Ahad, Januari 03, 2016

ASAS AGAMA PERLU DITERAP LEBIH AWAL

KOTA BELUD, 2 Jan (Bernama) -- Pendidikan agama Islam yang menyeluruh perlu diterapkan lebih awal kepada generasi muda bagi memastikan mereka memiliki asas agama kukuh dalam menghadapi cabaran di masa depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini termasuk memberikan golongan itu pembelajaran bacaan al-Quran yang tepat selain asas ilmu pengetahuan agama bagi memperkukuh kefahaman mengenai Islam.

"Adalah amat penting setiap penganut agama Islam mengamalkan apa yang disuruh agar penganut-penganut agama lain turut menghormati agama Islam sekali gus masyarakat Islam itu sendiri.

"Perkara asas dan wajib dalam agama (Islam) harus dipelajari kerana asas agama adalah penting sebagai panduan. Tambahan, dunia sekarang banyak cabaran. Jika asas (agama) tidak kukuh dari awal, sudah tentu akan mengalami banyak masalah di kemudian hari," katanya ketika merasmikan Pusat Pembelajaran Al-Quran Al-Baghdadi cawangan Kota Belud di sini Sabtu.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan amat mengalu-alukan penubuhan pusat pembelajaran al-Quran yang merupakan cawangan ke-36 di Sabah itu kerana ia mampu menjadi platform memastikan generasi muda di daerah tersebut memiliki ilmu pengetahuan agama dan mahir membaca al-Quran.

Pusat pembelajaran al-Quran Al-Baghdadi yang direkodkan dalam 'The Malaysia Book of Records' sebagai pusat pembelajaran al-Quran terbesar itu kini memiliki 1,168 cawangan seluruh negara selain membuka cawangan di luar negara antaranya di Indonesia, Brunei, New Zealand dan bakal diperluas ke Jepun.

-- BERNAMA

Sabtu, Januari 02, 2016

NIK ABDUH MASUK AMANAH BARU BERITA

Salah seorang anak kepada bekas mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan telah menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH).
Dalam satu majlis makan malam anjuran parti itu malam tadi, Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin mengumumkan Nik Omar Nik Aziz dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah AMANAH Kelantan.
Nik Omar bagaimanapun tidak hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya.
Namun ketika ditemui  selepas itu, Nordin menafikan beliau ada menyebut penyertaan Nik Omar dalam AMANAH.
Malah, beliau mengatakan mungkin wartawan tersalah dengar berhubung pengumuman tersebut.
"Eh mana ada anak Nik Aziz masuk AMANAH. Kamu salah dengar ni. Mana ada," katanya selepas majlis yang dihadiri kira-kira 1000 penyokong parti itu.
Bagaimanapun, menurut seorang pemimpin AMANAH Kelantan yang ditemui  mengesahkan anak lelaki sulung kepada bekas menteri besar Kelantan itu memang telah menyertai parti berkenaan.
Sumber tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata Nik Omar bagaimanapun tidak akan hadir pada majlis-majlis yang melibatkan orang ramai pada ketika ini.

Katanya, ia bagi menghormati permintaan keluarganya serta kematian bapanya yang meninggal dunia pada Februari lalu.
"Sebenarnya dia (Nik Omar) memang dah sertai AMANAH tapi sebab nak menghormati permintaan bondanya serta keluarganya yang lain.
"Tetapi kalau ada mesyuarat dalaman memang dia akan hadir cuma di majlis terbuka seperti ini dia tak mahu menonjol," katanya.

Selain itu, beliau menambah Nik Omar belum bersedia "menunjukkan" dirinya kerana permintaan ibunya sendiri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
"Lagi pun permintaan bonda dia. Iyalah, seorang (anak) PAS, seorang AMANAH.
"Tapi sebenarnya, dialah (Nik Omar) yang betul-betul mewarisi seperti ayahnya dari segala segi," kata sumber itu lagi.
Nik Omar merupakan anak kedua daripada sepuluh adik-beradik. Sebelum ini beliau dikhabarkan akan menyertai AMANAH tetapi menafikannya.
Manakala adiknya, Nik Abduh yang merupakan anak kelima pula merupakan Ketua Pemuda PAS dan anggota parlimen Pasir Mas.
Ulasan saya, apa yang hairannya anak Nik Aziz masuk Amanah. Lagipun Nik Omar tidak pernah aktif dalam politik maka kesannya tidak kuat mana.

Melainkan Nik Abduh yang juga Ketua Pemuda PAS yang masuk Amanah, baru ia adalah berita yang kuat. Soal dua beradik masuk parti yang berlainan bukan soal baru. Lihat Shahrir Samad, Ahli parlimen BN Johor Bharu dengan adiknya Khalid Samad, ahli parlimen Amanah Shah Alam.

