Selasa, Februari 28, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN FEBRUARI 2017

Posting mengenai Mat Tere jadi hit bagi bulan Februari 2017. Dua posting tentang Mat Tere mendapat tempat no 1 dan no 4. 10 rating tertinggi ialah:-

1. Annuar Musa sediakan peguam untuk Mat Tere (10 februari) - 244 hits.
2. Kenapa pindaan 1984 tidak dibantah ahli parlimen bukan Islam (19 februari)
3.dzulkifli lebih berani dari abu kassim (5 februari)\
4.TMJ minta bebaskan Mat Tere (13 februari)
5.Perogol bersiri tiba di KLIA pagi ini (7 februari)
6. SPRM tangkap pegawai Exco mesti ada asasnya (27 februari)
7.Anda ahli biasa DAP, Zaid, tak payah buat kenyataan (11 februari)
8.Tok Pa cadangkan kerjasama Umno dan PAS di semua peringkat (6 februari)
9.Pulau Batu Puteh: Afendi lebih cekap dari Gani Patail? (17 februari)
10. Dah lama sepatutnya PAS pecat Mahfuz (18 februari)

FESTIVAL LAYANG LAYANG BERPOTENSI JADI FESTIVAL KEBANGSAAN

JOHOR BAHRU, 27 Feb (Bernama) -- Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) berpotensi untuk dijadikan sebagai festival di peringkat kebangsaan yang boleh mempersembahkan keunikan layang-layang di setiap negeri.

Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM) A. Rahim Nin berkata penganjuran kali ke-22 tahun ini telah mengulangi kejayaan penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya dan berharap ia dapat dikembangkan ke negeri lain.

"Setakat ini, kita telah menerima kunjungan daripada Anggota Parlimen Labuan yang bercadang untuk menjalinkan kerjasama membawa festival ini ke Labuan.

Isnin, Februari 27, 2017

SPRM TANGKAP PEGAWAI EXCO MESTI ADA ASASNYA



JOHOR BAHRU 26 Feb. - “Saya tak fikir SPRM suka-suka bila bangun tidur mana nak ‘tembak’ orang itu, dia akan pergi cari orang itu.”



Mohamed Khaled Nordin


Demikian komen Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk anak dan pegawai seorang Exco kerajaan negeri semalam kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dan rasuah.

Beliau yakin, SPRM telah mendapat maklumat dan asas yang kukuh serta melakukan risikan terperinci sebelum mem­­buat serbuan dan tangkapan tersebut.


“Saya percaya SPRM buat siasatan mesti berasas, mungkin ada aduan, bukan dibuat secara suka-suka,” katanya semasa ditemui selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 di Dewan Taman Cendana, Pasir Gudang di sini semalam.

Keenam-enam suspek yang berusia antara 25 hingga 50 ditahan kira-kira 8.30 pagi di sekitar negeri ini kelmarin.

Pada 21 Februari lalu, SPRM menahan empat individu terdiri daripada dua pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) serta dua pegawai Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru kerana disyaki menya­lahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya menye­rahkan sepenuhnya siasatan kes tersebut kepada SPRM.

“Biarlah SPRM melakukan siasatan. Saya tidak mahu komen setiap hari, nanti jumpa saya asyik tanya itu sahaja,” katanya.

Ditanya kemungkinan kerajaan negeri akan menjalankan siasatan dan audit dalaman di semua jabatan, beliau berkata, setakat ini tiada tindakan seumpama itu dilakukan sambil meminta semua pihak menunggu hasil siasatan SPRM.

Jumaat, Februari 24, 2017

300,000 DIJANGKA HADIRI FESTIVAL LAYANG LAYANG SEDUNIA

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Bernama) -- Lebih 300,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2017 (FLLSPG) yang telah membukakan tirainya semalam hingga 26 Feb ini di Bukit Layang-layang Pasir Gudang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata penganjuran festival yang kali ke-22 ini melibatkan 1,054 peserta terdiri daripada peserta tempatan dan luar negara.

"Ini merupakan salah satu festival tahunan kita yang amat penting kerana ia telah menjadi tarikan kepada negara-negara luar untuk datang dan membuat persembahan layang-layang di sini.

Selasa, Februari 21, 2017

DR MADINAH GANTI AMBRIN



PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baharu untuk tempoh dua tahun mulai 23 Feb ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Dr Dr Ali Hamsa.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Feb.

Katanya berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Madinah.

Ulasan saya, perlantikan Dr Madinah berdasarkan merit dan bukan kerana beliau isteri Ketua Umno bahagian Kepong. Malah ada orang cakap beliau bukan akauntan. Tidak semestinya akauntan yang jadi Ketua Audit Negara kerana sebagai bekas KSU beliau dikehendaki tahu semua bidang termasuk bidang kewangan.

Jika sewaktu beliau jadi KSU, beliau beri projek kepada suaminya sudah tentu SPRM sudah menahannya. Untyuk melantik jawatan tinggi memerlukan penapisan SPRM terlebih dahulu. Jadi tak perlu Dr Madinah melayan kritikan pembangkang.


Ahad, Februari 19, 2017

KENAPA PINDAAN AKTA INI PADA TAHUN 1984 TIDAK DIBANTAH AHLI PARLIMEN BUKAN ISLAM?

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak akan mengambil hak agama lain.

Beliau berkata ia dibuat hanya bertujuan mengukuhkan institusi mahkamah syariah.


Jamil Khir sekali gus mempersoal mengapa banyak halangan perlu dilalui dalam usaha melaksanakannya kali ini.

"Mengapa terlalu sukar kita umat Islam untuk menegakkan (memperkasa) mahkamah syariah, sehingga terpaksa berhimpun dalam keadaan hujan lebat sebegini," katanya ketika berucap pada Himpunan 355 di Padang Merbok di sini malam tadi.

Pada majlis yang dihadiri ribuan penyokong cadangan pindaan itu, beliau menarik perhatian bahawa laluan pindaan kepada Akta sama pada 1984 mudah dan tidak mendapat bantahan anggota Parlimen termasuk bukan Islam.

"Tetapi sekarang kita lihat ada wajah (individu) dan tulisan yang mempersoal pindaan ini dengan mendakwa ia merupakan jalan belakang untuk pelaksanaan hudud di negara ini," kata Jamil Khir.

Beliau turut menyampaikan salam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada hadirin.

Himpunan 355 adalah bagi memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta berkenaan.

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

Pada 24 Nov tahun lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-undang Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula 7 Mac ini.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 18, 2017

DAH LAMA SEPATUTNYA PAS PECAT MAHFUZ



MARANG 17 Feb. – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat daripada Pas berikut­an kritikan keras yang dilontarkannya terhadap dasar parti itu kebelakangan ini.


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Mahfuz.

“Terpulang kepada jawatankuasa berkenaan sama ada Mahfuz perlu diberi amaran, nasihat, digantung keahli­an atau dipecat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat dan menyempurnakan pelepasan Konvoi Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di pekarangan Masjid Rusila di sini semalam.


Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diminta mengulas tentang desakan para pemimpin Pas terma­suk Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mencabar Mahfuz keluar parti kerana sikapnya yang berterusan menentang dasar perjuangan Pas.

Abdul Hadi menambah, Mahfuz boleh meninggalkan Pas sekiranya bekas Naib Presiden Pas itu enggan menyokong dasar parti.

“Kalau orang Pas, kena ikut cara Pas lah. Tetapi kalau dia tak mahu ikut cara Pas, dia kena keluarlah dan itu lebih baik. Saya sokong kenyataan Datuk Amar.

“Samalah juga pemimpin Pas lain yang tidak sokong perjuangan parti, tak boleh bersama Pas. Kita ada terima laporan dari kawasan masing-masing,” jelasnya.

Abdul Hadi turut menasihatkan Mahfuz supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena sekira­nya beliau mempunyai maruah dan harga diri.

“Kalau dia ada maruah dan harga diri, kena keluar Pas bukan saja letak jawatan daripada parti termasuk juga wakil rakyat kerana rakyat yang pilih dia. Pas bukan atas nama batang tubuh dia. Jadi wakil rakyat juga kena letak jawatan kalau ada maruahlah,” ujar­nya.

Ulasan saya, sudah lama Mahfuz Omar mengkritik PAS tetapi tidak ada tindakan daripada pucuk pimpinan. Mahfuz hanya tunggu masa untuk dipecat untuk menyertai Parti Amanah. Oleh itu PAS kena tegas memecat Mahfuz kerana ia banyak memberi imej yang tidak baik kepada parti tersebut.

Jumaat, Februari 17, 2017

PULAU BATU PUTEH: APANDI LEBIH CEKAP DARI GANI PATAIL?



PUTRAJAYA 16 Feb. – Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiga fakta baharu yang diperoleh bagi menyokong permohonan Malaysia menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ditemukan selepas pasukannya meneliti lebih 3,000 dokumen milik Arkib Negara United Kingdom (UK).


Beliau menjelaskan, bukan semua dokumen yang diperoleh itu relevan menyebabkan pasukannya terpaksa meneliti satu persatu bagi mengorek bukti baharu yang diyakini memihak kepada Malaysia.

“Kami percaya tiga fakta baharu itu mampu mengubah pendirian ICJ kerana bukti-bukti berdokumen yang diketengahkan adalah kukuh dan membawa petunjuk bahawa Pulau Batu Puteh milik Johor,’’ ujar beliau dalam sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara di sini semalam.


Mohamed Apandi mengumumkan persediaan Malaysia membawa permohonan ke ICJ yang beribu pejabat di The Hague, Belanda dalam usaha mengetepikan keputusan pada 2008 yang berpihak kepada Singapura dalam tuntutan bertindih berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh/Pedra Branca.

Menurut Peguam Negara, berikutan perkembangan terbaharu itu, pihaknya difahamkan bahawa pasukan Singapura telah menghantar 10 pegawainya ke London untuk meneliti dokumen-dokumen di arkib ber­kenaan yang mungkin menyebelahi negara itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, bukti-bukti baharu itu tidak dikemukakan ketika perbicaraan berlangsung kerana dokumen-dokumen berkenaan ketika itu diklasifikasikan sebagai sulit.

Akhbar melapor­kan, dokumen-dokumen itu hanya didedahkan kepada umum pada September 2013, selepas lima tahun keputusan dan Malaysia mem­perolehnya di antara 4 Ogos tahun lalu dan 30 Januari lalu ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan yang didedahkan kepada umum.

Dalam kenyataan akhbar melalui laman sesawangnya pada Jumaat lalu, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Ujarnya, bukti-bukti tersebut merupakan petunjuk baharu kerana keputusan ICJ pada 2008 bersandarkan kepada fakta utama iaitu surat yang me­rujuk kepada kiriman daripada Pemangku Setiausaha Negeri Johor kepada Setia­usaha Jajahan Singapura yang menyebut ‘kerajaan Johor tidak menuntut hak pemilikan Pulau Batu Puteh’.

Dalam perkembangan yang sama, Mohamed Apandi memaklumkan, pihaknya telah melantik seramai enam pakar dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara bagi menganggotai pasukan yang akan berlepas ke The Hague nanti.

“Saya akan melantik dua lagi dan mengumumkan identiti mereka dalam tempoh terdekat. Mereka bukan calang-calang orang dan setanding dengan pasukan Singapura,’’ ujar beliau.

Peguam Negara turut menyatakan, setakat ini tarikh untuk pengurusan kes masih belum diperoleh kerana ICJ menunggu maklum balas dari Singapura selepas usul permohonan semakan itu dikemukakan.

Ketika ditanya jangkaan tarikh pendengaran permohonan tersebut, beliau tidak dapat memberi kepastian kerana banyak kes litigasi melibatkan pelbagai negara didengar di sana.

Mohamed Apandi turut menyatakan, sepanjang proses penelitian dokumen, beliau mendapati, banyak naskhah ditulis dalam bahasa Perancis dan bahasa itu dibenarkan ketika berhujah selain bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Peguam Negara mahukan para pegawainya mempelajari bahasa Perancis sebagai bahasa alternatif dengan mewujudkan kelas bahasa yang beliau sendiri akan mendaftar sebagai pelajar.

Ulasan saya, dengan mengemukakan bahan bukti baru, adakah Apandi lebih cekap dari Gani Patail? Kenapakah Gani gagal mengorek bahan bukti yang ada selama ini. Dapatkah Malaysia mencapai kemenangan kali ini? Sama sama kita tunggu kelulusan ICJ.

Khamis, Februari 16, 2017

BERDOA UNTUK ORANG LAIN PUN BOLEH DINIAGAKAN?



KUALA LUMPUR 15 Feb. – Perkhid­matan kiriman doa ke Mekah dengan mengenakan bayaran tertentu disifatkan sebagai satu perbuatan mempergunakan agama untuk habuan dunia sekali gus mencemarkan kesucian agama Islam.



Othman Mustapha


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mus­tapha berkata, pakej ‘valet doa’ yang ditawarkan dan dipromosikan melalui media sosial jelas menunjukkan unsur menjaja acara ibadah untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

“Jakim memberi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan individu atau pertubuh­an yang menawarkan pakej perkhidmatan ini dengan harga tertentu termasuk pemberian diskaun.


“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-mata bukan terletak pada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang menerima upah. Jadi, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” kata­nya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung perkhidmatan valet doa yang tular di media sosial dengan menawarkan pakej-pakej bayaran tertentu untuk mengirimkan doa di tempat-tempat mustajab di Mekah selain memberikan jaminan 100 peratus wang dikembalikan jika doa tidak dimakbulkan.

Melalui akaun Facebook Valet_Doa, pihak berkenaan yang menggunakan nama samaran Haji Arin menyediakan Pakej King Salman meliputi pakej Multazam, Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim iaitu tempat paling mustajab berdoa dengan harga RM5,000 manakala Pakej Solat Lima Waktu, Kaabah dan Masjidil Haram dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan, tawaran perkhidmatan sedemikian merupakan satu perbuatan mengeks­ploitasi agama Islam.

Beliau menjelaskan, walaupun agama tidak melarang untuk meminta jemaah haji atau umrah berdoa bagi pihak orang lain, ia tidak boleh dijadikan sebagai satu bentuk perniagaan seolah-olah cuba ‘merasuah’ Tuhan.

“Siapa boleh jamin bahawa dia berdoa maka dimakbulkan Allah? Kita tidak boleh berputus asa sekiranya hajat yang dipohon masih belum diperoleh kerana kita sebagai hamba perlu sentiasa berhajat kepada Allah dan sekiranya kita berhenti berdoa bermakna kita menjadi orang yang sombong dan takbur (bongkak),” katanya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pula berkata, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT dalam keadaan hak tersebut bukan hak dirinya, apatah lagi jika menetapkan tempoh masa tertentu untuk kemakbulan doa tersebut.

Perbuatan tersebut seolah-olah individu terbabit memaksa Allah SWT untuk mengabulkan doa pada tempoh yang ditetapkan, sedangkan tempoh itu adalah terpulang mutlak kepada-Nya tanpa boleh dipaksa mana-mana hamba-Nya.

“Setelah meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya dan tidak mengikut syariat.

“Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah dibatalkan agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah,” katanya.

Rabu, Februari 15, 2017

MAHATHIR AKUI BN MENANG JIKA PAS BERADA DI LUAR

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- UMNO atau Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan meraih kemenangan sekiranya PAS enggan menyertai Pakatan Harapan serta meletakkan calon dalam pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Penyokong parti lawan akan berbelah bagi dan ini bermakna PAS menolong UMNO atau BN mendapatkan kemenangan. Mana-mana parti, kalau jadi tiga penjuru, maka niat itu adalah untuk menyokong UMNO dan BN," katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata PPBM tidak akan merayu kepada pemimpin PAS untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun tempoh sebulan diberikan untuk membuat keputusan itu.

"Kami telah cuba menyelesaikan kebuntuan ini dan kami bersabar... Saya tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS.

"Tetapi kami terbuka dan masih memberikan PAS masa sebulan walaupun mereka kata ini tidak perlu," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan ketua-ketua bahagian PPBM Semenanjung Malaysia di sini semalam


Pada 1 Feb lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Ditanya sekiranya PAS hanya mahu bekerjasama dengan PPBM dan bukan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP, Dr Mahathir berkata:

"Bersatu tidak boleh melepaskan kerjasama dengan DAP, kerana parti itu ketika ini menguasai 36 kerusi di Dewan Rakyat, sementara PAS, bukan merupakan parti pembangkang terbesar, mempunyai kurang daripada 26 kerusi."

-- BERNAMA

Selasa, Februari 14, 2017

PAS KENA TEGAS DENGAN PKR



KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pas dilihat terus menzahirkan penolakan parti itu terhadap DAP dan PAN apabila terbaharu, parti itu menegaskan ia bakal mengkaji semula hubu­ngan dengan PKR selewat-lewatnya pada muktamar tahunan yang dijangka berlangsung di Kedah pada April ini.

Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberikan ‘isyarat’ kerjasama antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Abdul Hadi menolak memberi komitmen di­suarakan oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad ber­hu­bung tempoh sebulan yang di­berikan kepada Pas untuk mem­­buat keputusan sama ada menyertai pakatan pembangkang atau sebaliknya.


“Kita sudah ada dasar, kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN, ini keputusan kita, mudah sahaja. Tidak perlu tunggu masa, tidak perlu tunggu sebulan, apabila sudah ada hubungan dengan DAP dan PAN, habislah.

“PKR pun kita akan buat keputusan, insya-Allah selewat-lewatnya masa muktamar, kita akan lihat kerjasama dengan PKR. Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor, kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas di sini hari ini.

Untuk rekod, pakatan pembangkang ketika ini didahului DAP yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rak­yat, diikuti PKR, PAN dan juga PPBM.

Penjelasan Abdul­ Hadi terhadap hu­bungan dengan PKR itu memberi gambaran jelas bahawa tiada ruang untuk Pas berkompromi soal kerjasama membabitkan parti-parti pembangkang yang mempunyai hubu­ngan dengan DAP serta PAN.

Meskipun sebelum ini beliau dilihat mempertahankan kerjasama antara Pas-PKR selepas memutuskan hubungan dengan DAP selain tidak mahu mempunyai kaitan dengan PAN, namun nada Abdul Hadi kali ini berbeza.

Menyentuh sama ada masih ada ruang untuk Pas bekerjasama dengan parti-parti lain, Abdul Hadi dengan tegas memberitahu, sekiranya berkaitan dengan isu-isu tertentu khususnya syariat Islam, parti itu tidak mempunyai masalah.

“Kita terbuka dengan semua isu yang tidak menimbulkan masalah, tetapi kalau politik ada masalah kerana DAP dan penyokongnya, PAN yang menentang Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). Tentang pelaksanaan syariat, itu kita jadikan sempadan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, berhubung perhimpunan menyokong pindaan RUU 355 yang bakal diadakan Sabtu depan di Padang Merbok dekat sini, Abdul Hadi berharap semua parti dianggotai orang Islam menyokongnya memandangkan meninggikan martabat mahkamah syariah merupakan satu kewajipan.

Ulasan saya, PAS kena tegas dengan PKR. PKR pun ada hubungan dengan DAP maka PAS kena tinggalkan PKR. Jangan bimbang PAS hilang jawatan Exco di Selangor kerana yang penting PAS tidak hilang prinsip. PKR juga menolak RUU355 maka PAS tak perlu kaji lagi hubungan dengan PKR. Buat keputusan sekarang tak perlu tunggu muktamar bulan April ini.

Isnin, Februari 13, 2017

TMJ MINTA POLIS BEBASKAN MAT TERE

JOHOR BAHRU, 12 Feb (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam meminta agar pihak polis membebaskan seorang individu yang direman kerana mengeluarkan kata-kata jelik terhadap baginda di Facebook sebelum ini.

Baginda dilapor pergi sendiri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini dan menitahkan agar Muhammad Zul Apis Baharum, 29, atau dikenali sebagai Mat Tere yang tahanan reman terhadapnya sepatutnya dilanjutkan, agar individu itu dihantar pulang ke Kelantan.

Perkara itu dimuat naik di laman Facebook JOHOR Southern Tigers berserta beberapa keping gambar Tunku Ismail yang kelihatan turut bersalaman dengan Mat Tere.

Ahad, Februari 12, 2017

MAT SABU BERMIMPI DI SIANG HARI

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu yakin parti Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu dapat menawan Putrajaya walaupun ia melibatkan pertandingan tiga penjuru antara BN vs PAS vs Pakatan Harapan.

Malah beliau yakin PAN dapat menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan. Saya tergelak membaca kenyataan Mat Sabu ini yang mana keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan bahawa tiga penjuru antara BN dengan PAS dengan Amanah telah menyebabkan BN menang besar.

Perpecahan di kalangan parti pembangkang memberi kelebihan kepada BN. Ini yang menyebabkan Dr Mahathir susah hati yang mahu melihat PAS bersama mereka. PAS takkan bekerjasama selagi DAP dan PAN ada.

Jadi macam mana Mat Sabu boleh nampak PH boleh menang selagi PAS berada di luar. Nampaknya Mat Sabu bermimpi di siang hari. Kerusi Mat Sabu sendiri pun belum tentu selamat. Dia selalu berpindah kawasan dan sepatutnya sebagai presiden parti komponen PH, beliau kena menang dan kalau PH membentuk kerajaan pusat, beliau sudah tentu menjadi menteri kanan.

Mat Sabu berkata Somalia sudah 30 tahun lebih berbalah sesama sendiri. Sepatutnya Mat sabu cermin diri sendiri. Kita sudah ada Umno, PAS, PKR, kenapa perlu ada PAN pulak. Melainkan Mat Sabu rela melihat Melayu berpecah undi untuk memberi kemenangan kepada DAP. Oleh itu Mat Sabu adalah ejen DAP yang mahu memecahbelahkan orang Melayu.

Katanya, umno dan PAS sekapal menghantar makanan ke Myammar untuk pelarian Rohingya. Apa salahnya mereka sekapal demi membantu umat Islam. Kenapa Mat Sabu tak ajak DAP membantu umat islam Rohingya jika benar DAP pro Islam.

Sabtu, Februari 11, 2017

ANDA AHLI BIASA DAP, ZAID, TAK PAYAH BUAT KENYATAAN



Setelah ditegur berhubung kenyataan beliau bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad kini adalah pemimpin de facto pembangkang, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim memberi respons di Twitter dengan nada menyindir.

"Baiklah. Sekarang saya perlu berhenti beri pandangan peribadi saya pada hampir semua perkara. Saya harap para wartawan akan buatkan lebih mudah bagi saya dengan tidak bertanya soalan," katanya.

Terdahulu, ahli parlimen DAP Gobind Singh Deo menafikan terdapat "persetujuan senyap" di antara parti-parti pembangkang bahawa Mahathir kini adalah pemimpin de facto.

Beliau juga menegur Zaid, yang menyertai DAP pada Selasa lalu kerana membuat kenyataan kepada media tanpa berunding dengan jawatankuasa eksekutif pusat parti itu.

Bagaimanapun Zaid berkata beliau telah cuba untuk menjelaskan isu itu.

"Apabila orang kata pembangkang tiada pemimpin, saya cuba jelaskan. Saya tidak pernah berniat untuk mencadangkan Tun M (Mahathir) adalah pemimpin tertinggi. Ok, tidak lebih mengenai perkara itu," katanya dalam laman sosial.

Dalam temu bual dengan Malay Mail Online, Zaid mencadangkan bahawa terdapat "persetujuan senyap" di kalangan pakatan pembangkang mengenai kedudukan Mahathir.

“Kita sudah ada pemimpin. Ia cuma tidak diperkatakan dan diisytihar. Tetapi Mahathir pemimpin de facto dan saya gembira," beliau dipetik sebagai berkata.

Zaid juga berkata Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), adalah satu-satunya tokoh berkaliber untuk menyatukan pembangkang dalam ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara.



Bagaimanapun, Gobind berkata CEC DAP tidak pernah membincangkan atau bersetuju dengan perkara itu.

"Saya merasa pelik bila Zaid telah memilih untuk membuat pengumuman sebagai ahli DAP tanpa terlebih dahulu berunding dengan kepimpinan parti. Beliau sepatutnya lebih tahu.

"Ia adalah CEC yang memutuskan bagi pihak DAP dan tidak pernah ada apa-apa keputusan dibuat," tambah Ahli Parlimen Puchong itu.


Ulasan saya,, Zaid perlu sedar diri bahawa beliau adalah ahli biasa DAP. Maka dia tak perlu buat kenyataan kepada wartawan. Who are you? Maka duduk diamlah kecuali anda Pengerusi DAP. Jangan salahkan wartawan yang bertanya. Sebaliknya awak boleh jawab, no comment.

Jumaat, Februari 10, 2017

ANNUAR MUSA SEDIAKAN PEGUAM UNTUK MAT TERE



KUALA LUMPUR – “Apa jua bantuan yang perlu untuk Mat Tere (Muhamad Zul Apis Baharom) sedang kita berikan termasuk peguam,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, Mat Tere yang ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan semalam merupakan insan istimewa.

Justeru, katanya, beliau selaku wakil rakyat penduduk Ketereh termasuk Mat Tere tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan diatas kekurangan insan tersebut.


“Semua tahu Mat Tere insan istimewa. Janganlah sesiapa ambil kesempatan atas keadaannya itu. Dia tu lurus selurus-lurusnya. Allah S.W.T takdirkan keadaan dia begitu.

“Beliau tetap mulia di sisi Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mat Tere yang berusia 29 tahun ditahan polis kerana didakwa menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu rakaman video yang tular di internet.

Mat Tere yang kini ditahan dijangka dibawa ke Johor Bharu, Johor untuk direman dan disiasat.

Keluarga Mat Tere bagaimanapun merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak memanjangkan kes itu kerana mendakwa pemuda berkenaan dianiayai pihak tertentu disebabkan kekurangannya.

Sepupunya, Yusrizam Ahmad menjelskan Mat Tere dikategorikan sebagai kurang cerdik dan sering menuruti apa sahaja arahan orang lain tanpa mengambil kira akibatnya.

Khamis, Februari 09, 2017

USA YANG AMAL KEBEBASAN MAHU SEMAK MEDIA SOSIAL PENGUNJUNG TUJUH NEGARA ISLAM



WASHINGTON 8 Feb. – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) akan me­minta individu yang memohon visa ke negara ini memberi kata la­luan akaun media sosial mereka kepada pihak kedutaan sebagai salah satu usaha untuk memeriksa latar belakang pemohon terlibat.


Setiausaha Keselamatan Negara, John Kelly berkata, langkah ini akan menjadi sebahagian daripada usaha mengetatkan pemeriksaan terhadap para pelawat bagi mengenal pasti mereka yang berpotensi mengancam keselamatan.

Menurut beliau, pendekatan itu merupakan salah satu pertimbangan terutama kepada para pe­lawat dari tujuh negara Islam yang mempunyai tahap pemeriksaan lemah seperti Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.


“Kami sedang berusaha mempertingkatkan atau menambah usaha pemeriksaan dan mungkin akan memeriksa media sosial mereka melalui pemberian kata laluan itu,’’ katanya kepada Jawatankuasa Dewan Keselamatan Negara.

Beliau juga turut menegaskan bahawa pemeriksaan penduduk dari negara itu amat sukar tetapi jika mereka masuk ke AS maka mereka akan disoal tentang laman sesawang yang dilawati dan memberikan kata laluan ma­sing-masing.

Ini bagi memboleh­kan kedutaan itu melihat aktiviti dalam internet yang dilakukan oleh individu berkenaan dan tidak akan dibenarkan memasuki negara ini jika tidak memberi kerjasama.

Namun begitu Kelly menegaskan, keputusan tentang langkah itu masih belum dibuat tetapi pemeriksaan ketat tetap dilakukan pada masa akan datang sekali gus pemohon terpaksa menunggu lama untuk memperoleh visa AS.

“Jika mereka (pemohon) benar-benar mahu datang ke AS, mereka akan bekerjasama jika tidak mereka tidak akan dilayan,’’ katanya.

