Memaparkan catatan dengan label shahbudin embun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label shahbudin embun. Papar semua catatan

Rabu, Disember 05, 2018

MEMADAI GUNA AKTA HASUTAN 1948



KUALA LUMPUR: Tidak perlu akta baru seperti Akta Menghina Islam dan Raja-raja Melayu (Amira) yang dicadang Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), sebaliknya memadai dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun (foto), berkata pihaknya mendesak kerajaan supaya mengekalkan akta hasutan demi memelihara keamanan negara.

"Tidak perlu kepada akta atau pun undang-undang baru, bagi kami (MPM) memadai dengan kerajaan mengekalkan akta hasutan.

"Kami mendesak pihak kerajaan supaya mengekalkan dan mempertahankan akta ini.

"Melalui akta hasutan ia merangkumi segalanya, isu Raja-raja Melayu mahupun penghina terhadapa agama Islam dapat dibela melalui akta ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu lalu, Perkasa mencadangkan agar kerajaan merangka undang-undang khas bagi melindungi Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Bagi tujuan itu, Perkasa mencadangkan satu akta yang diberi nama Amira diwujudkan kerajaan dengan mengambil semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata penghinaan terhadap Islam dan Raja-raja Melayu serta tindakan mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu ditangani secara segera.

Sementara itu, Shahbudin berkata, MPM menggesa kerajaan supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Wathyamoorthy.

Katanya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad diminta supaya menilai semula kedudukan menteri yang ditugaskan bagi menjaga perpaduan kaum itu.

Jelas beliau, Wathya tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai menteri seperti mana diharapkan.

Sebagai contoh, katanya, Wathya mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan pihak polis lambat bertindak dalam isu rusuhan kuil di Subang Jaya baru-baru ini.

Ahad, April 16, 2017

TAK PERLU POLITIKKAN PERLANTIKAN HISHAMUDDIN


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah tersiar dalam Berita Harian)

Sebaik sahaja perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas Tugas Khas diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak , maka bermulalah pemikiran pihak pembangkang yang begitu licik dan  kreatif dalam membuat andaian yang sangat negatif.Golongan ini terus membuat persepsi bahawa kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan goyah dengan perlantikan tersebut.

Satu demi satu teori yang dikemukakan dan semuanya mempunyai agenda yang sama iaitu ingin melihat kombinasi mantap Najib dan timbalannya Zahid Hamidi, kononnya berada dalam keadaan yang sangat kritikal.Ada tohmahan yang menyatakan usaha ini merupakan satu laluan kepada Hishammuddin untuk terus maju ke depan, dan pada masa yang sama menyisihkan Zahid Hamidi. Mereka yang membuat andaian seperti ini begitu yakin terdapatnya pergeseran antara Najib dan Zahid Hamidi.

Perlu diingatkan bahawa permainan andaian , persepsi dan melontar fitnah seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Najib dan Zahid Hamidi sendiri pernah menjadi mangsa dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Walaupun semua isu yang dikaitkan dengan fitnah telah dijelaskan , namun pihak pembangkang terus menggunakan isu-isu ini untuk berlagak kononnya menjadi wira negara.

Dalam permainan bolasepak, pertukaran taktik oleh jurulatih atau pengurus ketika berlangsungnya perlawanan merupakan sesuatu yang biasa. Mungkin tidak tepat untuk membandingkan apa yang berlaku di dalam padang dengan urusan pentadbiran negara .Namun apa yang dilakukan oleh Najib sebenarnya ialah untuk melicinkan lagi barisan kepimpinan yang mentadbir negara.

Mengapa isu ini dipolitikkan sehingga menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi yang negatif.

Dalam hal ini, setiap langkah yang dibuat oleh Najib dan Zahid Hamidi akan diteliti oleh pihak musuh .Dan  walaupun langkah yang diambil itu merupakan sesuatu yang positif, namun di mata pembangkang,  akan terus membuat kesimpulan bahawa langkah ini sebenarnya menggambarkan yang gandingan Najib dan Zahid sedang mengalami masalah.

Begitulah terdesaknya pihak pembangkang yang semakin hari semakin ketandusan idea untuk menyerang kepimpinan Najib  dan dibantu oleh Zahid Hamidi yang sudah terbukti begitu berkesan dalam mentadbir negara ini.

Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan sehari dua ini mengenal Najib. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib semasa Najib memegang jawatan sebagai  Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan iaitu dari tahun 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya juga kesetiaan Zahid Hamidi jangan dipersoalkan.

