Selasa, Disember 04, 2018
TIDAK BENAR MB TERENGGANU BERSELISIH FAHAM DENGAN PRESIDEN PAS
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pas Terengganu hari ini menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud konflik kalangan kepemimpinan tertinggi di negeri ini termasuk cubaan menggulingkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memberi jaminan keadaan aman damai dan tenang tanpa sebarang konflik membabitkan kepimpinan tertinggi negeri Beliau berkata, khabar angin yang mengaitkan perselisihan antara Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak benar sama sekali dan fitnah semata-mata.
"Alhamdulillah, Terengganu dalam keadaan damai dan tenang serta sedang bekerja mengisi kemenangan.
"Cerita rekaan itu tidak wujud dan tidak tahu dari mana puncanya, malah kita juga tidak tahu apa tujuan sebenar pembawa cerita ini.
"Yang pasti kerajaan negeri dalam posisi yang sangat baik dan produktif kepada rakyat," katanya.
Dalam catatan beberapa individu di laman sosial Facebook mendakwa terdapat kumpulan yang telah bertemu Abdul Hadi bagi menukar menteri besar Terengganu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mesej tular bertajuk Kerusi MB Terengganu Panas? itu mendakwa tindakan tersebut disebabkan rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan terhadap Dr. Ahmad Samsuri yang dikatakan lebih mengutamakan orang luar dalam membuat lantikan politik bagi jawatan-jawatan berprestij.
Ia turut mendedahkan perbezaan pendapat antara Dr. Ahmad Samsuri dan Abdul Hadi berhubung isu royalti dan isu himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).