Khamis, Februari 28, 2019

PH TIDAK HORMATI BUDAYA ORANG ASLI



HULU LANGAT 27 Feb. - Pakatan Harapan (PH) mencetuskan kontroversi dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berbaki dua hari lagi.

Kali ini bukan mengenai pemberian hadiah atau sumbangan, sebaliknya berkaitan tindakan tidak menghormati adat dan budaya orang lain.

Peribahasa Melayu ada menasihatkan, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Apa yang ingin disampaikan di sini adalah terdapat acara menyarung bunga malai dan memakaikan selendang penghormatan kaum India pada majlis santuni Orang Asli di Kampung Kachau Luar dan Dalam di sini petang tadi.

Pemberian itu dikatakan daripada aktivis, P. Ravi kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan dua pemimpin masyarakat Kampung Kachau Luar dan Dalam iaitu Abok Hamid serta Zainal Kilong.

Ramai yang tertanya tujuan acara menyarungkan kalung bunga malai dan selendang tersebut sedangkan majlis berkenaan adalah merupakan anjuran PH bersama Orang Asli.

Bagaimanapun, pihak penganjur mungkin mempunyai alasan tersendiri.

Apa pun, ucapan Muhammad Aiman pada majlis yang dihadiri kira-kira 100 Orang Asli itu amat meyakinkan dan disambut baik oleh para penduduk di sana.


Rabu, Februari 27, 2019

PEMPAMER TEMPATAN PERLU DIBERI KEUTAMAAN DI LIMA '19



KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Datuk Nordin Ahmad mencadangkan supaya penganjur Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung di Langkawi, Mac  depan memberi keutamaan kepada pempamer tempatan.

 Beliau yang juga pengarah urusan Vas Aero Sdn Bhd berkata pempamer tempatan sepatutnya diberi tempat yang strategik supaya produk mereka dibeli oleh pemain antarabangsa.

"Apa yang berlaku pempamer antarabangsa yang diberi layanan first class sehingga pempamer tempatan diabaikan," katanya kepada blog ini.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon kerajaan memberi perhatian kepada sungutan pempamer tempatan. 

"Sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan tetapi ia tetap tidak diberi perhatian oleh pihak penganjur," katanya lagi.

Katanya, tidak ada makna Malaysia dipuji hebat menganjurkan LIMA tetapi pempamer tempatan tidak mendapat manafaat daripadanya.

LIMA '19 dijangka menarik sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 14 negara.


Kementerian Pertahanan menyasarkan 60 peratus penyertaan membabitkan pemain industri pertahanan, manakala selebihnya daripada kalangan syarikat komersial.

“Sebanyak 555 pempamer dan 371 delegasi dari 49 negara menyertai LIMA ‘17 yang turut menarik kehadiran 40,000 pelawat perniagaan serta 200,000 pengunjung awam.

“Kita berharap LIMA ‘19 akan menarik lebih ramai pengunjung dan pempamer bersama teknologi serta aset terbaharu yang dapat dimanfaatkan untuk pertahanan maritim dan aeroangkasa,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu  ketika berucap pada Majlis Pelancaran LIMA ‘19 di Wisma Perwira, di sini tahun lepas.


Mohamad berkata, LIMA ‘19 memberi peluang kepada kerajaan untuk menjadikan pameran itu rujukan kemampuan pertahanan negara.

“Melalui pameran itu, kita dapat mengukur sejauh mana pembangunan dan pemodenan sistem ketenteraan negara, termasuk keperluan pertahanan ruang angkasa serta maritim.

“Kuasa udara serta maritim menjadi keutamaan pertahanan kita dan LIMA sebagai hab pertahanan adalah paling sesuai untuk kita mencari cara terbaik ke arah itu,” katanya.


Pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991, akan berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mac  depan.

Pameran terbesar maritim dan aeroangkasa di Asia Pasifik itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) dan Resort World Langkawi dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

Selasa, Februari 26, 2019

PAS NAMPAK IKHLAS BANTU BN



HULU LANGAT 25 Feb. - Berbaki empat hari lagi menjelang tarikh pengundian, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini, peratusan peluang untuk Barisan Nasional (BN) memenangi semula kerusi tersebut semakin meningkat.

Perjalanan kempen yang lancar serta gerak kerja antara parti komponen BN serta dibantu Pas merupakan faktor yang dilihat oleh calon BN, Zakaria Hanafi dapat memberikan perubahan dalam keputusan pengundian Sabtu ini.


