Ahad, Jun 27, 2010

DAP KUASAI PAKATAN RAKYAT


Pakatan pembangkang kini sebenarnya dikuasai oleh DAP manakala PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya berperanan sebagai "adik" kepada parti itu, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Memberikan contoh kerajaan pakatan pembangkang di Selangor, beliau berkata mereka tidak ada kesepakatan yang tulen dan sebaliknya kelihatan dikuasai oleh DAP.

"DAP yang sebenarnya kuasai kerajaan dan tentukan siapa Menteri Besar Selangor dan ini bermakna Menteri Besar sekarang (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) adalah pilihan DAP," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud di Dewan Tun Said, di sini pada Ahad.

Oleh itu, Salleh yang juga Penasihat Sains kepada Ketua Menteri berharap rakyat terutama anggota UMNO Sabah dapat menilai keadaan politik terkini dan mengambil pendirian untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) yang berpaksi kepada prinsip perkongsian kuasa yang tulen.

Beliau turut menggariskan dua perkara penting -- kesetiaan kepada parti dan keyakinan terhadap keupayaan UMNO dan BN membawa pembangunan berterusan yang boleh memastikan Sabah terus kekal sebagai "simpanan tetap" untuk BN.

Dalam hal ini, katanya Pemuda UMNO perlu mencari pendekatan terbaik untuk memenangi hati golongan muda sama ada yang menjadi anggota UMNO atau sebaliknya.

"Satu daripadanya ialah dengan mengadakan program turun padang untuk mendengar rintihan dan keluhan rakyat. Untuk jadi popular, seseorang itu mesti ada ciri-ciri kepimpinan seperti berimu tapi tidak berlagak, mudah mesra, suka menolong orang setiap masa dan sentiassa turun padang untuk mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

"Jika seseorang pemimpin itu popular, secara tidak langsung UMNO turut popular dan terus diyakini oleh rakyat sebagai parti unggul yang boleh membawa perubahan kepada negara," katanya.

Jumaat, Jun 25, 2010

YAHYA DAN KHAZAN SELAMAT


Nampaknya dua Exco selamat dalam rombakan Exco yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam. Yahya Khatib Mohamad yang engkari arahan Ahmad Said supaya tidak menentang Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dua tahun lepas dalam pertandingan Ketua UMNO bahagian dikekalkan Exco.

Sebaliknya beliau ditukar dari Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam kepada Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita. Nampaknya Ketua UMNO Bahagian Marang hanya sesuai menjaga kebajikan rakyat sahaja.

Begitu juga Exco Penerangan dan Hal Ehwal Agama, Khazan yang banyak mengkritik Ahmad Said dalam pertemuan semua ADUN dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dikekalkan Exco bagi jawatan yang sama.

Seramai lima orang Exco terlibat dalam pertukaran porfotlio. Ahmad Said tidak kejam memecat dua orang penentangnya, Yahya dan Khazan. Jadi mereka patut berterima kasih kepada Ahmad Said walaupun mereka menentang arahan Ahmad Said, mereka masih dikekalkan jawatan Exco.

Yahya kehilangan jawatan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam kepada Datuk Zaabar Datuk Mohd. Adib. Jawatan Datuk Zaabar, Exco pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan warisan diambil oleh Datuk Rahin Mohd. said yang kehilangan Exco Belia dan Sukan kepada Rozi Mamat. Jawatan Rozi sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas tani diambilalih oleh Ashaari idris yang melepaskan jawatan Exco Kebajikan kepada Yahya.

bagi saya, pertukaran jawatan adalah perkara biasa untuk memantapkan lagi Exco yang ada. Ini bermakna KPI semua Exco memuaskan hati Ahmad Said. Jika beliau tidak puas hati, sudah tentu ada Exco yang digugurkan dari jawatan mereka. Nampaknya ramai ADUN biasa yang berangan menjadi Exco terpaksa menggigit jari apabila tiada Exco yang digugurkan dalam rombakan kecil Ahmad Said itu.

Khamis, Jun 24, 2010

LIMA EXCO TUKAR PORFOLIO


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said hari ini mengumumkan pertukaran portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Pertukaran portfolio itu tidak membabitkan sebarang pengguguran ahli majlis namun hanya melibatkan pertukaran lima portfolio Exco yang akan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini, kata Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib sementara Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio itu sebelum ini dijawat oleh Ashaari Idris yang kini dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang oleh Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Rahin sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, akan digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Ahmad berkata, surat arahan pertukaran kepada semua Exco yang terlibat telah pun dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah.



"Pertukaran ini diharap dapat memberi satu pendedahan dan pengalaman baru dan ia merupakan satu proses 'enrichment' yang berterusan kepada Exco kerajaan negeri.

"Saya percaya gandingan kesemua barisan Exco yang terbabit dengan penyusunan semula ini dan yang kekal dengan portfolio masing-masing akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan pentabiran dan pembangunan," katanya.

PEMUDA UMNO JANGAN JUAL BANGSA


Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengingatkan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaluddin supaya jangan menjual bangsa sendiri, dengan mempertahankan ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong yang didakwanya mempersoalkan pemberian biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA.

Semalam Khairy yang juga ahli parlimen Rembau membela Wee selepas 'diserang' oleh presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berhubung isu biasiswa tersebut.

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas mendakwa Khairy "tidak faham maksud yang tersirat" dalam kenyataan Wee mengenai perkara itu.

"Pasal tu PERKASA marah. Mana mungkin (biasiswa) MARA hendak disamakan dengan (biasiswa) JPA. MARA khas untuk Melayu. (Biasiswa) JPA untuk semua kaum

"Kalau nak disamakan keduanya, ke mana akan pergi keistimewaan orang Melayu," kata Ibrahim dalam kenyataan yang dikirimkan melalui SMS pagi tadi.

Ibrahim yang juga pengerusi Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata beliau mempunyai bukti berhubung kenyataan Wee itu dalam akhbar The Star yang bertarikh 16 Jun lalu.

Akhbar berbahasa Inggeris itu memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, maka ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia yang dipromosi oleh kerajaan.

Ibrahim menempelak Khairy yang didakwanya "tidak faham" apabila Wee "cakap berlapik".

"(Universiti) Oxford tak ajar budaya bahasa Melayu yang halus mulus. Mana dia faham makna 'yang tersurat dan tersirat'.

"Kalau macam itu baik berhenti jadi ahli parlimen, sama macam (Wee) Ka Siong. Takkan K (Khairy) sanggup gadai bangsa sendiri...," tegasnya.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam, Ibrahim mengecam Wee berhubung kenyataannya itu.

Berikutan itu, Khairy dan Wee kemudiannya dilapor mengadakan sidang akhbar masing-masing bagi menjawab isu tersebut

Ketika mempertahan Wee, Khairy berkata ketua Pemuda MCA itu tidak mempersoalkan hak orang Melayu ataupun menyarankan supaya biasiswa Mara diberhentikan.

Sebali
knya, kata Khairy, Ibrahim yang salahfaham dengan maksud Wee.

Manakala Wee pula menjelaskan bahawa pernyataannya tidak mempersoalkan biasiswa MARA.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau tetap "tidak berganjak atas kenyataan terhadap ketua pemuda MCA" itu.

"Siapa yang putar belit kenyataan kalau tidak Wee sendiri. Rujuk (akhbar The) Star pada I6 Jun (pada) muka 2.

"PERKASA wajib sentiasa berdiri di atas kebenaran. Bukan main politik tak tentu arah. Pemimpin perlu ada kredibiliti, amanah dan bermoral.

"(Pemimpin) yang ada masalah kredibiliti, tiada siapa percaya, ada dibayangi konflik dalaman diri....Saya akan terus bersuara tanpa peduli apa orang kata," katanya.

Selasa, Jun 22, 2010

UnisZA NAMA BARU UNIVERSITI DARUL IMAN


Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang ditubuhkan pada 2006 kini ditukar nama kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) berkuat kuasa 14 Mei lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penukaran nama UDM kepada UnisZA adalah mengambil kira sejarah UDM yang pada asalnya adalah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebelum dinaik taraf kepada sebuah universiti.

"Pertukaran nama UDM telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 13 April 2010 dan telah diwartakan pada 13 Mei 2010," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, UnisZA menjadi harapan kepada rakyat Malaysia agar dapat melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berkarisma.

"Penubuhan UnisZA diharap dapat melahir dan membentuk pemimpin yang pemikirannya diasuh dengan ilmu, budaya tinggi, akhlak luhur serta berwajah antarabangsa selaras dengan visi UnisZA itu sendiri," ujarnya.

UDM telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan merupakan universiti awam yang ke-18 di negara ini.

Hasrat penubuhannya adalah untuk menjadi institusi pendidikan berstatus universiti penuh yang menawarkan pelbagai program akademik di Terengganu.

Universiti ini mula beroperasi di kampus Kolej Sultan Zainal Abidin, sebuah institusi pendidikan agama yang bersejarah di Terengganu dan langkah ini diwujudkan bagi membolehkan beberapa program yang ditawarkan oleh KUSZA sebelum ini dinaik taraf kepada program ijazah.

UDM ditubuhkan selepas BN menawan semula Terengganu pada tahun 2004. Tetapi yang silapnya Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang dinaiktaraf sebagai universiti akhirnya dibubarkan oleh Menteri Besar terengganu ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh. Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR)milik MCA dinaikkan taraf sebagai Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) tetapi KTAR tetap dikekalkan dan ia tidak pernah dibubarkan.

Maka apa yang berlaku kepada KUSZA amat malang sekali. Oleh itu menamakan semula UDM dengan nama Universiti Sultan zainal Abidin (UnisZA) merupakan langkah yang wajar mengambil kira sejarah asalnya UDM dari KUSZA sendiri. Maka inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri kini di bawah pimpinan Datuk Haji Ahmad Said memaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menukar nama UDM kepada UnisZA amat wajar sekali. Tahniah Datuk Ahmad Said!

Isnin, Jun 21, 2010

MEMASARKAN MM PARKING


Seronok juga buat promosi Miss call Mobile (MM) Parking ke seluruh Malaysia bersama pereka sistemnya, Burhanudin Tan Sri Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Baha. Melalui MM Parking ini, pengguna tidak perlu meletakkan duit siling untuk parkir kereta masing-masing.Sebaliknya dengan membeli top up MM Parking, secara automatik top up kita ditolak parking untuk satu jam setelah membuat miss call kepada nombor yang diberikan.