Jadi kemasukan Nik Omar ke dalam Ananah bukannya menunjukkan Amanah makin berpengaruh. Sebaliknya jika pemimpin besar PAS menyertai Amanah barulah ia satu pukulan kepada PAS. Amanah belum terbukti ia kuat kecuali ada pilihanraya kecil Amanah menang mengalahkan PAS dan BN. Barulah Amanah boleh mendabik dada menggantikan PAS.

Jumaat, Januari 01, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER

Bulan Disember 2015 tidak sehebat rating bulan November yang mendapat rating tertinggi 4,155 hit. Tidak ada posting yang hangat bagi bulan lepas. 10 rating tertinggi adalah seperti berikut:-

1. FMT salah lapor blog saya (27 Disember)
2.Keluarlah dari PAS, masuk Amanah, Idris (23 Disember)
3.Perang dalam didamaikan, perang saraf diperhebatkan (25 Disember)
4.Akhirnya sebuah impian (31 Disember)
5.Mahathir sudah lupa (3 Disember)
6.Shafie kena main (8 Disember)
7.Kekalkan status quo jika Umno-PAS bekerjasama (19 Disember)
8.Muhyiddin wajar dipecat (9 Disember)
9.Umno tiada pilihan jika Muhyiddin terus berdegil (13 Disember)
10. Kenapa filem Hindustan berjaya? (28 Disember)

SELAMAT TAHUN BARU 2016


Khamis, Disember 31, 2015

AKHIRNYA SEBUAH IMPIAN

Malam tadi tepat 8.15 malam saya menerima panggilan dari isteri sahabat saya, Abdullah Ibrahim yang mengatakan Abdullah sudah meninggal dunia. Pada mulanya saya tidak percaya dengan panggilan Puan Suzana itu dan saya menelefonnya semula untuk mendapat pengesahan daripada Puan Suzana.

Ternyata sahabat baik saya sudah pergi dalam usia 62 tahun. Saya menangis kerana setiap hari biasanya dia akan call saya tetapi sudah tiga hari dia tidak call saya. Saya pun sibuk tak sempat callnya untuk bertanya khabar.

Saya mengenali Dollah sejak kembali semula ke Kemaman pada tahun 1992 selepas berhenti kerja dengan akhbar Watan di Kuala Lumpur. Ketika itu beliau bersama isterinya membuka farmasi di hadapan kedai kopi Hai Peng, Chukai, Kemaman.

Pada tahun 2000, beliau rapat dengan saya kerana ketika itu beliau memohon pinjaman untuk perniagaan kilang catnya sebanyak RM1 juta daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Saya ketika itu bekerja sebagai eksekutif di PNS yang berpejabat di PWTC.

Tetapi permohonan beliau tidak diluluskan kerana PNS tidak nampak cat beliau sebagai cat yang  berasaskan getah yang pertama di dunia sebagai peluang perniagaan yang baik bagi Bumiputera.  Dollah tidak berputus asa. Beliau memohon pinjaman PUNB tetapi PUNB meluluskan pinjaman sebanyak RM300,000 sahaja. Beliau tolak pinjaman itu kerana RM300,000 tidak cukup untuk membuka kilang.

Selepas saya berhenti kerja dengan Free Malaysia Today (FMT) pada Julai 2014, saya terjumpa semula dengan Dollah secara kebetulan selepas 13 tahun tidak bertemu. Saya tanya apa dia buat sekarang, dia kata dia tidak buat apa. Saya tanya bagaimana kilang cat dahulu. Dia kata tak ada modal untuk mulakan kilang tersebut. Sejak itu saya berikrar kepadanya untuk cari pelabur bagi meneruskan kilang cat tersebut. Cat Eptex itu dicipta oleh Dollah dan ia telah diluluskan oleh SIRIM. Malah pakar cat dari Jepun dan German yang datang ke Malaysia pada tahun 2000 kagum dengan formula Dollah itu.

Ramai pelabur yang kami temui termasuk pelabur dari Brunei, Kalimantan tetapi semua tinggal janji sahaja. Pada masa yang sama saya selaku broker jual bangunan dan tanah turut menunggu komisen saya untuk mulakan kilang cat bersama Dollah. Tiga LOI saya sudah dapat untuk jual bangunan dan tanah tetapi LOI itu lambat dicairkan maka cita-cita Dollah untuk melihat kilang cat eptex itu beroperasi tidak menjadi kenyataan.

