Rabu, Disember 05, 2018

MEMADAI GUNA AKTA HASUTAN 1948



KUALA LUMPUR: Tidak perlu akta baru seperti Akta Menghina Islam dan Raja-raja Melayu (Amira) yang dicadang Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), sebaliknya memadai dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun (foto), berkata pihaknya mendesak kerajaan supaya mengekalkan akta hasutan demi memelihara keamanan negara.

"Tidak perlu kepada akta atau pun undang-undang baru, bagi kami (MPM) memadai dengan kerajaan mengekalkan akta hasutan.

"Kami mendesak pihak kerajaan supaya mengekalkan dan mempertahankan akta ini.

"Melalui akta hasutan ia merangkumi segalanya, isu Raja-raja Melayu mahupun penghina terhadapa agama Islam dapat dibela melalui akta ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu lalu, Perkasa mencadangkan agar kerajaan merangka undang-undang khas bagi melindungi Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Bagi tujuan itu, Perkasa mencadangkan satu akta yang diberi nama Amira diwujudkan kerajaan dengan mengambil semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata penghinaan terhadap Islam dan Raja-raja Melayu serta tindakan mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu ditangani secara segera.

Sementara itu, Shahbudin berkata, MPM menggesa kerajaan supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Wathyamoorthy.

Katanya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad diminta supaya menilai semula kedudukan menteri yang ditugaskan bagi menjaga perpaduan kaum itu.

Jelas beliau, Wathya tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai menteri seperti mana diharapkan.

Sebagai contoh, katanya, Wathya mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan pihak polis lambat bertindak dalam isu rusuhan kuil di Subang Jaya baru-baru ini.