Ahad, Januari 03, 2016

ASAS AGAMA PERLU DITERAP LEBIH AWAL

KOTA BELUD, 2 Jan (Bernama) -- Pendidikan agama Islam yang menyeluruh perlu diterapkan lebih awal kepada generasi muda bagi memastikan mereka memiliki asas agama kukuh dalam menghadapi cabaran di masa depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini termasuk memberikan golongan itu pembelajaran bacaan al-Quran yang tepat selain asas ilmu pengetahuan agama bagi memperkukuh kefahaman mengenai Islam.

"Adalah amat penting setiap penganut agama Islam mengamalkan apa yang disuruh agar penganut-penganut agama lain turut menghormati agama Islam sekali gus masyarakat Islam itu sendiri.

"Perkara asas dan wajib dalam agama (Islam) harus dipelajari kerana asas agama adalah penting sebagai panduan. Tambahan, dunia sekarang banyak cabaran. Jika asas (agama) tidak kukuh dari awal, sudah tentu akan mengalami banyak masalah di kemudian hari," katanya ketika merasmikan Pusat Pembelajaran Al-Quran Al-Baghdadi cawangan Kota Belud di sini Sabtu.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan amat mengalu-alukan penubuhan pusat pembelajaran al-Quran yang merupakan cawangan ke-36 di Sabah itu kerana ia mampu menjadi platform memastikan generasi muda di daerah tersebut memiliki ilmu pengetahuan agama dan mahir membaca al-Quran.

Pusat pembelajaran al-Quran Al-Baghdadi yang direkodkan dalam 'The Malaysia Book of Records' sebagai pusat pembelajaran al-Quran terbesar itu kini memiliki 1,168 cawangan seluruh negara selain membuka cawangan di luar negara antaranya di Indonesia, Brunei, New Zealand dan bakal diperluas ke Jepun.

-- BERNAMA