Sekali lagi diingatkan bahawa apa yang penting isu ini jangan dipolitikkan. Bahkan Hishammuddin telah menegaskan bahawa Zahid Hamidi juga telah membuat kenyataan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikan itu. Bahkan Hishammuddin menjelaskan  lagi bahawa pelantikannya itu merupakan peluang untuk bersama Zahid Hamidi  membantu Perdana Menteri  mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Sebagaimana yang dijelaskan, pihak pembangkang akan melihat isu ini  dari perspektif yang negatif. Sebenarnya musuh UMNO dan Barisan Nasional begitu bimbang melihat pertukaran taktikal ini akan mematikan langkah mereka. Itu sebabnya isu ini dipolitikkan dengan sewenang-wenangnya agar rakyat terpedaya dengan fitnah yang akan mereka lemparkan.

Biarkan pihak pembangkang bermain dengan permainan mereka.Biarkan tohmahan dan fitnah menjadi senjata utama mereka untuk menyerang. Apa yang penting gandingan kepimpinan yang ada sekarang perlu terus disokong agar terus dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia amnya.

Sabtu, Januari 07, 2017

MENANGANI ISU PENGAMBILAN WARGA KERJA ASING




OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Isu yang berkaitan dengan buruh asing bukanlah sesuatu yang baru.Sejak tahun 90an lagi sehinggalah hari ini, ada sahaja isu –isu hangat yang boleh dibincangkan, baik di peringkat Parlimen sehinggalah di warong-warong kopi. Antara isu yang sering dibangkitkan ialah seperti isu lambakan warga kerja asing terutamanya mereka yang terdiri daripada pendatang tanpa izin .

Terdapat juga isu pekerja asing yang mengambil peluang menjalankan perniagaan dan sekaligus menguasai sesebuah kawasan seperti sekitar kawasan Chow Kit dan juga Pasar Borong Selayang.Golongan ini telah memonopoli tempat-tempat ini sehinggakan masyarakat tempatan agak bimbang untuk berada di kawasan yang dikuasai oleh pendatang asing ini.

Kita tidak nafikan bahawa pihak berkuasa telah mencuba yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.Usaha yang dijalankan seperti operasi Pemutihan telah sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah lambakan pekerja asing terutamanya mereka yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Sungguhpun begitu, lambakan para pekerja  tanpa izin  terus masih menjadi isu yang tidak ada penghujungnya.Daripada beberapa laporan akhbar yang diperolehi, adalah dianggarkan terdapat 6.7 juta pendatang asing di Malaysia dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta sahaja mempunyai permit yang sah.

Di sini juga timbulnya isu yang melibatkan jenayah di mana terdapat beberapa kes yang membabitkan pendatang asing.Pihak kerajaan melalui Polis, Jabatan Imigreasen contohnya telah melakukan pelbagai penguatkuasaan secara bersepadu untuk membendung kegiatan jenayah yang melibatkan warga asing ini .

Itu sebabnya saya amat tertarik hati dengan komitmen pihak kerajaan untuk mengkaji isu yang membabitkan peerja asing ini dengan lebih serius. Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini ,Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahwa Kerajaan akan mencari jalan terbaik bagaimana pekerja tempatan boleh mengambil peluang pekerjaan yang dikosongkan oleh buruh asing.

Sebagaimana maklum, Kementerian Dalam Negeri telahpun mengambil keputusan agar kemasukan pekerja asing dibekukan serta-merta bermula  pada 19 Februari 2016. Menurut Ahmad Zahid lagi keputusan ini telah memberi kesan besar kepada industri kelapa sawit dan industri pembuatan perabot. Pendapatan eksport negara dalam sektor berkenaan, telah mengalami kemerosotan dengan hanya RM8 bilion pada tahun 2016 sedangkan sasaran sebenar berjumlah RM10 bilion.

Dalam ucapannya itu ,Ahmad Zahid juga telah menjelaskan ,berdasarkan soal selidik yang dijalankan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati 84% daripada pengusaha berdepan masalah kekurangan tenaga kerja berikutan pelaksanaan pembekuan pengambilan pekerja asing baru.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid telah meminta Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melihat dan mengkaji isu ini kerana ia turut melibatkan masalah sosial dan ekonomi .

Kementerian Sumber Manusia contohnya boleh mewujudkan sebuah pusat latihan kemahiran kepada warga tempatan terutamanya dalam bidang yang memerlukan pekerja asing yang banyak seperti kemahiran dalam pembangunan binaan serta perladangan.

Selain itu, pihak kementerian  mungkin boleh menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi galakan kepada golongan belia untuk memasuki pusat latihan ini. Sehubungan itu juga kerjasama boleh dijalin dengan Kementerian Pendidikan dengan menerapkan kemahiran –kemahiran ini dalam silibus pendidikan sekolah vokasional contohnya.

Tidak boleh dinafikan lagi bahawa cabaran yang dihadapi dalam menangani isu ini mesti ditangani dengan bijak dan dengan secara yang menyeluruh.Dalam hal ini, pihak -pihakyang terbabit perlu bersama-sama memberikan idea dan cadangan yang boleh memberi kebaikan dan manfaat kepada bidang dan industri yang memerlukan pekerja asing ,dan pada masa yang sama tidak mengetepikan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan .