkan undi dari rakyat. Jika pasukan gelombang Biru pun menggunakan taktik yang sama, maka kredibiliti pasukan ini pastinya akan dipersoalkan umum dan akhirnya boleh menyebabkan senjata makan tuan.


Tunjukkan dan buktikan kepada dunia bahawa para blogger serta wira papan kekunci Umno terdiri daripada mereka yang cerdik pandai dan kaya dengan pelbagai idea  apabila menangani dakyah-dakyah pembangkang.


Perlu diingatkan bahawa rakyat hari ini boleh menilai sendiri pelbagai pandangan yang dilontarkan di alam siber. Hanya dengan pandangan yang berilmiah dan disokong oleh fakta-fakta yang kukuh dapat mematikan segala fitnah dan dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.


Najib Razak sendiri pernah  menjelaskan bahawa perang persepsi yang terhasil daripada perang siber merupakan cabaran terbesar kepada Umno, apatah lagi jika sesuatu isu itu dieksplotasi dan sengaja disensasikan.  Mungkin dalam hal ini,
Umno perlu wujudkan pasukan media sosial sendiri yang bertindak sepenuh masa dan benar benar komited agar usaha ini berjaya dilaksanakan.


PAU 2015 telah berakhir dengan suasana yang sangat positif dan pastinya ramai ahli Umno yang semakin yakin  dengan visi perjuangan yang dipimpin oleh Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno.Terpulanglah kepada ahli Umno semua untuk sama-sama berganding bahu dan terus membuktikan yang semangat penyatuan dalam Umno terus kukuh dan utuh walaupun setelah teruk dihentam dengan ribut taufan yang amat dahsyat.


Khamis, Disember 24, 2015

2015: SEMUA PARTI BERGOLAK

KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Sungguhpun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hampir tiga tahun berlalu, suhu politik di Malaysia pada tahun ini tetap panas berikutan pergolakan parti politik di kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Landskap politik mula menampakkan perubahan ketara selepas pakatan pembangkang kehilangan dua tokoh besar iaitu apabila ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjalani hukuman penjara lima tahun bermula Februari kerana didapati bersalah dalam kes liwat manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula meninggal dunia pada bulan sama.

Kehilangan dua pemimpin pembangkang itu mengakibatkan perpecahan yang ketara dalam gabungan Pakatan Rakyat, apabila DAP dan PAS tanpa bersembunyi lagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar dan polisi masing-masing.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, parti pemerintah itu turut berdepan cabaran untuk memastikan isu yang melingkari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berlarutan, di samping memastikan rakyat tidak terbeban dengan kejatuhan nilai ringgit serta kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 10 Feb lepas, Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang ditetapkan Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Walaupun Anwar cuba merayu di peringkat Lembaga Pengampunan Diraja, petisyen beliau ditolak Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Mac, dan Anwar hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh, sekali gus memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu.

Selain itu, negara turut dikejutkan dengan pemergian bekas Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, yang juga anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Perkembangan itu menyebabkan SPR mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil Rompin pada 5 Mei, dan Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei yang keputusannya menyaksikan Datuk Hasan Arifin daripada BN berjaya mempertahankan kerusi Rompin, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Permatang Pauh, yang sebelum itu disandang suaminya Anwar.

Bagi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pilihan raya kecil itu, adalah yang terakhir beliau menjadi pengarah pilihan raya BN.

Muhyiddin, yang mengkritik Najib berhubung isu 1MDB dan isu dana politik RM2.6 bilion, digugurkan daripada Kabinet dan sekali gus kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Julai.

Turut digugurkan daripada Kabinet ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang turut mengkritik Najib dalam isu sama.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Najib selaku presiden menegaskan akan kekal memimpin parti itu selain mengambil pendirian untuk 'berjiwa besar' dengan mengajak kumpulan penentangnya dalam parti berdamai dan kembali bersatu.