"Kempen berjalan lancar, semangat jentera bertugas juga semakin memuncak menuju hari pengundian.

"Pas juga nampak ikhlas membantu kita menerusi perancangan-perancangan mereka. Kita ada empat hari lagi menjelang hari pengundian dan peluang kini saya lihat untuk BN adalah 60 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama veteran-veteran Melayu di Dewan Sri Cempaka, Dataran Dato' Mohd. Said di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas proses pengundian awal yang berlangsung esok, Zakaria berharap anggota polis yang terlibat dapat membuat pilihan tepat.

"Saranan saya supaya mereka melaksanakan tanggungjawab dan buat pilihan tepat, jika saya tentulah berharap mereka mengundi BN.

"Beri kepercayaan kepada kami untuk mengubah semula keadaan, supaya pembangkang dapat suara tembahan di DUN Selangor dan say berjanji untuk menjadi pembangkang yang berwibawa," katanya


Ahad, Februari 24, 2019

PH TUBUH SATU SEKSYEN SEMAK MANIFESTO PRU 14

BANGI, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) agar dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata langkah itu diambil bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Seksyen ini diwujudkan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14, katanya ketika ditemui selepas menutup Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

KEHADIRAN "BOSSKU" TAK ADA KESAN DI SEMENYIH



HULU LANGAT 23 Feb. - Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Semenyih bagi berkempen pilihan raya kecil sama sekali tidak mengganggu Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rakyat tahu apa yang terjadi berhubung bekas pemimpin negara yang popular dengan panggilan ‘bossku’ berkenaan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang dilakukan Najib, bukan perkara kecil.

“Saya tak mahu sentuh soal peribadi. Tapi soal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), satu dunia tahu. Saya di New York, Toronto jumpa pelabur, jumpa umat Islam, semua bangkitkan. Terkejut mereka tentang penyalahgunaan kuasa, rompakan yang berlaku.

“Tapi saya faham dalam kalangan rakyat, ada yang letakkan harapan terlalu tinggi dan dia (rakyat) rasa dengan kadar masalah harga barang, harga minyak ini, dia (rakyat) rasa kita belum dapatkan tunaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis sambutan Capgome di Kampung Baru, Semenyih di sini malam ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar


Sabtu, Februari 23, 2019

MESIN ATM BERAS DI 85 MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjangka 85 masjid di Wilayah Persekutuan nanti akan dilengkapi dengan Mesin ATM beras, khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar dengan pihaknya menerima beras secara percuma.

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata rancangan penempatan mesin ATM beras di masjid-masjid itu akan dibincangkan lebih lanjut pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid-masjid Wilayah Persekutuan bulan depan.

“Mesin ATM beras pertama dilancarkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat malam ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesin ATM beras, di sini.

Mesin ATM berharga RM19,000 itu adalah kiosk pertama dalam negara dan mempunyai dua fungsi, iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbang wang untuk tujuan isian semula.

Beliau berkata sehubungan itu Jawi mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat untuk menjadi rakan strategik bagi bersama-sama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Badan-badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharap dapat menjadi rakan strategik masjid dan Jawi, dalam usaha mempermudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan," katanya.

Pada majlis itu 10 asnaf dari kawasan Datuk Keramat menerima kad pintar mesin berkenaan, yang melayakkan mereka menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma.

-- BERNAMA

Jumaat, Februari 22, 2019

AHLI PKR, AMANAH DAN BERSATU WAJAR UNDI BN KALI INI

SEMENYIH: Para pengundi Semenyih diminta bangkit pada 2 Mac ini untuk memberi isyarat kepada kerajaan PH.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Ashraf Wajdi Ahmad Dusuki, para pengundi dari semua parti kena beri isyarat kepada PH bahawa rakyat sedang menderita akibat kegagalan PH menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

"Oleh itu saya merayu ahli PKR, Amanah dan Bersatu mengundi calon BN, Zakaria Hanapi pada 2 Mac ini," katanya ketika berucap di PDM Kuala Pajam malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Shukri Omar, ahli majlis tertinggi Umno, Dira Abu Zahar, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail dan Ketua Umno Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dr Ashraf berkata ahli PKR, Amanah dan Bersatu jangan bimbang kerana jika mereka undi BN kali ini ia tidak mengubah kedudukan kerajaan PH.

"Oleh itu marilah kita bersatu mengalahkan calon PH untuk memprotes PH yang tidak membela nasib umat Islam dan orang Melayu," katanya lagi.

Beliau terharu dengan sokongan ahli-ahli PAS membantu calon BN pada PRK Semenyih walaupun Atuk kata PAS tak akan sokong BN kali ini.