Sehingga ini seluruh Malaysia telah dijelajah kami.Paling best berurusan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam melalui sms sahaja. Saya sms kepada beliau untuk bertemunya. Dia suruh datang ke Melaka. Kami pergi ke rumahnya. Kebetulan sehingga jam 11 malam, dia belum pulang, jadi kami tinggalkan surat kami di rumah pengawalnya.Kata pengawal rumahnya, kalau Datuk Seri Ali balik jam 2 pagi, masih ramai yang datang menemuinya. Sebelah pagi pula biasanya 7.30 pagi sudah ramai menunggu untuk menemui beliau di kediaman rasminya itu. Kita tidak akan temui Ketua Menteri seperti Datuk Seri Ali lagi selepas ini yang mudah ditemui rakyat.

Esoknya saya sms lagi kepada beliau, tanya sudah terima surat itu. Datuk Seri Ali suruh kami berhubung dengan Pengarah UPEN Melaka, Datuk Zainal. Lalu kami pun hubungi pejabat Datuk Zainal untuk menemuinya seperti mana diarah Datuk Seri Ali melalui sms.

Baha turut menemui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang amat bersetuju dengan MM Parking.Katanya, "Saya baru balik dari London dan sistem parking ini diguna di London".

Beliau terus minit surat itu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai yang mana Setiuasahanya, Haji Ali Luman merupakan kawan lama di Universiti Malaya. Kali terakhir saya temuinya lapan tahun lepas di Jakim ketika beliau menjadi Ketua Penolong Pengarah (Pentadbiran) di Jakim.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Haji Ahmad Said kami temuinya di rumah rasmi di Kuala terengganu. Beliau kata akan laksanakan sistem ini jika ia berjaya. Baha menambah ia akan dilaksanakan di Kuala Lumpur mulai Julai ini. Sebagai pilot projek, Dewan Bandaraya beri kepada IGS Capital Sdn Bhd sebanyak 1,000 parking lot di Solaris Hartamas dan bekas kilang F&N di Jalan Sungai Besi.

"Datuk Bandar Kuala Lumpur kawan saya. Jika sistem ini berjaya di Kuala Lumpur, kita akan laksana di Terengganu," kata Datuk Ahmad Said lagi kepada Baha.

Pada hari yang sama, kami dapat menemui Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Azlan Dagang. Beliau terus menyuruh kami menemui Ketua Bahagian Letak Kereta MBKT, Abdillah yang mana pejabatnya terletak di Pasar Kedai Payang.

Kami serah surat di rumah Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Isa Sabu tapi belum dapat respon walaupun rakan kami di Perlis sudah follow-up. Surat yang kami serah kepada Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zamby Abdul Kadir telah diminit kepada Exco Kerajaan tempatan, Datuk Dr. Mah yang menghubungi Baha seminggu kemudian.

Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan bersetuju amalkan sistem ini dan ia mahu ia dilaksanakan oleh majlis perbandaran sendiri tanpa menggunakan operator.Di Johor, kami masih menunggu rakan kami untuk temujanji dengan Menteri Besar, Datuk Ghani Othman. Di Sabah, seorang rakan sedang susun temujanji dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.Menteri Besar Kedah, Datuk Azizizan juga dikatakan berstuju melaksanakan sistem ini.

Alangkah seronoknya kalau semua Menteri Besar jawab sms macam Datuk Seri Ali Rustam. Ramai menteri besar yang kami hubungi tidak jawab sms.

Sistem MM Parking akan membuatkan majlis mempunyai pendapatan yang lebih dari segi kutipan parking. Ramai operator parking di Kuala Lumpur yang rugi kerana bayaran tidak mencukupi untuk bayar kepada Dewan Bandaraya. Jadi sistem ini dijangka dapat memberi kutipan yang lebih kepada majlis dan operator.

Dalam membuat kerja pemasaran ini, ada juga yang lucu. Surat yang dihantar by hand kepada personal assistant Exco Kerajaan Tempatan Kelantan, Datuk Takiyuddin hilang. Jadi surat baru terpaksa difax semula ke ofisnya.

Apabila sistem MM Parking dilaksanakan di seluruh Malaysia nanti, semua tidak perlu berlari untuk masuk siling dalam meter parking, selepas tempoh tamat kerana ia dibuat melalui miss call kepada nombor yang disediakan sahaja.Maka pengguna tidak perlu meninggalkan miting untuk tambah masa parking dan tidak perlu bimbang akan disaman lagi.

Ahad, Jun 20, 2010

MENGEKALKAN KEJUARAAN BUKANNYA MUDAH


Kata orang menang di tempat sendiri adalah ‘jaguh kampung’.

Tetapi jika menang di gelanggang orang atau tempat lain, ia adalah kemenangan sebenar dan manis untuk diperkatakan .

Apa yang mahu dikatakan di sini ialah, Terengganu menjadi juara Sukan Malaysia (SUKMA) sekali lagi. Kali ini di Melaka pada Sukma XIII bukan di Kuala Terengganu seperti Sukma XII pada 2008.

