Ahad, Jun 13, 2010
USAHA PENERBIT LEGENDA BUDAK SETAN WAJAR DIPUJI
Jarang filem Melayu diterbitkan berdasarkan novel popular. Usaha penerbit filem Legenda Budak Setan menerbitkan filem berdasarkan novel karya Ahdiat Akashah wajar diberi pujian. Apatah lagi sudah banyak novel Melayu yang difilemkan telah gagal di box office.
Lain dengan Legenda Budak Setan yang dilakonkan oleh ramai pelakon popular masa kini seperti Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar,Raja Farah, Fazura, filem ini telah mengutip lebih dari RM2 juta. Sudah tentu usaha Astro Shaw menerbitkan filem ini agak berbaloi dengan fotografi yang cantik serta arahan yang mantap dari seorang pengarah India, Sharad Sharan.
Filem Melayu kini bukan sahaja diarahkan oleh orang Melayu malah orang bukan Melayu minat menerbitkannya seperti David Teo. Sekali lagi gabungan Farid Kamil dan Lisa Surihani membuktikan bahawa mereka adalah pasangan yang serasi di layar perak. Sebelum ini mereka ditemukan dalam Cinta Merah Stiletho, kini mereka adalah pasangan yang romantis dalam Legenda Budak Setan.
Farid berjaya menghidupkan wataknya. Begitu juga Lisa, Raja Farah, Fazura. Que Haidar dengan watak bengisnya memang dibenci penonton. Bila penonton benci, menunjukkan Que Haidar berjaya menghidupkan wataknya sebagai suami yang cemburu, panas baran dan kaki pukul isteri.
Pelakon baru Shikin Kamal yang diperkenalkan buat kali pertama melalui filem ini juga berjaya membawa watak Ayu yang sudah memnerima pembedahan plastik. Ini semua wajar diberi pujian kepada guru lakon mereka, Fauziah Ahmad Daud yang berjaya membentuk para pelakon dengan watak masing-masing.
Legenda Budak Setan bukan sahaja membuat kita ketawa tetapi membuat kita menangis. Tahniah Sharad Sharan yang berjaya mencuit perasaan para penonton. Selama ini banyak novel remaja yang boleh difilemkan tetapi para penerbit kita agak malas membaca novel. Jadi usaha yang dibuat oleh Sharad Sharan ini mengangkat novel popular ini wajar diberi pujian. Bagi mereka yang belum menonton filem ini, pergilah segera kerana rugi jika anda tidak menontonnya. Sebagai peminat setia Lisa Surihani, saya tidak pernah miss filem-filem lakonannya. Tahniah Lisa!