Rabu, Februari 08, 2017

HANYA RCI BOLEH RUNGKAI KEBENARAN SKANDAL BMF

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang sebagai kecewa dan tidak membuat perbandingan sewajarnya apabila menyatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperlukan bukan hanya untuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan Tukaran Asing Bank Negara malah juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, mungkin Kit Siang dan Dr Mahathir telah terlepas pandang akan fakta bahawa 1MDB telahpun disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Pasukan Petugas Khas, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain laporan-laporan berkaitan perkara itu turut disediakan.

"Bagi skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara, bagaimanapun, tiada langkah seumpama itu telah dilakukan dan, malah pada masa itu Parlimen telah diberikan maklumat salah mengenai perkara itu dan hanya hari ini diketahui kebenarannya," katanya dalam catatan terbaru di blog beliau skeruak.blogspot.my. hari ini.

Salleh berkata didedahkan bahawa sebenarnya dalam 1MDB kerajaan hanya melabur RM1 juta sahaja bagi modal berbayar awal, tetapi Dr Mahathir, bagaimanapun, telah mewujudkan tanggapan bahawa kerajaan rugi RM42 bilion, yang adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.

Salleh selanjutnya menjelaskan bahawa kerugian dalam kes BMF dan Tukaran Asing Bank Negara adalah satu hakikat dan kukuh kerana ia melibatkan suntikan modal pada jumlah amat banyak dan dilaksanakan langkah penyelamatan untuk mengelakkan kebankrapan.

Sementara pembiayaan-pembiayaan 1MDB adalah diketahui umum, dan beliau berkata sebab itu kenapa RCI diperlukan untuk menyiasat pembiayaan berkaitan skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara "kerana kita masih belum tahu kebenarannya sehingga hari ini".

"Kerajaan tidak pernah perlu menyelamatkan 1MDB dengan sebarang suntikan modal (selain daripada suntikan modal awal RM1 juta) sepertimana dalam kes skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara, yang mengakibatkan negara terpaksa menampung ratusan bilion.

"Malah, ketika itu kita tidak tahu jumlah sebenar amaunnya, tidak seperti dalam kes 1MDB," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, Februari 07, 2017

BEKAS PEROGOL BERSIRI TIBA DI KLIA PAGI INI



SEPANG 6 Feb. - Bekas perogol bersiri warga Malaysia paling berbahaya, Selva Kumar Subbiah yang dibebaskan daripada hukuman penjara selama 24 tahun di Kanada dijangka tiba di Malaysia pada pukul 7.45 pagi ini.


Dia yang baru bebas daripada menjalani hukuman penjara atas 19 kesalahan serangan seks, 28 kesalahan berkaitan dadah, 10 kesalahan pelbagai serangan dan 12 kesalahan lain akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan menaiki penerbangan Qatar Airways, QR844.

Difahamkan, Selva Kumar yang dihantar pulang dari Toronto, Kanada semalam transit di Doha, Qatar sebelum bertolak ke KLIA pada pukul 6 petang waktu tempatan pada hari sama.

Kepulangan Selva Kumar akan diiringi dengan dua pegawai pengiring dari sana.

Hukuman penjara Selva Kumar tamat pada hujung bulan lalu selepas dia mula menjalani hukuman penjara pada 1992.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Isnin, Februari 06, 2017

TOK PA CADANGKAN KERJASAMA UMNO DAN PAS DI SEMUA PERINGKAT


TANAH MERAH, 4 Feb (Bernama) -- Kerjasama antara UMNO dan PAS dalam aspek perpaduan ummah perlu melibatkan penyertaan semua peringkat terutamanya dalam kalangan anggota masing-masing, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata perpaduan ummah pada peringkat akar umbi penting dalam usaha menyatukan dan mengukuhkan lagi perpaduan umat Islam di negara ini.

"Tak guna kita di peringkat tertinggi (bekerjasama) tapi kita lupa untuk ketepikan perbezaan di peringkat bawah, di peringkat kampung kita masih berseteru (antara satu sama lain)," kata Mustapa yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Khas Mahasiswa Kelantan Siri 5 di Pondok Moden di sini, Sabtu.

Program itu yang disertai kira-kira 200 mahasiswa beberapa universiti awam turut dihadiri Presiden Himpunan Siswazah Kelantan Datuk Mohd Faizal Daud.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyempurnakan pelepasan kapal 'Nautical Aliya' yang membawa misi bantuan kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri berkata misi 'Food Flotilla for Myanmar' itu melambangkan penyatuan ummah di Malaysia berikutan terdapat wakil UMNO dan PAS dalam misi berkenaan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kehadiran pemimpin UMNO dan PAS pada pelepasan misi bantuan kemanusiaan semalam menunjukkan keikhlasan kedua-dua parti bekerjasama demi kepentingan umat Islam.

"Kita rugi besar kalau kita bertelagah, berpecah, fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh antara satu sama lain.

"Kita harap agar umat Islam perlu insaf dan sedar bahawa pentingnya perpaduan dan kita harap apa yang berlaku antara PAS dan UMNO (ketika ini) adalah demi Islam dan perpaduan (ummah)," katanya.



-- BERNAMA

Ahad, Februari 05, 2017

DZULKIFLI LEBIH BERANI DARI ABU KASSIM



 SHAH ALAM: Walaupun telah bersara namun bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed tetap menasihatkan orang ramai agar sentiasa melawan rasuah.

Abu Kassim berkata, sekiranya pada zaman selepas kemerdekaan rakyat boleh bersatu melawan ideologi komunis, mengapa kini rakyat tidak boleh bersatu melawan rasuah.

"Saya ingat lagi masa zaman (bekas perdana menteri) Tun (Abdul) Razak, beliau beritahu ada tiga 'C' yang berbahaya selepas merdeka iaitu communist (komunis), communalism (perkauman) dan corruption (rasuah).