Dalam rombakan Kabinet yang sama, Najib turut menggugurkan Datuk Seri G. Palanivel selepas Pendaftar Pertubuhan pada 25 Jun mengesahkan keanggotaan anggota Parlimen Cameron Highlands itu terbatal dan jawatan presiden dipangku Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi MIC pada 6 Nov kemudiannya mengesahkan jawatan presiden milik Dr Subramaniam secara rasmi, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dipilih sebagai timbalan presiden.

Sementara itu, ramalan pemerhati politik bahawa Pakatan Rakyat mungkin bermasalah besar dengan ketiadaan Anwar dan Nik Abdul Aziz, menjadi kenyataan apabila gabungan politik itu terbubar secara rasmi ekoran pertelagahan DAP dan PKR dalam beberapa isu nasional, termasuk rampasan kitab Injil berbahasa Melayu di Semenanjung serta keputusan PAS untuk meneruskan agenda undang-undang Hudud di Kelantan.

Keputusan pemilihan parti PAS pada 4 Jun lepas, yang menyaksikan kejayaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu bagi penggal 2015-2017, menewaskan pencabarnya Ahmad Awang, turut memberi kesan kepada senario politik PAS.

Pada pemilihan itu Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, terlepas jawatan timbalan presiden yang dipegangnya semenjak 2011 kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Keputusan pemilihan itu turut melihat penolakan 'kumpulan profesional' dalam PAS - antaranya bekas naib presiden Salahudin Ayub, Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Anggota Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Kumpulan yang diketuai Mat Sabu, kemudian bertindak drastik memisahkan diri daripada PAS dan bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978 kepada Parti Amanah Negara pada 16 Sept.

Berikutan tindakan itu, keanggotaan mereka dalam PAS terbatal selari dengan Perlembagaan parti itu.

Dalam perkembangan lain, pembubaran Pakatan Rakyat yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU ke-12 (2008) menyaksikan penubuhan gabungan baharu dikenali Pakatan Harapan pada 22 Sept, dan pada masa kini, bekas anggota UMNO Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai ketua sekretariatnya.

Kekuatan gabungan baharu itu bagaimanapun belum dapat dilihat.

Dewan Rakyat pada persidangannya baru-baru ini, meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

-- BERNAMA

Rabu, Disember 23, 2015

KELUARLAH DARI PAS MASUK AMANAH, IDRIS

Di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan bahawa pandangan peribadi tidak boleh dipakai dalam isu itu.
“Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi,” katanya.
Beliau menegaskan PAS pernah kehilangan pemimpin-pemimpin kanannya sebelum ini, termasuk dua presiden – Ahmad Fuad dan Datuk Asri Muda  tetapi PAS tidak lemah.
“PAS tetap hebat, kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, Insya-Allah PAS berdiri gagah,” katanya.
Beliau sebelum itu mengulas spekulasi parti itu mahu bergabung dengan Umno, dengan menegaskan mereka mempunyai organisasi pelbagai peringkat.
“Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.
“Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK (anggota jawatankuas) PAS Pusat, dan muktamar (tahunan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh majlis anjuran alumni Universiti Al-Azhar yang menyaksikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkongsi pentas.
Selain warna baju mereka yang sedondon mencuri perhatian, ramai dilihat cuba membaca bahasa tubuh dan kemesraan kedua-dua pemimpin itu di pentas.
Hadi menyampaikan ucap utama dalam acara itu manakala Najib pula merasmikannya.
Dalam kenyataannya, Idris berkata sejak acara yang menurutnya disediakan “proksi kerajaan” itu, terbukti PAS tidak akan mengikut agenda orang lain tetapi hanya apa yang diajar oleh agama.
Sementara itu, Idris juga menyeru anggota dan penyokongnya supaya menjadikan media rasmi parti – Harakah dan Harakahdaily – sebagai rujukan untuk sebarang keputusan parti.
Selain itu, anggota PAS juga diseru hadir ke acara dan dialog bersama pemimpin dan mendapatkan maklumat terus keputusan parti dan bukan pandangan peribadi.
“Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif, mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS,” dakwanya.
Mengulas isu ini, pada pendapat saya Idris Ahmad jangan terlalu negative thinking.
Kita sekarang memikirkan tentang survival orang Melayu dan Islam di negara ini. Kalau idris mahu negara ini diketuai Dr Wan Azizah Wan Islam yang diremote control oleh DAP pada tahun 2018, teruskanlah.

