Isnin, Oktober 06, 2008

MAKIN BANYAK KUDA HITAM

Nampaknya jawatan Timbalan Presiden UMNO menjadi rebutan walaupun Pak Lah belum mengumumkan tidak bertanding semula jawatan Presiden UMNO. Kerusi Pak Lah dijangka menjadi rebutan antara Najib Tun Razak dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Manakala kerusi Timbalan Presiden UMNO dijangka menjadi pertandingan lima penjuru antara Muhyiddin Yassin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ali Rustam. Muhammad Muhd Taib dan ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan Tan Sri Mohamad.

Sudan tentu pertandingan ini amat menarik kerana siapa yang menang dalam pertandingan itu akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Semua calon dijangka mendapat cukup kuota (38 pencalonan) kecuali Nur Jazlan yang dijangka tidak dapat kuota yang cukup.

Kenapa Nur Jazlan yang merupakan anak Tok Mat bekas Setiausaha Agung UMNO masuk juga dalam gelanggang sudah tentu menarik perhatian kita. Beliau kata beliau bertanding kerana mahu golongan muda dapat pilihan calon mereka. Takdirnya Nur Jazlan mempunyai kuota yang cukup, sudah tentu siapa yang menang dalam pertandingan lima penjuru ini sukar diramal.

Sekurang-kurangnya undi Johor akan berpecah dua sama ada kepada Muhyiddin atau Nur Jazlan. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO, jangan bertanding ikut pasukan wajarlah dipatuhi. Ada yang melihat kemasukan Dr. Zahid Hamidi merupakan regu Najib walaupun Muhyiddin yang belum mengesahkan sama ada bertanding atau tidak berkata bahawa beliau adalah regu Najib.

Jika Isa Samad turut serta dalam pertandingan ini, sudah pasti pertandingan Timbalan Presiden UMNO akan menjadi lebih meriah lagi. Siapa sangka Isa menang dengan undi tertinggi dalam pertandingan Naib Presiden UMNO empat tahun lalu sehingga berjaya menyingkirkan Muhammad Muhd. Taib.

Ramai yang melihat pertandingan ini akan lebih di antara Muhyiddin dan Dr. Zahid. Cuma Dr. Zahid tidak pernah jadi Naib Presiden UMNO berbanding dengan Muhyiddin yang menang jawatan itu sejak tahun 1993.
Dr. Zahid pernah menang Ketua Pemuda pada tahun 1996 walaupun beliau ditentang oleh Rahim Tamby Chik, Haji Anuar Musa dan Isa Samad. Ketika itu beliau tidak pegang jawatan dalam kerajaan sedangkan Isa adalah Menteri Besar Negeri Sembilan manakala Haji Anuar adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.