Jumaat, Disember 25, 2015

PERANG DALAM DIDAMAIKAN PERANG SARAF DIPERHEBATKAN




Oleh Shahbudin Embun


Pada kebiasannya saya suka menulis atau memberi komen pada sesuatu isu yang masih panas diperkatakan ramai. Contohnya dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) yang lalu, banyak isu yang boleh dibincangkan bersama. Namun setelah lebih kurang seminggu barulah jari jari ini mula mengetuk papan kekunci komputer bimbit saya. Mujurlah ramai penulis yang telah memberikan komen dan pandangan tentang beberapa isu yang dibincangkan dalam PAU 2015.


Bagi saya isu-isu yang dibincangkan semasa PAU 2015 masih terus relevan untuk terus dibicarakan ,selagi semua pihak dalam Umno mengambil berat dan melaksanakan apa yang telah dilaungkan dengan penuh semangat semasa PAU 2015 yang lalu. Tetapi jika hanya pandai bersorak dan  hebat membuat lawak, tanpa melakukan apa-apa tindakan, maka ianya memang hanya relevan sepanjang PAU sahaja.Semuanya terpulang pada ahli-ahli Umno.


PAU 2015 telah memberi isyarat yang sangat jelas bahawa Umno perlu berdamai demi kepentingan dan survival parti itu.Dalam hal ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjelaskan betapa pentingnya setiap ahli Umno bersatu demi menghadapi pelbagai cabaran yang menanti di depan.Setiap kali ucapannya, beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada ahli tentang pentingnya semangat solidariti dan penyatuan dalam Umno.


Hakikatnya, elemen penyatuan dalam perjuangan telah banyak kali diperkatakan oleh Najib dan atas sebab inilah majoriti ahli-ahli Umno merasakan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno masih terus kukuh.Mereka mahukan pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup melupakan segala pertelingkahan demi memperkasakan Umno sebagai parti yang mementingkan perjuangan agama , bangsa dan rakyat Malaysia.


Walaupun masih ada suara-suara yang tidak sependapat dengan beliau, namun dari segi umumnya, Najib terus dilihat sebagai pemimpin yang akan terus bergelar kapten pasukan dan  membawa cabaran Umno dalam Pilihan Raya Umum yang ke 14 nanti. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Najib berjaya mengharungi ujian 2015 ini dengan begitu bergaya sekali mahupun teruk diasak oleh musuh-musuh beliau.


Usaha Najib  membuka pintu silaturahim kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tanda aras baharu dalam mengukuhkan semangat perpaduan dalam Umno.


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi komen bahawa, usaha ke arah perdamaian yang dimulakan presiden itu amat dihargai oleh semua para perwakilan dan berharap langkah ini akan terus memperkasakan perpaduan dalam Umno.Itulah yang diharapkan oleh semua ahli Umno.


Dalam satu temuramah bersama dengan Bernama, Zahid Hamidi juga telah menjelaskan bahawa “Keutamaan kita adalah ke arah perpaduan. Tidak perlu ada persidangan dalam persidangan dan pada hemat saya, perbezaan pendapat perlu ikhlas untuk memperkukuhkan parti. Sebagai parti yang dinamik, permasalahan harus diatasi dan setiap era kepimpinan pasti ada masalah, sama ada ia besar atau kecil ia mesti diselesaikan. “


Manakala itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa PAU 2015 telah diakhiri dengan semangat perpaduan yang kukuh dan membuktikan kepada semua bahawa Umno masih terus relevan dan kekal utuh.


"Saya rasa lega kerana sebelum ini macam-macam andaian dan menunding jari terhadap Umno. Macam-macam perkara dilontarkan terhadap kita tetapi akhirnya kebijaksanaan, ketabahan, kesabaran berjaya ditonjolkan oleh bukan sahaja pemimpin tetapi mereka yang dipimpin.Mereka telah menunjuk satu kesedaran yang amat besar maknanya kepada perjuangan bangsa," Ujar Hishammuddin.