Jangan menyesal suatu hari nanti jika orang Melayu di negara ini akan menjadi seperti orang Melayu di Singapura. Takkanlah Idris sudah lupa apa  yang Pakatan Rakyat yang diketuai PAS buat sewaktu di Perak selepas PRU 2008 yang diremote control oleh DAP.
Idris sepatutnya bersyukur presiden beliau, Haji Hadi Awang sudah insaf dan tidak mahu diperalatkan lagi oleh DAP. Oleh itu Idris tak perlu sindir Haji Haji dan jika beliau tidak setuju dengan langkah PAS berbaik baik dengan Umno, keluarlah dari PAS dan sertailah
Amanah proksi DAP.

Isnin, Disember 21, 2015

NEGARA HADAPI MASALAH JIKA GAGAL LAHIRKAN MODAL INSAN BERKUALITI

TAWAU, 20 Dis (Bernama) -- Negara akan berhadapan masalah besar jika gagal melahirkan modal insan berkualiti untuk kesinambungan kecemerlangan kepimpinan negara pada masa hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Sehubungan itu katanya, usaha memperkasa golongan belia sentiasa menjadi keutamaan pemimpin masa kini agar dapat mewariskan kepimpinan kepada mereka yang berupaya mengukuhkan kedaulatan dan kegemilangan bangsa serta negara.

"Inilah cabaran yang perlu digalas generasi muda iaitu menyedari peranan dan tanggungjawab terhadap negara," katanya ketika berucap pada program Kem Transformasi Belia Zon Tawau di Kem PLKN San Shui, semalam.


Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas itu berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha menyediakan ruang dan peluang kepada generasi muda dengan penganjuran pelbagai program bermanfaat ke arah melengkapkan belia dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

Malah katanya, kerajaan sentiasa menggalakan generasi muda menubuhkan persatuan yang dapat mencungkil bakat kepimpinan pada peringkat awal dan sebagai langkah mengukuhkan jaringan perpaduan antara mereka.

Seramai 112 peserta - 64 lelaki dan 38 wanita - dari daerah ini, Semporna, Kunak dan Lahad Datu menyertai program berkenaan yang bermula 17 Disember lepas.

-- BERNAMA

SATUKAN MIC TERLEBIH DAHULU SEBELUM PANTAU UMNO-PAS

Presiden MIC S Subramaniam berkata beliau tidak menentang kerjasama Umno-PAS selagi tidak menjejaskan perhubungan dengan parti komponen BN yang lain.
“Ini penting.
“Kita tidak menentang sebarang kerjasama pilihan raya ada kedua-dua parti itu,” kata anggota parlimen Segamat itu kepada media di Kepong semalam.
Beliau juga berkata, buat masa ini, MIC masih memantau keadaan.
Ditanya sama ada kerjasama itu akan menguntungkan MIC, Subramaniam berkata perkara itu memerlukan penelitian terlebih dahulu.
Isu kerjasama itu bersemarak semula selepas kedua-dua presiden parti itu – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hadi Awang – dilihat mesra dalam sebuah acara alumni Universiti Al-Azhar minggu lepas.
Selain sama-sama terlibat merasmikan dan menyampaikan ucap utama, kedua-dua pemimpin itu juga menjadi perhatian dengan pakaian sedondon merah jambu.
Bagi saya, MIC tak perlu risau jika Umno bekerjasama dengan PAS kerana pada tahun 1974 dahulu PAS pernah menyertai BN.
Yang patut MIC risau sekarang ialah sokongan masyarakat India kini kepada MIC berpecah dua, kepada kumpulan Palanivel dan kumpulan Subramaniam.Oleh itu Subra sepatutnya memikirkan soal MIC dan bukan risau tentang kerjasama PAS dengan Umno.
Subra harus ingat bahawa MIC menang di kerusi Melayu. Jika pengundi PAS dan pengundi Umno bersatu memboikot MIC, sudah tentu MIC tumbang di Segamat.
Oleh itu MIC tak perlu gusar tentang kerjasama Umno-PAS, sebaliknya risau tentang masyarakat India yang makin meluat dengan MIC.