"Kenapa pada masa itu, orang boleh bersatu dan beritahu betapa jahatnya ideologi komunis ini? Tapi kenapa tidak rasuah?," katanya semasa program Bicara Tokoh di Masjid Al-Ikhlas di Seksyen 13, Shah Alam malam tadi.

Tiada sesi soal-jawab dalam program selama kira-kira satu setengah jam itu.

Malah, beliau juga menceritakan tentang rasuah secara umum, indeks rasuah antarabangsa dan pengalamannya semasa menjadi penguatkuasa ketika SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Selain itu, Abu Kassim yang bersara sebagai pesuruhjaya SPRM pada tahun lalu turut menasihatkan masyarakat supaya melawan rasuah tanpa mengira ideologi politik.


"Ia harus dihapuskan, kita perlu yakin kalau kita bersama-sama," katanya lagi di hadapan kira-kira 100 orang jemaah masjid.

Pada Ogos tahun lalu, Abu Kassim bersara sebagai pesuruhjaya SPRM dan digantikan oleh Datuk Dzulkifli Ahmad yang sebelum itu bertugas sebagai pengarah pasukan penguatkuasa pemulihan hasil negara, Jabatan Peguam Negara.

Abu Kassim kini berkhidmat sebagai pakar perunding integriti di Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ulasan saya, Abu Kassim tak perlu cakap banyak. SPRM di zaman beliau tidak berani tangkap orang. SPRM di zaman Dzulkifli lebih berani. Setiap minggu tangkap orang tak kira KSU atau siapa. Malah ketua menteri Melaka dan Pengerusi MARA pun turut disiasat,

Pada hemat saya, Abu Kassim seorang pengecut berbanding dengan penggantinya yang lebih serius membongkar kes rasuah. Soal menang atau kalah di mahkamah itu soal lain. Yang penting Dzulkifli berani mendakwa sesiapa sahaja yang terlibat dalam rasuah. Syabas Dzulkifli dan pasukannya

 yang membuatkan SPRM lebih bertenaga.

Sabtu, Februari 04, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JANUARI 2017

Sepanjang bulan Januari 2017, posting Mengarut Raja Petra mendapat rating tertinggi dengan 793 hits. Manakala 10 rating tertinggi bagi bulan tersebut ialah:-

1.Mengarut Raja Petra (26 Januari)
2.Memalukan. Adakah semua KSU macam ini? (5 Januari)
3. Pengamal rasuah pun dilantik Pengerusi Bank Rakyat (6 Januari0
4.BN Terengganu perlu tonjol lebih ramai calon muda (21 Jnaurai)
5.Rakyat Sarawak maki saya kerana Adnan Satem (12 Januari)
6.Orang Melayu buat kueh bakul untuk perayaan Tahun Baru Cina (26 Januari)
7.Mampukah sepupu Najib selamatkan FELDA? (7 Januari)
8.Terima kasih kepada KWSP yang cepat bertindak (24 Januari)
9.Marina rakyat Malaysia di majlis angkat sumpah Donald Trump (23 Januari)
10.CEO Institut Integriti Maaysia tiada telur (2 Januari)

Jumaat, Februari 03, 2017

MENGUBAH PERSEPSI RASUAH DI KALANGAN PENJAWAT AWAM

oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sydah disiarkan dalam Berita Harian)

Baru-baru ini banyak tohmahan yang telah dilemparkan kepada penjawat awam berkaitan dengan isu rasuah yang semakin menjadi-jadi, antaranya kes penangkapan dan pendakwaan beberapa pegawai atasan dalam perkhidmatan awam. Hakikatnya penangkapan tersebut telah memberi kesan yang buruk kepada imej perkhidmatan awam yang telah diamanatkan untuk memegang amanah rakyat. Bak kata pepatah ‘disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga’. Untuk menidakkan apa yang telah berlaku terhadap pandangan negatif masyarakat adalah amat sukar. Walau bagaimanapun, penulis ingin memberi satu persepsi yang berbeza dalam menilai perkara ini dengan lebih adil dan saksama.



Sistem sedia ada yang bertujuan meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam sememangnya telah pun diakui keberkesanannya dan dipraktiskan oleh negara-negara maju yang lain. Sebagai contoh bagi memastikan akauntabiliti terus dipraktikkan, proses kewangan dan perolehan telah diperhalusi supaya semua proses kerjanya mempunyai aspek ‘check and balance’ di semua peringkat. Seterusnya, proses ini juga dilengkapkan dengan ‘audit trail’ supaya pihak audit dapat mengesan sekiranya berlaku sebarang salah laku samada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja. Untuk tujuan ini pelbagai jawatan telah diluluskan oleh pihak kerajaan termasuklah jawatan di Akauntan Negara, Audit Negara dan baru-baru ini diwujudkan pula jawatan Pegawai Integriti yang ditempatkan di setiap kementerian / agensi. Ianya bertujuan untuk memastikan proses pemantauan yang lebih kukuh dapat dilaksanakan dalam memerangi salah laku rasuah.



Secara prosesnya, pelbagai agensi turut terlibat dalam melaksanakan proses preventive, corrective dan punitive untuk memastikan ketelusan terus ditingkatkan. Antara pihak yang menjalankan proses pengauditan adalah termasuk pihak audit dalaman jabatan ataupun kementerian itu sendiri dan audit luaran oleh pihak Audit Negara serta Akauntan Negara. Manakala, tindakan surcaj oleh Kementerian Kewangan pula turut akan dikenakan sebagai salah satu kaedah punitif kepada mereka yang melakukan kesalahan.



Selain itu, bagi tugas-tugas yang dianggap sensitif dan berisiko tinggi, Kerajaan juga telah melaksanakan dasar pusingan kerja terhadap penjawat-penjawat awam yang memegang jawatan sensitif ini agar seseorang pegawai itu tidak dapat memanipulasikan kedudukannya sebagai kuasa pelulus dalam transaksi-transaksi yang cenderung untuk menerima suapan.