"Kalau PAS tak sokong maka Ustaz Shukri tak ada di sini malam ini," katanya.

Beliau menganggap kerajaan PH sebagai Pakatan Palsu kerana nak jadi calon pun kena tipu biodata dengan meletak ijazah palsu.

"Calon PH tulis dia Dr sedangkan dia belum habis belajar lagi. Sebagai bekas profesor madya di UIA saya sahkan bahawa tak boleh tulis macam yang calon PH buat. Bila kita tegur, dia kata dia lupa update biodatanya," katanya lagi.

Beliau minta semua pengundi bersatu memilih BN untuk menunjukkan kepada kerajaan PH bahawa orang Melayu kecewa dengan dasar kerajaan Selangor.

Khamis, Februari 21, 2019

AMIRUDDIN TEGUR AKHBAR LAPOR UCAPANNYA DI LUAR KONTEKS

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah menegur laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk "Kerajaan akui SST tidak mampu kurangkan harga barang" yang memetik ucapannya di Semenyih semalam, yang menurutnya dilapor di luar konteks.

Menurut Amiruddin, dalam ucapannya itu beliau berkata melalui pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan telah mengembalikan hasil sebanyak RM23 bilion melalui pengurangan bilangan barangan yang dicukai berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya langkah itu tidak memberi impak signifikan kepada harga barangan di pasaran, namun kadar inflasi bagi tahun 2018 adalah satu peratus, berbanding 3.7 peratus pada 2017 semasa GST masih dilaksanakan.

Rabu, Februari 20, 2019

BINA HOSPITAL DI SEMENYIH TIDAK MUNASABAH?

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan dan kepadatan penduduk sebelum merancang untuk membina hospital di Semenyih, Selangor, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata cadangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Muhammad Aiman Zainali yang mahu sebuah hospital dibina di kawasan itu perlu lebih munasabah.

"Sesiapa sahaja boleh buat janji tetapi kami mengharapkan janji-janji itu lebih munasabah. Membina hospital bukan seperti membina mana-mana premis. Kementerian perlu mengambil perhatian dari segi keperluan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
.....

Selasa, Februari 19, 2019

KETIADAAN ROSMAH UNTUNGKAN BN?



HULU LANGAT 18 Feb. -Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bergurau dengan menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membawa isteri untuk turun bersama-sama berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Katanya, beliau hairan Najib yang kini popular dengan panggilan ‘Bossku’ memilih modus operandi menaiki motosikal seorang diri keliling kampung-kampung.

“Jangan main-main. Nanti Bossku datang naik motor esok. Dia naik motor dia masuk Kampung Rinching Hilir.

“Adalah budak-budak ikut jerit Bossku, Bossku,Bossku...Saya cadang, kalau boleh jangan naik sorang. Bawalah yang seorang lagi tu.Janganlah jalan seorang-seorang. Bolehlah dia bonceng di atas motor tersebut,“ katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada ceramah PH yang dijalankan di Kampung Rinching Hilir di sini hari ini.

Turut hadir pada ceramah itu Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon PH untuk PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Ceramah yang memasuki hari ketiga itu menarik tumpuan lebih 300 penduduk setempat.

Isnin, Februari 18, 2019

DAPATKAH NAJIB TARIK PENGUNDI SEMENYIH?



HULU LANGAT 17 Feb. - Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke tempat ceramah Barisan Nasional (BN) di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Branang di sini mencuri perhatian penduduk.


Lebih 1,000 penduduk memilih untuk mendengar ceramah BN berbanding Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri kurang 100 orang.


Kedua-dua ceramah berkenaan dijalankan dalam kawasan pangsapuri yang sama dengan perbezaan jarak kira-kira 100 meter.

Kehadiran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ke tempat ceramah PH ternyata gagal menarik perhatian pengunjung.


Kebanyakan pengunjung yang hadir tanpa rasa malu bersorak dan berkali-kali melaungkan slogan, 'malu apa bossku'.

Selepas berucap, Najib kemudiannya melawat perniagaan trak makanan dalam perkarangan pangsapuri tersebut



Ahad, Februari 17, 2019

PAPAGOMO ROSAKKAN IMEJ BN YANG SEDANG MENUJU KEMENANGAN



KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Dua laporan polis berkaitan insiden melibatkan Ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih, disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata polis menerima dua laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Kertas siasatan dibuka susulan insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo.KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Dua laporan polis berkaitan insiden melibatkan Ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih, disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata polis menerima dua laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Kertas siasatan dibuka susulan insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo.

