Ahad, Disember 20, 2015

PERKHIDMATAN PEMBANTU RUMAH SAMBILAN MAKIN POPULAR

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Perkhidmatan pembantu rumah domestik separuh masa melalui tempahan dalam talian, semakin popular di kalangan golongan bekerjaya di negara ini ekoran kekangan masa untuk menguruskan rumah.

Azrul Rahim, Pemilik dan Ketua Pengarah Eksekutif syarikat dalam talian, Maideasy Sdn Bhd berkata sejak menawarkan perkhidmatan pembantu rumah pada Januari 2015 di sekitar Lembah Klang, beliau menerima sebanyak 14,000 tempahan.

Azrul yang turut mempunyai rakan kongsi lain, menubuhkan Maideasy dengan pelaburan beberapa ratus ribu Ringgit di mana beliau memiliki kira-kira 80 peratus ekuiti.

Maideasy mempunyai lebih 300 pembantu rumah, dengan lebih 80 peratus adalah rakyat tempatan.

Selebihnya merupakan warga Indonesia, Myanmar dan Sri Lanka berikutan jalinan kerjasama dengan syarikat pembantu rumah swasta.

"Walaupun pekerjaan ini sinonim dengan warga asing, rakyat tempatan juga sebenarnya menunjukkan minat apabila mengetahui bayaran yang kita tawarkan tiga atau empat kali lebih tinggi berbanding bayaran di tempat lain," katanya kepada Bernama.

Antara yang berminat termasuklah golongan pelajar di institusi pengajian tinggi dan individu yang ingin mencari pendapatan sampingan.

SERIK DENGAN PEMBANTU RUMAH

Azrul yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pembangunan perisian berkata, idea untuk mengusahakan Maideasy bermula apabila beliau mengalami masalah dengan pembantu rumah.

"Ada yang melarikan diri, berkelakuan pelik, mencuri dan sebagainya, yang membuatkan saya serik.

"Jadi saya faham masalah yang dialami rakyat Malaysia kerana sesetengah pembantu warga asing hanya sekadar menjalani latihan namun tidak ditapis latar belakang mereka oleh majikan," kata Azrul.

Ekoran pelbagai masalah, beliau tekad mencari jalan penyelesaian di samping membantu orang lain untuk melancarkan kehidupan seharian mereka.

Prospek dalam bidang ini adalah cerah didorong oleh kesukaran proses untuk membawa masuk pekerja warga asing, kos yang tinggi dan tiada privasi sekiranya terpaksa mengambil pembantu rumah sepenuh masa.

"Ini antara peluang kepada rakyat tempatan untuk meningkatkan pendapatan memandangkan pekerjaan ini bukanlah begitu sukar apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar," katanya.

Melalui pihak ketiga yang dilantik Maideasy untuk menjalankan proses tapisan latar belakang, Azrul berkata semakan dijalankan dengan pihak polis bagi melihat rekod jenayah sekiranya ada.

Maideasy juga menjalankan temuduga dan ujian praktikal terhadap setiap pekerja sebelum diterima bekerja. Mereka seterusnya akan diberi latihan yang sewajarnya termasuk kemahiran berkomunikasi.

TEMPAHAN PEMBANTU RUMAH DALAM MASA 60-SAAT

Menerusi laman sesawang www.maideasy.my yang mesra pengguna, pelanggan boleh membuat tempahan hanya dalam masa 60-saat melalui telefon pintar, 'tablet' dan komputer.

Kategori perkhidmatan yang disediakan terbahagi kepada tiga iaitu kerja-kerja pembersihan asas rumah, pemindahan rumah/premis dan pembersihan ruang komersial.

"Pelanggan boleh membuat tempahan mengikut kehendak mereka selewat-lewatnya pada hari yang sama melalui bayaran terus secara atas talian," kata Azrul.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan, Azrul berkata pelanggan akan turut diminta menilai tahap kecekapan pembantu rumah terbabit.

Sekiranya ada rungutan atau ketidakpuasan hati, pihaknya akan menggantikan dengan pembantu rumah yang lain tanpa sebarang kos tambahan.

Sementara pembantu rumah terbabit pula akan diminta menjalani semula latihan.

SUKAR MEMENUHI PERMINTAAN PENGASUH ANAK

Azrul juga menerima permintaan untuk khidmat menjaga anak daripada para pelanggannya namun ia sukar untuk dilaksanakan ekoran proses yang rumit.

"Setakat kita belum memutuskannya kerana tidak pasti sama ada perkhidmatan ini memerlukan lesen yang berasingan atau sebaliknya.

"Malah kita juga perlu mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

RANCANG PERLUAS MAIDEASY DI PULAU PINANG DAN JOHOR BAHARU

Dengan suntikan pelaburan yang telah diterima daripada Axiata Digital Innovation Fund (ADIF) baharu-baharu ini, Azrul berkata syarikatnya mensasarkan Pulau Pinang dan Johor Baharu pada tahun depan berikutan permintaan yang tinggi.

"Dana ini akan menjadi pendorong untuk Maideasy untuk terus berkembang sekaligus membuktikan keupayaan syarikat tempatan yang beroperasi dalam talian.

"Kita juga berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 1,000 pembantu rumah warga tempatan bagi menampung keperluan pelanggan pada tahun depan," katanya.

ADIF, merupakan kerjasama antara Axiata Group Bhd and Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) bagi menyokong objektif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan.

Bayaran yang dikenakan oleh Maideasy bermula serendah RM20 sejam dengan tempoh minima selama empat jam.

BERNAMA