KOTA KUALA MUDA, 25 Dis (Bernama) -- Baru sahaja melepasi tempoh sedekad, namun tragedi tsunami yang membadai beberapa buah kampung di Kota Kuala Muda, dan mengorbankan lebih 10 nyawa, dilihat seolah-olah semakin dilupakan.
Sebelas tahun berlalu, penduduk sekitar Kota Kuala Muda meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa umpama tiada musibah yang pernah melanda kawasan itu, ditambah lagi dengan keadaan persekitaran yang kelihatan tidak diselenggara dengan baik.
Meskipun dua tahun selepas kejadian, satu Tugu Memorial Tsunami menggunakan 26 buah bot dan Galeri Tsunami diwujudkan untuk mengabadikan sejarah itu, ia seakan tidak membawa banyak perubahan kepada kawasan terbabit.
Bagi penduduk yang menjadi mangsa ombak tsunami 26 Dis 2004, terutamanya yang kehilangan insan tersayang dan harta benda, detik memilukan itu tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila, namun bagi mereka yang hanya 'merasa tempiasnya', tsunami sekadar kisah yang semakin dilupakan.
Apatah lagi kebanyakan generasi tua yang mengalami tragedi itu sudah uzur dan ada yang sudah meninggal dunia, yang tinggal hanya generasi muda yang kini memasuki usia pertengahan atau meningkat remaja, untuk mewariskan kisah bencana itu kepada generasi seterusnya.
Bersempena memperingati ulang tahun ke-11 peristiwa malang itu, wartawan BERNAMA berkesempatan menemu bual beberapa remaja di beberapa buah kampung berhampiran, yang masih di sekolah rendah ketika kejadian itu berlaku, untuk berkongsi kisah yang masih dapat mereka ingati.
Noorsabrina Mohd Saleh, 20, dari Kampung Hujung Matang, berada di Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Kuala ketika tsunami berlaku dan menurutnya ketika ombak besar itu melanda, dia sedang menonton televisyen di rumah neneknya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
"Seingat saya, pada masa itu, tok (nenek), mak dan adik-adik juga ada di dalam rumah, lebih kurang lapan orang dalam rumah, dan kami dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu ada ombak besar datang.
"Saya bersyukur kami semua selamat kerana hanya sedikit sahaja air yang sampai ke rumah, namun hanyut semua kasut, kami lari 'berkaki ayam' dan emak mendukung adik saya yang berusia satu tahun ketika itu," katanya.
Noorsabrina berkata, tidak banyak yang dia dapat ingat mengenai kejadian itu, cuma pantai yang sebelum ini dapat dilihat terus dari rumahnya, kini sudah terselindung di sebalik pokok-pokok yang tumbuh selepas tsunami.
Berbeza pula kisah yang dialami Nabila Amni Hamid, 22, dari Kampung Masjid yang berumur 11 tahun dan berada dalam Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, sewaktu peristiwa malang itu berlaku.
"Kalau tidak silap, ketika itu ada tiga buah rumah yang mengadakan majlis perkahwinan termasuklah dari kampung berdekatan, dan saya bersama keluarga baru sahaja pulang dari rumah kenduri yang dekat dengan rumah saya.
"Sekitar pukul 12.30 tengah hari, saya keluar bermain dengan rakan-rakan sebaya tidak jauh dari rumah, sebelum dikejutkan dengan jeritan memberitahu ada air banjir. Kami semua terus berlari pulang ke rumah," katanya.
Tambahnya, ombak tsunami yang menghempas turut menyebabkan bumbung hadapan rumahnya roboh, namun dia bersyukur kerana tiada anggota keluarganya yang terkorban.
"Rumah jiran di hadapan, memang teruk. Lumpur yang dibawa air ada di merata-rata tempat. Dalam keadaan kelam-kabut, kami terus berada di dalam rumah, memerhatikan orang yang lari menyelamatkan diri termasuk pasangan pengantin dan keluarga mereka".
Bagi Farah Farhana Abdul Mutalib, 20, apa yang masih diingati dengan jelas adalah ombak besar datang dan ramai orang berlari menyelamatkan diri termasuklah dia dan rakannya yang ketika itu sedang bermain 'masak-masak' di luar rumahnya di Kampung Masjid.
"Ketika itu saya berusia sembilan tahun, berada dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala. Sedang asyik bermain, ada orang kampung menjerit-jerit, kami berlari ke tepi rumah dan lihat air sudah naik, kami terus berlari ke rumah datuk untuk menyelamatkan diri.
"Usia yang masih kecil, tidak banyak yang saya dapat ingat, namun selepas tragedi ini, sekurang-kurangnya ia memberi pengajaran kepada saya bahawa 'malang tidak berbau' dan tragedi sama tidak mustahil boleh berulang, cuma kita berdoa agar tidak diduga dengan dugaan sedemikian lagi," katanya.
-- BERNAMA