Sabtu, Februari 16, 2019

PH DIJANGKA MENANG DENGAN MAJORITI 1,900 UNDI

SEMENYIH, 14 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan akan bekerja keras bagi memastikan calonnya mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata pihaknya menyedari tentang kerjasama UMNO dan PAS yang mungkin memberi tentangan sengit pada PRK yang dijadual berlangsung 2 Mac itu.

"Kita telah mengambil kira dalam kajian kita, dahulu wakil kita yang menang Allahyarham (Bakhtiar Mohd Nor) mendapat majoriti lebih 8,000 undi namun bila buat simulasi dicampur (jumlah undi) UMNO dan PAS, majoriti kita menurun kepada kira-kira 1,900 undi sahaja.

Rabu, Februari 13, 2019

MENTERI DATANG KE SEMENYIH BUKAN KERANA PRK

SEMENYIH, 12 Feb (Bernama) -- Kehadiran ramai menteri ke kawasan Semenyih sejak kebelakangan ini bukanlah suatu isu dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana mereka berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira berlaku pilihan raya atau tidak.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kawasan Semenyih menerima pembangunan pesat sejak 2008 apabila gabungan parti pembangkang ketika itu mentadbir kawasan berkenaan dan daerah Hulu Langat.

"Baru-baru ini Perdana Menteri beritahu, beliau terkejut Semenyih kini dikenali sebagai bandar yang hebat dengan pembangunan teratur dan tersusun. Kami Pakatan Harapan (PH) bermula dari 2008 mahu pembangunan bukan saja berpusat di bandar tetapi juga dibawa ke luar bandar supaya rakyat dapat manfaat.

“Kalau kami tak turun dulu, tak mungkin Semenyih dan Hulu Langat dapat pembangunan seperti ini. Mana mungkin Semenyih dapat pembangunan jika kita tak turun ke sini sejak 2008," katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Wanita PH bagi PRK DUN Semenyih di sini malam ini.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata pengundi tidak boleh membandingkan isu dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dengan PRK DUN Semenyih kerana PH belum pernah mentadbir negeri Pahang mahupun Parlimen Cameron Highlands.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Ketua Wanita Bersatu Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac.

-- BERNAMA

Selasa, Februari 12, 2019

MALAYSIA PERLU BELAJAR DARI ESTONIA DALAM PENGDIGITALAN

DUBAI, 11 Feb (Bernama) -- Adalah perkara biasa untuk menyaksikan negara membangun seperti Malaysia sering melihat kepada negara-negara maju dari segi untuk mendapatkan kepakaran berkaitan pembinaan negara, pendigitalan dan inovasi.

Walaupun negara kita tidak jauh ketinggalan dalam bidang berkenaan, Malaysia masih ketinggalan dari segi menyelaraskan atau memanfaatkan sepenuhnya kepakaran berkenaan disebalik penembusan telefon pintar dalam kalangan populasinya pada kadar 65.14 peratus setakat 2018.

Sebagai contoh, negara kita tidak mempunyai platform tunggal bagi semua perkhidmatan kerajaan.

Misalnya, malah proses mudah untuk membayar kompaun atau perkhidmatan majlis perbandaran adalah rumit kerana setiap aplikasi mempunyai 'gateway” tersendiri. Bayangkan kesulitan yang seseorang itu perlu harungi.

Selain kesulitan dihadapi, mendapati bahawa "gateway" itu tidak dilindungi atau tidak berfungsi pada platform tertentu selepas melalui proses menjerihkan untuk membuat akaun, turut mempunyai kisahnya sendiri.

Saya sentiasa tertanya-tanya kenapa begitu Ini kerana negara kita bukannya tidak mempunyai golongan cerdik pandai atau teknologi yang perlu

Oleh itu, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila saya mendapati Estonia, sebuah negara kecil dan kurang dikenali, sekurang-kurangnya bagi diri saya, begitu gah dalam dunia pendigitalan.

Anda pasti sukar percaya apabila saya katakan bahawa negara yang terletak di utara Eropah ini, bersempadan dengan Laut Baltik dan Teluk Finland, merupakan masyarakat paling mahir digital di dunia.

Di Estonia, 99 peratus perkhidmatan awam seperti mengundi, rekod kesihatan dan cukai boleh dilakukan secara dalam talian.

"Kami sudah sampai ke tahap di mana negara kami sering digelar e-Estonia," kata Perdana Menteri Juri Ratas dengan penuh rasa bangga pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia yang baru berakhir di sini.

