Isnin, Februari 04, 2019
BERSATU MUNGKIN LETAK ORANG MUDA DI PRK SEMENYIH
SEMENYIH: Bersatu belum memilih calonnya bagi pilihan raya kecil Semenyih akan datang tetapi Rais Zulkifli dipercayai lebih berpeluang daripada enam nama yang dikemukakan kepada kepimpinan parti.
Sumber dari Bersatu berkata majoriti sayap pemuda parti itu di Hulu Langat menyokong ketua bahagiannya di sana yang berusia 38 tahun itu sebagai calon bertanding keusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu.
Semenyih berada di bawah bahagian Hulu Langat.
“Beliau anak tempatan di Hulu Langat dan orang tempatan mahukan seseorang dari kawasan itu yang memahami dan mampu memahami isu-isu setempat. Ramai orang termasuk dari kalangan sayap pemuda parti menyokongnya.
“Tetapi pada akhirnya, hal ini akan diputuskan kepimpinan parti,” kata sumber itu lagi.
Sumber itu menjelaskan Rais memenuhi semua ciri-ciri seperti yang digariskan kepimpinan parti.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan meletakkan calon yang muda, berpendidikan tinggi dan diterima oleh rakyat.
Pada minggu lalu, Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad menyatakan partinya sedang mencari seseorang yang cergas, cerdas dan mesra bersama rakyat.
Pada PRU14, Rais sepatutnya bertanding untuk kerusi DUN Semenyih tetapi beliau memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.
Bakhtiar merebut kerusi itu daripada BN dalam pertarungan empat penjuru pada 9 Mei. PRK Semenyih diadakan selepas beliau meninggal bulan lalu.
Ketika dihubungi, Rais berkata beliau berharap dapat bertanding, namun akan menghormati apa jua keputusan kepimpinan parti.
“Belum tentu lagi. Saya salah seorang dari enam nama.
“Masing-masing ada kelebihan. Saya tak nak mendahului keputusan atasan. Saya hormati keputusan parti. Setakat ini kita hantar enam nama," katanya.
Rais tidak mendedahkan nama lain yang dikemukakan kepada kepimpinan.
Bagaimanapun sumber memberitahu, senarai nama calon termasuk Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Ulya Husamudin dan Faiz Na'aman, serta anggota Exco Pemuda Bersatu Selangor, Roszamri Bahari.
Rais berkata beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai aktivis untuk Deklarasi Rakyat, suatu pergerakan yang tidak berdaftar sebelum penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Kita minta pada Tun (Dr Mahathir) untuk tubuhkan parti atau NGO. Saya join Bersatu ketika mula ditubuhkan pada 2016 saya terus mendaftar. Saya pengasas Bersatu Hulu Langat.
“Masa saya jadi ketua pendaftar (ketika itu pada 2016 tidak wujud lagi organisasi bahagian) itu, Hulu Langat ini dapat ranking kedua tertinggi keahlian di Selangor.
“Tiada siapa yang suruh memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar. Cuma saya lihat pada dia sebagai ketua bahagian, banyak berkorban dari segi kewangan, masa. Kemudian saya tengok usia dan kekuatan dia. Sebab PRU14 saya nampak peluang dia lebih cerah,” kata Rais yang kemudiannya dilantik menjadi pengerusi pilihan raya bagi kawasan Dusun Tua pda PRU14 lalu.