Ahad, Disember 20, 2015

PERKHIDMATAN PEMBANTU RUMAH SAMBILAN MAKIN POPULAR

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Perkhidmatan pembantu rumah domestik separuh masa melalui tempahan dalam talian, semakin popular di kalangan golongan bekerjaya di negara ini ekoran kekangan masa untuk menguruskan rumah.

Azrul Rahim, Pemilik dan Ketua Pengarah Eksekutif syarikat dalam talian, Maideasy Sdn Bhd berkata sejak menawarkan perkhidmatan pembantu rumah pada Januari 2015 di sekitar Lembah Klang, beliau menerima sebanyak 14,000 tempahan.

Azrul yang turut mempunyai rakan kongsi lain, menubuhkan Maideasy dengan pelaburan beberapa ratus ribu Ringgit di mana beliau memiliki kira-kira 80 peratus ekuiti.

Maideasy mempunyai lebih 300 pembantu rumah, dengan lebih 80 peratus adalah rakyat tempatan.

Selebihnya merupakan warga Indonesia, Myanmar dan Sri Lanka berikutan jalinan kerjasama dengan syarikat pembantu rumah swasta.

"Walaupun pekerjaan ini sinonim dengan warga asing, rakyat tempatan juga sebenarnya menunjukkan minat apabila mengetahui bayaran yang kita tawarkan tiga atau empat kali lebih tinggi berbanding bayaran di tempat lain," katanya kepada Bernama.

Antara yang berminat termasuklah golongan pelajar di institusi pengajian tinggi dan individu yang ingin mencari pendapatan sampingan.

SERIK DENGAN PEMBANTU RUMAH

Azrul yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pembangunan perisian berkata, idea untuk mengusahakan Maideasy bermula apabila beliau mengalami masalah dengan pembantu rumah.

"Ada yang melarikan diri, berkelakuan pelik, mencuri dan sebagainya, yang membuatkan saya serik.

"Jadi saya faham masalah yang dialami rakyat Malaysia kerana sesetengah pembantu warga asing hanya sekadar menjalani latihan namun tidak ditapis latar belakang mereka oleh majikan," kata Azrul.

Ekoran pelbagai masalah, beliau tekad mencari jalan penyelesaian di samping membantu orang lain untuk melancarkan kehidupan seharian mereka.

Prospek dalam bidang ini adalah cerah didorong oleh kesukaran proses untuk membawa masuk pekerja warga asing, kos yang tinggi dan tiada privasi sekiranya terpaksa mengambil pembantu rumah sepenuh masa.

"Ini antara peluang kepada rakyat tempatan untuk meningkatkan pendapatan memandangkan pekerjaan ini bukanlah begitu sukar apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar," katanya.

Melalui pihak ketiga yang dilantik Maideasy untuk menjalankan proses tapisan latar belakang, Azrul berkata semakan dijalankan dengan pihak polis bagi melihat rekod jenayah sekiranya ada.

Maideasy juga menjalankan temuduga dan ujian praktikal terhadap setiap pekerja sebelum diterima bekerja. Mereka seterusnya akan diberi latihan yang sewajarnya termasuk kemahiran berkomunikasi.

TEMPAHAN PEMBANTU RUMAH DALAM MASA 60-SAAT

Menerusi laman sesawang www.maideasy.my yang mesra pengguna, pelanggan boleh membuat tempahan hanya dalam masa 60-saat melalui telefon pintar, 'tablet' dan komputer.

Kategori perkhidmatan yang disediakan terbahagi kepada tiga iaitu kerja-kerja pembersihan asas rumah, pemindahan rumah/premis dan pembersihan ruang komersial.