Sebagai perdana menteri, setiap hari beliau menandatangani puluhan dokumen rasmi kerajaan secara digital dengan menggunakan telefon bimbitnya.

"Menurunkan tanda tangan secara digital dapat menjimatkan sekurang-kurangnya lima hari perniagaan dalam setahun bagi setiap pekerja di Estonia, bersamaan dengan kadar kecekapan bagi sekurang-kurangnya dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, setahun,” katanya.

Walaupun tiada siapa dapat menafikan tugas besar yang perlu dilakukan untuk mewujudkan aspek teknikal seperti penebusan digital secara meluas dan pada kadar tinggi, orang ramai juga akan berhujah bahawa adalah lebih mudah untuk sebuah negara dengan populasi 1.3 juta orang, tetapi akan lebih rumit apabila anda perlu berurusan dengan populasi lebih besar sebanyak 30 juta orang.

Ratas mempunyai jawapannya.

Beliau berkata komponen paling penting bagi masyarakat digital sebenar adalah "mempunyai minda terbuka dan percaya kepada penyelesaian digital".

"Percaya adalah elemen utama. Menggunakan teknologi memerlukan kepercayaan pengguna, tetapi teknologi juga dapat membantu anda membina kepercayaan. Sebagai pengguna, saya mahu kepastian bahawa data saya adalah selamat dan terjamin dan saya ada kawalan ke atasnya," katanya dan menurutnya Estonia telah menggunakan blockchain sejak 2012 untuk memastikan integriti data log fail.

Beliau seterusnya berkata setiap warganegara di Estonia boleh mendapat tahu siapa yang telah melihat data mereka.

“Kami telah membina ciri-ciri itu dalam perkhidmatan penting dan kritikal kami. Sebagai contoh, saya boleh melihat apabila seorang doktor memeriksa rekod kesihatan elektronik saya dan saya boleh bertanya (kepada beliau) akan sebabnya," katanya.

Ratas turut mempunyai pandangan yang seimbang akan perkara itu.

Beliau memberi amaran tentang serangan siber dan kerajaan perlu menjaga dan melindungi ruang siber sebagaimana ia menjaga keselamatan di jalan-jalan.

Ancaman sebegitu adalah perkara biasa dan sesuatu yang perlu ditangani kerana negara akan mendapat lebih banyak manfaat dengan menggunakan platform digital seperti pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, tadbir urus lebih baik dan masyarakat yang lebih saling berhubung.

Ketika Malaysia beraspirasi untuk melakar kemajuan besar dalam ekonomi digital, mungkin ini merupakan sesuatu yang kita boleh belajar daripada Estonia atau boleh saya gelar "E-Estonia."

-- BERNAMA

Isnin, Februari 11, 2019

SEMENYIH SESUAI JADI "BICYCLE TOURISM"

SEMENYIH, 10 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Semenyih berpotensi untuk dijadikan lokasi 'bicycle tourism' berikutan kemudahan trek yang baik di kawasan tersebut.

Syed Saddiq berkata kementerian akan berbincang dengan kementerian berkaitan termasuk pihak berkepentingan serta mereka yang terlibat dalam sukan berbasikal bagi menaik taraf kemudahan riadah di kawasan itu.

"Kawasan ini memang banyak orang datang untuk berbasikal, saya akan berbincang termasuk bersama penggiat sukan berbasikal jika kita dapat bangunkan infrastruktur, bicycle tourism berpotensi besar di sini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini.

Ahad, Februari 10, 2019

PRK SEMENYIH PENANDA ARAS SOKONGAN RAKYAT KEPADA PH

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini akan menjadi penanda aras sejauh manakah sokongan rakyat terhadap prestasi kepimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata PRK itu adalah pengukur sama ada ramalan firma penyelidikan, Fitch Solution bahawa populariti PH akan merosot atau sebaliknya.

"(PRK) Semenyih memang akan jadi penanda sejauh mana sokongan rakyat kepada PH, sama ada merosot atau sebaliknya.

"Kalau ilihat dari satu sudut, sekiranya (sokongan rakyat) merosot atas sebab prestasi kerajaan PH, ini adalah tidak seperti yang diharapkan, ia perlu difahami kerana kerajaan masih baru dan masih perlu menangani pelbagai masalah yang telah diwarisi (dari kerajaan terdahulu).