Sementara menunggu komisen saya tiba,  kawan saya yang baru dapat komisen dari projek FELDA pada 4 Disember lalu bersetuju untuk melabur sebanyak RM1 juta dalam kilang cat dan kami bertiga bersetuju untuk miting pada 1 Januari 2016 untuk membincangkan ekuiti kami bertiga di mana saya mencadangkan supaya ekuiti Azlan 50 peratus, Dollah 40 peratus dan saya 10 peratus. Apabila saya terima komisen jual tanah dan bangunan nanti, saya akan beli balik ekuiti Azlan.

Kami sudah bersetuju untuk mulakan operasi kilang cat eptex mulai 4 Januari 2016 dengan pengurusan kanan melaporkan diri terlebih dahulu iaitu CEO, COO, Pengurus Sumber Manusia, Pengurus Kewangan, Pengurus Pengeluaran dan Pengurus Pemasaran.

Kami mengambil 25 orang kakitangan yang berpengalaman luas dalam empat bidang tersebut untuk menggerakkan kilang cat ini. Mereka dijangka melaporkan diri pada 15 Januari depan. Tetapi begitulah kehendak Tuhan, manusia yang merancang, Allah yang menentukannya. Berakhirnya impian Dollah selama 15 tahun untuk melihat kilang cat Eptex beroperasi. Pengedar tunggal di Indonesia sudah sedia mengedarkan cat Eptex ke seluruh Indonesia. Memang itulah hasrat Dollah untuk melihat cat Eptex kalis bunyi dan tahan karat ini memasuki pasaran global.


Jenazah beliau akan dikebumikan pada jam 10 pagi, 31 Disember menutup tirai 2015di tanah perkuburan di USJ. Alfatihah buat Dollah.










Rabu, Disember 30, 2015

KRONOLOGI PERISTIWA POLITIK SEPANJANG TAHUN 2015

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Berikut antara peristiwa yang menjadi tumpuan umum dalam perkembangan politik di Malaysia sepanjang 2015:

FEBRUARI:

10 Feb - Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya bagi kesalahan berkenaan.

12 Feb - PAS kelihangan seorang tokoh politik berpengaruh berikutan kematian bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan akibat kanser prostat.

APRIL:

1 April - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen beliau untuk dibebaskan daripada hukuman lima tahun penjara.



4 April - Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor, menyebabkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya, kosong.



8 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei.

10 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin pada 5 Mei.



MEI:

5 Mei - Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Datuk Hasan Arifin dari Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Rompin selepas menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi.



7 Mei - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas menewaskan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin dengan majoriti 8,841 undi.

JUN:



4 Jun - Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan sebagai Presiden PAS bagi penggal 2015-2017 setelah menewaskan pencabarnya bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang pada pemilihan parti PAS manakala Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden apabila tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

5 Jun - Muktamar PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan politik dengan DAP, tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.



17 Jun - Susulan tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak berfungsi lagi.

25 Jun - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyatakan menerima surat makluman mengenai pembatalan keanggotaan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan mengumumkan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai pemangku presiden sementara menunggu Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi MIC diadakan pada November.

JULAI:



28 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

Turut digugurkan ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Datuk Seri G. Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, setelah keanggotaan beliau dalam MIC terbatal.

SEPTEMBER:



16 Sept - Mohamad Sabu dan beberapa bekas pemimpin PAS bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan susulan itu, keanggotaan mereka dalam PAS terbatal secara automatik mengikut Perlembagaan parti.



16 Sept - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 mungkin akan diadakan awal 2016 selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk tarikh pembentangan bajet persekutuan dan negeri serta musim tengkujuh yang mungkin berlaku pada hujung tahun ini.



22 Sept - DAP, PKR dan AMANAH bergabung membentuk Pakatan Harapan dan bekas anggota UMNO Datuk Saifuddin Abdullah dipilih menjadi ketua setiausaha sekretariat gabungan itu.

NOVEMBER:



6 Nov - Keputusan Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi MIC menyaksikan Datuk Seri Dr S. Subramaniam memegang jawatan presiden secara rasmi manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K. Devamany dipilih menjadi timbalan presiden.

DISEMBER:



10 Dis - Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO, menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan parti itu bagi membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam.

12 Dis - Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk berdamai dengan pihak yang menentang beliau dalam parti bagi mengukuhkan ikatan UMNO. Perkara ini disampaikan beliau semasa menggulung perbahasan pada akhir Perhimpunan Agung UMNO.



-- BERNAMA

Isnin, Disember 28, 2015

KENAPA FILEM HINDUSTAN BERJAYA?