Ternyata Terengganu bukan jaguh kampung dan kini ia menjadi kuasa baru sukan negara yang melahirkan banyak bakat muda.

Terengganu kini kilang melahirkan atlet muda bukan sekadar kanu dan basikal tetapi juga judo, olahraga serta angkat berat.

Selama ini apabila disebut sukan tempat, mata akan terpandang ke Sarawak, Wilayah Persekutuan, Johor atau Perak.

Namun tidak lagi kerana dengan semangat Terengganu Nelang, Terengganu mampu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Ia memenuhi harapan dan sasaran.

Malah, lebih manis, beberapa sukan baru yang diceburi Terengganu turut membawa keputusan yang cemerlang, walaupun dengan satu atau dua pingat emas.

Sukan judo misalnya memberikan kepuasan kepada Terengganu apabila ia mencatat lima emas, kima perak dan empat gangsa iaitu lebih daripada sasaran. Terengganu mensasarkan untuk menang tiga emas dan dua perak.

Mengejutkan kerana Terengganu memintas Johor dan penganjur, Melaka dari segi pungutan pingat untuk judo. “Kami terkejut dengan pencapaian ahli sukan kita”, tegas jurulatih judo Terengganu, Marjan Abdullah.

Selepas 33 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma XIII, Terengganu diumumkan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 emas mengatasi saingan terdekat Selangor dan Wilayah Persekutuan apabila masing-masing memperoleh 43emas.

Lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.


ATLET olahraga Melaka, J. Karthik dan atlet renang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan menunjukkan trofi yang mereka menangi selepas diumumkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia ke-13, di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, 19 Jun. – Gambar Utusan

Sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta pada temasya kali ini.

Sebaik obor kejohanan dipadamkan tepat pada pukul 11.00 malam disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berakhir sudah temasya sukan selama 14 hari selain meninggalkan banyak kenangan suka dukanya.



Selepas itu, Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyerahkan bendera kejohanan kepada Perdana Menteri yang kemudiannya menyerahkannya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob selaku tuan rumah temasya edisi ke-14.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Kemeriahan jelas terasa sehinggalah berakhir acara penutup yang penuh warna-warni disempurnakan oleh Najib. Sejurus Perdana Menteri mengumumkan majlis penutupan, bendera kejohanan mula diturunkan dan obor yang menyala sejak majlis pembukaan pada 12 Jun lalu dipadamkan.

Selepas Melaka, giliran Pahang pula akan menjadi tuan rumah temasya edisi ke-14 pada 2012.
Dengan lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.

Slogan `Terengganu Nelang’ ternyata berjaya membawa atlit Terengganu ke puncak kejayaan. Secara mutlaknya, penamat Sukma Melaka merekodkan Terengganu sebagai juara keseluruhan dan membawa berita gembira buat sejuta rakyat Terengganu terutama Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong dan menjaga kebajikan atlit serta penggiat sukan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata kejayaan Terengganu membuktikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara sebagaimana yang pernah diuar-uarkan dalam ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008 lalu.

Katanya, emas terakhir kontinjen Terengganu dipungut menerusi sukan teras dan paling dinanti-nantikan iaitu bola sepak apabila berjaya mengalahkan Selangor dengan 1-0.

“Pasukan bola sepak yang dibarisi pemain berpengalaman daripada persatuan bola sepak negeri, pasukan Terengganu dan T-Team mengesahkan kemenangan untuk edisi Sukma yang ketiga berturut-turut hasil kemenangan 1-0 ketika menentang Selangor malam semalam,” kata beliau ketika menjadi tamu khas Imbasan Sukma Ke-13 di TV1, petang semalam.

Katanya, kejayaan kontinjen Terengganu membolehkan janji Kerajaan Terengganu untuk menghadiahkan insentif kepada pemenang yang mampu mengekalkan kejuaraan dengan RM5,000 untuk pingat emas dan RM3,000 serta RM2,000 untuk pingat perak dan gangsa akan dikotakan.

“Kekalkan kejuaraan suatu yang tidak dapat dilupakan, kerana kita jangka Wilayah Persekutuan yang akan menggugat kedudukan kita, tetapi akhirnya Selangor akhirnya yang mencabar kita sebelum kekal sebagai juara.

Sebenarnya kekuatan Kontinjen Terengganu atas sokongan kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang menonjol dengan slogan `Terengganu Nelang’.

“Persediaan lebih awal termasuk bengkel sebelum bermulanya Sukma membuatkan atlit Terengganu lebih bersedia dan membuktikan mereka bukan jaguh kampung yang hanya berjaya di laman sendiri,” katanya.

Katanya, kontinjen Terengganu juga tidak menduga cabaran lapan pasukan teratas dalam Sukma kali ini dan tetap optimis untuk bersaing di tempat yang terbaik walaupun gagal menepati sasaran awal 66 emas akibat gagal dalam beberapa acara sasaran.

Pungutan emas terbanyak diraih menerusi acara kanu sebanyak 12 pingat emas diikuti basikal (8), olahraga (6 ); judo, pencak silat dan angkat berat masing-masing 5 emas. Manakala enam emas lagi masing-masing menerusi bola sepak, tinju, lawn bowls, sepak takraw, ragbi dan ekuestrian.

