Isnin, Oktober 06, 2008

BERKEMPEN DI RUMAH TERBUKA

Pada hari raya keempat, saya sempat berhari raya di Kuala Terengganu di rumah kawan saya, Othaman Ibrahim seorang taukeh batik yang terkenal di Chendering. Saya mahu pergi ke rumah bekas Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai, Haji Mohamad Ali tetapi dia beraya di rumah isteri nombor duanya di Perak.

Dalam pada itu Othaman mengajak saya pergi ke rumah terbuka bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Syed Abdul Rahman Tuan Kuning yang merupakan orang kuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Selepas itu saya turut mengunjungi rumah terbuka Ketua Pemuda Kuala Terengganu, Sabri Alwi atau Mat Kerak. Ramainya orang yang datang menunjukkan bahawa beliau akan menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Beliau yang sudah habis umur pemudanya mencabar bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Haji Mohamad Jusoh.

Saya cadang nak pergi ke rumah Marzuki Muda tetapi beliau dalam perjalanan ke rumah bossnya, Che Halim di Bukit Depu. Dia suruh saya pergi direct ke rumah Che Halim. Sampai di sana kebetulan bekas calon BN Wakaf Mempelam, Haji Othman Awang ada di situ. Beliau adalah tiga pupu saya yang berasal dari Paloh. Dia kena dengan saya dari belah emaknya manakala Che Halim dua pupunya dari belah ayahnya.

Dalam perjalanan balik ke Kemaman petang itu, saya singgah di rumah sepupu saya bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Serdang, Datuk Ghazali Mohd. Noor. Beliau menerima pingat Datuk dari Surakarta Indonesia pada tahun lepas. Beliau kini adalah Pengerusi PEKIDA Negeri Terengganu.

Saya turut singgah di rumah Pemeriksa Kira-Kira UMNO Bahagian Kemaman, Wan Jasni Wan Mansor di FELDA Kerteh 6. Seperti biasa saya minta tolongnya kerana di kawasan itu ada lima cawangan yang ada 30 orang perwakilan.

Akhir saya saya sempat singgah di rumah adik ipar tok saudara saya di Kemasik, arwah Ustaz Hussein. Kebetulan isterinya yang saya panggil Che Da dari kecil adalah kakak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Anak Tok Ngah Bukit Goh, Ahmad rapat dengan Ahmad Said kerana dari kecil dia duduk di rumah emak Ahmad Said di Teluk Kalong.

Malam itu seorang calon AJK Bahagian Kemaman, Kisfi Zainal ajak saya ke rumah Bendahari UMNO Bahagian, Ghani Zahari atau lebih dikenali sebagai GZ. Kisfi adalah junior Ahmad Said di Sekolah Menengah Chukai. Malam itu beliau cerita semula kenangan manisnya bersama Ahmad Said ketika beliau jadi TCS. Masa itu Kisfi bekerja dengan JKR Kemaman.

Hari raya kelima, saya berkunjung ke rumah baru Menteri Besar di Teluk Kalong. Ramai betul orang datang ke rumah terbukanya itu. Di situ saya temui ramai calon AJK Bahagian dan rasa seronok dapat berjumpa dengan para perwakilan di situ. Tidak lupa saya terjumpa Ketua UMNO Cawangan Bukit Kuang yang baru, Yaani yang merupakan pengurus kempen saya pada tahun 2004. Saya tak lupa minta tolongnya berkempen untuk saya kali ini.