Malam tadi sekali lagi saya menonton filem Kabhi Kushi Kabhie Gham (K3G) di TV3. Entah berapa kali saya sudah  menonton filem hindustan yang diterbitkan pada tahun 2001 itu. Filem kedua arahan Karan Johar itu selepas Kuch Kuch Ho Tai (1998) menelan belanja sebanyak RM24 juta dan memungut kutipan di seluruh dunia sebanyak RM80 juta. Lihatlah betapa untungnya produser filem Hindustan sebanyak RM56 juta.

Filem lakonan Amitabh Bachchan, Jaya Bachchan, Shah Rukh Khan, Kajol, Hritikh Roshan dan Kareena Kapoor mempunyai cerita yang simple tetapi kenapa penonton di seluruh dunia boleh menerima cerita yang simple ini. Filem ini bukan sahaja membuat penggambaran di India malah di London dan Mesir.

Jumaat lepas setelah setahun tidak menonton wayang di pawagam, akhirnya saya menonton filem hindustan Dilwale lakonan Shah Rukh Khan, Kajol. Varun Dhawan dan Kriti Sanon. Shah Rukh khan bergabung semula dengan Kajol selepas lima     tahun tidak berlakon bersama. kali terakhir mereka berlakon bersama dalam filem My Name Is Khan  (2010)
arahan Karan Johar.

Kos produksi Dilwale meningkat RM60 juta tetapi kutipan tiket di seluruh dunia sudah mencapai RM128 juta pada minggu pertama sejak ia ditayangkan mulai 18 Disember lalu. Filem Dilwale bukan sahaja mmebuat penggambaran di India malah di Bulgaria dan Iceland.

Filem terbitan isteri Shah Rukh Khan dan Rohir Shetty  itu sudah untung RM68 juta pada minggu pertama menunjukkan industri filem Hindustan tetap unggul di negara India. Ini adalah filem kedua Rohir Shetty arah di bawah syarikat Gauri Khan selepas Chennai Express (2013).

Produser filem Malaysia kena belajar dari produser India bagaimana mereka boleh berjaya di peringkat global. Kos produksi filem Malaysia hanya sebanyak RM1.5 juta sahaja. Kutipan tiket untuk tahun ini sehingga Jun 2015 hanya sekitar RM24.2 juta daripada 40 buah filem tempatan yang sudah ditayangkan.

Ini bermakna kita masih jauh tertinggal di belakang dari filem India. Sudah sampai masanya produser seperti Datuk Yusof Haslam dan David Teo meneroka pasaran di Indonesia yang mempunyai penduduk ratusan juta. Kaji selera penonton mereka dan buat filem untuk penonton Indonesia dengan pelakon kedua negara sudah tentu ia boleh meletup di pasaran Malaysia dan Indonesia. barangkali kerajaan Malaysia dan Indonesia boleh berunding supaya filem kita dapat menembusi pasaran di sana.

Kita tak boleh syok sendiri. Jika kita mahu filem kita dapat bertapak di Indonesia, kita kena ikut selera penonton di sana. Pasaran sana luas. Maka produser kita perlu tinggalkan membuat filem yang syok sendiri yang tidak menepati selera penonton.

Kita perlu menembusi pasaran Indonesia jika kita mahu filem Malaysia mengutip RM128 juta seperti filem Dilwale. Di sini pentingnya peranan Finas memberi dana kepada produser kita kerana bila kita mahu menembusi pasaran global maka kos produksinya mestilah sekurang-kurangnya RM30 juta. Kalau produser India berani melabur sebanyak RM60 juta kenapa kita tidak berani jika benar pasaran filem berbahasa Melayu begitu banyak jika diambil kira jumlah rakyat Malaysia dan Indonesia.

Ahad, Disember 27, 2015

FREE MALAYSIA TODAY SALAH LAPOR BLOG SAYA

Dua hari lepas blog ini memuatkan sebuah rencana tulisan kawan saya, Shahbudin Embun berjudul http://www.catatanzabidi.blogspot.my/2015/12/perang-dalam-didamaikan-perang-saraf.html tetapi peliknya Free Malaysia Today (FMT) semalam melaporkan ia ditulis oleh saya. Lihat http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/12/26/pasukan-siber-umnobn-perlu-bernas-berilmiah/.

FMT adalah berita portal ketiga terbesar di negara ini selepas Malaysiakini dan The Malaysian Insider. Kenapa wartawan FMT boleh membuat kesilapan ini sedangkan dalam posting tersebut ada byline penulisnya Shahbudin Embun.

