Rabu, Disember 05, 2018

KPSB LULUS 71 LESEN INSTITUT LATIHAN PELANCONGAN



KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meluluskan 71 lesen Institut Latihan Pelancongan (ILP) untuk mengendalikan kursus pemandu pelancong dalam pelbagai bahasa di seluruh negara.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata jumlah itu termasuk kursus pemandu pelancong dalam bahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan peningkatan bilangan pelancong China ke negara ini.

"Sehingga 31 Okt 2018, kementerian mempunyai seramai 18,113 pemandu pelancong di seluruh negara, dengan seramai 6,885 pemandu pelancong berbahasa Mandarin, 894 berbahasa Kantonis dan 90 pemandu pelancong yang fasih bahasa Hokkien.

"Untuk tempoh yang sama, bilangan pemandu pelancong berlesen di Sabah pula adalah sebanyak 1,092 orang dengan 109 boleh berbahasa Kantonis, ia mencukupi untuk menampung peningkatan kehadiran pelancong dari China," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Liew Chin Jin (PH-Tawau) yang meminta kementerian menyatakan sama ada pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin mencukupi bagi mengatasi peningkatan pelancong dari China dan usaha kementerian bagi memastikan pemandu pelancong yang fasih Bahasa Mandarin cukup untuk menampung keperluan khususnya di Sabah.




Mohamaddin juga berkata kementerian akan menyalurkan bantuan untuk memajukan industri pelancongan di Sabah sekiranya terdapat permintaan daripada kerajaan negeri itu.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai jumlah pemandu pelancong fasih berbahasa Arab bagi menampung kedatangan jumlah pelancong dari Timur Tengah, Mohamaddin berkata terdapat seramai 113 pemandu pemancong fasih berbahasa Arab di seluruh negara.

"Jika ada permintaan kita sedia untuk tambah jumlah ini," katanya.

- Bernama