Khamis, Ogos 27, 2009

BENCI RASUAH PUNCA BERNIAGA


Tidak ramai orang yang berprinsip seperti Haji Sobri Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Coffee Classic (M) Sdn Bhd. Beliau adalah seorang yang anti rasuah. Dia benci dengan rasuah yang berlaku di sekelilingnya ketika bekerja sebagai jurutera perunding dengan sebuah syarikat minyak dan gas.


Oleh itu beliau sanggup meninggalkan gaji lumayan dan meletakkan jawatan untuk menceburi bidang perniagaan yang sama sekali bukan bidangnya.


Setelah berjaya dengan Coffee Classic yang menghasilkan jualan tahunan melebihi RM3 juta, Haji Sobri merancang untuk melancarkan produk baru pula yang bernama SynQ sempena nama kampungnya Singkir di Yan, Kedah.


Berusia 43 tahun, Haji Sobri tidak pernah menyesal meletakkan jawatan sebagai jurutera kerana perniagaan yang diceburinya lebih membawa berkat.


“Apa maknanya gaji besar tetapi bergelumang dengan rasuah. Saya lihat menjadi usahawan kurang terlibat dengan rasuah. Kalau jadi kontraktor, nak lobi projek, kena beri rasuah, sebaliknya dengan menjual kopi tidak ada terlibat dengan rasuah,” tegasnya.


Sepatutnya SPRM menjemput Haji Sobri berceramah di sekolah atau di jabatan kerajaan memberi kesedaran betapa bencinya beliau terhadap rasuah.


Keberkatan perniagaannya terbukti bila tidak terlibat dehgan rasuah dan Haji Sobri adalah contoih usahawan tanpa rasuah yang berjaya yang sepatutnya menjadi model SPRM.


Menyentuh tentang produk baru SynQ, ia terdiri dari tiga produk, produk kesihatan, produk kecantikan dan produk pendidikan. Bagi produk kesihatan, dua produk sudah dikenalpasti yang mengandungi collagen yang boleh mencegah kanser manakala gai produk kecantikan, dua produk juga sudah dikenalpasti dan bagi produk pendidikan, ia telah mengenalpasti satu produk.


“Insya Allah ia akan dilancarkan pada bulan November ini,” kata beliau sebagai menjelaskan pelancara SynQ adalah sebagai mempelbagaikan lagi perniagaannya yang tgerlibat dengan kopi selama ini.


Menyentuh tentang Coffee Classic, beliau bangga kerana mempunyai 15,000 pengedar di seluruh Malaysia.


“Saya telah melahirkan tujuh orang jutawan melalui perniagaan kopi ini,” katanya bangga kerana dapat melahirkan jutawan.


Sehubungan dengan itu Haji Sobri yang pernah diarah oleh Kementerian Pembangunan Ushawan dan Koperasi untuk mewawancara para pelajar universiti kecewa kerana bila mereka ditanya mahu jual kopi, mereka pandang rendah kepada bisnes kopi yang diceburinya.


Katanya, mereka tidak faham bisnes kopi saling berkait dengan bisnes lain seperti bisnes grafik yang buat grafik, bisnes kertas yang membalut kopi dan pelbagai bisnes lagi.


Beliau mahu para pelajar faham perbezaan antara ahli perniagaan dengan usahawan.


Usahawan adalah meneroka benda baru yang belum tentu hasilnya menakala ahli perniagaan buat bisnes biasa yang ada rutinnya.


“Menjual kopi adalah keusahawanan kerana ia meneroka pasaran baru dan rasa kopinya belum tentu diterima baik oleh para penggunanya,” katanya.


Sehubungan dengan itu ketika mula-mula menceburi bisnes ini, Haji Sobri tidak pernah bimbang dengan persaingan.


“Semua perniagaan ada persaingan. Kita lihat di sekeliling kita sekarang. Baju yang kita pakai ada persaingan, pen yang kita guna ada persaingan, jam yang kita pakai ada persaingan. Jadi persiangan dalam perniagaan adalah perkara normal,” katanya.


Menyentuh tentang modal, beliau menolak andaian bahawa tanpa wang seseorang itu tidak boleh berniaga.


“Dalam perniagaan, wang tidak penting. Yang penting kepercayaan. Jika kita ada kontek yang ramai, dia percaya kepada kita, pembekal boleh beri hutang kepada kita apa yang kita mahu beli dalam tempoh masa yang tertentu. Cukup tempoh kita kena bayar. Jika tidak mereka sudah tidak percaya kepada kita lagi,” hurainya.


Sebab itu, katanya ada orang boleh berniaga tanpa modal kerana dia sudah dapat kepercayaan untuk menangguhkan bayaran barang-barang tertentu dalam tempoh masa yang dijanjikan.


“Oleh itu ada orang kata nak berniaga tidak ada modal adalah perkara remeh temeh,” katanya lagi.


Bagaimanapun, Haji Sobri tidak menolak bahawa dalam sesuatu bisnes, pemasaran adalah nadi utama.


“Jika marketing tidak menyeluruh, tak guna kita ada keluarkan produk kita,” katanya sambil mengaku bahawa sebelum menceburi bisnes kopi ini, beliau belajar selok belok marketing selama dua tahun.


Katanya, apabila beliau yakin dengan marketing ini baru beliau buat bisnes.


(Untuk mengikuti rencana penuh mengenai Haji Sobri ini, belilah majalah BUSINESS KINI edisi 8 yang akan berada di pasaran mulai minggu hadapan)