Yang lebih melucukan wartawan yang memetik blog saya itu, catatanzabidi.blogspot.com
itu menulis saya sebagai awang zabidi. Saya tak pasti siapa yang menulis berita itu. Dalam blog itu jelas nama saya ialah Zabidi Saidi dan bukannya Awang Zabidi iaitu nama Facebook saya.

Dalam posting itu ada dimuatkan byline Shahbudin Embun jadi kenapa wartawan itu boleh buat silap mengatakan Awang Zabidi yang menulisnya. Dengan penjelasan ini dharapkan wartawan tersebut membuat pembetulan kerana ia jelas melanggar etika penulisan kerana salah lapor. Untuk makluman FMT, blog saya terbuka kepada semua pihak menulis dan tidak semestinya tulisan saya sahaja.

Di atas kekeliruan yang timbul, saya minta maaf kepada Shahbudin Embun yang menyedari kesilapan FMT. Untuk makluman FMT, bersama-sama ini dilampirkan gambar penulis rencana tersebut bersama PM, Datuk Seri Najib Razak.

Sabtu, Disember 26, 2015

TSUNAMI SELEPAS 11 TAHUN BERLALU

KOTA KUALA MUDA, 25 Dis (Bernama) -- Baru sahaja melepasi tempoh sedekad, namun tragedi tsunami yang membadai beberapa buah kampung di Kota Kuala Muda, dan mengorbankan lebih 10 nyawa, dilihat seolah-olah semakin dilupakan.

Sebelas tahun berlalu, penduduk sekitar Kota Kuala Muda meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa umpama tiada musibah yang pernah melanda kawasan itu, ditambah lagi dengan keadaan persekitaran yang kelihatan tidak diselenggara dengan baik.

Meskipun dua tahun selepas kejadian, satu Tugu Memorial Tsunami menggunakan 26 buah bot dan Galeri Tsunami diwujudkan untuk mengabadikan sejarah itu, ia seakan tidak membawa banyak perubahan kepada kawasan terbabit.

Bagi penduduk yang menjadi mangsa ombak tsunami 26 Dis 2004, terutamanya yang kehilangan insan tersayang dan harta benda, detik memilukan itu tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila, namun bagi mereka yang hanya 'merasa tempiasnya', tsunami sekadar kisah yang semakin dilupakan.

Apatah lagi kebanyakan generasi tua yang mengalami tragedi itu sudah uzur dan ada yang sudah meninggal dunia, yang tinggal hanya generasi muda yang kini memasuki usia pertengahan atau meningkat remaja, untuk mewariskan kisah bencana itu kepada generasi seterusnya.

Bersempena memperingati ulang tahun ke-11 peristiwa malang itu, wartawan BERNAMA berkesempatan menemu bual beberapa remaja di beberapa buah kampung berhampiran, yang masih di sekolah rendah ketika kejadian itu berlaku, untuk berkongsi kisah yang masih dapat mereka ingati.

Noorsabrina Mohd Saleh, 20, dari Kampung Hujung Matang, berada di Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Kuala ketika tsunami berlaku dan menurutnya ketika ombak besar itu melanda, dia sedang menonton televisyen di rumah neneknya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Seingat saya, pada masa itu, tok (nenek), mak dan adik-adik juga ada di dalam rumah, lebih kurang lapan orang dalam rumah, dan kami dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu ada ombak besar datang.

"Saya bersyukur kami semua selamat kerana hanya sedikit sahaja air yang sampai ke rumah, namun hanyut semua kasut, kami lari 'berkaki ayam' dan emak mendukung adik saya yang berusia satu tahun ketika itu," katanya.

Noorsabrina berkata, tidak banyak yang dia dapat ingat mengenai kejadian itu, cuma pantai yang sebelum ini dapat dilihat terus dari rumahnya, kini sudah terselindung di sebalik pokok-pokok yang tumbuh selepas tsunami.

Berbeza pula kisah yang dialami Nabila Amni Hamid, 22, dari Kampung Masjid yang berumur 11 tahun dan berada dalam Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, sewaktu peristiwa malang itu berlaku.

"Kalau tidak silap, ketika itu ada tiga buah rumah yang mengadakan majlis perkahwinan termasuklah dari kampung berdekatan, dan saya bersama keluarga baru sahaja pulang dari rumah kenduri yang dekat dengan rumah saya.

"Sekitar pukul 12.30 tengah hari, saya keluar bermain dengan rakan-rakan sebaya tidak jauh dari rumah, sebelum dikejutkan dengan jeritan memberitahu ada air banjir. Kami semua terus berlari pulang ke rumah," katanya.

Tambahnya, ombak tsunami yang menghempas turut menyebabkan bumbung hadapan rumahnya roboh, namun dia bersyukur kerana tiada anggota keluarganya yang terkorban.