"Pelanggan boleh membuat tempahan mengikut kehendak mereka selewat-lewatnya pada hari yang sama melalui bayaran terus secara atas talian," kata Azrul.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan, Azrul berkata pelanggan akan turut diminta menilai tahap kecekapan pembantu rumah terbabit.

Sekiranya ada rungutan atau ketidakpuasan hati, pihaknya akan menggantikan dengan pembantu rumah yang lain tanpa sebarang kos tambahan.

Sementara pembantu rumah terbabit pula akan diminta menjalani semula latihan.

SUKAR MEMENUHI PERMINTAAN PENGASUH ANAK

Azrul juga menerima permintaan untuk khidmat menjaga anak daripada para pelanggannya namun ia sukar untuk dilaksanakan ekoran proses yang rumit.

"Setakat kita belum memutuskannya kerana tidak pasti sama ada perkhidmatan ini memerlukan lesen yang berasingan atau sebaliknya.

"Malah kita juga perlu mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

RANCANG PERLUAS MAIDEASY DI PULAU PINANG DAN JOHOR BAHARU

Dengan suntikan pelaburan yang telah diterima daripada Axiata Digital Innovation Fund (ADIF) baharu-baharu ini, Azrul berkata syarikatnya mensasarkan Pulau Pinang dan Johor Baharu pada tahun depan berikutan permintaan yang tinggi.

"Dana ini akan menjadi pendorong untuk Maideasy untuk terus berkembang sekaligus membuktikan keupayaan syarikat tempatan yang beroperasi dalam talian.

"Kita juga berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 1,000 pembantu rumah warga tempatan bagi menampung keperluan pelanggan pada tahun depan," katanya.

ADIF, merupakan kerjasama antara Axiata Group Bhd and Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) bagi menyokong objektif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan.

Bayaran yang dikenakan oleh Maideasy bermula serendah RM20 sejam dengan tempoh minima selama empat jam.

BERNAMA

Sabtu, Disember 19, 2015

KEKALKAN STATUS QUO JIKA UMNO-PAS BEKERJASAMA

Cubaan menimbulkan kembali sejarah perselisihan faham antara PAS dan UMNO hanya akan menjejaskan agenda perpaduan ketika ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua parti itu perlu mula memandang ke arah permuafakatan supaya ia dapat menjamin kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kenapa perlu gali dan selongkar segala isu-isu lama, yang hakikatnya generasi sekarang tak pernah ada dalam zaman itu, bahkan majoriti pemimpin sekarang tak ada dalam 'baggage' itu, sejarah itu.

"Kalau kita nak cakap soal perpaduan, permuafakatan itu yang paling penting. Kedua-dua pihak harus berlaku jujur dan ikhlas dan tak perlu lagi membicara soal kelemahan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menutup Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap sesetengah pihak yang seolah-olah tidak senang dengan agenda perpaduan antara dua parti politik itu, dan sengaja menimbulkan kembali perkara-perkara yang menjadi titik tolak pertelagahan antara PAS dan UMNO.

Timbalan menteri itu berpendapat UMNO dan PAS masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan adalah lebih baik kiranya kedua-dua parti politik itu menumpukan usaha untuk bergerak ke arah perpaduan seperti yang dituntut dalam syariat Islam.

Bagi saya, jika Umno dan PAS mahu bekerjasama dalam politik pada PRU akan datang, maka kekalkanlah status quo. Jika Umno menang 17 kerusi DUN dan PAS menang 15 kerusi DUN di Terengganu maka pembahagian kerusi tetap 17, 15. Maknanya PAS tidak boleh bertanding di 17 kerusi Umno sebaliknya biar Umno lawan Amanah atau PKR. Begitu juga Umno tidak boleh bertanding di kerusi PAs, biar PAS lawan Amanah atau PKR.

Bagi ahli Umno yang mahu jadi YB sudah tentu tak suka dengan gabungan ini jika kerusi itu diperuntukkan kepada PAS.Begitu juga ahli PAs yang mahu jadi YB jika DUN itu diperuntukkan untuk Umno.