Jumaat, Jun 18, 2010

GOSIP CORNER DI THE CHICKET HUT


Restoran The Chicken Hut di The Mall, Kuala Lumpur sentiasa menjadi tumpuan orang politik. Biasanya bila orang politik berkumpul maka pelbagai gosip politik yang disembangkan oleh mereka.

Gosip Corner di The Chicken Hut agak popular kepada orang politik. Semalam ketika saya ke The Mall bersama seorang rakan, Kamri Kamarudin, saya temui beberapa orang politik berkumpul di The Chicken Hut. Mereka termasuklah bekas Naib Ketua UMNO bahagian Kemaman, Haji Mohd. Rahim Husin; bekas pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Tok Mulu mat Dalam Awang; bekas calon BN di DUN Jeram, Terengganu (1982), Haji Sufian Said dan ramai lagi yang saya tidak kenali.

Haji Rahim pernah menjadi Pengerusi penyelaras DUN Air Putih ketika menang jawatan naib ketua UMNO bahagian kemaman buat kali pertama pada tahun 2000. tetapi dia tidak ada rezeki jadi calon DUN Air Putih pada pilihanraya umum 2004. Sebaliknya ketua pemuda, Wan Ahmad Nizam yang dapat jadi calon. Setelah dua penggal Haji Rahim menjadi naib ketua bahagian, akhirnya beliau kalah kepada Wan Ahmad Nizam yang kini adalah Setiausaha Politik Menteri besar.

Tok Mulu Mat Dalam mencatat sejarah mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail said bagi jawatan Pengerusi tetap UMNO bahagian kemaman pada tahun 2000. Pada tahun lepas, beliau mahu bertanding jawatan timbalan kerua bahagian menentang menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tetapi beliau tidak cukup kuota untuk bertanding. Maka Datuk Ahmad Shabery menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Turut bersama mereka ialah bekas Pengarah yayasan Islam terengganu, Datuk Alwi. Beliau menunggu masa nak ke KLIA untuk balik ke Kuala terengganu. Bila terserempak dengan orang politik, Datuk Alwi singgah sekejap menemui mereka. Datuk Alwi pernah disebut-sebut sebagai calon Bn di DUN Wakaf mempelam tetapi beliau tidak ada rezeki untuk jadi calon.

Pelbagai cerita yang disembangkan oleh mereka. Haji Sufian ialah abang kepada EXCO belia dan sukan terengganu, Datuk Abdul rahin Datuk Said.Sufian kalah pada tahun 1982 tetapi adiknya, Datuk Rahin yang menang pada tahun 2004 dan dilantik Exco Kerajaan Negeri. Pada tahun 1995, Datuk Rahin pernah menjadi ahli parlimen Kuala nerus sebelum kalah pada tahun 1999.

kebetulan Datuk Rahin rakan sekelas saya ketika belajar di Sekolah kebangsaan Banggol Peradong, Kuala terengganu dari darjah empat hingga darjah enam. Dalam kelas Datuk Rahin dapat nombor 4 dalam peperiksaan penggal manakala saya sentiasa dapat nombor satu tetapi rezekinya dalam politik lebih cerah daripada saya.

Haji Sufian banyak bercerita pengalamannya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Argentina. Suatu ketika beliau pernah ditahan di Airport Narita, Tokyo. bagasinya telah digeledah oleh pihak imigeresen tetapi bila Sufian sebut nama Dr. mahathir, maka beg yang digeledah itu ditutup semula. betapa hormatnya orang jepun kepada Dr. Mahathir.

macam-macam cerita yang didengar. kononnya ada usaha untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri najib Tun razak bagi jawatan Presiden UMNO pada tahun depan.Kononnya, Ketua menteri melaka, Datuk Seri Ali Rustam akan bertanding jawatan Presiden UMNO juga dalam pertandinagn tiga penjuru. Maka jawatan Timbalan Presiden yang kosong akan jadi rebutan di antara menteri pertahanan, Datuk Seri Dr.Ahmad zahid Hamidi dengan Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Hishamuddin tun Hussin.

Bagi saya, semua ini cerita gosip politik di gosip corner sahaja. begitu juga cerita kononnya Gerakan mahu dijelmakan semula dengan konsep berbilang kaum, maka Tan sri Dr. Koh Tsu Koon kononnya menawarkan jawatan Presiden gerakan kepada ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Semua cerita ini boleh didengar tetapi percaya jangan. Banyak benda yang perlu ditapis bila cerita-cerita begini keluar. saya kagum dengan kesetiaan Datuk alwi dengan UMNO. Katanya, saya bukan orang politik tetapi saya tetap bersama UMNO. kebetulan menteri besar Terengganu sekarang, Datuk haji Ahmad said pernah bekerja di Setiu dengan Datuk Alwi. datuk Alwi adalah pegawai daerah Setiu manakala Datuk Haji Ahmad pernah menjadi penolong pegawai daerah. beliau bangga ADOnya kini menjadi Menteri Besar Terengganu.

banyak lagi yang boleh ditulis sepanjang satu jam bersama mereka, tetapi saya tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak kerana semua yang ada itu adalah kawan-kawan saya. Sekali-sekala pergi ke The Mall, barulah dapat cerita-cerita terbaru tentang politik Terengganu.