"Rumah jiran di hadapan, memang teruk. Lumpur yang dibawa air ada di merata-rata tempat. Dalam keadaan kelam-kabut, kami terus berada di dalam rumah, memerhatikan orang yang lari menyelamatkan diri termasuk pasangan pengantin dan keluarga mereka".

Bagi Farah Farhana Abdul Mutalib, 20, apa yang masih diingati dengan jelas adalah ombak besar datang dan ramai orang berlari menyelamatkan diri termasuklah dia dan rakannya yang ketika itu sedang bermain 'masak-masak' di luar rumahnya di Kampung Masjid.

"Ketika itu saya berusia sembilan tahun, berada dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Seri Kuala. Sedang asyik bermain, ada orang kampung menjerit-jerit, kami berlari ke tepi rumah dan lihat air sudah naik, kami terus berlari ke rumah datuk untuk menyelamatkan diri.

"Usia yang masih kecil, tidak banyak yang saya dapat ingat, namun selepas tragedi ini, sekurang-kurangnya ia memberi pengajaran kepada saya bahawa 'malang tidak berbau' dan tragedi sama tidak mustahil boleh berulang, cuma kita berdoa agar tidak diduga dengan dugaan sedemikian lagi," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, Disember 25, 2015

PERANG DALAM DIDAMAIKAN PERANG SARAF DIPERHEBATKAN




Oleh Shahbudin Embun


Pada kebiasannya saya suka menulis atau memberi komen pada sesuatu isu yang masih panas diperkatakan ramai. Contohnya dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015) yang lalu, banyak isu yang boleh dibincangkan bersama. Namun setelah lebih kurang seminggu barulah jari jari ini mula mengetuk papan kekunci komputer bimbit saya. Mujurlah ramai penulis yang telah memberikan komen dan pandangan tentang beberapa isu yang dibincangkan dalam PAU 2015.


Bagi saya isu-isu yang dibincangkan semasa PAU 2015 masih terus relevan untuk terus dibicarakan ,selagi semua pihak dalam Umno mengambil berat dan melaksanakan apa yang telah dilaungkan dengan penuh semangat semasa PAU 2015 yang lalu. Tetapi jika hanya pandai bersorak dan  hebat membuat lawak, tanpa melakukan apa-apa tindakan, maka ianya memang hanya relevan sepanjang PAU sahaja.Semuanya terpulang pada ahli-ahli Umno.


PAU 2015 telah memberi isyarat yang sangat jelas bahawa Umno perlu berdamai demi kepentingan dan survival parti itu.Dalam hal ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjelaskan betapa pentingnya setiap ahli Umno bersatu demi menghadapi pelbagai cabaran yang menanti di depan.Setiap kali ucapannya, beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada ahli tentang pentingnya semangat solidariti dan penyatuan dalam Umno.


Hakikatnya, elemen penyatuan dalam perjuangan telah banyak kali diperkatakan oleh Najib dan atas sebab inilah majoriti ahli-ahli Umno merasakan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno masih terus kukuh.Mereka mahukan pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup melupakan segala pertelingkahan demi memperkasakan Umno sebagai parti yang mementingkan perjuangan agama , bangsa dan rakyat Malaysia.


Walaupun masih ada suara-suara yang tidak sependapat dengan beliau, namun dari segi umumnya, Najib terus dilihat sebagai pemimpin yang akan terus bergelar kapten pasukan dan  membawa cabaran Umno dalam Pilihan Raya Umum yang ke 14 nanti. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Najib berjaya mengharungi ujian 2015 ini dengan begitu bergaya sekali mahupun teruk diasak oleh musuh-musuh beliau.


Usaha Najib  membuka pintu silaturahim kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tanda aras baharu dalam mengukuhkan semangat perpaduan dalam Umno.


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi komen bahawa, usaha ke arah perdamaian yang dimulakan presiden itu amat dihargai oleh semua para perwakilan dan berharap langkah ini akan terus memperkasakan perpaduan dalam Umno.Itulah yang diharapkan oleh semua ahli Umno.


Dalam satu temuramah bersama dengan Bernama, Zahid Hamidi juga telah menjelaskan bahawa “Keutamaan kita adalah ke arah perpaduan. Tidak perlu ada persidangan dalam persidangan dan pada hemat saya, perbezaan pendapat perlu ikhlas untuk memperkukuhkan parti. Sebagai parti yang dinamik, permasalahan harus diatasi dan setiap era kepimpinan pasti ada masalah, sama ada ia besar atau kecil ia mesti diselesaikan. “


Manakala itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa PAU 2015 telah diakhiri dengan semangat perpaduan yang kukuh dan membuktikan kepada semua bahawa Umno masih terus relevan dan kekal utuh.