Antara isu yang menjadi minat penulis selepas PAU 2015 ,ialah tentang perang siber dan bagaimana Umno akan menangani masalah ini.Ini bukanlah satu isu yang baharu dan Umno perlu menerima hakikat ahawa parti ini telah dihentam dengan pukulan K.O apabila bertarung dengan parti-parti pembangkang di arena alam siber  pada beberapa Pilihan Raya Umum yang lalu.


Akibatnya, segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Umno dan Barisan Nasional mendapat kepercayaan ramai khasnya golongan muda yang tidak boleh hidup tanpa internet dan media sosial.Walaupun Umno membuat serangan balas untuk menangani fitnah-fitnah ini, namun ianya agak terlambat untuk menukar fikiran mereka yang sudah terpedaya dengan dakyah yang dilontarkan oleh pihak pembangkang.


Itulah sebabnya saya amat bersetuju dengan usaha untuk membentuk Pasukan Gelombang Biru baharu, bagi menangani serangan siber terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) . Langkah ini telah diperjelaskan oleh Zahid Hamidi yang mana beliau serta Hishammuddin Tun Hussein akan bertanggungjawab memperkasakan pasukan tersebut serta menyelaras strategi yang lebih berkesan.

Zahid menjelaskan ,"Saya bersetuju mungkin serangan yang ditujukan kepada BN (Barisan Nasional) telah menimbulkan persepsi dan jawapan-jawapan yang diperoleh dari pihak 'establisment' (pihak yang memegang kuasa) kurang menyerlah.
"Jadi kita akan memperkasa alam siber dengan mewujudkan gelombang biru yang baharu dan ianya harus lebih berfokus dalam menghadapi serangan musuh-musuh parti,"


Gandingan mantap dua orang kuat Umno, Zahid Hamidi dan Hishammuddin bukan sahaja dapat menggerakkan usaha ini, tetapi dapat membentuk Pasukan Gelombang Biru yang lebih mantap dan efektif.


Apa yang lebih penting ialah, Pasukan Gelombang Biru yang bakal dibentuk nanti perlulah dibarisi oleh “wira papan kekunci” yang boleh berhujah dengan fikiran yang bernas dan dibekalkan dengan fakta yang berilmiah apabila menjelaskan tentang fitnah dan tohmahan yang dilempar oleh pihak pembangkang.


Biarlah pihak pembangkang bermain dengan isu-isu sensasi serta fitnah untuk mendapatkan undi dari rakyat. Jika pasukan gelombang Biru pun menggunakan taktik yang sama, maka kredibiliti pasukan ini pastinya akan dipersoalkan umum dan akhirnya boleh menyebabkan senjata makan tuan.


Tunjukkan dan buktikan kepada dunia bahawa para blogger serta wira papan kekunci Umno terdiri daripada mereka yang cerdik pandai dan kaya dengan pelbagai idea  apabila menangani dakyah-dakyah pembangkang.


Perlu diingatkan bahawa rakyat hari ini boleh menilai sendiri pelbagai pandangan yang dilontarkan di alam siber. Hanya dengan pandangan yang berilmiah dan disokong oleh fakta-fakta yang kukuh dapat mematikan segala fitnah dan dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.


Najib Razak sendiri pernah  menjelaskan bahawa perang persepsi yang terhasil daripada perang siber merupakan cabaran terbesar kepada Umno, apatah lagi jika sesuatu isu itu dieksplotasi dan sengaja disensasikan.  Mungkin dalam hal ini,
Umno perlu wujudkan pasukan media sosial sendiri yang bertindak sepenuh masa dan benar benar komited agar usaha ini berjaya dilaksanakan.


PAU 2015 telah berakhir dengan suasana yang sangat positif dan pastinya ramai ahli Umno yang semakin yakin  dengan visi perjuangan yang dipimpin oleh Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno.Terpulanglah kepada ahli Umno semua untuk sama-sama berganding bahu dan terus membuktikan yang semangat penyatuan dalam Umno terus kukuh dan utuh walaupun setelah teruk dihentam dengan ribut taufan yang amat dahsyat.