Selasa, Jun 15, 2010

ABU BAKAR KP JPA MULAI JULAI


Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuatkuasa 1 Julai depan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan pada hari ini.

Abu Bakar, 55, menggantikan Tan Sri Ismail Adam, 60, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 30 Jun.

Sidek dalam kenyataannya berkata pelantikan Abu Bakar adalah selaras dengan peruntukan Perkara 144(3) Perlembagaan Persekutuan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Pemilihan Abu Bakar, kata Sidek, dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kewibawaannya bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan awam melalui pelbagai pembaharuan dan pendekatan.

Abu Bakar berkelulusan ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Antarabangsa daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah daripada Universiti Malaya.

Beliau yang mula berkhidmat pada 19 Sept 1977 sebelum ini pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan; Jabatan Perdana Menteri dan di Kementerian Pertahanan.

Sidek berkata beliau yakin Abu Bakar berkemampuan memimpin Jabatan Perkhidmatan Awam, khususnya untuk merealisasikan matlamat Teras Strategik keempat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Sidek juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ismail atas sumbangannya ketika berkhidmat selama 38 tahun kepada perkhidmatan awam dan negara.

Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pelantikan Abu Bakar dengan menyifatkan pelantikan itu sebagai paling sesuai.

Beliau sangat berpengalaman dan mahir dengan pentadbiran perkhidmatan awam, kata Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin.

Beliau yakin menerusi kepimpinan Abu Bakar, penjawat awam akan melalui banyak inovasi dan penambahbaikan.

Katanya Cuepacs berharap dapat bekerjasama rapat dengan Abu Bakar demi kebaikan perkhidmatan awam.

Ahad, Jun 13, 2010

USAHA PENERBIT LEGENDA BUDAK SETAN WAJAR DIPUJI


Jarang filem Melayu diterbitkan berdasarkan novel popular. Usaha penerbit filem Legenda Budak Setan menerbitkan filem berdasarkan novel karya Ahdiat Akashah wajar diberi pujian. Apatah lagi sudah banyak novel Melayu yang difilemkan telah gagal di box office.

Lain dengan Legenda Budak Setan yang dilakonkan oleh ramai pelakon popular masa kini seperti Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar,Raja Farah, Fazura, filem ini telah mengutip lebih dari RM2 juta. Sudah tentu usaha Astro Shaw menerbitkan filem ini agak berbaloi dengan fotografi yang cantik serta arahan yang mantap dari seorang pengarah India, Sharad Sharan.

Filem Melayu kini bukan sahaja diarahkan oleh orang Melayu malah orang bukan Melayu minat menerbitkannya seperti David Teo. Sekali lagi gabungan Farid Kamil dan Lisa Surihani membuktikan bahawa mereka adalah pasangan yang serasi di layar perak. Sebelum ini mereka ditemukan dalam Cinta Merah Stiletho, kini mereka adalah pasangan yang romantis dalam Legenda Budak Setan.

Farid berjaya menghidupkan wataknya. Begitu juga Lisa, Raja Farah, Fazura. Que Haidar dengan watak bengisnya memang dibenci penonton. Bila penonton benci, menunjukkan Que Haidar berjaya menghidupkan wataknya sebagai suami yang cemburu, panas baran dan kaki pukul isteri.

Pelakon baru Shikin Kamal yang diperkenalkan buat kali pertama melalui filem ini juga berjaya membawa watak Ayu yang sudah memnerima pembedahan plastik. Ini semua wajar diberi pujian kepada guru lakon mereka, Fauziah Ahmad Daud yang berjaya membentuk para pelakon dengan watak masing-masing.

Legenda Budak Setan bukan sahaja membuat kita ketawa tetapi membuat kita menangis. Tahniah Sharad Sharan yang berjaya mencuit perasaan para penonton. Selama ini banyak novel remaja yang boleh difilemkan tetapi para penerbit kita agak malas membaca novel. Jadi usaha yang dibuat oleh Sharad Sharan ini mengangkat novel popular ini wajar diberi pujian. Bagi mereka yang belum menonton filem ini, pergilah segera kerana rugi jika anda tidak menontonnya. Sebagai peminat setia Lisa Surihani, saya tidak pernah miss filem-filem lakonannya. Tahniah Lisa!

Rabu, Jun 09, 2010

DR. RAIS PATUT NASIHATI IDRIS JALA


Lucu juga bila baca Utusan Malaysia hari ini, Menteri Komunikasi, Penerangan dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menasihati Petronas supaya mengkaji semula iklan bahasa Inggeris dalam Buletin Utama TV3 di waktu puncak.

Saya tabik kepada Dr. Rais yang berani menegrur Petronas. Pada masa yang sama beliau patut nasihati Idris Jala supaya mengadakan majlis Rasionalisasi Subsidi dalam Bahasa Kebangsaan juga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membentangkan cadangannya dalam Bahasa Inggeris. begitu juga forum diadakan dalam Bahasa Inggeris sedangkan yang datang 100 peratus rakyat Malaysia. beranikah Rais berbuat demikian menegur Idris dalam mesyuarat kabinet?

