WASHINGTON, 22 Jan (Bernama) -- Seorang wanita rakyat Malaysia boleh dianggap bertuah kerana berpeluang menjadi tetamu pada majlis angkat sumpah Donald Trump sebagai presiden ke-45 Amerika Syarikat di Capitol Hill, Washington DC pada Jumaat.
Marina Ahmad Mustafa yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Charlotte, North Carolina bersama suami, Dr. Brad Batchelor dan anak mereka Asha, terbang sejauh 620 kilometer untuk memenuhi undangan itu.
"Kami terbang ke Washington DC pada Rabu dan kami berasa sangat bertuah mendapat undangan yang julung kali kami diterima, dan sudah tentu tidak elok jika kami menolaknya," kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.
Jelasnya mereka sekeluarga ke sana selepas suaminya, seorang kiropraktor, menerima undangan daripada Anggota Kongress North Carolina, Virginia Foxx.
"Ini pengalaman pertama saya dan walaupun saya sendiri tidak layak mengundi kerana berstatus warga negara Malaysia, kehadiran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada Asha, 9," katanya.
Berkelulusan sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Missouri, Kansas City, Marina berkata beliau telah menetap di AS sejak 10 tahun lalu.
Menceritakan pengalamannya pada majlis bersejarah itu, Marina berkata beliau sekeluarga berada di kawasan berwarna oren - 'West Standing' - iaitu hanya 150 meter dari bangunan utama majlis angkat sumpah tersebut berlangsung.
Trump mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat John Roberts pada 12.05 tengah hari waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) disaksikan ratusan ribu penyokongnya yang hadir dalam majlis penyerahan kuasa tersebut.
Bilionair berusia 70 tahun itu menggantikan Barack Obama selepas mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 8 Nov lepas.
Pemimpin Republikan itu meletakkan tangannya di atas dua kitab Bible - satu miliknya dan satu lagi pernah digunakan Abraham Lincoln - untuk mengangkat sumpah, menandakan bermulanya era politik baharu AS.
Mengenai ucapan sulung Trump sebagai Presiden, Marina menyifatkannya sebagai "bolehlah".
"Dalam ucapan Trump ada menyebut mengenai semangat patriotik, jika kita semua sama-sama berganding bahu dengan semangat patriotik, kita boleh hapuskan prejudis.
"Ini (ditujukan) bukan saja kepada Amerika tapi kepada semua negara. Apabila hati anda dipenuhi semangat patriotik, tidak ada ruang lagi untuk sikap prejudis.
"Saya mengharapkan ada lebih banyak syor tentang menyatukan rakyat semua kaum, agama dan budaya kerana Amerika ini sebuah wadah tumpuan. Malangya beliau tidak banyak menyentuh tentang itu," kata Marina.
Mengakhiri perbualan, wanita itu berkata beliau bersyukur dapat pergi dan kembali dengan selamat susulan tunjuk perasaan yang diadakan di kawasan berhampiran majlis angkat sumpah tersebut.
Media melaporkan majlis angkat sumpah Trump tiga hari lalu mengundang protes lebih ratusan ribu rakyat Amerika yang tidak senang dengan beberapa kenyataan Presiden ke-45 AS tersebut termasuk berkaitan orang Islam, wanita dan kelompok minoriti.
-- BERNAMA