Memaparkan catatan dengan label marina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label marina. Papar semua catatan

Isnin, Januari 23, 2017

MARINA RAKYAT MALAYSIA DI MAJLIS ANGKAT SUMPAH DONALD TRUMP

WASHINGTON, 22 Jan (Bernama) -- Seorang wanita rakyat Malaysia boleh dianggap bertuah kerana berpeluang menjadi tetamu pada majlis angkat sumpah Donald Trump sebagai presiden ke-45 Amerika Syarikat di Capitol Hill, Washington DC pada Jumaat.

Marina Ahmad Mustafa yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Charlotte, North Carolina bersama suami, Dr. Brad Batchelor dan anak mereka Asha, terbang sejauh 620 kilometer untuk memenuhi undangan itu.

"Kami terbang ke Washington DC pada Rabu dan kami berasa sangat bertuah mendapat undangan yang julung kali kami diterima, dan sudah tentu tidak elok jika kami menolaknya," kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya mereka sekeluarga ke sana selepas suaminya, seorang kiropraktor, menerima undangan daripada Anggota Kongress North Carolina, Virginia Foxx.

"Ini pengalaman pertama saya dan walaupun saya sendiri tidak layak mengundi kerana berstatus warga negara Malaysia, kehadiran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada Asha, 9," katanya.

Berkelulusan sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Missouri, Kansas City, Marina berkata beliau telah menetap di AS sejak 10 tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya pada majlis bersejarah itu, Marina berkata beliau sekeluarga berada di kawasan berwarna oren - 'West Standing' - iaitu hanya 150 meter dari bangunan utama majlis angkat sumpah tersebut berlangsung.

Trump mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat John Roberts pada 12.05 tengah hari waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) disaksikan ratusan ribu penyokongnya yang hadir dalam majlis penyerahan kuasa tersebut.

Bilionair berusia 70 tahun itu menggantikan Barack Obama selepas mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 8 Nov lepas.

Pemimpin Republikan itu meletakkan tangannya di atas dua kitab Bible - satu miliknya dan satu lagi pernah digunakan Abraham Lincoln - untuk mengangkat sumpah, menandakan bermulanya era politik baharu AS.

Mengenai ucapan sulung Trump sebagai Presiden, Marina menyifatkannya sebagai "bolehlah".

"Dalam ucapan Trump ada menyebut mengenai semangat patriotik, jika kita semua sama-sama berganding bahu dengan semangat patriotik, kita boleh hapuskan prejudis.

"Ini (ditujukan) bukan saja kepada Amerika tapi kepada semua negara. Apabila hati anda dipenuhi semangat patriotik, tidak ada ruang lagi untuk sikap prejudis.

"Saya mengharapkan ada lebih banyak syor tentang menyatukan rakyat semua kaum, agama dan budaya kerana Amerika ini sebuah wadah tumpuan. Malangya beliau tidak banyak menyentuh tentang itu," kata Marina.

Mengakhiri perbualan, wanita itu berkata beliau bersyukur dapat pergi dan kembali dengan selamat susulan tunjuk perasaan yang diadakan di kawasan berhampiran majlis angkat sumpah tersebut.

Media melaporkan majlis angkat sumpah Trump tiga hari lalu mengundang protes lebih ratusan ribu rakyat Amerika yang tidak senang dengan beberapa kenyataan Presiden ke-45 AS tersebut termasuk berkaitan orang Islam, wanita dan kelompok minoriti.



-- BERNAMA

Sabtu, Ogos 20, 2011

MARINA DICABAR ISYTIHAR HARTA


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar bekas Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Marina Tun Dr Mahathir mengisytihar harta yang dimilikinya di dalam mahu pun luar negara sama ada ia diperolehi menerusi kaedah yang betul atau sebaliknya.

"Saya cabar Marina supaya mengisytihar harta yang miliknya. Saya yakin semua pihak mahu mengetahui harta serta kekayaan yang dikumpul selama ini," ujarnya.

Ketika mengemukakan cabaran itu, Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim berkata aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir sebagai seorang Melayu yang mudah lupa serta tidak berpijak di bumi nyata.

Beliau menyifatkan tindak-tanduk yang ditunjukkan Marina sejak akhir-akhir ini telah memburukkan imej bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bekas Perdana Menteri dan juga negarawan tersohor.

Katanya, Dr. Mahathir merupakan seorang pejuang yang disegani oleh kawan dan juga lawan tetapi Marina langsung tidak mewarisi keperibadian yang dimiliki oleh bapanya itu, malah hanya memalukan keluarganya sahaja.

"Tun (Dr. Mahathir) merupakan pemangkin kepada kemajuan negara, kekuatan orang Melayu tetapi Marina sebaliknya.

"Beliau hanya hidup di dalam fantasi dan tidak berpijak di bumi nyata. Justeru beliau layak dilabelkan sebagai seorang Melayu yang mudah lupa.

"Beliau seharusnya berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau mengambil sesuatu tindakan, bukannya dah buat kenyataan dan ambil tindakan baru mahu memikirkan kesannya. Ia sudah terlambat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tulisan Marina dalam akhbar The Star kelmarin yang antara lain mempertahankan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu dan turut mempersoalkan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang cuba menyamakan perhimpunan haram itu dengan kejadian rusuhan di London, baru-baru ini.

Menurut Ruslan, beliau tidak menolak kemungkinan Marina mempunyai agenda peribadi tertentu sehingga sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan tradisi keluarganya.

"Mungkin beliau ada rasa tidak puas hati sebab itu beliau bertindak sedemikian rupa dan ketika ini beliau telah terperangkap dalam kumpulan vocal minority.

"Beliau perlu ingat, pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini merupakan legasi kepimpinan bapanya. Apa yang diamalkan pada hari ini adalah kesinambungan amalan sewaktu Tun (Dr. Mahathir) memerintah. Jadi apa yang beliau tidak puas hati?" ujarnya.

Dalam pada itu, Ruslan turut mencabar Marina mengisytihar harta yang dimilikinya di dalam mahu pun luar negara sama ada ia diperolehi menerusi kaedah yang betul atau sebaliknya.

"Saya cabar Marina supaya mengisytihar harta yang miliknya. Saya yakin semua pihak mahu mengetahui harta serta kekayaan yang dikumpul selama ini," ujarnya.