Isnin, Jun 07, 2010

SYABAS KEPADA PEWARTA


Tahniah kepada Persatuan Wartawan Terengganu (PEWARTA) yang telah berjaya mengadakan Anugerah Malam Wartawan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi. Anugerah pertama telah diadakan pada tahun 2004.

Pada tahun 2006, Pewarta cuba mendapatkan peruntukan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh untuk mengadakan malam anugerah kali kedua tetapi pejabat MB tidak berminat melayani surat Pewarta itu. Majlis yang sepatutnya diadakan dua tahun sekali itu sekali lagi gagal diadakan pada tahun 2008 kerana MB mengiktiraf Kawat (Kesatuan Wartawan Terengganu)dan menganaktirikan Pewarta.

Di bawah pemerintahan MB baru, Pewarta telah berjaya mendapatkan peruntukan untuk meneruskan anugerah buat kali kedua. Malam tadi Haji Endut Haji Ali, Haji Mohamad Jusoh, Wahba dan Wan Ahmad Ismail telah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan 2010. Tahniah buat mereka. Cuma saya rasa kali ini bila nak diberi anugerah janganlah beri kepada mereka yang memegang jawatan dalam Pewarta. Haji Mohamad Jusoh(Timbalan Presiden Pewarta) dan Wan Ahmad Ismail (Ahli jawatankuasa Pewarta) bukan tidak layak mendapat anugerah, tetapi sepatutnya beri anugerah kepada mereka yang tidak berjawatan dalam Pewarta.

Sebagai bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan Melayu (PWM) cawangan Terengganu, saya menyokong usaha Pewarta mengumpulkan bekas wartawan, sasterawan yang berasal dari Terengganu berada dalam satu persatuan seperti Pewarta kerana Kawat hanya membuka keahlian kepada mereka yang bertugas sebagai wartawan sahaja.

Usaha yang dilakukan oleh Pewarta amat murni dan dalam ucapannya Presiden Pewarta mencadangkan supaya ditubuhkan Yayasan Wartawan untuk menjaga kebajikan wartawan dan bekas wartawan bukan sahaja di Terengganu malah di sleuruh Malaysia. Pewarta malam tadi turut menobatkan Datuk Ahmad Said sebagai pemenang anugerah khas Presiden 2010 dan Datuk Musa Federal Malay sebagai tokoh masyarakat Pewarta 2010.

Pewarta dianaktirikan oleh bekas MB dari tahun 2006-2008. Oleh itu langkah Ahmad Said mengiktiraf semula peranan seramai 70 orang ahli Pewarta amatlah disanjungi. Semoga hubungan yang sudah terjalin di antara Pewarta dengan kerajaan negeri terus berkekalan.

Sabtu, Jun 05, 2010

MB ARAH SIASAT KES 16 PELAJAR HAMIL


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan 16 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikatakan hamil anak luar nikah sepanjang setahun bermula tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) yang mendedahkan perkara berkenaan.

Ahmad Said berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

“Kita perlu kaji terlebih dahulu sama ada angka itu betul atau tidak, saya akan arahkan Jabatan Pelajaran melakukan siasatan segera dan melaporkan kepada saya.

“Siapa pelajar terbabit, bagaimana latar belakang mereka, kita akan hubungi PIBG untuk mendapatkan penjelasan. Betul atau tidak angka 16 pelajar itu dan dari mana, kita kena lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian 852 unit e-Book kepada murid dan bantuan pakaian sekolah rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang, kelmarin.

Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengatakan seramai 16 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Kes terbaru membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Ahad lalu dan laporan turut memetik dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan yang memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anak April lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Said menegaskan mana-mana pihak tidak harus menyalahkan kerajaan, sebaliknya ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan kedudukan anak mereka setiap masa.

Jumaat, Jun 04, 2010

PERLANTIKAN MENTERI HAK PM


Ramai yang pertikai perlantikan menteri dan timbalan menteri dalam rombakan kecil kabinet baru-baru ini. Presiden PPP, Datuk M. Kayveas hairan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengekalkan musuhnya, Murugiah yang sudah dipecat dari PPP sebagai timbalan menteri.

Walaupun Najib melantik orang baru, Maglin sebagai timbalan menteri tetapi Kayveas hairan Murugiah masih dikekalkan. Apa yang dihairankan kerana perlantikan menteri dan timbalan menteri adalah hak Najib. Najib bebas buat apa saja. Mungkin prestasi Murugiah amat baik menyebabkan Najib tidak menggugurkan beliau.

Pada masa yang sama Ketua Pemuda UMNO Sabah mencadangkan supaya ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin dilantik menteri atau timbalan menteri. Najib mungkin ada sebab kenapa tidak lantik Khairy. Pertama, rombakan ini tidak melibatkan UMNO. Kedua, Najib mahu Khairy buktikan dirinya berjaya sebagai Ketua Pemuda terlebih dahulu.