"Jadi tanggapan bahawa kita (kerajaan PH) tidak 'deliver', ia memang adalah tanggapan kuat di kalangan masyarakat tapi itu boleh ditangani dalam tahun-tahun dan masa akan datang. Tidak semestinya, sekiranya merosot ia adalah petanda apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Khalid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Pertandingan Memancing Putrajaya adalah acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu disertai kira-kira 1,800 kaki pancing dari seluruh negara.

Baru-baru ini, media melaporkan Fitch Solution meramalkan populariti PH dijangka merudum dalam beberapa bulan akan datang kerana antara lain disebabkan perbalahan dalam gabungan politik itu dan kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Khalid berkata jangkaan dan harapan rakyat begitu tinggi ketika PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan selepas sembilan bulan rakyat mengharapkan segalanya berubah.

"Itu agak mustahil untuk kita lakukan dengan kadar sebegitu segera tetapi apa yang dijanjikan masih lagi menjadi sasaran dan akan kita usahakan.

"Cuma tempoh masa untuk dilaksanakan mungkin memerlukan sedikit masa kerana banyak lagi benda yang kita 'warisi' perlu kita selesaikan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Februari 09, 2019

BEKAS ADUN BN SABAH AKAN TERIMA SAMAN

KOTA KINABALU, 8 Feb (Bernama) -- Bekas anggota UMNO Sabah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 lepas dan keluar parti itu bakal menerima saman daripada UMNO, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tindakan undang-undang itu akan diambil terhadap anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanding dalam pilihan raya umum lepas.

“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalkan parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.

Jumaat, Februari 08, 2019

MAHKAMAH BUKAN KEDAI NASI KANDAR BOLEH TAMBAH NASI

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tiga tuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib.

"Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak untuk mendakwa pada mana-mana peringkat perbicaraan. Berdasarkan permohonan Pendakwa Raya, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan tambahan,” kata hakim.

Pada 28 Jan, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Thomas memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk tidak meneruskan tiga pertubuhan itu terhadap Najib di Mahkamah Tinggi dan memohon perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.

"Saya akan mendakwa tertuduh dengan pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen nanti," katanya.

Kes pengubahan wang haram berkenaan pada asalnya kes di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 28 Jan, pihak pendakwaan telah mendakwa Najib terus di Mahkamah Tinggi.

Thomas juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu menarik balik sijil memindahkan kes berkaitan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M. Indira Gandhi (2018), terdapat keraguan berhubung kuasa oleh Pendakwa Raya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Saya dengan ini menarik balik sijil yang saya dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang hujahan bahawa pemindahan itu adalah pembatalan.

“Ini akan menjimatkan masa. Saya mengambil langkah-langkah ini untuk mengelak sebarang cabaran yang boleh dibuat pada mana-mana peringkat yang terikat kepada menangguhkan dan membatalkan perbicaraan serta mengakibatkan perbelanjaan awam yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata hakim boleh menggunakan budi bicaranya (suo motu) mengikut Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk memindahkan kes di mahkamah ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila pendakwaan memaklumkan mahkamah yang mereka tidak mahu meneruskan tiga pertuduhan tambahan terhadap anak guamnya.

"Ini bukan 'kedai nasi kandar' di mana anda boleh menambah nasi. Perbicaraan akan bermula Selasa depan. Apa yang pendakwaan akan lakukan Tiga kes baharu ini tiada kaitan dengan kes lama (SRC International). Wang dan akaun bank berbeza," katanya.

Mohd Nazlan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat bahawa Pendakwa Raya juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi penarikan balik sijil mengikut Seksyen 418A KAJ dengan mengambil kira bahawa tiada penentuan kehakiman yang seksyen ini tidak mengikut perlembagaan berlandaskan kes Semenyih Jaya dan Indira Ghandi.

“Saya dengan ini menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 417(2) KAJ untuk memerintahkan pemindahan tujuh pertuduhan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417(1)(e) KAJ,” katanya.

Hakim itu berkata tujuh pertuduhan berkenaan perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana kes-kes berkenaan menarik minat ramai di dalam dan luar negara.

“Juga tiada prejudis terhadap tertuduh,” katanya.

Mohd Nazlan berkata tujuh pertuduhan berkenaan didaftarkan pada 4 Julai tahun lepas dan pihak pendakwaan telah mengumpulkan semua dokumen dan tarikh perbicaraan bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu juga telah ditetapkan hampir enam bulan lalu, bermula 12 Feb tahun ini.

Hakim turut menolak permohonan Muhammad Shafee untuk penangguhan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Feb atas alasan tiada asas khusus untuk menangguhkannya.

