Sabtu, Disember 19, 2015

KEKALKAN STATUS QUO JIKA UMNO-PAS BEKERJASAMA

Cubaan menimbulkan kembali sejarah perselisihan faham antara PAS dan UMNO hanya akan menjejaskan agenda perpaduan ketika ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua parti itu perlu mula memandang ke arah permuafakatan supaya ia dapat menjamin kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kenapa perlu gali dan selongkar segala isu-isu lama, yang hakikatnya generasi sekarang tak pernah ada dalam zaman itu, bahkan majoriti pemimpin sekarang tak ada dalam 'baggage' itu, sejarah itu.

"Kalau kita nak cakap soal perpaduan, permuafakatan itu yang paling penting. Kedua-dua pihak harus berlaku jujur dan ikhlas dan tak perlu lagi membicara soal kelemahan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menutup Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap sesetengah pihak yang seolah-olah tidak senang dengan agenda perpaduan antara dua parti politik itu, dan sengaja menimbulkan kembali perkara-perkara yang menjadi titik tolak pertelagahan antara PAS dan UMNO.

Timbalan menteri itu berpendapat UMNO dan PAS masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan adalah lebih baik kiranya kedua-dua parti politik itu menumpukan usaha untuk bergerak ke arah perpaduan seperti yang dituntut dalam syariat Islam.

Bagi saya, jika Umno dan PAS mahu bekerjasama dalam politik pada PRU akan datang, maka kekalkanlah status quo. Jika Umno menang 17 kerusi DUN dan PAS menang 15 kerusi DUN di Terengganu maka pembahagian kerusi tetap 17, 15. Maknanya PAS tidak boleh bertanding di 17 kerusi Umno sebaliknya biar Umno lawan Amanah atau PKR. Begitu juga Umno tidak boleh bertanding di kerusi PAs, biar PAS lawan Amanah atau PKR.

Bagi ahli Umno yang mahu jadi YB sudah tentu tak suka dengan gabungan ini jika kerusi itu diperuntukkan kepada PAS.Begitu juga ahli PAs yang mahu jadi YB jika DUN itu diperuntukkan untuk Umno.

Ada yang berpendapat bahawa lebih baik bergabung selepas PRU, dan lihat keputusan PRU akan datang. Jika bergabung selepas PRU sudah tidak bermakna lagi kerana jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, PAS dan Amanah, silap silap Amanah yang menang.

Oleh itu kerjasama Umno dengan PAS hendaklah diadakan sebelum PRU akan datang. Sudah tentu jika berlaku gabungan ramai pemimpin Umno yang kehilangan kerusi menteri dan Exco. Jangan fikir tentang kedudukan tetapi fikirlah bergabung itu untuk survival umat Islam sama ada BN yang pro Islam memerintah negara atau Pakatan Harapan yang diremote control DAP memerintah negara.