Apa yang Khairy buat setelah setahun jadi Ketua Pemuda? Suaranya tidak lantang memperjuangkan nasib orang Melayu. Yang lebih lantang mempertahankan hak orang melayu ialah Presiden Perkasa, Datuk Haji Ibrahim Ali. Kalau Ibrahim masih dalam UMNO, Ibrahim yang lebih layak mengetuai Pemuda UMNO dari Khairy.

Bila anak Samy Vellu menuduh UMNO terlibat dengan gerakan anti Samy Vellu, Khairy diam. Jadi di mana letaknya keberanian pemuda UMNO? Kalau Datuk Harun masih hidup dan masih memimpin Pemuda UMNO, Harun orang pertama membela UMNO. Jadi atas asas apa Najib mahu lantik Khairy sebagai menteri atau timbalan menteri?

Oleh itu Najib ada perkiraaan jika seseorang itu dilantik menteri atau tidak. Oleh itu Khairy perlu buktikan bahawa beliau menjadi Ketua Pemuda yang lantang dan berani terlebih dahulu sebelum layak dipertimbangkan ke jawatan kerajaan. Selamat berjuang Khairy!

Khamis, Jun 03, 2010

TIDAK PERLU NAIKKAN HARGA MINYAK


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju kerajaan menghapuskan subsidi seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Idris kata Malaysia akan bangkrap dalam masa sembilan tahun jika kerajaan mengekalkan subsidi yang meningkat 74 juta. Sebenarnya sudah ada satu proposal yang dihantar kepada MOF dan EPU pada tahun 2007 mengenai pengurusan subsidi ini di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika itu Pak Lah tidak berminat dengan cadangan ini sebaliknya beliau mengumumkan setiap rakyat Malaysia yang memperbaharui cukaijalan kenderaan mereka dapat rebat RM625 seorang.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi PM pada tahun lalu, pengurusan subsidi dibangkit oleh beliau ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas. Maybank diberi tanggungjawab untuk menjalankan pengurusan subsidi ini engan menggunakan Mykad. Bila rakyat bantah penggunaan Mykad, Najib menangguhkan buat sementara sistem pengurusan subsidi ini.

Minggu lepas ketika merasmikan Hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, Idris berkata majoriti rakyat Malaysia setuju supaya subsidi ini dikurangkan. Idris sepatutnya menyemak kembali proposal yang ada di MOF dan EPU yang dibentangkan oleh sebuah syarikat di mana melalui sistem pengurusan ini harga minyak boleh diturunkan dan bukannya dinaikkan malah semua harga barangan seperti gula, tepung, minyak masak dapat diturunkan.

Melalui sistem ini sekurang-kurangnya RM5 bilion dapat dijimatkan oelh kerajaan. Oleh itu kerajaan tidak perlu menaikkan hargaminyak, harga gula, harga minyak masak yang sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat. oleh itu Idris kena tanya MOF dan EPU proposal yang dikemukakan oleh Antah Berhad itu.

Rabu, Jun 02, 2010

SUBRAMANIAM PATUT BERI LALUAN KEPADA PALANIVEL


Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat rombakan kecil kabinet yang melibatkan MCA dan MIC sahaja. Palanivel yang tidak dapat bertanding di Hulu Selangor baru-baru ini dilantik Timbalan Menteri sedangkan beliaulah bakal mewarisi kepimpinan MIC pada tahun depan.

Sepatutnya Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Subramaniam meletakkan jawatan dan beri laluan kepada Palanivel untuk dilantik menteri penuh. Adalah janggal seorang Naib Presiden MIC menjadi menteri sedangkan Timbalan Presiden MIC jadi timbalan menteri pula.

Tapi siapa yang mahu letakkan jawatan menteri yang bergaji lumayan. hanya Datuk Zaid Ibrahim sorang yang berani berbuat demikian. Oleh itu bila Palanivel jadi Presiden MIC pada tahun depan,. wajarlah Subramaniam letak jawatan menteri.

Dr. Chua Soi Lek tidak menuntut kerusi menteri. Biarlah beliau beri tumpuan kepada MCA untuk memenangi hati para pengundi Cina pada pilihanraya umum akan datang. Cho Ha walaupun kalah jawatan Timbal;an Presiden MCA dikekalkan menteri kerana dia adalah regu Dr. Chua. Oleh itu hak Dr. Chua untuk merekomen nama Cho ha kepada PM untuk dikekalkan menteri walaupun berpindah kementerian.

Yang anehnya, kenapa Najib tidak menggugurkan menteri UMNO yang sudah lama seperti Dr. Rais Yatim. Dr. rais suruh Samy vellu bersara dari politik sedangkan beliau pun sudah lama berada dalam kabinet sejak di zaman ayahanda Najib lagi. Berilah peluang kepada orang baru, Dr. Rais!

Selasa, Jun 01, 2010

PENGEMIS DAN PEREMPUAN CANTIK





Pada suatu hari, ketika sepasang sisuami dan siisteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.''Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu .


Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.


Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.


Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ''Demi ALLAH ,akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu .


Kesimpulan :

RASULULLAH S.A.W Bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan''.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD S.A.W ada bersabda yang bermaksud ; ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''.

Jelas Hidup kita seperti putaran roda dan kita tidak selalunya di atas . Ada masa dan ketikanya anda dan saya akan turun dan ke bawah dan naik semula atau sebaliknya .