"Saya rasa lega kerana sebelum ini macam-macam andaian dan menunding jari terhadap Umno. Macam-macam perkara dilontarkan terhadap kita tetapi akhirnya kebijaksanaan, ketabahan, kesabaran berjaya ditonjolkan oleh bukan sahaja pemimpin tetapi mereka yang dipimpin.Mereka telah menunjuk satu kesedaran yang amat besar maknanya kepada perjuangan bangsa," Ujar Hishammuddin.


Antara isu yang menjadi minat penulis selepas PAU 2015 ,ialah tentang perang siber dan bagaimana Umno akan menangani masalah ini.Ini bukanlah satu isu yang baharu dan Umno perlu menerima hakikat ahawa parti ini telah dihentam dengan pukulan K.O apabila bertarung dengan parti-parti pembangkang di arena alam siber  pada beberapa Pilihan Raya Umum yang lalu.


Akibatnya, segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Umno dan Barisan Nasional mendapat kepercayaan ramai khasnya golongan muda yang tidak boleh hidup tanpa internet dan media sosial.Walaupun Umno membuat serangan balas untuk menangani fitnah-fitnah ini, namun ianya agak terlambat untuk menukar fikiran mereka yang sudah terpedaya dengan dakyah yang dilontarkan oleh pihak pembangkang.


Itulah sebabnya saya amat bersetuju dengan usaha untuk membentuk Pasukan Gelombang Biru baharu, bagi menangani serangan siber terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) . Langkah ini telah diperjelaskan oleh Zahid Hamidi yang mana beliau serta Hishammuddin Tun Hussein akan bertanggungjawab memperkasakan pasukan tersebut serta menyelaras strategi yang lebih berkesan.

Zahid menjelaskan ,"Saya bersetuju mungkin serangan yang ditujukan kepada BN (Barisan Nasional) telah menimbulkan persepsi dan jawapan-jawapan yang diperoleh dari pihak 'establisment' (pihak yang memegang kuasa) kurang menyerlah.
"Jadi kita akan memperkasa alam siber dengan mewujudkan gelombang biru yang baharu dan ianya harus lebih berfokus dalam menghadapi serangan musuh-musuh parti,"


Gandingan mantap dua orang kuat Umno, Zahid Hamidi dan Hishammuddin bukan sahaja dapat menggerakkan usaha ini, tetapi dapat membentuk Pasukan Gelombang Biru yang lebih mantap dan efektif.


Apa yang lebih penting ialah, Pasukan Gelombang Biru yang bakal dibentuk nanti perlulah dibarisi oleh “wira papan kekunci” yang boleh berhujah dengan fikiran yang bernas dan dibekalkan dengan fakta yang berilmiah apabila menjelaskan tentang fitnah dan tohmahan yang dilempar oleh pihak pembangkang.


Biarlah pihak pembangkang bermain dengan isu-isu sensasi serta fitnah untuk mendapatkan undi dari rakyat. Jika pasukan gelombang Biru pun menggunakan taktik yang sama, maka kredibiliti pasukan ini pastinya akan dipersoalkan umum dan akhirnya boleh menyebabkan senjata makan tuan.


Tunjukkan dan buktikan kepada dunia bahawa para blogger serta wira papan kekunci Umno terdiri daripada mereka yang cerdik pandai dan kaya dengan pelbagai idea  apabila menangani dakyah-dakyah pembangkang.


Perlu diingatkan bahawa rakyat hari ini boleh menilai sendiri pelbagai pandangan yang dilontarkan di alam siber. Hanya dengan pandangan yang berilmiah dan disokong oleh fakta-fakta yang kukuh dapat mematikan segala fitnah dan dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.


Najib Razak sendiri pernah  menjelaskan bahawa perang persepsi yang terhasil daripada perang siber merupakan cabaran terbesar kepada Umno, apatah lagi jika sesuatu isu itu dieksplotasi dan sengaja disensasikan.  Mungkin dalam hal ini,
Umno perlu wujudkan pasukan media sosial sendiri yang bertindak sepenuh masa dan benar benar komited agar usaha ini berjaya dilaksanakan.


PAU 2015 telah berakhir dengan suasana yang sangat positif dan pastinya ramai ahli Umno yang semakin yakin  dengan visi perjuangan yang dipimpin oleh Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno.Terpulanglah kepada ahli Umno semua untuk sama-sama berganding bahu dan terus membuktikan yang semangat penyatuan dalam Umno terus kukuh dan utuh walaupun setelah teruk dihentam dengan ribut taufan yang amat dahsyat.