Muhammad Shafee bagaimanapun berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan mengatakan ia merupakan perkara yang serius yang perlu dibawa ke mahkamah tertinggi.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

-- BERNAMA

Khamis, Februari 07, 2019

SITI NURHALIZA CALON BERSATU SEMENYIH?

ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak mengetahui nama penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau yang terlibat secara langsung dalam proses penilaian dan pemilihan calon untuk PRK Semenyih itu tidak menemui nama Siti Nurhaliza dalam senarai tersebut.

"Itu khabar angin sahaja kot sebab saya terlibat dalam proses pemilihan calon dan nama dia (Siti) tidak timbul setakat ini dan tak tahu la kalau ada cadangan lepas ni. Jadi anggota Bersatu atau tidak, itu pun saya tidak pasti," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya Siti Nurhaliza akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

Siti Nurhaliza pada 5 Feb menafikan khabar angin kononnya beliau akan menjadi calon Pakatan Harapan dalam PRK DUN Semenyih.

Dalam posting Instagram, penyanyi popular itu yang menggunakan hashtags #BukanDunSemenyih #sayabukancalonbertanding #sayacumakayuhje dengan disertakan gambar beliau dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa berbasikal ke empangan Semenyih.

PRK Semenyih itu diadakan ekoran kematian rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan perselisihan pandangan berhubung calon Bersatu pada PRK Semenyih, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata perkara itu hanyalah propaganda yang dibuat pihak lawan.

"Apabila nama calon dikeluarkan ada yang cepat-cepat hendak buat perang saraf kononnya berlaku perpecahan dalam Bersatu. Ini semua taktik lama, dalam parti lama (UMNO) pun macam itu juga dan saya tahu ini orang luar yang buat dan bukannya anggota parti yang buat.

"Proses pemilihan calon masih berjalan dan kita pertimbang semua tokoh yang hendak dicalonkan dan tidak mengehadkan berapa jumlah calon. Ada daripada bahagian, sayap, Srikandi, Armada dan luar bahagian juga yang mahu bertanding, jadi kita akan tengok semua itu," katanya.

Pada Isnin lepas, sebuah portal melaporkan beberapa sepanduk yang dipasang berhampiran sebuah simpang jalan di Semenyih dan risalah yang memaparkan beberapa gambar individu yang didakwa berkemungkinan dicalonkan telah dipangkah.

Terdahulu, Mukhriz bersama barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.

-- BERNAMA

Rabu, Februari 06, 2019

MAKAN BESAR DI RUMAH PUSAKA ATAS LAUT

GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Sudah menjadi kelaziman menjelang malam Tahun Baharu Cina apabila semua anggota keluarga masyarakat Tionghua berkumpul bagi upacara makan besar.

Sama seperti keluarga lain, waris keturunan Chew di Jeti Chew, Pengkalan Weld di sini menjadikan rumah pusaka berusia hampir 60 tahun milik mendiang ibunya yang terletak di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) itu sebagai lokasi wajib untuk semua anggota keluarga berkumpul bagi upacara makan besar setiap tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik itu, Chan Hua Hin, 49, berkata sudah menjadi kebiasaan semua anggota keluarga akan berkumpul di rumah mendiang ibunya yang terletak di atas laut itu untuk makan bersama pada malam tahun baharu setiap tahun dan sekali lagi berkumpul keesokan harinya bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

Isnin, Februari 04, 2019

BERSATU MUNGKIN LETAK ORANG MUDA DI PRK SEMENYIH





SEMENYIH: Bersatu belum memilih calonnya bagi pilihan raya kecil Semenyih akan datang tetapi Rais Zulkifli dipercayai lebih berpeluang daripada enam nama yang dikemukakan kepada kepimpinan parti.

Sumber dari Bersatu berkata majoriti sayap pemuda parti itu di Hulu Langat menyokong ketua bahagiannya di sana yang berusia 38 tahun itu sebagai calon bertanding keusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu.

Semenyih berada di bawah bahagian Hulu Langat.

“Beliau anak tempatan di Hulu Langat dan orang tempatan mahukan seseorang dari kawasan itu yang memahami dan mampu memahami isu-isu setempat. Ramai orang termasuk dari kalangan sayap pemuda parti menyokongnya.

“Tetapi pada akhirnya, hal ini akan diputuskan kepimpinan parti,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu menjelaskan Rais memenuhi semua ciri-ciri seperti yang digariskan kepimpinan parti.


