KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang sebagai kecewa dan tidak membuat perbandingan sewajarnya apabila menyatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperlukan bukan hanya untuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan Tukaran Asing Bank Negara malah juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, mungkin Kit Siang dan Dr Mahathir telah terlepas pandang akan fakta bahawa 1MDB telahpun disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Pasukan Petugas Khas, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain laporan-laporan berkaitan perkara itu turut disediakan.
"Bagi skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara, bagaimanapun, tiada langkah seumpama itu telah dilakukan dan, malah pada masa itu Parlimen telah diberikan maklumat salah mengenai perkara itu dan hanya hari ini diketahui kebenarannya," katanya dalam catatan terbaru di blog beliau skeruak.blogspot.my. hari ini.
Salleh berkata didedahkan bahawa sebenarnya dalam 1MDB kerajaan hanya melabur RM1 juta sahaja bagi modal berbayar awal, tetapi Dr Mahathir, bagaimanapun, telah mewujudkan tanggapan bahawa kerajaan rugi RM42 bilion, yang adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.
Salleh selanjutnya menjelaskan bahawa kerugian dalam kes BMF dan Tukaran Asing Bank Negara adalah satu hakikat dan kukuh kerana ia melibatkan suntikan modal pada jumlah amat banyak dan dilaksanakan langkah penyelamatan untuk mengelakkan kebankrapan.
Sementara pembiayaan-pembiayaan 1MDB adalah diketahui umum, dan beliau berkata sebab itu kenapa RCI diperlukan untuk menyiasat pembiayaan berkaitan skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara "kerana kita masih belum tahu kebenarannya sehingga hari ini".
"Kerajaan tidak pernah perlu menyelamatkan 1MDB dengan sebarang suntikan modal (selain daripada suntikan modal awal RM1 juta) sepertimana dalam kes skandal BMF dan Tukaran Asing Bank Negara, yang mengakibatkan negara terpaksa menampung ratusan bilion.
"Malah, ketika itu kita tidak tahu jumlah sebenar amaunnya, tidak seperti dalam kes 1MDB," katanya.
-- BERNAMA