Ada yang berpendapat bahawa lebih baik bergabung selepas PRU, dan lihat keputusan PRU akan datang. Jika bergabung selepas PRU sudah tidak bermakna lagi kerana jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, PAS dan Amanah, silap silap Amanah yang menang.

Oleh itu kerjasama Umno dengan PAS hendaklah diadakan sebelum PRU akan datang. Sudah tentu jika berlaku gabungan ramai pemimpin Umno yang kehilangan kerusi menteri dan Exco. Jangan fikir tentang kedudukan tetapi fikirlah bergabung itu untuk survival umat Islam sama ada BN yang pro Islam memerintah negara atau Pakatan Harapan yang diremote control DAP memerintah negara.

Jumaat, Disember 18, 2015

HARUSSANI PALING GEMBIRA JIKA UMNO-PAS BERKERJASAMA

Umno dan PAS harus menumpukan kepada usaha mencari titik persamaan antara dua parti Islam terbesar itu, sekiranya mereka benar-benar ingin merealisasikan agenda perpaduan, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Selain itu, katanya kedua-dua pihak juga disaran agar mengenepikan fahaman politik masing-masing demi memastikan kepentingan negara dapat diberi keutamaan.

"Apa yg diucapkan PM (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kedua-duanya lebih ke arah untuk bersatu.

"Bukan bermaksud bersatu dari segi parti, tetapi bersatu dalam arah mencari perpaduan...dan mudah-mudahan (usaha ini) akan berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kertas kerja di Multaqar Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini.

Selain itu, katanya jika usaha perpaduan dalam kalangan pemimpin atasan berjaya, sudah pasti rakyat bawahan juga akan mengikut jejak langkah mereka dan berusaha mengelakkan sebarang perpecahan.

Jika berlaku kerjasama Umno-PAS, sudah tentu Harussani orang yang paling gembira kerana hasratnya untuk melihat Umno-PAS bekerjasama sejak tahun 2008 akhirnya menjadi kenyataan.

Pada tahun 2008, apabila Pakatan Rakyat  menang di Perak, Harussani telah menghubungi Haji Hadi supaya PAS mengadakan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Haji Hadi suruh Harussani berunding dengan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Ahmad Awang tetapi Haji Ahmad tidak bersetuju kerana DAP telah menawarkan kerusi Menteri Besar kepada PAS. Maka cita-cita Mufti Perak itu terbantut.

Akhirnya ternyata PAS menjadi MB remote control oleh DAP yang merugikan orang Melayu. Oleh itu usaha Najib Razak membawa kabilahnya bergabung dengan kabilah Haji Haji Awang perlu diberi perhatian serius oleh orang Melayu dan Islam.

Khamis, Disember 17, 2015

LU JANGAN TAKUT CHUA, LU TATAK KENA HUKUM HUDUD

Bekas Presiden MCA, Chua Soi Lek bimbang Umno mahu bekerjasama dengan PAS. Katanya, MCA akan tentang jika PAS menyertai BN selagi PAS tidak menggugurkan hukum hudud. Nampaknya Chua bimbang beliau akan dikenakan hukum hudud jika PAS melaksanakan hukum hudud.

Beliau yang terlibat dengan skandal sex ketika menjadi Menteri Kesihatan jangan bimbang kerana hukum hudud ini untuk orang Islam sahaja. Lu jangan takut Chua, lu tatak kena hukum hudud.

Kenapa MCA takut sangat dengan hukum hudud sedangkan ia dapat menggerunkan orang ramai untuk mencuri, membunuh, minum arak dan berzina.

Chua juga mengaku jika Umno bergabung dengan PAS, kedua dua parti itu akan mempunyai 120 kerusi dallam Dewan Rakyat yang mana MCA tidak diperlukan lagi.

Seperti kata MB Kelantan, Ahmad Yakob, kerajaan PAS sudah lama bekerjasama dengan kerajaan BN, maka jika PAS bekerjasama dengan Umno, ia bukan perkara baru.