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan meletakkan calon yang muda, berpendidikan tinggi dan diterima oleh rakyat.

Pada minggu lalu, Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad menyatakan partinya sedang mencari seseorang yang cergas, cerdas dan mesra bersama rakyat.

Pada PRU14, Rais sepatutnya bertanding untuk kerusi DUN Semenyih tetapi beliau memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Bakhtiar merebut kerusi itu daripada BN dalam pertarungan empat penjuru pada 9 Mei. PRK Semenyih diadakan selepas beliau meninggal bulan lalu.

Ketika dihubungi, Rais berkata beliau berharap dapat bertanding, namun akan menghormati apa jua keputusan kepimpinan parti.

“Belum tentu lagi. Saya salah seorang dari enam nama.

“Masing-masing ada kelebihan. Saya tak nak mendahului keputusan atasan. Saya hormati keputusan parti. Setakat ini kita hantar enam nama," katanya.

Rais tidak mendedahkan nama lain yang dikemukakan kepada kepimpinan.

Bagaimanapun sumber memberitahu, senarai nama calon termasuk Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Ulya Husamudin dan Faiz Na'aman, serta anggota Exco Pemuda Bersatu Selangor, Roszamri Bahari.

Rais berkata beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai aktivis untuk Deklarasi Rakyat, suatu pergerakan yang tidak berdaftar sebelum penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Kita minta pada Tun (Dr Mahathir) untuk tubuhkan parti atau NGO. Saya join Bersatu ketika mula ditubuhkan pada 2016 saya terus mendaftar. Saya pengasas Bersatu Hulu Langat.

“Masa saya jadi ketua pendaftar (ketika itu pada 2016 tidak wujud lagi organisasi bahagian) itu, Hulu Langat ini dapat ranking kedua tertinggi keahlian di Selangor.

“Tiada siapa yang suruh memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar. Cuma saya lihat pada dia sebagai ketua bahagian, banyak berkorban dari segi kewangan, masa. Kemudian saya tengok usia dan kekuatan dia. Sebab PRU14 saya nampak peluang dia lebih cerah,” kata Rais yang kemudiannya dilantik menjadi pengerusi pilihan raya bagi kawasan Dusun Tua pda PRU14 lalu.

Ahad, Februari 03, 2019

KEADAAN POLITIK DI SEMENYIH TAK SAMA DI CAMERON HIGHLANDS

TANJONG KARANG, 2 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berharap kerjasama yang kini terjalin antara UMNO dan PAS akan membawa kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

"Kita harap kerjasama PAS dan UMNO pada PRK itu kelak dapat menolak calon Parti Pribumi Bersatu Maalysia (Bersatu) bagi menunjukkan referendum rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, walaupun ini merupakan PRK pertama calon kedua-dua parti berkenaan bertembung, namun pihaknya menerima hakikat keadaan politik di Selangor adalah berbeza berbanding PRK di Cameron Highlands baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan calon BN.

Sabtu, Februari 02, 2019

TIDAK MUSTAHIL KERAJAAN PH TUMBANG JIKA PEMIMPIN EGO

SHAH ALAM, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berasa selesa dan ego serta perlu mengambil iktibar atas kejatuhan kerajaan terdahulu jika tidak mahu mengalami nasib yang serupa.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata adalah tidak mustahil kerajaan PH yang menguasai Putrajaya dan beberapa negeri lain akan tumbang jika pemimpinnya enggan menerima teguran.

"Sejarah boleh berulang jika pemimpin kita mula berkeras dan tidak mendengar teguran rakyat, sejarah selalu berulang dan ia tidak mustahil berlaku.

Jumaat, Februari 01, 2019

CALON PRK SEMENYIH KENA SAMA KAEDAH DENGAN CALON CAMERON HIGHLANDS

MARANG, 27 Jan (Bernama) – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Mac diharap akan menggunakan kaedah yang sama seperti di Cameron Highlands, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, BN yang telah diberi tanggungjawab itu juga disaran mempertaruhkan calon yang mempunyai ketokohan sendiri dan mestilah anak tempatan kerana diyakini dua faktor itu mampu memberi kemenangan kepada BN dalam PRK tersebut.

"Pemilihan calon untuk PRK Semenyih belum ditentukan lagi setakat ini, dan perkara itu kita serahkan kepada BN untuk menentukan calon mereka. Ciri-ciri calon yang akan diketengahkan mestilah mengambil kira kemenangan BN di PRK Cameron Highlands semalam iaitu mengambil kira ketokohan dan mestilah anak tempatan.