Memaparkan catatan dengan label trump. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label trump. Papar semua catatan

Isnin, September 18, 2017

TEMU TRUMP ATAU TIDAK, CERITA PEMBANGKANG TETAP SAMA

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pembangkang masih tetap mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.



Beliau berkata segala apa yang dilakukan oleh Najib dijadikan isu oleh pemimpin pembangkang.

"Sekiranya Najib tidak bertemu pemimpin asing seperti Presiden Amerika Syarikat, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia adalah kerana Najib takut untuk melakukan perjalanan ke negara lain sekiranya beliau ditangkap.

"Kemudian, ketika Najib pergi ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump, mereka mengatakan perdana menteri membayar pelobi untuk mengaturkan pertemuan itu," kata Salleh menerusi catatan terbaharu dalam blognya (sskeruak.blogspot.my) hari ini.

Beliau berkata apa sahaja tindakan dilakukan oleh Najib tidak dapat memuaskan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan kerana mereka hanya mahu semata-mata mengkritik dan bukan untuk kebaikan negara.

"Mereka ingin memberi gambaran bahawa tiada apa yang dilakukan oleh Najib adalah betul dan hanya Dr Mahathir dan Pakatan Harapan sahaja yang betul.

"Masalahnya ialah Dr Mahathir menggunakan standard dan tindakan beliau untuk menilai Najib.

"Hanya kerana Dr Mahathir membayar jutaan kepada pelobi-pelobi untuk pertemuannya dengan Presiden Bush dan ini tidak bermakna Najib mesti melakukan perkara yang sama," katanya.

Salleh berkata: "Dr Mahathir tidak mungkin dapat bertemu Bush melainkan jika beliau membayar untuk pertemuan itu...oleh itu pembangkang fikir Najib juga tidak dapat bertemu dengan Trump melainkan beliau membayar untuk mesyuarat itu."

"Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa Dr Mahathir perlu bayar untuk bertemu Bush manakala Najib tidak perlu berbuat demikian untuk bertemu dengan Trump. Itulah yang paling menjejaskan Pakatan Harapan," katanya.

Pada 12 Sept lepas, Najib mengadakan pertemuan dengan Trump di Rumah Putih di Washington DC.

-- BERNAMA

Isnin, Januari 23, 2017

MARINA RAKYAT MALAYSIA DI MAJLIS ANGKAT SUMPAH DONALD TRUMP

WASHINGTON, 22 Jan (Bernama) -- Seorang wanita rakyat Malaysia boleh dianggap bertuah kerana berpeluang menjadi tetamu pada majlis angkat sumpah Donald Trump sebagai presiden ke-45 Amerika Syarikat di Capitol Hill, Washington DC pada Jumaat.

Marina Ahmad Mustafa yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Charlotte, North Carolina bersama suami, Dr. Brad Batchelor dan anak mereka Asha, terbang sejauh 620 kilometer untuk memenuhi undangan itu.

"Kami terbang ke Washington DC pada Rabu dan kami berasa sangat bertuah mendapat undangan yang julung kali kami diterima, dan sudah tentu tidak elok jika kami menolaknya," kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya mereka sekeluarga ke sana selepas suaminya, seorang kiropraktor, menerima undangan daripada Anggota Kongress North Carolina, Virginia Foxx.

"Ini pengalaman pertama saya dan walaupun saya sendiri tidak layak mengundi kerana berstatus warga negara Malaysia, kehadiran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada Asha, 9," katanya.

Berkelulusan sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Missouri, Kansas City, Marina berkata beliau telah menetap di AS sejak 10 tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya pada majlis bersejarah itu, Marina berkata beliau sekeluarga berada di kawasan berwarna oren - 'West Standing' - iaitu hanya 150 meter dari bangunan utama majlis angkat sumpah tersebut berlangsung.

Trump mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat John Roberts pada 12.05 tengah hari waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) disaksikan ratusan ribu penyokongnya yang hadir dalam majlis penyerahan kuasa tersebut.

Bilionair berusia 70 tahun itu menggantikan Barack Obama selepas mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 8 Nov lepas.

Pemimpin Republikan itu meletakkan tangannya di atas dua kitab Bible - satu miliknya dan satu lagi pernah digunakan Abraham Lincoln - untuk mengangkat sumpah, menandakan bermulanya era politik baharu AS.

Mengenai ucapan sulung Trump sebagai Presiden, Marina menyifatkannya sebagai "bolehlah".

"Dalam ucapan Trump ada menyebut mengenai semangat patriotik, jika kita semua sama-sama berganding bahu dengan semangat patriotik, kita boleh hapuskan prejudis.

"Ini (ditujukan) bukan saja kepada Amerika tapi kepada semua negara. Apabila hati anda dipenuhi semangat patriotik, tidak ada ruang lagi untuk sikap prejudis.

"Saya mengharapkan ada lebih banyak syor tentang menyatukan rakyat semua kaum, agama dan budaya kerana Amerika ini sebuah wadah tumpuan. Malangya beliau tidak banyak menyentuh tentang itu," kata Marina.

Mengakhiri perbualan, wanita itu berkata beliau bersyukur dapat pergi dan kembali dengan selamat susulan tunjuk perasaan yang diadakan di kawasan berhampiran majlis angkat sumpah tersebut.

Media melaporkan majlis angkat sumpah Trump tiga hari lalu mengundang protes lebih ratusan ribu rakyat Amerika yang tidak senang dengan beberapa kenyataan Presiden ke-45 AS tersebut termasuk berkaitan orang Islam, wanita dan kelompok minoriti.



-- BERNAMA