Ahmad Yakob berkata kerjasama antara kerajaan PAS Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), telah lama wujud.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-duanya dapat dilihat terutamanya dalam aspek pengurusan perkhidmatan kerajaan misalnya bagi membincangkan isu-isu tertentu mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

"Contohnya, setiap menteri besar mesti hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tanah Negara untuk berbincang mengenai isu tanah serta perkara yang ada kaitan antara negeri dan pusat.

"Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara negeri dan Persekutuan memang berlaku," katanya sebagai mengulas mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO.

Kerjasama antara UMNO dan PAS telah berlangsung selama dua tahun, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengesahkan kenyataan MB Kelantan.

Beliau berkata ia melibatkan kerjasama di peringkat 'G-to-G' antara kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS di bawah Menteri Besar  Ahmad Yakob.

"Kerjasama telah berlaku, (ia) bukan mimpi... tak tepat (kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), itu tak betul. Kerjasama telah berlaku dua tahun dah.

"Tapi itu bukan bermakna kerajaan campuran. Itu (kerajaan campuran) konsep yang lebih luas dan kita kena dapatkan persetujuan daripada anggota PAS dan UMNO dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Bukit Bunga, di sini Ahad.

Mustapa mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan berkata UMNO hanya 'bermimpi' jika ingin menjalinkan hubungan dengan PAS selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kerajaan campuran mungkin tidak dapat diwujudkan dalam masa terdekat, namun beliau yakin 'salam' yang dihulur oleh Najib akan disambut baik PAS selepas ini.

"Saya rasa sehari dua ini saya tak nampak ada kerajaan campuran ini, tapi kita dah mula kerjasama, saya sendiri dengan Menteri Besar Kelantan dalam setahun ini banyak pertemuan telah diadakan.

"Saya banyak kali ke Kota Darul Naim (pusat pentadbiran kerajaan Kelantan) yang tak pernah berlaku sebelum ini. Ini tanda-tanda yang baik. Menteri besar Kelantan pun banyak kali berjumpa perdana menteri untuk urusan kerajaan," katanya.

Rabu, Disember 16, 2015

USAHA ARTIS TUBUH KOPERASI WAJAR DIPUJI

Malam tadi di PWTC, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad (KSKLB)  yang dianggotai artis artis yang yang masih aktif dan veteran. Seramai 1,500 orang artis hadiri majlis itu yang ditaja oleh DRB-Hicom sebanyak RM500,000.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Berhad, Tan Sri Khamil Jamil turut hadiri majlis Gegar Anak Seni itu.Menurut Pengerusi Koperasi, Datuk Jurey Latiff Rosli, KSKLB didaftarkan pada 31 Mei 2010 dengan pengerusi pertamanya Allahyarham Harun Salim Bachik.

Penubuhan koperasi itu bertujuan untuk menjalankan aktiviti perniagaan pasar mini serta menjalankan aktiviti kebajikan anggota pendidikan dan perniagaan di samping menjalankan perkhidmatan penerbitan program program televisyen dan filem, persembahan konsert serta aktiviti lain yang berkaitan untuk menjana pendapatan ahli koperasi.

Pengerusi projek Gegar Anak Seni, Datuk Malek Radzuan ketika berucap mengatakan sokongan artis kepada pihak kerajaan yang begitu prihatin menjaga kebajikan anak-anak seni. Malek mengajak semua artis melafazkan ikrar taat setia kepada kerajaan.

Bagi Dr Zahid yang pernah menjaga artis ketika menjadi Timbalan Menteri Penerangan dahulu, ikrar taat setia yang diketuai Malek tidak perlu diadakan kerana beliau tahu majoriti artis menyokong kerajaan yang memperjuangkan nasib mereka.

"Kalau bukan kerajaan, siapa lagi yang mempedulikan artis," katanya ketika berucap di majlis tersebut. Dr Zahid bersetuju memberi peruntukan RM1 juta kepada KSKLB  dengan harapan kebajikan artis terbela.

"Selepas ini jika saya dengar ada artis yang tidak diberi perhatian oleh KSLKB, saya akan tarik balik peruntukan itu," gurau Dr Zahid.