Juga di peringkat perundangan, kerajaan telah meluluskan beberapa pindaan akta dan undang-undang agar hukuman yang lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah yang terbukti menerima rasuah. Di samping itu juga, perlindungan kepada whitsleblower turut disediakan bagi memastikan golongan ini dilindungi daripada sebarang ancaman.



Selain itu, dalam aspek penerapan nilai-nilai murni dan pembelajaran berterusan, kerajaan juga telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia yang bertujuan untuk memastikan penjawat awam terus berada di landasan yang kukuh dan mempunyai nilai akauntabiliti dan integriti yang setara dengan negara-negara lain seperti Jepun, Singapura dan Switzerland yang mana mempunyai indeks akauntabiliti yang tertinggi.

Di samping itu, Kerajaan juga telah memperkasakan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang bertugas untuk memantau kes salah laku rasuah termasuklah juga anggota-anggota penguatkuasaan. Di peringkat persatuan pula, Kerajaan membuka ruang dan bekerjasama dengan agensi-agensi transparensi antarabangsa serta NGO yang lain seperti The Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 consultancies) untuk menerapkan budaya dan amalan sifat integriti yang tinggi.



Di peringkat nasional, Kerajaan telah meletakkan isu rasuah sebagai salah satu teras utama National Key Result Area (NKRA) bagi memastikan gejala ini dapat dihapuskan. Manakala, di peringkat antarabangsa pula Malaysia telah memberi komitmen dengan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap menangani rasuah yang telah berkuat kuasa pada 24 Oktober 2008. Malaysia juga merupakan Anggota ADB / OECDAnti-Corruption Initiative for Asia and the Pacific, South East Asia Parties Against Corruption (SEA-PAC), Asia Pacific Economic Corporation (APEC), Anti-Corruption and Transparency Working Group, The International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), The International Anti-Corruption Academy (IACA) dan berbagai-bagai lagi.



Melihat kepada usaha dan penglibatan serius Kerajaan, ini bermakna sistem yang padu bagi membendung gejala rasuah telah pun lama wujud dan diimplementasikan. Justeru itu, apakah punca salah laku seumpama ini masih berlaku? Persoalan sebenarnya, jika sistem sedia ada yang dianggap mantap atau setara dengan negara maju yang lain telah dilaksanakan, agama, sivik dan moral telah diterapkan, penguatkuasaan dan undang-undang telah diperketatkan, maka, apakah yang menjadi punca sebenar segelintir penjawat awam masih terlibat di dalam gejala rasuah terkutuk ini?



Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana sifat tamak, mementingkan diri sendiri dan mahukan kemewahan segera dengan cara yang mudah. Seseorang yang diselubungi dengan sifat tamak akan mula memanipulasi sistem sedia ada, lalu menjerat dan menekan mereka yang bekerja di bawahnya untuk mengikut telunjuk dan bersengkongkol dengannya. Dan, kepada yang jujur serta enggan bersubahat untuk menerima suapan, penulis difahamkan terdapat kes pegawai / kakitangan yang dipulau dan ditindas sehingga ditukarkan ke agensi yang lain, seolah-olah kelihatan seperti mereka yang telah melakukan kesalahan yang besar. Inilah hakikatnya yang berlaku apabila seseorang itu telah diselubungi dengan sifat tamak haloba dan tidak sedar akan binasa yang akan menimpa mereka sepertimana kisah teladan ‘Nakhoda yang Tamak’ dan juga kisah ‘Nabi Isa a.s dan Fulan’ yang mana akibat ketamakan mereka, akhirnya mendapat pembalasan yang tidak terkira.



Oleh itu, sudah tiba masanya untuk perkara ini diperhalusi supaya masyarakat dapat mengubah persepsi berkaitan isu rasuah di kalangan penjawat awam. Amat tidak adil sekiranya kita, membiarkan susu sebelanga dirosakkan oleh setitik nila. Sewajarnya masyarakat perlu melihat isu ini secara ‘compartmentalize perception’ iaitu menilai sesuatu isu secara lebih khusus dan fokus. Ini bermakna, sewajarnya kita harus melihat kepada sifat ketamakan individu yang terlibat dan membuat penilaian hanya menjurus kepada individu tersebut sahaja tanpa merangkumkannya atau dalam erti kata lain ‘generalize’ kepada seluruh populasi penjawat awam lain yang tidak bersalah. Jika segalanya dirangkumkan bersekali dengan tohmahan-tohmahan kes rasuah sebelum ini, maka persepsi kita seolah-olah tidak menggambarkan majoriti penjawat awam yang sebenar-benarnya memegang teguh prinsip akauntabiliti dan integriti dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Oleh itu, penulis menyeru masyarakat untuk menilai isu ini dengan lebih rasional, compartmentalize kepada isu yang spesifik dan individu yang terlibat tanpa menjejaskan imej sebilangan besar penjawat awam yang benar-benar ikhlas, jujur dan amanah dalam menabur bakti kepada masyarakat.



Sesungguhnya ramai penjawat awam di kalangan masyarakat merasa terkilan kerana dilabelkan sedemikian rupa walaupun mereka tidak langsung terlibat di dalam salah laku rasuah ini. Mereka ini mungkin abang, adik, kakak malah ibu atau bapa di dalam masyarakat yang merupakan penjawat awam turut berasa tempiasnya apabila tohmahan yang dilemparkan seolah-olah menggambarkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhan. Berilah peluang untuk mereka ini mendabik dada, berasa bangga dengan perkhidmatan yang jujur serta ikhlas yang telah diberikan tanpa merasa malu atau hina disebabkan kesalahan satu atau beberapa individu dalam gejala rasuah perkhidmatan awam ini.