Khamis, Disember 24, 2015

2015: SEMUA PARTI BERGOLAK

KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Sungguhpun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hampir tiga tahun berlalu, suhu politik di Malaysia pada tahun ini tetap panas berikutan pergolakan parti politik di kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Landskap politik mula menampakkan perubahan ketara selepas pakatan pembangkang kehilangan dua tokoh besar iaitu apabila ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjalani hukuman penjara lima tahun bermula Februari kerana didapati bersalah dalam kes liwat manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula meninggal dunia pada bulan sama.

Kehilangan dua pemimpin pembangkang itu mengakibatkan perpecahan yang ketara dalam gabungan Pakatan Rakyat, apabila DAP dan PAS tanpa bersembunyi lagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar dan polisi masing-masing.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, parti pemerintah itu turut berdepan cabaran untuk memastikan isu yang melingkari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berlarutan, di samping memastikan rakyat tidak terbeban dengan kejatuhan nilai ringgit serta kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 10 Feb lepas, Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang ditetapkan Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Walaupun Anwar cuba merayu di peringkat Lembaga Pengampunan Diraja, petisyen beliau ditolak Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Mac, dan Anwar hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh, sekali gus memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu.

Selain itu, negara turut dikejutkan dengan pemergian bekas Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, yang juga anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Perkembangan itu menyebabkan SPR mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil Rompin pada 5 Mei, dan Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei yang keputusannya menyaksikan Datuk Hasan Arifin daripada BN berjaya mempertahankan kerusi Rompin, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Permatang Pauh, yang sebelum itu disandang suaminya Anwar.

Bagi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pilihan raya kecil itu, adalah yang terakhir beliau menjadi pengarah pilihan raya BN.

Muhyiddin, yang mengkritik Najib berhubung isu 1MDB dan isu dana politik RM2.6 bilion, digugurkan daripada Kabinet dan sekali gus kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Julai.

Turut digugurkan daripada Kabinet ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang turut mengkritik Najib dalam isu sama.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Najib selaku presiden menegaskan akan kekal memimpin parti itu selain mengambil pendirian untuk 'berjiwa besar' dengan mengajak kumpulan penentangnya dalam parti berdamai dan kembali bersatu.

Dalam rombakan Kabinet yang sama, Najib turut menggugurkan Datuk Seri G. Palanivel selepas Pendaftar Pertubuhan pada 25 Jun mengesahkan keanggotaan anggota Parlimen Cameron Highlands itu terbatal dan jawatan presiden dipangku Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi MIC pada 6 Nov kemudiannya mengesahkan jawatan presiden milik Dr Subramaniam secara rasmi, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dipilih sebagai timbalan presiden.

Sementara itu, ramalan pemerhati politik bahawa Pakatan Rakyat mungkin bermasalah besar dengan ketiadaan Anwar dan Nik Abdul Aziz, menjadi kenyataan apabila gabungan politik itu terbubar secara rasmi ekoran pertelagahan DAP dan PKR dalam beberapa isu nasional, termasuk rampasan kitab Injil berbahasa Melayu di Semenanjung serta keputusan PAS untuk meneruskan agenda undang-undang Hudud di Kelantan.

Keputusan pemilihan parti PAS pada 4 Jun lepas, yang menyaksikan kejayaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu bagi penggal 2015-2017, menewaskan pencabarnya Ahmad Awang, turut memberi kesan kepada senario politik PAS.

Pada pemilihan itu Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, terlepas jawatan timbalan presiden yang dipegangnya semenjak 2011 kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Keputusan pemilihan itu turut melihat penolakan 'kumpulan profesional' dalam PAS - antaranya bekas naib presiden Salahudin Ayub, Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Anggota Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Kumpulan yang diketuai Mat Sabu, kemudian bertindak drastik memisahkan diri daripada PAS dan bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978 kepada Parti Amanah Negara pada 16 Sept.

Berikutan tindakan itu, keanggotaan mereka dalam PAS terbatal selari dengan Perlembagaan parti itu.

Dalam perkembangan lain, pembubaran Pakatan Rakyat yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU ke-12 (2008) menyaksikan penubuhan gabungan baharu dikenali Pakatan Harapan pada 22 Sept, dan pada masa kini, bekas anggota UMNO Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai ketua sekretariatnya.

Kekuatan gabungan baharu itu bagaimanapun belum dapat dilihat.

Dewan Rakyat pada persidangannya baru-baru ini, meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

-- BERNAMA