Usaha artis menubuhkan koperasi wajar diberi pujian kerana melalui koperasi mereka dapat meningkatkan punca pendapatan koperasi di mana keuntungan dari perniagaan nanti ia dapat dipulangkan kepada artis yang memerlukan pembelaan terutamanya artis veteran yang sudah dipinggirkan oleh industri seni.

Pelbagai persatuan ditubuhkan untuk artis seperti Seniman, Yayasan Karyawan. GAFIM tetapi diharapkan selepas ini tidak ada lagi koperasi serpihan dari KSKLB.

Seperti amanah Dr Zahid kepada pemimpin koperasi, jangan jadikan koperasi sebagai tempat menonjolkan diri demi kepentingan peribadi sebaliknya keutamaan koperasi ialah untuk  jaga kebajikan artis.

Majlis diserikan oleh nyanyian juara Gegar Vaganza, Nana, Kumpulan Zero, Hazami,




Khatijah Ibrahim, M. Daud Kilau dan persembahan band Rela Putrajaya. Majlis itu turut memberi anugerah pohon beringin 2015 kepada Allahyarham Harun Salim bachik, Ibrahim Pendek (ikon filem), Tan Sri Ahmad Merican (ikon televisyen), Datuk Ooi Eow Jin (ikon muzik), Alleycats (ikon nyanyian), Khalid Salleh (ikon teater) dan Datin Azanin Ezane Ahmad (ikon tarian).



Selasa, Disember 15, 2015

RAFIZI AKUI KEKUATAN PAS

Pakatan Harapan perlu membentuk gabungan pilihan raya dengan PAS demi mendapatkan sokongan golongan atas pagar, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.
Ini akan menjadi satu-satunya cara untuk pembangkang menawan Putrajaya, tegasnya.
Memetik tinjauan bebas pada 4 Disember, Rafizi berkata, sekurang-kurangnya 30 peratus orang Melayu sudah membuat keputusan untuk menolak Datuk Seri Najib Razak dan Umno.
Bagaimanapun, mereka dikatakan belum memutuskan pembangkang mana yang akan disokong.
Rafizi berkata, golongan itu dipengaruhi isu yang mempunyai kesan langsung terhadap mereka, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), melebihi perkembangan politik.
Sebahagian mereka tidak mengetahui kewujudan kumpulan serpihan PAS, Parti Amanah Nasional (AMANAH).
Menurut beliau, BN memperoleh 53 peratus undi Melayu manakala pembangkang pula 46 peratus.
Umno, PAS dan PKR pula masing-masing mempunyai 20 peratus penyokong tegar daripada orang Melayu, sementara bakinya akan membuat keputusan berdasarkan isu dan sentimen.
“Jika mereka tolak Umno, mereka akan berpatah balik kepada PAS,” katanya.
Ini menunjukkan bahawa Rafizi mengakui kekuatan PAS kerana selama ini PKR menang pun kerana jentera PAS. Contohnya PKR menang di parlimen Kemaman pada tahun 1999 kerana jentera PAS yang bekerja kuat sedangkan ahli PKR di Kemaman tidak seramai mana.
Sebab itu apabila PKR memohon bertanding di lima kerusi DUN di Terengganu pada PRU 2013, hanya satu kerusi sahaja DUN Bandar yang diberikan oleh PAS kepada PKR kerana PAS tahu bahawa PKR tiada jentera. 
Kenyataan Rafizi juga membuktikan bahawa PKR tidak yakin sejauh mana rakyat dapat menerima parti serpihan PAS, Amanah. Sebab itu di Selangor Azmin Ali masih memerlukan PAS dlam kerajaan Pakatan Rakyatnya kerana alasan Azmin Pakatan Rakyat yang menangdalam PRU 2013.
Azmin sudah nampak bahawa jentera Amanah tidak dapat membantu PKR dalam PRU akan datang. Maka PKR memerlukan jentera PAS untuk menang PRU. Tanpa PAS, PKR akan hilang banyak kerusi pada tahun 2018.