Khamis, Februari 09, 2017

USA YANG AMAL KEBEBASAN MAHU SEMAK MEDIA SOSIAL PENGUNJUNG TUJUH NEGARA ISLAM



WASHINGTON 8 Feb. – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) akan me­minta individu yang memohon visa ke negara ini memberi kata la­luan akaun media sosial mereka kepada pihak kedutaan sebagai salah satu usaha untuk memeriksa latar belakang pemohon terlibat.


Setiausaha Keselamatan Negara, John Kelly berkata, langkah ini akan menjadi sebahagian daripada usaha mengetatkan pemeriksaan terhadap para pelawat bagi mengenal pasti mereka yang berpotensi mengancam keselamatan.

Menurut beliau, pendekatan itu merupakan salah satu pertimbangan terutama kepada para pe­lawat dari tujuh negara Islam yang mempunyai tahap pemeriksaan lemah seperti Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.


“Kami sedang berusaha mempertingkatkan atau menambah usaha pemeriksaan dan mungkin akan memeriksa media sosial mereka melalui pemberian kata laluan itu,’’ katanya kepada Jawatankuasa Dewan Keselamatan Negara.

Beliau juga turut menegaskan bahawa pemeriksaan penduduk dari negara itu amat sukar tetapi jika mereka masuk ke AS maka mereka akan disoal tentang laman sesawang yang dilawati dan memberikan kata laluan ma­sing-masing.

Ini bagi memboleh­kan kedutaan itu melihat aktiviti dalam internet yang dilakukan oleh individu berkenaan dan tidak akan dibenarkan memasuki negara ini jika tidak memberi kerjasama.

Namun begitu Kelly menegaskan, keputusan tentang langkah itu masih belum dibuat tetapi pemeriksaan ketat tetap dilakukan pada masa akan datang sekali gus pemohon terpaksa menunggu lama untuk memperoleh visa AS.

“Jika mereka (pemohon) benar-benar mahu datang ke AS, mereka akan bekerjasama jika tidak mereka tidak akan dilayan,’’ katanya.